Series
645
Sibuknya jadual dengan urusan dunia.
Sehingga lapuk terlupakan sesuatu yang kecil.
Yang selalu tak minat untuk dipandang besar.
Bukan macam si gadis.
Dia selalu ada masa untuk melihat apa yang lain terlepas pandang.
Dari sudut tingkap, sinaran matahari memancar ke arah cermin. Wah, cantiknya kelibat dia. Sayu di matanya dikawal dengan konsentrasi pada apa saja yang dilihat di luar, kupu - kupu hinggap di bingkai cermin tingkap. Sayapnya mengibas udara panas menarik perhatian dia yang terlampau fokus dengan isu hatinya.
Panasnya secawan cecair coklat dalam genggaman. Matanya tetap pada seekor serangga di luar, di mana dipisahkan antaranya dengan haiwan itu dengan sekeping cermin tingkap. Genggamannya dilepaskan dari cawan, lalu jarinya mengekori kupu - kupu tadi. Lama dia perhati sebelum mengangkat telefon bimbit, lalu membuka kamera. Tiga kali punat kamera ditekan, mengambil gambar serangga itu. Buat sementara, dia lupa tentang patah hatinya.
Bagiku, dia unik.
Dia autentik.
Dari pertama kali aku dengar dia berkata - kata, hati aku dah terpikat.
Mungkin sebab itu, aku terburu - buru.
Aku terus ikat.
Begitu juga dengan dia. Dia juga pantas mengikat. Dengan butanya dia biarkan saja, mengaku, dia sukakan lelaki itu.
Semudah itu, Maia membiarkan hatinya terbuka untuk Azim, walaupun dia tahu mereka belum mengenali satu sama lain cukup lama untuk menjadi bersama. Butanya. Tulinya.
Namun, Azim terlalu pantas menyakinkan dia, mereka adalah 'cinta' sejati. Dengan buta dan tulinya, dia percaya.
•
Aroma wangi bijian kopi menyelebungi kafe autentik di sebuah pusat membeli belah. Tempat yang dipilih oleh Azim. Si dia duduk di tengah-tengah ramai pelanggan kafe yang lain. Pandangannya buat seketika terlirik pada seorang wanita. Dia terlalu fokus memandang di kawasan luar. Azim juga melihat apa yang ada di situ. Apa yang dilihatnya dianggap aneh, dia tersenyum. Wanita itu khusyuk memerhati seekor kupu - kupu di luar cermin tingkap. Sebaris senyuman terukir pada bibirnya. Mahu saja si dia menuju ke arahnya, namun terhenti apabila orang yang dinanti-nantikan di situ tiba, mengganggu lamunannya terhadap wanita tadi.
•
Maia sedar daripada lamunannya yang sedari tadi memerhati pergerakan seranggan kecil itu, pantas dia bangun meninggalkan kafe.
Sekilas pandang, dia sudah tiada. Tinggal rentetan masa lalu saja. Sama ada Azim atau Maia, masing - masing tak akan tahu mereka pernah bertembung jodoh sekali lagi.
Share this novel