Senja nan merah telah berdiri di ambang kegelapan malam, tanpa diundang kejadiannya. Sekelompok bangau terbang melintas langit cerah, pulang ke sarang. Kanak-kanak yang tadinya riang bermain bola di padang itu di dekat tempat dia duduk, berlari-lari anak untuk pulang ke rumah masing-masing. Di batu itu. Di situlah dia duduk. Nama dia Floresa. Suasana mula terasa sunyi. Perlukah dia pulang sekarang? Dia mempertimbangkan perkara itu. Jika dia pulang, apa manfaatnya untuk orang-orang rumah? Bukankah ada atau tiada dia di rumah itu, keadaan tetap sahaja sama? Tiada yang peduli dengan dirinya. Tiada yang menghargai keberadaannya. Dia hanya anak angkat. Dia hanya anak pungut dalam keluarga itu. Dia sudah banyak kali menangis. Jika dia mendatangkan air bah di kampung itu oleh air matanya sendiri, adakah keadaan akan berubah? Sekali-kali tidak. Itu yang dia fikirkan.
"Siapa bapa aku? Siapa mama aku?"
Itulah pertanyaan yang telah terakam, dan sering terulang-ulang di benak. Hasrat terus membara. Dia ingin tahu, dari mana asal-usulnya. Siapa orang tuanya, siapa keluarganya. Insan-insan yang memiliki talian darah dengannya. Sungguh memilukan. Hasrat itu hanya sekadar hasrat. Dia tidak tahu, apa yang harus dia lakukan untuk makbulkan hasrat yang membara-bara itu. Itu sungguh sulit. Jika dia tahu sekalipun, adakah mereka akan kembali menerima kehadirannya seandainya dia mendatangi mereka? Bukankah dia telah dibuang semenjak dia menduduki singgahsana usia bayi lagi? Jika mereka masih menginginkannya, mereka pasti akan muncul. Kembali menjemputnya memasuki kehidupan mereka. Hakikatnya, sampai sekarang, tiada.
"Kak, mari balik."
Dia kenal suara itu. Suara lembut dan membuai hati untuk didengar, yang datang dari arah belakang. Dia tahu, pemilik suara itu betul-betul ada di dekatnya. Mungkin jaraknya mampu diukur dengan pembaris alat tulis sekolah. Dia menoleh dengan cepat. Betul, tepat jangkaannya. Itu Adella, adik angkatnya. Adella berusia 13 tahun, muda dua tahun dari usianya. Sedangkan Pretty kakak angkatnya, sudah berusia 16 tahun. Floresa senyum. Dia tidak mahu mempamerkan wajah sedih di depan Adella. Dalam banyak-banyak keluarga angkatnya, hanya Adella dan nenek yang betul-betul menyayanginya dengan seikhlas hati. Walaupun Floresa menyembunyikan duka di balik senyum itu, tetapi Adella tahu. Adella sudah masak betul dengan sifat kakak angkatnya yang suka menyorokkan kesedihan.
"Kak. Mau malam sudah ni, kak. Dari tadi nenek tanya-tanya kau pigi mana."
Tangan Floresa dipegang erat. Adakah dia harus ikut ajakan itu? Atau meninggalkan rumah itu buat selama-lamanya? Dia bingung. Keinginannya untuk pergi lebih besar daripada kemahuan untuk tetap bertahan. Kemahuan itu beralasan. Alasan itu ada hubungannya dengan kata-kata terakhir Romy, mendiang ayah angkatnya. Kata-kata itu, sebuah janji yang harus Floresa pegang erat. Jangan sampai terlepas dari genggaman. Jika Romy masih ada, lengkaplah 3 insan yang menyayanginya.
"Floresa. Dari semenjak bapa jumpa kau di depan pintu balai raya dulu waktu kau masih baby sampailah sekarang, bapa tidak pernah berhenti sayang sama kau. Bapa tidak tinguk talian darah kau sama bapa. Tapi apa yang bapa nampak di depan mata bapa, kau anak bapa. Sama macam si Pretty sama si Adella. Kau maukah janji sama bapa?"
"Janji apa, pak? Selagi saya mampu, saya usaha pegang janji saya."
"Janji sama bapa, kalau bapa sudah tiada nanti, bapa mau kau tetap ada dalam keluarga bapa."
Floresa tertunduk. Dia tidak tahu, adakah dia dapat memegang janji itu atau sebaliknya. Romy berbaring lemas di katil wad hospital. Dia sengaja ucapkan semua itu, sebab dia tahu dia sudah tidak mampu bertahan lagi. Hanya dia dan Floresa di dalam ruangan itu. Satu dari sekian banyak ruangan pesakit yang saling dipisahkan oleh kain-kain hijau dalam bilik itu. Bilik yang paling terakhir. Air mata Floresa mengalir perlahan. Adakah dia harus kehilangan satu dari tiga insan yang menyayanginya? Itulah yang dia fikirkan pada ketika itu. Tirai kenangan pada pentas ingatan perlahan-lahan berlabuh. Dia kembali berdiri di dunianya yang sekarang. Terus-menerus mengimbas kenangan, tidak akan dapat memutar kembali waktu yang telah jauh berlalu. Dia menyedari akan perkara itu. Itu sudah menjadi sebahagian dari hukum alam.
* * *
Floresa baru beberapa langkah memijak lantai rumah. Pandangan aneh terus tertuju kepadanya. Pandangan mereka yang duduk di sofa, di ruang tamu itu. Pandangan itu sudah biasa bagi dirinya. Pandangan itu lahir dari hati yang menyimpan rasa benci yang mendalam. Rasa benci itu sudah lama bersarang di hati. Pandangan salah satu dari tiga orang itu, lain dari yang lain. Pandangan itu menyedapkan hati Floresa. Pandangan itu datang dari mata Maryana, nenek angkatnya. Adella ada di sebelah Floresa. Dia juga menyedari perkara itu. Tetapi dia tetap berdiam. Dia berdiam bukan hanya pada masa itu. Dia berdiam diri sudah lama. Dia berdiam, kerana dia merasa usianya masih terlalu muda untuk menegur sikap sinis ibu dan kakaknya kepada Floresa. Tetapi keinginan untuk menegur itu sudah lama tumbuh mekar di hati. Hanya tinggal tunggu masa untuk berbuah. Floresa mampu melihat dengan jelas, mulut nenek bergerak-gerak hendak mengatakan sesuatu kepadanya. Tetapi, Rikah ibunya lebih dahulu membuka bicara. Nenek tetap membungkam, tidak jadi berkata-kata.
"Dari mana saja kau ni? Kenapa belum masak nasi lagi? Mau tunggu kena panggil dulu, baru kau mau buat apa yang sepatutnya kau buat di dalam ni rumah?"
Nada yang kedengaran amat menggertak telinga, turun ke hati.
"Baju sekolah aku pun kau belum strika lagi! Palui juga kau ni, Flo! Mau tunggu kena suruh dulu baru mau buatkah? Lidut betul tu fikiran! Ngamlah mama kasi berhenti kau dari sekolah. Rugi-rugi saja bayar sekolah budak basug macam kau ni!"
Kata Pretty, kasar.
"Ya, mak. Ya, Pretty. Sekejap lagi saya buat semua."
Kata-kata Pretty tadi tidak sejalan dengan kenyataan yang ada. Rikah memberhentikan sekolah Floresa disebabkan dia memang betul-betul sudah tidak mahu ambil peduli terhadap anak angkatnya itu. Floresa sememangnya cukup pintar dan berpengetahuan dalam pelajaran. Bagi Rikah dan Pretty, keberadaan Floresa di dalam keluarga itu, hanya ibarat robot bernyawa yang dapat sesering mungkin dimanfaatkan. Tanpa membuang-buang masa, Floresa langsung menuju ke dapur.
* * *
Floresa baru sahaja selesai mencuci pinggan mangkuk beserta kuali-kuali yang dia gunakan untuk memasak tadi. Dia lalu di tepi meja makan. Rikah dan Pretty sama sekali tidak menghiraukannya, apatah lagi mengajaknya untuk makan sama. Tetapi pandangan nenek dan Adella tetap tertuju kepadanya.
“Flo, mari makan.”
Ajak nenek. Floresa menghentikan langkah.
“Duduk sini.”
Adella menepuk-nepuk bangku kosong di sebelahnya, mempelawa Floresa duduk di situ. Ikut makan bersama. Floresa tahu, dia tidak harus ikut makan bersama mereka. Dia tidak mahu hanya gara-gara dia ada di situ, selera makan Rikah dan Pretty menghilang.
“Tidak apalah, nek, Della. Nanti saja saya makan. Saya masih belum lapar.”
Perutnya berkali-kali mendendangkan keroncong. Dia memang dari tadi berasa lapar. Tetapi tidak seharusnya dia makan sekarang. Dia masuk ke bilik, duduk di birai katil bertilam nipis. Dia bersyukur dapat tidur dengan selesa di situ, walaupun bilik itu tak seelok bilik Pretty dan Adella. Dan tilam katilnya tidak seempuk tilam di bilik mereka. Dia merenung penuh makna sehelai dress merah jambu, hasil tangannya sendiri. Dress itu tersangkut pada paku dinding bilik. Dia sendirilah yang bersusah payah membuat dress itu dengan sepenuh kemahiran yang dia miliki, menggunakan mesin jahit Linda, jiran sebelah rumah. Jiran mereka itu memang begitu menyukai perwatakan Floresa. Bukan hanya jiran itu. Sifat lemah lembut dan beradab sopan gadis itu, membuat semua orang di kampung itu juga mengaguminya. Dress itu bukan untuk dirinya sendiri. Dia ingin memberikan dress itu kepada Adella, di majlis hari jadi Adella yang akan diadakan pada esok malam. Adella belum tahu tentang dress itu. Nenek, ibu dan Pretty juga belum tahu. Bukan hanya hari jadi Adella yang diraihkan esok malam, tetapi juga hari jadi Rikah. Rikah dan Adella kebetulan berkongsi tarikh lahir yang sama, dan sudah tentu hanya tahun yang membezakan tarikh lahir ibu dan anak itu. Dia berdiri. Dia maju, melangkah mendekati almari pakaiannya. Dia membuka perlahan-lahan laci almari itu. Dia mengamati terus sebuah kotak kecil berwarna ungu pudar di dalam laci. Di dalam kotak itu ada jam tangan, yang baru dia beli kemarin menggunakan duit gajinya bekerja di sebuah restoran di pekan. Jam itu sebagai hadiah hari jadi untuk ibu malam esok.
* * *
Malam itu, pemilik restoran tempat Floresa bekerja meminta Floresa segera datang ke restoran. Floresa menerima panggilan telefon dari pemilik restoran itu, sewaktu dia tengah memasukkan sirap oren ke dalam bekas minuman, untuk dipindahkan ke meja ruang tamu. Sebentar lagi majlis hari jadi Adella dan ibu akan dilangsungkan. Para tetamu mulai memenuhi ruang tamu rumah dan perkarangan rumah, di bawah bentangan kem. Bunyi muzik karaoke mulai dimainkan, di dekat tangga rumah. Rasa hairan menguasai fikiran. Itu bukan masa kerja, mengapa dia harus datang ke restoran sekarang? Dia mula bekerja dari jam 8:00 pagi, dan selesai kerja jam 5 petang atau lebih beberapa minit dari itu. Dia melirik sekejap ke arah jam digital di dinding dapur, sudah menunjukkan pukul 8:26 malam.
“Kak, kalau bulih tau kenapa saya mesti datang sekarang? Bukan restoran sudah tutup dari tadikah?”
“Oh, iya. Inilah ni aku mau bagi tau kau ni. Anak cousin aku malam ni hari jadi. Bapa dia buat hari jadi dia di dewan pekan. Diorang buat jamuan makan malam ni guna cara restoran. Lepas tu diorang sewa pekerja-pekerja sama tukang masak di restoran aku untuk jamuan makan diorang malam ni. Jadi kau pigi ahh, nanti aku pigi rumah kau, ambil kau pakai kereta. Siou, tidak kasi tau awal-awal sebab aku pun baru saja dapat telefon dari cousin aku tadi.”
Kata Maisarah, pemilik restoran. Floresa memuncungkan bibir. Dia berasa sedikit kecewa, tidak dapat menyertai majlis hari jadi Adella dan ibu. Dia melangkah ke ruang tamu. Nenek, ibu, Adella dan Pretty ada di situ, duduk di sofa bersama dua orang sepupu mereka yang baru saja sampai. Serta-merta senyuman ibu dan Pretty lekang dari wajah, menyedari kehadirannya di situ. Dengan berat hati, dia meminta diri untuk pergi.
“Bah, pigilah. Bagus lagi kau tiada ni malam, bikin hilang mood happy kami saja.”
Dia tidak terlalu tersinggung dengan kata-kata Pretty itu. Itu sudah menjadi makanannya sehari-hari. Dia hanya tertunduk diam. Dia tetap berdiri di situ, di depan mereka. Maryana mencuit bahu Pretty, menegur sikap sinis cucunya itu.
“Cukup-cukuplah perangai kau tu, Pretty. Kau tidak malukah sama tamu-tamu yang datang, kalau diorang nampak perangai kau tu?”
Pretty tetap dengan wajah sombongnya itu.
“Kalau kau mau pigi, pigilah. Tiada yang larang.”
Kata Rikah. Tetapi matanya sedikit pun tidak tertuju kepada Floresa. Kedengaran bunyi hon kereta secara berkali-kali di perkarangan rumah.
“Tu mesti kak Maisarah tu.”
Fikir Floresa. Dia tidak memiliki banyak masa lagi. Dia bingkas mendekati nenek, membisikkan sesuatu ke telinga nenek.
“Nek, nanti nenek masuk pigi bilik saya. Lepas tu nenek ambil tu dress pink yang saya sangkut di dinding bilik, sama kotak di dalam laci lemari. Tu dress hadiah untuk si Adella, tu kotak pula hadiah untuk mama.”
Maryana mengangguk, tanda mengerti.
* * *
Di majlis hari jadi sepupu Maisarah itu, Floresa mulai nampak letih. Dari tadi dia melayan banyak tamu yang memesan bermacam-macam makanan dan minuman. Ivye, rakan kerjanya yang juga pelayan di restoran milik Maisarah, ada urusan penting malam itu. Jadi, hanya dia seorang yang menjadi pelayan di jamuan makan dalam majlis itu. Di luar pintu belakang dewan, tersedia satu bangku. Dia duduk sebentar di situ, melepaskan rasa lelah. Orang-orang yang menikmati jamuan makan semakin berkurang. Dia memanfaatkan kesempatan terluang itu, sementara belum ada tetamu yang memerlukan layanannya. Telefon pintar di saku seluar berdering. Dia menyaluk, memeriksa siapa yang menghubungi. Mama Rikah? Jarang-jarang insan itu menghubunginya.
“Hello, mak.”
“Hello, Floresa. Kau masih di sanakah?”
Sungguh menghairankan suara bicara ibu. Ibu seperti sedang menangis. Suara itu begitu jelas menembusi gegendang telinga Floresa. Apa yang sedang terjadi di sana, fikir Floresa sekilas. Dia mulai risau. Takut-takut terjadi sesuatu kepada orang-orang rumah.
“Ya, mak. Mama kenapa ni?”
“Mama harap kau datang sekarang, Flo.”
“Sekejap, sekejap. Ada apa juga ni, mak?”
Ucapan ibu benar-benar menambahkan lagi bait-bait kerisauan di hatinya. Rikah mematikan panggilan telefon itu. Floresa hairan. Tidak berapa lama setelah itu, Rikah menghubungi pula menggunakan panggilan video. Sekarang kelihatan dengan lebih jelas wajah ibu. Ibu betul-betul sedang menangis.
“Floresa.”
“Ya, mak.”
“Mama cuma mau ucap terima kasih sama kau, sekaligus mama mau minta maaf.”
“Terima kasih untuk apa, mak? Minta maaf untuk apa? Bukan selama ni sayakah yang banyak berhutang budi sama mama? Mama tidak pernah buat apa-apa salah sama saya pun. Kenapa mama tiba-tiba minta maaf?”
“Tadi ada along datang sini.”
Rikah menceritakan dengan panjang lebar peristiwa yang terjadi sebentar tadi. Empat orang along datang ke rumah. Mereka mengamuk-amuk, dan mengacaukan majlis. Meja-meja ditunggang-balikkan. Para tetamu lari ketakutan. Along-along itu meminta Rikah melunasi hutangnya. Rikah meminta masa 3 hari lagi untuk membayar hutang-hutang itu. Ketua along semakin berang, dia sudah bosan dengan janji-janji Rikah. Dia menyuruh along-along bawahannya menangkap Rikah, Adella dan Pretty. Pisau-pisau sudah tersedia di dekat leher mereka. Tinggal menunggu kiraan minit, pisau-pisau itu segera mengelar leher mereka. Kejadian itu berlaku di ruang tamu rumah. Masa itu jugalah nenek keluar dari bilik, membawa satu sampul coklat di tangan. Sampul itu dilempar dengan kuat kepada si ketua along, lantas disambut cepat. Si ketua along perlahan-lahan membuka sampul itu. Sejumlah wang kertas. Dia menghitung-hitung wang itu. Jumlahnya lebih dari cukup untuk melunasi hutang Rikah.
“Mak, dari mana mama dapat duit banyak macam tu?”
Soal ibu kepada nenek.
“Ini semua bukan duit mama. Ini duit tabungan si Floresa. Dia sudah tau kau berhutang sama along. Jadi, dia kasi amanat mama untuk simpan ni duit kalau ni along-along datang pigi tagih hutang kau.”
Cerita Rikah berhenti di situ.
“Ya, mak. Tunggu saya, mak. Saya datang sekarang. Saya mau singgah kedai sekejap, mau kasi beli satu lagi hadiah hari jadi untuk mama.”
“Hati-hati, Floresa.”
* * *
“Terima kasih, bang.”
Ucap Floresa kepada cashier lelaki itu selepas selesai membuat pembayaran. Cashier itu telah menolong membungkus barang yang dia beli, sebagai hadiah yang kedua untuk ibu nanti. Dia baru sahaja membeli pengecas telefon jenis USB, beserta satu handsfree. Dia tahu, baru sahaja semalam pengecas telefon ibu bermasalah. Bateri bukan semakin penuh, malahan makin berkurang. Dia juga tahu, ibu suka menonton movie youtube dan bermain game sambil menggunakan handsfree. Dia ingin memberikan handsfree yang lebih berkualiti untuk ibu. Kedua-dua benda itu dimasukkan ke dalam satu kotak kecil yang dihiasi corak-corak berbentuk hati, lantas dibungkus oleh si cashier lelaki. Dia keluar dari pintu market sambil memegang-megang hadiah yang sudah terbungkus dengan kemas dan indah itu. Senyumnya tidak kunjung lekang. Dia bahagia, akhirnya ibu sudi berbicara baik-baik dengannya. Ibu sudah tidak marah-marah lagi dengannya. Khayalan mulai menari-nari di atas pentas fikirannya. Dia sudah tidak sabar hendak langsung tiba di rumah. Pasti ibu akan memberi pelukan hangat kepadanya. Dia berlari hendak menyeberang landasan kereta api, menuju ke tempat di mana ada banyak kereta untuk dicarter. Kereta api muncul dari kegelapan, dengan kelajuan yang tidak biasa. Tiada tanda-tanda kereta api itu akan melintasi kawasan itu. Bahkan hon pun tidak dibunyikan.
“Awas, dik!”
Pekik lelaki tua itu, yang kebetulan lalu di tepi landasan kereta api. Terlambat. Floresa berusaha sedaya upaya melarikan diri, tetapi hujung dressnya tersangkut pada besi-besi menonjol pada bahagian bawah kereta api. Bungkusan indah itu terlepas dari genggaman. Dia diheret dengan amat laju. Dia memekik sekeras-keras pekikan, sampai ke batas kelantangan suara. Berkali-kali kepalanya terhantuk pada batu-batu besar yang dia lewati. Sendi-sendi kaki ada yang sudah mulai patah. Dia semakin lemas. Lolongannya terhenti. Dia sudah tidak kuat lagi. Hujung dress yang menyangkut pada besi itu terlepas. Dia tergeletak tidak bermaya di situ. Mulutnya mengejut memuntahkan darah merah pekat. Kepalanya banyak kesan lebam. Luka-luka dahsyat memenuhi seluruh tubuh.
* * *
Ibu mengejut muncul di pintu wad kecemasan. Diikuti nenek, Adella dan Pretty. Mereka berlari mendekati Floresa yang terbaring seperti mayat di situ. Mata redup Floresa masih mampu melihat dengan jelas kehadiran empat insan itu. Wad itu diselubungi suara tangis keras. Tangis ibu, nenek, Adella dan Pretty terpadu menjadi satu. Rikah melutut di lantai. Tangan Floresa digenggam erat, lantas dikucup berkali-kali.
“Kenapa hadiah ini yang kau bagi sama mama, Flo? Bukan hadiah ini yang mama mau dari kau di hari jadi mama ni. Mama cuma mau kau sampai dengan selamat di rumah, berdiri di depan mata mama. Supaya mama dapat minta maaf sama kau. Supaya mama dengar sendiri dari mulut kau, kau kasi maaf mama.”
“Aku maafkan mama. Tapi… Aku harus pergi…”
Perlahan dan tersekat-sekat. Mungkin takdir dan ajal sudah berdiri di dekatnya, berbisik ke telinganya agar mengucapkan lafaz itu.
“Apa ni, Flo? Kenapa cakap begitu?”
“Happy birthday, mak, Adella.”
Kata-kata terakhir. Kepalanya tersenget ke tepi dengan pantas. Nafasnya terhenti.
* * *
Hari terus berganti hari. Pretty menggantikan peran Floresa menjadi pelayan di restoran Maisarah, setiap kali dia pulang dari sekolah. Kerja-kerja di rumah yang selalu Floresa lakukan, turut diambil alih olehnya. Itu semua dia lakukan sebagai tanda penghormatan kepada Floresa yang sudah pergi buat selama-lamanya, meninggalkan keluarga itu. Rikah duduk sendirian di situ, di bangku bambu halaman rumah. Dia kelihatan seperti mayat hidup semenjak menyedari, Floresa sudah tiada. Matanya redup, mengarah jauh ke pokok-pokok yang tumbuh sebaris di tepi jalan raya. Dia terus menggenggam jam tangan, pengecas telefon dan handsfree itu. Pemberian terakhir dari Floresa. Renungannya perlahan-lahan beralih ke langit biru. Khayalannya kembali bergelombang pada dasar fikiran. Dia melihat ada wajah Floresa muncul pada muka langit. Samar-samar, memberi senyuman. Air mata kembali mengalir, setiap kali raut wajah itu bermain-main di ingatan. Adakah sebuah kemaafan di ambang pengakhiran hidup mampu mencairkan hati seseorang. Atau hanya sekadar rasa takut pada roda hidup dan hukum karma?
Share this novel