Series
9885
Tanah itu masih basah di sirami air mawar. Tengku Amira menahan hirisan hatinya yang tersiat kerana luka, parah tak terkata apabila mengunjungi kubur arwah Qaira Imani. Dia sengaja mengenakan cermin mata hitam untuk menutupi matanya yang merah kerana tangisan. Dia seolah-olah tidak percaya sahabatnya telah dijemput Ilahi. Terasa baru semalam dia bersama Qaira Imani, bergurau senda, berbual-bual dengannya menghabiskan masa bersama. Pahitnya menerima sebuah hakikat yang boleh mengoyakkan kesabarannya. Banyak impian yang mereka bina bersama tetapi tidak kesampaian. Qaira Imani terlebih dahulu pergi untuk selama-lamanya.
Selesai ke kubur, Tengku Amira berjalan seiringan pulang bersama sepupunya Tengku Puteri Azura Erisya yang juga merupakan sahabat baik kepada arwah. Mereka hanya mendiamkan diri kerana hati masih berduka atas kehilangan Qaira Imani. Spontan Tengku Amira akhirnya bersuara dalam sebak meluahkan rasa terkilannya.
“Aku…. aku bersalah dengan dia. Aku tuduh dia bukan-bukan, aku tak pernah jadi yang terbaik untuk dia. Sampai hati dia buat aku macam ni, kenapa dia tak bagitahu aku yang dia tu sakit? Masa dia sakit pun dia tak mahu aku datang, dia tak nak aku betul-betul tahu tentang derita yang dia dah tanggung bertahun-tahun, kenapa dia buat aku macam tu, Zura?”
“Sabarlah Amira,” pujuk Tengku Puteri Azura Erisya yang tenang memandu. Mata Tengku Amira sudah mula berkaca apabila mengingati setiap kenangan bersama Qaira Imani. Dia betul-betul merindui arwah pada saat ini.
Tengku Puteri Azura Erisya hanya diam membisu, dia memecut laju Mazda RX-8 yang dipandunya, dibiarkan saja sepupunya itu menangis, dia melalui jalan lain untuk singgah ke Pantai Cahaya Bulan (PCB). Sesampainya di sana, dia meletakkan keretanya di bawah sepohon pokok yang rendang. Sekilas dia memandang Tengku Amira yang masih dihantui kesedihan.
“Amira sebenarnya aku nak minta maaf dengan kau. Aku dah tahu mengenai sakit Qaira Imani setahun yang lalu, tapi aku tak pernah bagitahu kau sebab arwah tak nak kau tahu apa-apa,” Ungkapan itu membuatkan Tengku Amira berpaling memandang sepupunya. Dia seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan itu.
“Tergamak kau tak bagitahu aku, Zura!”
Share this novel