Rate

BBUD 1

Short Story Series 3595

"Bangun Tipahhhh. Bangun!" jerit Mak Esah lantang dari arah dapur.


Awal pagi lagi Mak Esah sudah bersilat di dapur menyediakan sarapan pagi. Dimasaknya sekali menu untuk makan tengahari. Hari ini dia ada mesyuarat Amanah Ikhtiar, jadi balik nanti sudah pasti perut akan berbunyi lapar.

Mahu harapkan Tipah? Mustahil. Anak daranya asyik sangat dengan kebun dan kilang dia. Dari pagi hingga ke malam. Mana ada masa hendak memasak segala. Semuanya harapkan Mak Esah.

Tengoklah macam sekarang, matahari sudah mencanak naik tinggipun, gadis itu masih lagi bergelumang dengan toto busuk. Bertuah punya anak dara!

Mak Esah mengatur langkah menuju ke bilik Tipah yang berada di tingkat atas. Ditangan sudah tersedia sebaldi air. Habuan Tipah pagi-pagi begini. Habislah dia!

Berkeriut bunyi lantai kayu mengikut rentak tapak kaki Mak Esah. Dipulas tombol lalu ditolak pintu bilik anak daranya dengan kasar.

"Ya Allah Tipah! Kau belum bangun lagi! Apa nak jadi dengan kau ni Tipah?!" jerit Mak Esah kuat. Bergegar satu rumah. Kalah penyanyi suparno.

Toto busuk Tipah ditarik rakus sehingga melurut jatuh ke bawah katil. Di curahnya segayung air tepat mengenai muka yang masih diulit mimpi tu. Biar dirasakan segar sedikit.

"Mak ... apa ni?!" Balas Tipah lantang.

Dia terus terjaga. Matanya membulat, meliar segenap ruang katil. Aduh! Katil dia sudah banjir. Penuh dengan air ‘ajaib’ emaknya.

Tipah mendengus geram. Dia mencerlung pandang wajah Mak Esah dengan rasa tidak puas hati. Emaknya memang sengaja cari fasal.

Mak Esah yang sudah berdiri di depan pintu bilik sudah bercekak pinggang. Wajah garang dan bengis wanita itu mengundang rasa gerun Tipah.

Wajahnya dikendurkan sedikit.

"Apa ni mak? Habis basah tilam orang. Panggillah orang elok-elok. Hari inikan, hari cuti orang. Sampai hati mak buat orang macam ni" gumam Tipah. Dia buat muka sedih.
Sengaja mahu membeli jiwa Mak Esah.

Cadar katil yang sudah lencun, dikibas-kibas dengan telapak tangan. Haih, baru hendak merasai nikmatnya bercuti, sudah dikejutkan.

"Cuti tak cuti. Kau bangun lekas Tipah. Aku nak bawa 20 anak pokok harini. Dah bawa balik ke belum dari kebun? Aku dah pesan dari awal lagi aku nak 20 anak pokok. Kalau kau tak bawa balik juga, aku kahwinkan kau dengan cikgu Imran tu. Baru padan muka! Kau nak ke jadi bini nombor dua?”

Laju Tipah menggeleng.

“Tahu tak nak. Kalau tak nak, bangun cepat. Menanti kau saja pun dah berjam. Kau nak ikut ke tak pergi mesyuarat Amanah Ikhtiar? Kalau nak ikut cepat siap!" celoteh Mak Esah tidak bernoktah.

Terkumat kamit mulutnya yang becok mengeluarkan kata-kata. Tak berhenti langsung. Agaknya wayar brek putus kot.
Tipah tersengih.

"Mestilah nak ikut mak ..." jawab Tipah berlagu panjang.
Matanya ditenyeh-tenyeh. Huh! Taik mata selambak. Dia menjentik jauh. Haha! Pengotornya kau Tipah. Tak macam anak dara langsung. Malangnya sungguh Mak Esah dapat anak macam kau.

"Kalau nak ikut, pergi mandi sekarang. Lambat 10 minit, aku tinggal!" Arah Mak Esah tegas.

Sudah macam askar komandar dalam filem Paskal saja Tipah tengok . Mencicit Tipah berlari ke bilik air. Dia tersengih-sengih. Mempamerkan giginya yang diikat besi.

“Apa nak jadilah dengan kau Tipah?” Mak Esah menggelengkan kepala berkali-kali melihat gelagat anak tunggalnya.

"Mak! Tuala Tipah mak! Dekat penyidai depan pintu bilik!"
Belum sempat Mak Esah turun ke bawah, Tipah sudah menjerit lagi.

Mak Esah mendengus. Marah dengan kelakuan anak daranya yang tidak semenggah itu. Hendak turun mandipun tidak bawa kain tuala siap-siap. Dicapainya juga tuala Tipah walaupun hati mendongkol geram. Haishh ...

••••

Aku Tipah. Nama samaran aku Tipah Buluh. Nama panjang aku dalam surat beranak adalah Syarifah Khadeeja binti Syed Khaleed. Aku anak tunggal Mak Esah A.K.A Siti Zurainah binti Imran.

Ayah aku pula namanya Syed Khaleed bin Syed Mokhtar. Dia telah lama menghilangkan diri. Entah ke mana pun aku sendiri tidak tahu. Yang tinggal sekarang, hanya aku dan emak sahaja di rumah pusaka arwah tok wan iaitu Imran bin Jabar. Ayah kepada Mak Esah.

Ah! Abaikan saja kisah yang itu.

Kenapa orang panggil aku dengan panggilan Tipah Buluh? Kenapa orqng tak gelar aku dengan nama Deeja? Ataupun dengan nama Iffah? Nampak lebih manja dan sopan bukan? Tetapi itulah.

Ceritanya bermula dengan Mak Esah juga. Suka sangat panggil aku dengan panggilan nama Tipah. Dari kecil asyik menjerit nama Tipah. Tipah itu. Tipah ini. Tipah sana. Tipah sini. Tipah situ. Hari-hari Tipah juga yang disebutnya. Dan akhir sekali melekatlah namalah nama Tipah itu pada aku.

Apa boleh buat.

Dan orang kampung pula memandai tambah nama Buluh. Kata mereka sebab aku jual pokok belimbing buluh. Jadi aku dinamakan dengan nama ‘buluh’ bersempena nama pokok belimbing yang aku jual.

Siapa yang tidak kenal dengan nama glamor Tipah Buluh? Sebut saja nama itu, dari Kampung Hulu sampai Kampung Hilir sudah pasti kenal. Dalam page FB, Insta, Whatapps, Telegram dan segala macam media sosial juga, aku sudah setkan dengan nama Tipah Buluh.

Rutin harian aku adalah bekerja di ladang dan kilang. Kadang-kadang aku bersama team akan masuk pasar-pasar sekitar tempat tinggal dan diluar untuk mempromosikan produk yang kilang aku hasilkan.

Malu? Kalau aku malu, mungkin aku masih lagi bergelar penganggur terhormat. Rasa itu terpaksa tolak tepi demi memajukan perniagaan yang telah aku mulakan. Itulah rutin harian aku tanpa rehat dan cuti.

Kalau aku dapat cuti walaupun sehari, memang serasa dunia ini ana yang punya tau! Tapi, aku tidak boleh leka. Aku kena pantas dalam memajukan perniagaan aku agar dikenali ke seluruh pelusuk negeri.

Aku perlu buktikan juga bahawa diri aku boleh menjadi sumber pendapatan untuk insan yang lebih memerlukan. Dan berkat doa dan sokongan dari semua orang, aku telah berjaya mencipta jenama aku sendiri.

Jika orang lain yang berkelulusan tinggi seperti aku sudah pasti sibuk mencari kerja di bandar, syarikat-syarikat besar dan berpengaruh. Tapi aku hanya memikirkan Mak Esah.
Dan kerana Mak Esahlah juga aku memilih untuk menabur bakti pada tanah arwah Tok Wan yang telah lama terbiar.

Dan inilah hasilnya ...

Selamat membaca!

Share this novel

zamharibakti_okt17
2020-12-06 02:09:48 

ok


NovelPlus Premium

The best ads free experience