7

Romance Completed 17326

DARINA nekad sudah. Otaknya sedang ligat membuat rangka ayat yang perlu di katakan. Telefon di hadapannya dipandang berkali-kali. Masih lagi berkira-kira. Tapi setelah otaknya tepu untuk berfikir lama lagi, dia terus mencapai telefon tersebut. nombor yang ada di telefon itu ditekan dengan perlahan. Sesekali matanya meliar melihat keliling, khuatir ada yang mencuri dengar nanti.

Setelah meletak ganggang telefon, bibir Darina mengukir senyuman. Senyuman yang amat bahagia sekali. Kali ini, tahulah untung nasib jirannya itu. Dia sudah tidak sabar ingin pulang ke rumah. Dia juga ingin merakam detik-detik cemas itu. Yes! Kata hatinya sambil bibir pula mengukir senyuman yang amat ketara.

“Oii! Senyum sorang-sorang ni, kau okey ke tak?” sergah Nubhan. Lelaki itu amat pelik sekali bila melihat Darina yang sejak dari tadi termenung dan mengukir senyuman. Persis orang yang hilang akal. Nubhan merupakan Office Boy di tempat Darina bekerja.

Darina mengurut-ngurut dadanya. Terkejut dirinya bila disergah begitu. Akibat dari lantangan suara Nubhan yang seakan petir menyambar itu, menghasilkan pandangan yang serba tidak kena dari rakan-rakan yang lain. Masing-masing masih lagi tertanya-tanya apa yang terjadi sebentar tadi.

“Kau dah lama ke tak makan kasut?” marah Darina. Wajahnya sudah masam mencuka. Dia menghadiahkan satu jelingan maut kepada Nubhan. Nubhan pula hanya mampu tersengih saja.

“Sorrylah, Dar. Aku dari tadi tengok kau tersengih-sengih macam kerang busuk. Itu yang buatkan aku pelik sangat-sangat. Tak sangka pulak aku kau betul-betul terkejut. Kau ini berangan apa?” Nubhan melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang ada di hadapan Darina. Wajah cun di hadapannya itu dipandang tidak berkelip.

“Han… kalau benda ni confirm jadi kenyataan, esok aku belanja kau nasi ayam penyek, nak tak?” Darina sudah mula rasa seronok bila kenangkan apa yang bakal terjadi hari ini.

Nubhan mengerutkan keningnya. Seakan tidak percaya dia dengan apa yang didengarinya itu. Biasanya gadis cantik itu jarang ingin makan tengah hari. Kalau lapar sekalipun, mesti gadis itu akan menyelongkar makanan di pantry.

“Kenapa kau buat muka pelik macam itu? Aku taulah… aku ni jarang ambil lunch. Tapi kalau sesekali belanja kawan okey juga, kan? Yalah… bak kata orang tua-tua… bila hati kita senang, fikiranpun lapang, rezekipun bertambah murah.” Seakan mengerti apa yang ada di dalam fikiran Nubhan, Darina terlebih dahulu menjawabnya. Nubhan tersengih.

“Betul.. betul tu. Tapi tentang kata orang tua-tua tu, aku tak pernah dengar pulak. yang aku tau, kata seorang gadis yang bakal jadi tua.” Usik Nubhan, dia sudah bangun dari kerusi yang didudukinya. Pasti Darina akan kenakannya semula. Lebih baik dia pergi dahulu.

“Kurang asam!” balas Darina. Tapi kali ini, langsung tiada perasaan marah terbit dari hatinya.

DARINA menyanyi-nyanyi perlahan. Entah lagu apa yang dinyanyikan, dia sendiri tidak tahu. Sampai saja di rumah, dia mengerling ke rumah sebelahnya. Sah! Lelaki itu ada di rumah. Bibirnya terukir senyuman. Kunci kereta dilambung-lambung. Pantas langkahnya terarah ke pintu masuk.

Faqihah belum pulang lagi. Senanglah kerjanya nanti. Darina segera membersihkan diri. Setelah menunaikan solat Asar, dia sudah bersiap sedia duduk di ruang tamu. Masih lagi menanti drama yang bakal terjadi. Sementara itu, dia membuka lap topnya. Tertera nama Asmara yang sudah berada di talian ‘YM’. Sekali lagi bibir mungilnya tersenyum manis.

Sejak kebelakangan ini, dia kerap berbual mesra dengan Asmara. Awal-awal menerima sapaan lelaki itu, dia rasa tidak selesa. Puas dikerahkan otaknya supaya mencari dari mana lelaki itu dapatkan IDnya. Tapi apabila Asmara yakinkan, dia hanya mencuri lihat dari kawan-kawannya yang kebetulan pula salah seorang nama yang Asmara sebutkan itu memang menjadi teman alam mayanya, barulah Darina ingin melayan Asmara. Padahal, dia tidak tahu Asmara hanya menembak saja.

Asmara : Salam…

Kasih_D : Salam kembali…

Asmara : Awalnya hari ni? Ada apa-apa ke?

Darina tersenyum. Memangpun, hati aku gembira dan girang tidak terkata.

Kasih_D : Hati saya happy sangat hari ni.

Asmara : Oh ya ke? Boleh saya tau kenapa awak happy semacam?

Kasih_D : Nantilah… malam nanti saya beritahu awak, ya? Eh… okeylah, saya ada hal ni. Nanti malam kita sembang lagi ya? Babai…

Asmara : Okey… saya tunggu… Babai juga untuk awak.

Darina menutup lap topnya. Dia berdiri dan mengintai di celah tingkap. Dia melihat beberapa orang lelaki yang tidak dikenali memberi salam serta menekan loceng jiran sebelah rumahnya. Seketika kemudian, jirannya itu membuka pintu. Hati Darina sudah melonjak riang.

Kamera di tangan sudah siap sedia dipasang. Kedengaran pula orang membuka pintu belakang. Dia yakin, jirannya itu membuka pintu tersebut. Dia berlari ke arah dapur. Dia melekapkan telinganya di pintu dapur rumahnya.

“Maafkan saya, encik. Saya telah mendapat aduan, di mana aduan tersebut mengatakan rumah encik menjadi sarang nyamuk. Bila kami periksa, ternyata semuanya dalam keadaan baik. Malah tiada sedikitpun takungan air yang boleh menyebabkan biakan nyamuk. Terima kasih di atas kerjasama, encik.” Terdengar salah seorang pegawai kesihatan itu bercakap.

Kali ini, impian serta harapan Darina punah. Ternyata, apa yang diharapkan, tidak menjadi kenyataan.

“Sebelah rumah encik ni, ada orang ke tak?” Darina tidak pasti rumah yang mana satu yang dimaksudkan oleh pegawai tersebut. Dia sudah tidak keruan, takkan rumahnya pula?

“Saya tak pasti, tapi kalau kereta tu ada, saya rasa ada orang kut. Cubalah encik ketuk rumah dia.” Jawab Zufar.

Salah seorang pegawai itu meninjau-ninjau sebelah rumah Zufar. Ada beberapa tin kosong sedang elok diterbalikkan. Namun di atas tin tersebut, ada takungan air di situ. Kemudian, dia meninjau pula longkang yang tersumbat dan takungan air juga tersekat di situ. Dia membisikkan sesuatu kepada rakannya, tanpa membuang masa, mereka memohon mengundur diri.

Keempat-empat lelaki itu segera meninggalkan rumah Zufar. Mereka pergi pula ke rumah jiran Zufar. Siapa lagi jika tidak Darina. Loceng rumah Darina berbunyi beberapa kali. Darina sudah pucat lesi. Bermakna? Bermakna? Oh tidak!!

Tidak lama kemudian, Faqihah pulang ke rumah. Apabila melihat beberapa orang lelaki menunggu di luar rumahnya, dia menegur lelaki-lelaki tersebut.

“Ya, encik. Encik nak berjumpa dengan siap?” soal Faqihah lembut.

Salah seorang pegawai kesihatan itu menunjukkan kad kuasa mereka. Faqihah faham maksud kedatangan mereka itu. Tanpa menunggu lama lagi, dia membenarkan pegawai-pegawai itu masuk ke dalam rumah mereka.

Seluruh rumah itu diperiksa, tiada takungan air yang bisa membiakan nyamuk-nyamuk. Mereka berpuas hati. Mereka mengarahkan Faqihah membuka pintu belakang pula. Di situlah segala-galanya terbongkar. Rupa-rupanya di belakang rumah mereka punya takungan air yang mereka tidak sedari.

Faqihah mendengus geram. Selalunya, Darinalah orang yang paling rajin. Tapi kali ini, mereka terkena juga. Faqihah juga rasa pelik, Darina sudah pulang ke rumah tapi kelibatnya tidak kelihatan pula di ruang tamu. Kipas angin terbuka, lap top juga masih lagi menyalakan lampunya. Pasti rakannya itu sedang menyorok. Hisy! Buat malu aje! Bentak hatinya.

“Kami terpaksa mendenda cik kerana kecuaian yang cik lakukan sendiri. Sedangkan kempen ini sudah meluas kami sebarkan. Bukan setakat papan tanda, tapi iklan-iklan di TV juga sering ditayangkan.” Kata salah seorang pegawai kesihatan itu. Dia menulis sesuatu, kemudiannya, dia serahkan surat itu kepada Faqihah.

Muka Faqihah ketika itu jangan cakaplah. Macam udang kena bakar. Merah menyala. Menahan geram dan bengang. Apa tidaknya, dia telah diberitahu ada orang mengadu kawasan rumah mereka banyak nyamuk. Siap bagi alamat rumah yang mencurigakan lagi. Dia yakin siapa yang punya kerja.

Setelah pegawai-pegawai itu pulang. Faqihah menutup pintu pagar. Setelah itu dia menuju terus ke pintu bilik Darina. Berkali-kali dia mengetuk pintu bilik tersebut.

“Dahlah… jangan kau nak menyorok lagi. Mereka semua dah balik dah.” jerit Faqihah, namun suaranya masih lagi terkawal.

Darina memulas tombol pintu biliknya. Hendak buat apa lagi, dia hanya mempamerkan riak wajah yang tidak bersalahnya. Gigi juga turut ditayang sama. Faqihah mencekak pinggang. Matanya dibulatkan.

“Puas hati kau sekarang? Nah ni surat denda tu. Kau sattle sendiri. Aku tak nak masuk campur. Pandai-pandai buat aduan. Kau ingat aku tak tau ke?” Faqihah menghemburkan apa yang terbuku di hatinya. Mukanya sudah masam mencuka. Dia kurang senang bila Darina bertindak begitu.

Darina pula, terkulat-kulat wajahnya bila dimarah begitu. Dia mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Jumlah denda yang perlu dibayar, menjadi santapan matanya. Berkali-kali air liur ditelan. Habislah duit gajinya bulan itu.

“Hah! Kenapa diam?” sergah Faqihah.

Terkejut Darina dibuatnya. Dia memandang wajah Faqihah. Wajah itu nampak lain. Sebelum ini, Faqihah tidak pernah marah begitu.

“Aku… aku minta maaflah.” Hanya itu yang mampu keluar dari mulutnya. Selama ini dia yang terkenal dengan juara melawan cakap orang, hari ini terkunci pula mulutnya.

“Sudahlah kau…” akhirnya Faqihah meninggalkan dirinya dalam keadaan serba salah. Lain yang diharap, lain pula yang dia dapat. Padanlah dengan mukanya sendiri. Atuk!! Tolong Darina!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience