Genre: Seram, Gerun.
Kau merupakan seorang mahasiswi di sebuah institut pengajian tinggi terkemuka di Malaysia. Kau baru saja selesai berjumpa dengan rakan sekumpulan kau. Berbincang untuk projek berniaga minggu depan. Sebelum pulang ke kolej kediaman kau, kaki kau melangkah menuju ke sebuah kedai runcit kolej untuk membeli sebatang aiskrim berperisa jagung.
Jam sudah pun menunjukkan 10:29 malam. Lagi seminit bas akan tiba. Bas yang terakhir. Aiskrim yang kau beli tadi kau pegang erat. Seperti memegang janji-janji palsu.
30 saat.
Bas yang dinanti telah pun tiba. Kau melihat pelajar-pelajar lain mula beratur menaiki bas seorang demi seorang. Giliran kau mendaki tangga bas. Kau menyapa pemandu bas ramah. Namun, encik pemandu hanya menutup mulut menguap.
Kau rasa selamat tak perjalanan pulang ke kolej kediaman kau nanti? Pemandu mengantuk. Bilangan penumpang bas pula sedikit. Kalau kemalangan lalu meninggal, macam mana?
Sebuah kerusi berdekatan dengan pintu keluar belakang menjadi sasaran kau.
Sejuk.
Oh, kau lupa. Aiskrim dalam tangan kau. Perlahan-lahn kau membuka plastik aiskrim. Seperti mengisap dadah, kau makan aiskrim itu diam-diam.
Perjalanan ke kolej kau kalau jalan dengan kaki kau yang bukan kaki atlet, boleh jadi 50 minit. Padahal kau boleh saja dapatkan 30 minit. Tapi kau kan tersangat rajin dalam melengah-lengahkan sesuatu.
Panorama malam Februari membuatkan kau rasa sesuatu. Sambil makan aiskrim, sambil kau berfikir. Mata kau melihat ciptaan Tuhan di luar. Aiskrim yang kau nikmati tadi tinggal suku. Lagi beberapa minit bas akan berhenti di perhentian yang pertama.
Flop!
Baki aiskrim kau terjatuh ketika bas sedang menuruni bukit. Kau memandang aiskrim yang terjatuh tidak sengaja itu. Tiba-tiba, lampu dalam bas terpadam. Gelap.
"Lampu terbakar ke?" soal salah seorang penumpang bas.
Baru saja kau mahu menoleh ke arah individu tersebut, mata kau terpandang cermin tingkap bas di kanan kau. Sekejap. Bukan sebelah kerusi kau kosong ke? Siapa pula yang ....
Cepat-cepat kau menundukkan pandangan. Hati kau tidak enak. Jari kau menggeletar hebat. Perlahan-lahan kau mengumpul kekuatan untuk mencuri pandang entiti di sebelah kau. Mata kau terbuntang luas.
Seorang gadis sedang duduk di sebelah kau. Wajahnya mirip sekali seperti kau. Dia menundukkan kepalanya melihat sesuatu. Kau pun menundukkan kepala melihat apa yang dilihat olehnya.
Meremang bulu roma kau apabila baki aiskrim yang terjatuh tadi berubah warna kemerah-merahan. Seperti ....
"Itu biji mata kau."
Kau tersentak. Mata? Cepat-cepat kau memegang sepasang mata milik kau. Jari kau cuba menyentuh bebola mata kau. Tetapi tiada.
Pandangan sekarang kau melihat jasad kau sedang meraba-raba mata kau. Kau segera menoleh entiti yang sedang memegang kau. Ya. 'Kembar' kau yang tadi. Perlahan-lahan dia mencucuk mata kau dengan batang aiskrim kau tadi dari bawah. Biji mata kanan di bawah, kiri di atas. Dengan rakusnya, dia memasukkan ke dalam mulutnya yang bertaring panjang.
Kau cuba menutup mata. Tetapi tidak boleh. Sedikit selaput mata kau dikoyak dengan perlahan-lahan oleh sang taring. Ya Allah.
Kring!
Kau tersentak. Nafas kau turun naik. Cepat-cepat kau menyentuh mata kau. Ada.
"Dik, tak nak turun ke?" tanya pemandu bas.
Sebelum turun, kau membersihkan baki aiskrim dengan tisu. Kau. Takut.
Share this novel