DALAM kehijauan yang berimbun, di sebuah lembah di antara bukit-bukau yang bersatu membentuk Banjaran Pemisah Tengah, seorang pemuda sedang berteleku di bawah sepohon kayu yang gagah memayungi lantai belantara. Banir-banir pepohon itu yang kasar bagaikan tangan gergasi yang mencengkam bumi. Dahannya yang tinggi mendepang jauh ke semua arah. Daunnya lebat menghijau menjadi penghalang cahaya mentari daripada menyapa muka bumi. Yang dapat lolos cuma tompokan-tompokan kecil cahaya yang sinarnya keemasan. Tompokan-tompokan cahaya emas itu bagaikan cuba menyuluh hati pemuda itu yang mula dibayangi kekelaman.
Tubuhnya yang dilencuni peluh, menggigil. Sepasang tangannya menggeletar. Entah sudah berapa lama dia begitu. Masa seakan terhenti baginya.
"Tangan ini! Satu nyawa hampir dirampasnya. Biarpun nyawa seorang penyamun... seorang pembunuh! Tetapi, dia masih seorang manusia! Apa hak tangan ini... seorang manusia mencabut nyawa manusia yang lain?! Membunuh seorang pembunuh? Pembunuh membunuh pembunuh!" Dia seperti meracau-racau. Seakan hilang arah.
Jiwa pemuda itu bergelora... merusuh. Pelbagai perasaan bergemulung dalam dadanya. Langsung tiada perasaan yang membahagiakan, melainkan hanya menyalakan derita.
"Ah! Kenapa perlu dipercayai cakap si penyamun itu? Orang seperti itu tidak boleh dipercayai!"
"Tidak nampakkah pandangan matanya ketika bercerita? Sedu nafasnya ketika berbicara? Derau darah tanda terkenang kisah silam yang merana? Tiada pembohong di dunia ini mampu berbohong sebaik itu!"
"Tidak! Datuk bukan orang sebegitu!"
"Bayu Adi Jata, bumi mana yang tidak ditimpa hujan?"
"Jangan cuba meracuni fikiran hamba! Tuan hamba siapa?"
"Hamba..."
Derap tapak kaki yang tiba-tiba kedengaran memijak sepahan saki-baki rimba mengejutkannya. Satu persatu bunyi derapan itu lambat-lambat mendekati. Menandakan sepasang kaki itu sedang melangkah perlahan-lahan. Seolah-olah asyik menikmati suasana rimba.
Pemuda itu tidak menoleh. Dia tahu siapa yang menghampirinya.
"Jadi, beginilah perasaannya? Rasa yang selama ini tidur dalam diri hamba? Yang selama ini hamba fikirkan bebas daripadanya? Benci dan dendam. Terbangkit atas desakan seorang penyamun. Bagai pawaka marak menyala membakar seluruh urat nadi!" Pemuda itu melontarkan bicara setelah yakin lelaki yang menghampirinya itu berada dalam lingkungan yang dapat didengar suaranya.
Lelaki itu cuma tersenyum. "Bagai pawaka yang marak menyala... apa tadi? Kepala tuan hamba sudah beruban?" Hanya sindiran yang diberikan.
Namun, cukup untuk membuatkan hati pemuda itu tersenyum kembali walaupun tidak pada wajahnya. Kata-kata sindiran yang menandakan eratnya jalinan persaudaraan antara mereka yang tidak sedarah, biarpun baru bertemu. Sindiran yang mampu meredakan gelora jiwa pemuda itu.
Lelaki itu, Zilastra Dunia Kencana mendekati pemuda itu, sahabat baru yang dirasakan bagai saudaranya sendiri dan duduk bercangkung di sebelahnya. Direnung wajah pemuda yang kemerah-merahan bak udang sawah yang disalai.
Zilastra menghulurkan tangan kirinya ke lantai hutan di hadapan cangkungnya. Di antara akar yang berserakan, jemarinya mengutip sehelai daun kering perang kekuningan. Dipegangnya daun itu dengan jari telunjuk dan ibu jarinya pada tangkai. Diputar-putarkan daun itu dengan menggerakkan kedua-dua jari itu.
"Daun kering ini sebelum menjadi penghuni lantai belantara, sebelumnya perang, rapuh, reput begini..." Zilastra berhenti berbicara dan mengambil nafas panjang kemudian dihembusnya sekaligus. Dia mendongak sedikit. "... nun! Di atas sana duduknya daun ini. Tinggi, megah, muda dan hijau!"
Pemuda itu, Bayu Adi Jata, pewaris senjata keramat Takluk Jagat dan pasangannya Indera Bumi, menoleh sedikit ke arah lelaki yang mencangkung di sebelah. Dahinya berkerut, tidak mengerti akan maksud kata-kata Zilastra itu.
"Daun hijau ini menghirup segala khasiat, air dan baja daripada pohon yang tegap ini. Itu caranya untuk ia terus hijau, terus segar dan pohon tegap ini juga amat memerlukan daun kecil ini, yang memungut intipati suria untuknya terus hidup." Zilastra menyambung lagi dan berhenti sekali lagi.
Dipanjangkan tangan kanannya menjangkau sebatang pokok kecil separas lutut yang batangnya kurus dan daunnya jarang-jarang, cuma tujuh lapan helai. Dengan sekali rentap, pokok kecil itu tercabut dari tanah bersama-sama akarnya.
"Tetapi, pokok kecil yang kurus ini pasti berasa tidak senang. Daun hijau muda yang duduk tinggi di atas sana menjadi penghalang baginya untuk menghirup intipati suria. Dan untuk itu, pokok kurus ini membencinya..."
"Pokok membenci? Bayu memuncungkan bibir dan memandang Zilastra dengan tajam.
"Ah, jangan menyampuk!" marah Zilastra.
Bayu mengangguk cepat-cepat dan membiarkan Zilastra meneruskan.
"Pokok kurus ini pasti berharap semoga semua daun di atas sana layu dan gugur supaya sinar suria dapat sampai kepadanya. Supaya dia juga dapat membesar megah dan tinggi. Oleh itu, setiap dedaun yang gugur membawa sedikit kegembiraan kepadanya."
Dahi Bayu semakin berkerut. "Pokok gembira?"
"Tetapi, pokok kurus ini langsung tidak menyedari..." Zilastra menggoncang-goncang pokok kecil di tangan kanannya dan daun kering di hujung jemari tangan kirinya dilambung dan ditangkap kembali dengan telapak tangan.
"Daun gugur yang dibencinya ini..." Zilastra meramas-ramas daun kering itu sehingga renyuk dan hancur. Berkerap-kerup bunyinya. "Hancur mereput dan menyuburkannya lagi sebagai baja." Zilastra menghabiskan cerita. Daun kering yang sudah hancur di telapak tangan itu ditaburkannya ke lantai rimba.
Air muka Bayu segera berubah menjadi lebih cerah. Sedikit sebanyak, dia sudah memahami maksud Zilastra.
"Bayu, setiap orang ada pandangannya sendiri. Mereka ada penjelasan masing-masing tentang baik dan buruk, salah dan benar. Sesuatu yang dianggap baik oleh satu orang, belum tentu baik bagi orang yang berbeza. Umpama daun-daun lebat di atas pohon rendang ini. Pokok kurus ini menganggapnya sebagai penghalang tetapi bagi kelana seperti kita adalah satu rahmat, tempat untuk kita berteduh. Dan tempat untuk burung-burung bersarang."
"Tetapi, datuk... seumur hidup hamba bersamanya. Hamba mengenalinya! Penyamun keparat itu pasti menipu!"
"Tiada orang lain yang lebih mengetahui tentang Gelora Singara Jata melainkan tuan hamba. Jadi, mengapa peduli tentang kata-kata penyamun itu?"
Bayu terpegun. Pandangannya tepat kepada mata hitam Zilastra. Namun, sahabatnya segera melarikan matanya daripada membalas renungan Bayu.
"Kata-kata hamba tadi tentu tidak mudah melegakan hati tuan hamba, bukan?" Zilastra mendongak dan tersenyum. "Kerana tuan hamba amat mengenali datuk tuan hamba. Dalam hati tuan hamba, dia amat baik. Tuan hamba mula mengenalinya sebagai orang baik sejak mula mengenal dunia. Dan tuan hamba mengenalinya juga sebagai seorang pendekar... bekas seorang pendekar sekurang-kurangnya."
Bayu mengangguk sekali. Dia memaksa dirinya untuk senyum. Tawar. Tika ini, sebuah senyuman masih lagi sukar untuk dilukiskan.
"Secara terus, tuan hamba tentu tahu seorang pendekar pasti pernah menghunus senjata. Senjata yang terhunus di tangan mereka ini tidak akan menetak angin. Pasti ada darah pernah tumpah ke bumi. Setiap darah yang tumpah ini, pasti ada yang menangisinya dan langsung membenci orang yang menumpahkannya. Tidak kira tumpahnya darah itu atas sebab yang betul ataupun salah. Lalu, bangkitlah benci dan dendam."
"Andai benar jiwa datuk sebelum hamba hadir ke dunia adalah hitam... Pengamuk Gelora Singara Jata..." Bayu tidak dapat menghabiskan bicaranya. Kata-kata yang ingin diluahkan seakan-akan tidak tercipta dalam peti suaranya.
"Itu sesuatu yang tuan hamba perlu elakkan. Lihatlah keadaan tuan hamba sekarang. Ingatlah kembali apa yang pernah datuk tuan hamba ajarkan. Cara dia mendidik tuan hamba, kasih sayangnya. Dia umpama daun hijau di dahan ara. Tinggi dan megah, Pengamuk Gelora Singara Jata! Tetapi apabila daun itu menjadi keperangan, ia gugur ke bumi menjadi baja menyuburkan tunas-tunas dan pohon-pohon kecil yang baru bercambah. Dan pohon kecil yang baru bercambah itu adalah tuan hamba, pohon kurus yang cemburu itu, mungkin si penyamun tadi." Zilastra tertawa, tersengguk-sengguk seketika.
Senyuman Bayu terukir sekali lagi. Kali ini lebih lebar.
"Tuan hamba adalah penyambung warisannya. Gelora Singara Jata telah mempersiapkan tuan hamba sebaik mungkin untuk menghadapi dunia ini. Seterusnya, jalan yang dipilih adalah atas kehendak tuan hamba sendiri."
"Hamba ingat semuanya." Bayu menunduk. Jari-jemarinya menguis-nguis tanah. "Tiada satu pun perkara buruk yang pernah diajar. Datuk pasti mahu hamba menjadi orang yang baik. Itulah yang selalu dipesannya. Orang yang hitam peribadinya tidak akan meninggalkan kata-kata begitu." Bayu terdiam seketika. Dia merenung hasil kuisan jemarinya yang membentuk huruf-huruf jawi yang bersambung di tanah. 'Pa-nga-mim-wau-kaf''. 'PENGAMUK'.
"Mungkin benar kata-kata penyamun itu. Datuk telah menyesal dan tidak mahu hamba menjadi sepertinya. Datuk yang hamba kenal bukanlah Pengamuk Gelora Singara Jata," sambungnya lagi. Tapak tangannya ditekapkan di atas perkataan 'PENGAMUK' itu lalu dipadamnya.
Dia lantas berdiri dengan megah membuka dada dan mendongak ke langit. "Pasti itu harapannya, supaya jalan yang bakal hamba pilih tidak akan sama dengan Pengamuk Gelora Singara Jata!" jeritnya sekuat hati. Mendung muram dan resah sudah meninggalkan wajahnya. Senyuman lebar terlukis di bibir.
Bayu menoleh memandang Zilastra. Tercengang dia apabila melihat wajah Zilastra kemerah-merahan dengan hidungnya kembang kempis kerana cepatnya bernafas dan air matanya yang mula mengalir.
"Kata-kata hamba mengharukan tuan hamba?" tanya Bayu.
Wajah Zilastra menjadi semakin merah dan keningnya berkerut-kerut. "Bodoh! Tuan hamba pijak tangan hamba!"
***
"DATUK PANGLIMA, semua orang kampung sudah dipindahkan."
"Bagaimana dengan semua pahlawan?" tanya lelaki yang digelar Datuk Panglima itu.
"Semua di tempat masing-masing. Seperti yang datuk arahkan," balas pahlawan itu dengan wajah yang ditundukkan.
"Bagus, Daik! Pulang ke tempat kamu. Berwaspada selalu. Jangan berkelip walau sedetik!" arah Datuk Panglima, bergelar Manja Arakat Dibena, Panglima Sedinggi.
Segera pahlawan yang bernama Daik itu bergegas pergi dengan jamung yang terjulang di tangan meninggalkan Panglima Manja yang berteleku menongkat dahi di tangga sebuah rumah.
Lembing bermata merah yang bernama Aruk Darah ada bersama dalam pelukannya dan tersandar pada bahu kiri. Kemudian, Panglima Sedinggi itu berdiri. Disandarkan Aruk Darah pada pemegang tangga. Lalu dibetulkan tanjak yang tidak betul duduknya di kepala.
Entah mengapa, tanjak sulaman songket merah berbenang emas tompok manggis itu yang dipakainya sehari-hari terasa begitu berat. Meruntun-runtun kepalanya. Nafas pula seakan tersangkut di tenggorok.
"Datuk Panglima?" tegur seorang lelaki di atas serambi, yang memohon mengikutnya tempoh hari di istana. Lelaki itu merupakan Ketua Pengawal Istana, bergelar Orang Kaya Aras Simera Jara. Tubuhnya sederhana tinggi dan segak dalam persalinan hulubalang istana. Daripada raut wajah, usianya mungkin di pertengahan 20-an, berambut pendek dengan kulit hitam manis dan di sisinya tersandar sebilah lembing bermata putih.
"Cuma kita berdua di sini. Tidak perlu dengan gelaran itu..." Panglima Manja menoleh ke arah lelaki di sebelahnya dan tersenyum ramah.
"Ampun, tok. Hamba payah melihat tok begini..." Orang Kaya Aras segera menukar panggilannya setelah ditegur.
"Aras, payah matamu melihat, payah lagi diriku dibebani..."
"Tidak tok. Ini beban hamba. Biar hamba yang menanggungnya!"
"Bukan salahmu, Aras. Segalanya telah dijalankan semampumu. Bukan upaya seorang manusia untuk melawan takdir." Panglima Manja cuba berbicara dengan lembut dengan harapan dapat memberi ketenangan kepada Aras.
"Juga bukan tanggungjawab tok untuk memikulnya. Hamba selalu terfikir, apakah layak hamba dianugerahkan dengan lembing ini?" Aras kelihatan serba salah. Matanya menjeling lembing bermata putih di sisinya.
"Aras, apakah kamu mempersoalkan keputusanku?" Nada Panglima Sedinggi itu sedikit meninggi.
"Hamba tidak berani! Tetapi..." Aras menggeleng perlahan. Bicaranya pula mati setakat itu. Takut-takut apa yang bakal diluahkan nanti membuatkan orang yang diseganinya itu lebih berkecil hati.
"Sebab sikapmu sebeginilah tok mewariskan lembing ini kepadamu. Kamu sentiasa memikirkan tentang orang lain berbanding dirimu sendiri." Panglima Manja menghampiri Orang Kaya Aras dan menepuk-nepuk bahu Ketua Pengawal Istana itu.
"Hamba takut jika hamba hanya mengecewakan tok!" Aras menunduk. Malu rasanya untuk mengangkat muka memandang orang yang diseganinya itu.
"Muridku, kau hanya mengecewakanku jika terus begini," ujar lelaki yang dipanggil tok itu. "Sudah kukatakan, manusia tidak mampu melawan takdir," sambungnya lagi.
"Sekali lagi tok mengatakan tentang takdir. Apakah tok mula percayakan kata anak buah hamba yang terselamat itu? Tok percayakan 'hantu'?" tanya Orang Kaya Aras.
"Diamanahkan ke atasku menjaga keselamatan negeri ini dan amanah sebagai gurumu untuk bersama-sama memikul beban ini walaupun kamu berkeras ia milikmu. Biarlah kita sama-sama memikulnya. Inilah peluang untukmu menebus apa yang kamu fikirkan patut ditebus." Panglima Manja lantas menghulurkan tangan mencapai lembing bermata merah yang tersandar pada pemegang tangga.
"Ayuh, angkat lembingmu, Aras. Kerana lembing bermata merah ini dan lembing bermata putihmu sepatutnya bersama menghadapi segala rintangan. Jika tidak, Aruk Darah dan Aruk Air Mata tidak dikatakan bersaudara," sambung Panglima Manja sambil tersenyum.
"Hamba akan menurut!" balas Orang Kaya Aras sentiasa setia dan patuh.
"Seratus orangmu dihapuskan dalam satu malam. Bukan 'hantu' mampu melakukannya." Panglima Manja mendongak ke langit dengan wajahnya yang berkerut.
"Rasa tok?" Segera terpacul soalan daripada bibir Orang Kaya Aras.
"Syaitan!"
__________________
Share this novel