BAB 1

Romance Completed 16832

SAAT ini dia merasa bagaikan dunia berhenti seketika, ambien sekeliling sunyi dan kosong. Hanya ada irama gejolak perasaan dan mainan fikiran yang bermaind dalam dirinya dalam dia duduk termangu di ruang tamu itu. Sebab itu walau berkali-kali namanya dipanggil namun tak disahut. Pandangan matanya tertancap ke arah skrin televisyen dihadapannya seolah-olah terpukau oleh cerita yang sedang ditayangkan. Walhal hanya jasadnya saja yang tercongok di situ, sedangkan fikirannya menerawang entah ke mana.

“Yuni. Hei, kau ni dah kenapa? Aku panggil dari tadi buat tak tau aje. Sejak bila pulak kau suka tengok telenovela Tagalog ni?” sergah Zurina sambil mengetuk perlahan dahi Ayuni dengan alat kawalan jauh.

“Aduh! Sakitlah,” keluh Ayuni sambil menggosok-gosok dahinya. Lamunannya terbantut.

“Kau kata lapar tadi. Aku dah masak Maggie tu. Jomlah makan cepat. Lepas makan nanti nak kena tunggu dua jam pulak baru boleh tidur. Ni dah pukul berapa dah,” omel Zurina panjang lebar. Tangannya pantas menarik lengan Ayuni mengheretnya ke dapur.

Ayuni hanya menurut. Entah kenapa hari ini dia rasa tak keruan. Balik pun dah lewat. Hampir pukul 9.00 malam baru dia sampai ke rumah. Dia terpaksa mengharung jam petang tadi gara-gara satu kemalangan yang berlaku di pertengahan jalan. Mujur dia sempat singgah ke stesen minyak untuk solat maghrib. Itu pun dah hampir nak habis waktu. Namun bukanlah kekacauan itu sebenarnya yang bersarang di benaknya sejak tadi.

“Zu, cuba kau teka siapa yang aku jumpa siang tadi kat ofis Dato’ Khalid?” soal Ayuni sambil rancak mengunyah mi segera.

“Siapa?” tanpa menjawab Zurina terus bertanya. Masakan dia boleh meneka. Bukan dia kenal pun staf-staf di syarikat MEGA BINA SDN BHD tu.

“Ammar Haikal.”
Tersedak Zurina sebaik saja mendengar nama itu disebut. Terbeliak biji matanya bagai nak tersembul memandang Ayuni. Sudah tiga belas tahun dia tak mendengar nama itu disebut-sebut. Khabar itu benar-benar mengejutkan.

“Macam tak percaya kan? Aku siap ternganga masa first time nampak dia tadi. Dah lama kot kita tak jumpa dia.”

“Apa dia buat kat situ?” soal Zurina hairan.

“Pasal tender projek Iskandar Malaysia tu lah. Sekarang ni Dato’ mintak aku dengan Ammar masing-masing sediakan proposal untuk fight tender projek tu. Dato’ nak pilih the best proposal. Lepas tu kalau Mega Bina menang tender , tuan punya proposal secara automatik akan jadi pengurus projek. Gila tak?” jelas Ayuni panjang lebar. Dia teruja dengan tawaran Dato’ Khalid siang tadi. Kalau proposalnya terpilih dan menang tender tu, inilah kali pertama dia akan mengurus projek sendiri. Dia tak sangka Dato’ berani menaruh kepercayaan tinggi kepadanya yang berpengalaman bekerja tak sampai pun sepuluh tahun di syarikat itu.

“Tapi Ammar tu macam mana boleh tersesat kat situ? Dia memang kerja kat tempat kau tu ke?” soal Zurina lagi masih kehairanan. Kalau Ammar kerja di Mega Bina, kenapa selama ini Ayuni tak pernah terserempak pulak dengan dia?

“Tulah. Mula-mula aku pelik jugak. Rupa-rupanya selama ni dia kerja kat syarikat subsidiari Mega Bina yang kat KL tu. So, kalau dia menang tender ni nanti, balik Johorlah dia.”

Zurina terangguk-angguk tanda faham. Untuk seketika mereka sama-sama membisu. Khusyuk menikmati Maggie kari masing-masing. Dah malam-malam begini, itu sajalah hidangan yang paling ideal untuk orang bujang macam mereka berdua. Cepat dimasak, sedap dimakan.

Ayuni menghirup terus kuah Maggie dari mangkuknya hingga ke titisan terakhir lantas tersandar di kerusi sambil sendawa besar. Alhamdulillah, kenyang.

“Handsome tak dia?”tanya Zurina menyambung perbualan.

“Gila tak handsome?! Zaman comot-comot dulu pun dia dah handsome, lagilah sekarang kan?” jawab Ayuni beriya. Haishh..itu sebenarnya yang membuatkan dia mengelamun sejak tadi. Asyik terbayangkan wajah si tinggi lampai tu.

“Dia dah kahwin ke?” soal Zurina lagi. Dia pun dah mula terbayang-bayangkan wajah si Ammar, si jejaka tampan tapi agak pemalu waktu zaman sekolah dulu.

“Entah,” jawab Ayuni sambil menjungkit bahu tanda dia sendiri tidak tahu.

“Kau tak sempat borak-borak dengan dia ke tadi?”

“Tak,” jawab Ayuni. Dia bingkas bangun ke sinki membawa mangkuk Zurina sekali. Tanda terima kasihnya pada Zurina yang sudi memasak untuk dia tadi.

“Tak sempat langsung? Takkanlah sepatah dua pun tak sempat.”

“Sepatah dua ajelah. Sempat jugaklah kita orang tukar-tukar bussiness card. Dia tu kan, macam nak tak nak aje bercakap dengan aku,” ujar Ayuni. Lantas dia teringatkan pertemuannya dengan Ammar siang tadi. Selesai urusan di pejabat Dato’ Khalid mereka berjalan keluar beriringan. Ayuni cuba juga bertanya dua tiga soalan kepada jejaka itu untuk memancing perbualan, tapi sambutan Ammar agak dingin. Semua soalan dijawab acuh tak acuh saja. Macam ada setongkol emas dalam mulutnya. Kekwat sungguh!

“Agaknya dia masih marah kat kau kot,” tebak Zurina.
Tiba-tiba saja jiwa Ayuni diterpa rasa bersalah sebaik saja mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Zurina. Dia terkedu tanpa kata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience