BAB 1

Horror & Thriller Completed 1102

Pengawal Keselamatan muda itu runsing seketika. Lampu suluhnya kembali tidak berfungsi. Lampu-lampu berhampiran Tasik Universiti juga pandai meragam di waktu yang sama.

Dalam suram malam dan berpandu cahaya bulan sabit, dia meraba-raba sekeliling. Rondaan diteruskan dahulu. Dia memutuskan untuk tidak berpatah balik ke motorsikalnya sekali lagi. Sudah berkali-kali dia dapati lampu suluhnya hanya meragam setelah dia menghampiri kawasan jeti tasik di malam itu.

“Cik?”

Pengawal muda itu menegur. Lari juga semangatnya sekejap tadi apabila terlihat ada gadis berbaju putih yang duduk di tepi Tasik Universiti itu. Gadis misteri itu tidak menoleh. Pengawal muda tersebut merapat ke arahnya perlahan-lahan. Dia takut gadis tersebut terkejut dan terjatuh ke dalam tasik tersebut.

“Cik? Cik buat apa sorang-sorang kat sini?” tegurnya lagi dengan nada lembut.

Gadis tersebut masih berbuai-buai sambil menyanyi dalam bahasa yang tidak diketahui. Segala panggilan dari pengawal muda tersebut tidak dipedulikan.

Pengawal muda tersebut memberanikan diri untuk menepuk bahu gadis tersebut. Hari makin lewat. Dia tidak berani membiarkan sahaja gadis itu di situ. Dia mempersediakan minda dan dirinya andai gadis tersebut menjerit terkejut sehingga terjatuh ke dalam tasik.

Dadanya bergoncang hebat akibat degupan jantung yang semakin laju. Dia meneguk air liur untuk membasahkan tekak yang terasa kesat. Sambil tangannya perlahan-lahan cuba menepuk bahu gadis tersebut, dia cuba mengeluarkan suara untuk menegur lagi.

“Cik...”

Tiba-tiba gadis tersebut menoleh. Kepalanya berpusing ke belakang hampir separuh bulatan. Terduduk pengawal muda itu dibuatnya. Gadis misteri itu kemudian merangkak pantas ke arahnya. Pengawal muda itu cuba mengesot ke belakang, tetapi dalam ketakutan, pergerakannya dirasakan terlalu perlahan. Sekelip mata sahaja muka gadis itu sudah hampir dengannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience