HSM

Short Story Completed 3016

ZAIN memerhati kelibat isterinya dari sebalik pintu. Dia mengetahui akan keadaan Fanin yang menjadi buah mulut orang kampung.

Cuma dia hairan mengapa Fanin masih teguh dengan senyum manis pada hari perkahwinan adik iparnya itu.

Kadang-kadang Zain risau, mahu bertanya dia pengecut. Terdapatnya sempadan antara mereka yang menyebabkan kedua-duanya berjurang antara satu sama lain.

Rasa ingin tahu, Zain biarkan mati.

Fanin memakai baju kurung kedah yang berwarna coklat. Tudung dia pun elok terbentuk walaupun pada waktu pagi, Zain hampir terduduk di atas 'periuk api' itu.

"Nak Zain tolong?" soal Zain ketika Fanin mengeluarkan pek makanan dari bilik tetamu.

Fanin menggeleng.

"Fanin nak cepat siap. Kalau Zain nak tolong, hantarkan dulang itu kepada ayah, dia ada kat belakang." Mulut dijuihkan ke arah dulang di atas katil.

Anggukan dibalas oleh Zain.

Dulang perak diangkat lalu dibawa keluar. Matanya yang redup itu hanya membuntuti belakang isterinya ke ruang tamu.

Seketika Zain berasa bodoh.

Lafaz akad yang dilontarkan kepada bapa mertuanya itu bagaikan satu pengkhianatan yang kejam. Hanya disebabkan Zain gagal sebelum mencuba.

Zain dan Fanin.

Berpangkat suami isteri namun kedudukan mereka tidak lebih daripada teman serumah. Ya, cukup sekadar berteman yang tidak mesra.

Usai sahaja Zain menyelesaikan segala kerja yang sepatutnya dibuat oleh lelaki iaitu mengemas kerusi dan meja, mencuci periuk belanga dan sebagainya, dia melabuhkan punggungnya di sebelah Fanin.

Sofa itu terdiri daripada dua petak. Muat-muat untuk Zain dan Fanin, malahan yang ironinya, mereka ada satu tabiat yang sama ketika duduk.

Alaskan kusyen kecil di atas paha.

Zain perasan saudara-mara Fanin memandang perlakuan Fanin yang sedang leka dengan telefon pintar itu. Sekejap mereka mengerling, kemudian berbisik sesama sendiri.

Zain geram tapi dikebalkan hatinya demi Fanin.

Kalau Zain marah, bukan setakat Fanin yang malu, ahli keluarga Fanin pun terlibat juga. Padahal sebelum kahwin, Faninlah orang yang paling garang pernah Zain kenal.

Sekarang, Fanin bukan lagi dia yang dulu.

"Zain, balik jom," bisik Fanin.

Raut wajah Zain agak terkejut. Dipandang Fanin lagi namun isterinya itu jelas menunjukkan keyakinan ungkapannya itu.

"Kan dah confirm hari itu pakat nak balik lusa belaka? Lagipun bukan senang nak berkumpul ramai-ramai."

Fanin menggeleng, "Tak nak. Zain tolonglah bagitahu ayah, kata kita ada hal. Terpaksa balik cepat."

Diam.

Zain kerling jam. Sudah pukul 6 petang, memang tak sempat kalau sampai sebelum maghrib. Kena rehat lagi, masalah trafik pula, pemeriksaan jalan raya.

"Zain..."

Lembut, bibir Zain mengukir senyum.

"Fanin packing barang, biar Zain cakap dengan mak dan ayah."

Hati Fanin melonjak riang. Dengan izin suami, Fanin terus meluru masuk ke dalam bilik kayu yang sepatutnya menjadi kamar mereka berdua pada malam itu.

Namun, Zain terlebih dahulu mengerti dengan tindakan Fanin. Dia cuma mahu Fanin memanjangkan lagi perbualan mereka.

                           
***

MEMANG betul, kesesakan lalu lintas menyebabkan Zain dan Fanin tidak diluluskan untuk pulang ke kediaman mereka. Sekarang musim cuti sekolah, memang banyak kemalangan yang berlaku.

Hendak patah balik, Fanin risau dileteri oleh Zain. Padahal Zain tak pernah sekali pun berkasar dengan Fanin.

Sepanjang pemanduan itu, Fanin tidak membuka telefon pintar. Dia lebih suka memandang persekitaran selain menjadi penggera sekiranya terdapat sebarang bahaya.

Satu lagi, Fanin nak tolong Zain menjadi pandu arah suaminya itu.

Zain tahu selok-belok cuma dia mudah cuai. Harapkan aplikasi, Zain sendiri lebih suka kalau Fanin yang memberikan arahan kepadanya.

Zain mencadangkan agar mereka menginap di hotel untuk semalaman. Tak banyak soal, Fanin menuruti cadangan Zain asalkan suaminya itu membayar kedua-dua bilik untuk mereka.

Hotel itu berada berdekatan dengan laut. Memang menjadi tumpuan orang ramai yang menginginkan ketenangan dan menghayati keindahan pantai pada waktu malam.

Dilengkapi dengan kontena makanan beserta kugiran mahir yang sentiasa memeriahi perkarangan hotel.

Mustahil Fanin hendak menolak pelawaannya itu. Kalau Fanin suka, Zain lebih lagi, dia sangat gembira.

Ia cuma sementara.

Sekelip mata, semuanya punah.

"Fanin, kalau tak suka, Zain boleh cari hotel lain. Tak pun, Zain sendiri yang berbincang dengan dia, minta bilik lagi satu," pujuk Zain.

Fanin berdiam diri dengan tangannya yang ligat mengeluarkan satu persatu barang membersihkan diri.

Zain semakin resah!

Kata ibunya, diam seorang perempuan lebih teruk daripada marahnya yang mengalahkan singa itu. Semuanya salah orang yang menempah bilik awal-awal sampai satu bilik sahaja yang tinggal.

"Fanin... Okay, tak apa, tak apa. Zain keluar, apa-apa pun nanti Fanin call terus je Zain, eh? Assalamualaikum."

"Zain nak pergi mana?" soal Fanin.

Fon telinganya dicabut. Pelik benar dengan Zain, sudahlah muka suaminya itu seperti baru nampak hantu. Pucat semacam.

Zain teguk liur. Ingatkan Fanin marah, rupanya tidak dengar.

"Fanin okay ke kalau Zain tidur sebilik dengan Fanin?"

Lama Fanin menjeda sebelum dia mengangguk.

"Rumah mak pun kita tidur sebilik. Kenapa kat sini tak boleh?"

"Sebab sini hotel. Boleh elak."

"Zain nak tinggalkan Fanin seorang diri dekat sinilah? Sebab sini hotel. Banyak benda boleh jadi."

Zain terdiam lagi.

Sumpah, Zain memang takut benar kalau bercakap dengan Fanin yang versi kedua ini. Semua benda yang dibuat, Zain tidak dapat berfikir dengan betul.

"Zain bergurau, okay? Kejap, Zain nak ambilkan tilam. Rasanya ada kat sini." Zain membuka almari yang menempatkan selimut tebal dan tilam nipis.

Manakala, Fanin mengetap bibir ketika Zain membentangkan tilam ke atas lantai. Bantal pun dibawa turun sekali dengan selimut tebal berwarna merah jambu.

Zain senyum sambil mengangkat ibu jari.

Tak dilayan oleh Fanin, isterinya itu menyangkutkan telekung solatnya di rak berhampiran.

Dengan basmalah, Zain letakkan kepalanya pada bantal. Baring di atas lantai tak selesa, sakit pula itu. Nasib selimut itu tebal, bolehlah tahan daripada sejuk pendingin hawa.

Fanin mematikan lampu.

Dapat dirasai gegaran katil ketika Fanin melabuhkan badannya itu. Tubuhnya kurus sahaja padahal. Tapi Zain akui, Fanin walaupun badan sedang-sedang, namun sedap dibuat bantal peluk.

Aih, Zain rindu dengan 'bantal peluknya' yang satu itu!

***

AYAM betul lena Zain.  Tak boleh jadi, dia terus bangkit. Jaket yang tersidai di ampaian dicapai di sebalik samar-samar cahaya luar.

Dia perhati Fanin yang sedang tidur nyenyak itu. Nak kejutkan, tak sampai hati. Fanin banyak buat kerja, yang lain mengada padahal mulut je yang banyak bergerak.

Orang kata Fanin tak pandai jaga suami.

Orang kata Fanin tak dapat zuriat sebab dia lebih pentingkan kerja daripada keluarga.

Padahal Fanin bekerja untuk sara keluarga juga. Zain benarkan, dia suka isterinya itu menjadi lebih berdikari. Pula itu, Zain tahu yang Fanin pandai jaga diri.

Fanin isteri solehah tapi dia belum bersedia dengan sentuhan Zain. Jadi Zain akur, selama lima tahun pun dia tetap bersabar dengan syarat Fanin.

Ubun kepala Fanin diusap oleh Zain dengan perlahan. Rambut Fanin lembut, kalau boleh nak saja Zain lekapkan wajahnya pada rambut isterinya itu.

Itulah, Zain takut mukanya kena cakar.

"Zain bangun?" Celik.

Lantas Zain alihkan tangannya.

"Ya. Maaf, Zain tak sengaja."

Fanin ubah kepada posisi duduk. Disandarkan badannya pada dinding sambil menatap wajah polos Zain.

Zain tunduk, segan.

"Tak boleh tidur ke?" soal Fanin.

"Hm. Zain ganggu tidur Fanin?" balas Zain lagi.

Fanin menggeleng seraya melepaskan keluhan. Dia renung dalam-dalam wajah Zain yang sedikit berkumis itu sebelum dia melorotkan selimut yang membaluti sebahagian tubuhnya.

"Zain nak keluar kan? Fanin nak ikut boleh?"

"Fanin kan penat. Rehatlah, pukul 11 malam dah ini. Zain nak keluar nak ambil angin," pujuk Zain.

"Tak, Fanin tak mengantuk. Fanin rasa lapar adalah."

Bersungguh-sungguh Fanin yakinkan Zain. Dia memang lapar, sempat makan dua tiga mulut je nasi minyak pada petang tadi. Dia kena jaga budak, hadap mak budak, macam-macam lagilah.

"Okaylah. Kalau nak pergi juga, Fanin ambil jaket, sejuk ini. Nanti Fanin masuk angin, demam pula."

Terus Fanin mengulum senyuman walaupun Zain sebenarnya termakan dengan pembohongan Fanin.

Betullah apa yang Zain katakan, Fanin memang penat. Penat sangat, nak angkat kaki pun rasa berat semacam.

Hakikatnya, lebih meletihkan lagi jika mereka terlalu mengejar satu sama lain namun mengundur sebelum tiba ke garisan penamat.

***

BULAN melimpahkan cahaya pada malam itu. Terang, indah laksana nyaman sekali dengan bunyi laut yang ditolak oleh bayu. Taburan bintang pula melengkapi rasa kagum Fanin terhadap ciptaan Yang Maha Esa.

Tak sia-sia Fanin tipu Zain.

"Kat dalam laut ada penyu tak?"

Zain kalihkan pandangan pada Fanin.

"Penyu mana ada kat sini. Kalau Terengganu banyaklah kut."

"Dia boleh berenang kan, kenapa tak sampai pun kat sini?" tukas Fanin.

Terkebil-kebil mata Zain dengan soalan Fanin. Hari ini Fanin banyak berdebat dengan dirinya, biasa isterinya itu lebih banyak berdiam daripada bersuara.

Mereka jarang gaduh sebab jarang berbual.

"Tak tahulah Zain kut-kut penyu pilih kasih tak nak tengok muka orang sini. Yang penting sekarang ini, Fanin kata Fanin lapar kan? Kita makan malam dulu," cadang Zain sambil menunjuk ke kontena berdekatan.

Fanin mengangguk, "Tapi bukan makan malam dah ini. Ni makan lewat malam."

Tawa kecil Zain turut pecah. Tak tahu, hati Zain rasa sejuk semacam bila mendengar suara yang keluar daripada mulut Fanin.

Rasa lebih tenang.

Mereka kemudian berjalan beriringan. Dari jauh sudah kelihatan lampu neon dan lampu warna kuning yang menghiasi kedai kontena itu. Tak kurang juga orang yang membuat beberapa persembahan di pinggiran pantai.

Bau sesuatu yang dipanggang semakin menggugat nafsu makannya.

Banyak sangat pilihan sampai Fanin rambang mata. Maka, terpaksalah Zain yang membuat pesanan untuk kedua-duanya sekali.

Singkatnya, Zain memilih satu set makanan yang khusus untuk orang yang mempunyai pasangan tercinta. Yang single boleh fikir dua tiga kali kalau nak set ini.

"Fanin tak kisahkan Zain pilih yang set A?" soal Zain sambil mengengsotkan kerusi ke dalam meja.

"Fanin okay je Zain ambil yang mana pun. Asalkan bukan ketam sebab Fanin alergik ketam."

Zain senyum nipis.

Dia tahulah, Zain kan suaminya.

Dalam tempoh menunggu pesanan mereka tiba ke meja, mereka melilau sekeliling kontena itu. Ada yang datang dengan keluarga, rakan-rakan dan berpasangan.

Jelas, mereka gembira dengan percutian mereka.

Usai menikmati makan lewat malam mereka, Zain dan Fanin melepaskan rehat mereka di meja. Sambil-sambil itu, mereka mendengarkan beberapa buah lagu yang didendangkan oleh kumpulan nyanyian.

Kumpulan nyanyian yang dipersembahkan di atas pentas kecil itu menghidupkan lagi suasana malam itu. Satu band yang terdiri daripada lima orang lelaki itu rancak menghiburkan pelanggan yang hadir.

Tidak terkecuali, Zain juga menepuk tangan mengikut rentak irama. Manakala, Fanin merakam video itu menerusi telefon pintarnya.

Lebih tepat lagi, Fanin merakam Zain di depannya yang turut sama bernyanyi. Zain tak ingat lirik, jadi dia hentam mana yang dia ingat.

"Zain tahu ke lagu ini?" tanya Fanin, memfokuskan lagi kameranya pada wajah Zain.

Zoom in, zoom out.

"Tak, Zain pernah dengar dekat radio je. Tapi lagu ini sedap."

Suaminya itu meneruskan lagi nyanyian sumbangnya. Fanin tak tahan gelak, dia sembunyikan tawanya sambil menekup mulut dengan tangan.

"Zain ada tahu satu lagu ini."

"Apa? Lagu apa?"

Zain menayangkan senyuman. Senyuman yang tidak pernah lahir dalam ingatan Fanin.

"Lagu yang Zain mainkan masa hari perkahwinan kita," ujar Zain yang mana suaranya tenggelam dalam kebingitan malam itu.

Fanin hanya nampak mulut Zain terkumat-kamit. Dia kemudiannya melihat Zain bangkit dari duduknya dan mengorak langkah ke arah kugiran mahir itu.

Zain membisikkan sesuatu kepada penyanyi utama mereka. Dapat dilihat ketua mereka mengangguk seraya berbual dengan ahli kumpulan mereka untuk seketika.

Tak lama, Zain pun turun daripada pentas dengan bibir yang tak lekang dengan senyuman.

"Zain..." panggil Fanin.

Tangan Fanin yang cerah itu digenggam kemas oleh Zain. Cincin emas yang merupakan simbolik perkahwinan mereka yang tersemat di jari manis Fanin diusapnya lembut.

Ada perkataan Zafa yang tertera di tengah-tengahnya. Berkilau dengan cantik.

Cincin itu, Fanin yang pilihkan.

Nama itu pula, Zain yang cadangkan.

Padahal hakikatnya, mereka tidak pernah berniat untuk kekal bersama selama lima tahun. Lima tahun, tempoh yang cukup lama untuk mereka mendera perasaan mereka sendiri.

Perkahwinan atas dasar perniagaan tidak pernah menguntungkan mereka. Tiada langsung kasih sayang yang terjalin selain daripada tanggungjawab mereka sebagai suami isteri.

Jadi, untuk apa mereka masih mempertahankan kanser yang semakin merebak dalam diri mereka?

Selama mana lagi mereka boleh bertahan?

"Zain ingat nak akhirkan semua ini."

Lama, Fanin membisu. Tambahan pula dengan wajah Zain yang kelihatan tenang ketika itu menimbulkan rasa tidak nyaman kepada Fanin.

Dia sentiasa menantikan perpisahan yang terbaik untuk mereka. Namun, entah mengapa ketika itu dirinya bagai diselubungi dengan bayangan kegelapan.

Walhal dia sendiri yang menginginkan ungkapan itu terbit dari bibir Zain.

"Zain dah fikir masak-masak?" Ada getaran dalam suara Fanin.

Sebak, cuba ditahan.

Dan, anggukan daripada Zain membuatkan dirinya semakin dibelenggu rasa pedih yang mencucuk sanubarinya.

Demi Tuhan, Fanin takut dengan segalanya.

"Zain cuba untuk kebaikan kita. Kebaikan Fanin."

Genggaman tangan Fanin, dikuatkan lagi. Masih kekal Zain dengan senyuman walaupun ketika itu, hati Fanin telah dicarik-carikkan sehingga rabak.

"Ada yang lebih sakit daripada kehilangan cinta. Iaitu ketika kau mendapatkan cinta tetapi tidak dicintai." Penyanyi utama mula memberikan kata-kata.

Disertakan juga dengan tepukan gemuruh daripada penonton. Ada yang membuat bunyi wisel tanda sokongan kepada ayat jiwang itu.

Zain? Dia kekal memerhati isterinya itu. Ketika Fanin hendak meleraikan genggaman tangannya, sebelah tangan Zain menangkap tangannya yang lagi satu itu.

Kedua-dua tangan kecil itu milik Zain.

"Sekarang, kita akan mainkan sebuah lagu yang bertajuk Sampai Ke Hari Tua oleh Aizat Amdan. Ha, kalau siapa tak tahu lagi ini buat-buat tahu je lah eh,"selorohnya lagi.

Bunyi gitar dipetik.

"Jika ku radio dan engkau lagunya
Dan aku putarkan hingga semua terleka
begitulah kita ditakdirkan untuk bersama

Jika ku air wudukmu
menjadi serimu
dalam lima waktu

Jika kau kuat percaya
akulah jodohmu
jagamu selalu

Menarilah sayang di hari bahagia
di bawah bulan bintang
kasih kita berdua

Jangan bimbang sayang
kita harungi bersama berdua selamanya
sampai ke hari tua
mencintaimu"

Ramai orang melambaikan tangan mengikut rentak irama lagu itu. Mendayu, ditambah lagi dengan suara lembut penyanyi itu yang hampir mirip dengan penyanyi asal, Aizat Amdan.

Zain pun suka. Dari pertama kali dia menemukan lagu itu, dia sudah menanam hasrat yang teguh. Dia akan memutarkan lagu itu bersempena dengan majlis perkahwinannya.

Dan, menjadi pembatal wuduk untuk si pelengkap hatinya.

Tangan Fanin, dibawa ke pipi Zain. Lembut, raut wajah Fanin itu ditenungnya dengan tatapan kasih kepada sang isteri.

"Kita akhirkan penipuan ini. Mulai sekarang, kita mulakan hidup baru. Kalau selama ini, Fanin jadi teman serumah Zain, esok lusa, Fanin jadi teman sekatil Zain.

Dulu, kita sibuk dengan kerja, sekarang kita luangkan masa bersama. Dan kalau selama ini, Fanin cari Zain, giliran Zain pula untuk temukan Fanin dalam hati Zain."

Tersentak, Fanin teguk liur. Dia baru sahaja memikirkan bencana yang bakal menimpa dirinya. Sekarang, Zain utarakan sesuatu yang tak terjangka oleh Fanin.

"Jadi, Zain dah mula terima Fanin dalam hidup Zain?" Fanin hampir menjongketkan bibir.

"Zain dah lama terima Fanin. Cuma Zain takut Zain tersilap langkah. Zain takut kalau pilihan Zain akan menyakiti Fanin."

"Fanin takut. Takut kalau Zain berubah hati..."

"Tak. Zain tak pernah cintakan sesiapa," tukas Zain.

Zain tak berbohong. Dalam hidup lelaki itu hanya mengingatkan Tuhan dan pekerjaan sebagai pemangkin dirinya. Dalam soal percintaan, Zain buang jauh-jauh.

Sekarang, Zain tanam tekad untuk mencintai hambaNya yang seorang itu.

"Zain... Kita hadapi semua ini sama-sama, ya?"

Zain ketap bibir, angguk.

Malam itu, mereka berjaga dengan pelanggan-pelanggan di kedai malam itu sehingga jam tiga pagi. Kantuk Fanin, dapat dilihat Zain dengan jelas.

Kasihan, Fanin beberapa kali menguap sehinggalah Zain mengajak Fanin balik ke perkarangan hotel.

Ketika melangkah masuk ke dalam bilik mereka, Fanin terus melipat tilam Zain dan memasukkannya kembali ke dalam almari. Selimut tebal pun dihamparkan ke atas katil.

Zain tak halang, itu pilihan Fanin.

Pilihan Fanin untuk mula menerima Zain dengan seadanya.

Tak sangka pula Zain, bantal peluknya  sudah pandai memeluknya kembali. Dalam dakapan Zain, ada Fanin yang menyembamkan mukanya pada dada tegap Zain.

Rambut Fanin, Zain usap dengan lembut.

"Kelakar kan?" tanya Fanin sambil menadah mukanya pada Zain.

Zain sedikit tunduk menghadap Fanin.

"Kelakar apa?"

"Hari ini, adik Fanin yang kahwin. Tapi kita pula yang honey moon."

Zain meletuskan tawa. Kalau tiap-tiap hari berbulan madu dengan Fanin pun dia mahu. Setiap hari bersama, berdua tanpa ada sesiapa yang mengganggu.

"Tidur ya, Fanin. Esok kan payah nak bangun subuh."

Fanin pukul lembut dada Zain.

Tak sakit pun, penumbuk dahlah sebesar bola ping pong je. Comel sangat, Zain gigit perlahan pipi isterinya.

Geram!

***

PAGI itu, mereka berbalas senyuman. Ada juga Zain mengusik nakal dengan isterinya Fanin. Habis merah pipi Fanin, Zain kerjakan. Dia hampir menangis, nasib boleh tanggal.

Solat pada subuh itu pula, dua kali Zain ambil wuduk. Itu Fanin punya pasal, katanya nak balas dendam, dia pergi cuit tangan Zain semasa Zain dalam keadaan berwuduk.

Dan, masjid yang dibina, mereka akan pertahankan daripads diruntuhkan oleh ombak yang mengganggu.

Betapa mereka melengkapi...

Zain menjadi imam, Fanin makmumnya.

Zain menadah doa, Fanin aminkan.

Zain suami, Fanin isteri.

Dan selamanya, mereka akan sentiasa dekat antara satu sama lain. Walaupun hubungan cinta mereka hanya kekal untuk satu malam.

Tidak ada lagi tempoh selepas itu.

Jika, tiada pemandu yang leka berbual dengan telefon semasa dalam pemanduan, kemalangan yang melibatkan sepasang merpelai itu tidak akan berlaku.

"Allah sayang kita, Zain..."

Zain mengusap cecair merah yang mengalir membasahi wajah isteri tercintanya itu. Zain tak rela namun dia perlu reda.

Apatah lagi jika baru sebentar tadi wajah itu dicorakkan dengan senyuman kebahagiaan.

Kenapa perlu sakit menimpa mereka lagi?

"Zain sayang Fanin..."

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad S.A.W. itu pesuruh Allah.

Dada Zain dicucuk dengan kaca. Dia cuba tahan daripada bernafas dengan betul, dia nak selamatkan Fanin.

Berkali-kali dia memukul lembut pipi Fanin. Tiada reaksi yang diterima.

Hati Zain makin berkecai.

Kelopak mata Fanin terkatup rapat. Tangan Zain diangkat kepada tudung Fanin. Diusap perlahan ubun-ubun kepala Fanin seperti mendodoikan anak kecil.

Lelah itu, tubir mata Zain bergenang.

Dia menggapai tangan Fanin yang sudah berlumuran dengan darah. Tangan itu yang disentuh Zain buat pertama kali ketika dia menyarungkan cincin perkahwinan mereka.

Sentuhan itu juga, yang Zain sentiasa dambakan dalam kehidupan hariannya. Tak lengkap hidup Zain kalau Fanin tak menyalami tangannya.

Urat dagingnya terasa senak.

Ketika itu Zain tahu, masanya juga akan tiba. Masa yang dijanjikan oleh Allah semasa roh seorang hambaNya ditiupkan ke dalam badan seseorang.

Permulaan yang semestinya ada pengakhiran.

Dalam lenanya yang panjang itu juga, Zain lafazkan kalimah syahadah. Dia tahu, cahaya akan datang. Dia reda, cintanya pada Fanin tidak terjangkau cinta Allah pada dirinya.

Zain pun cintakan Fanin kerana Allah.

Hanya satu malam, menjadi saksi percintaan antara mereka. 

______

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience