Ianya sesuatu yang dungu, sebenarnya.
Alisa Diyana mendongak kepalanya ke atas. Matanya memandang syiling kapur putih sementara sedas tawa yang sedari tadi tersekat di tekak keluar dari dua ulas bibirnya yang pucat.
Senyuman yang terbit di bibir itu kelihatan agak kontra dengan kedua mata yang mula bertakung air mata. Meskipun tusukan yang dirasakan seluruh inci badan, Alisa terasa ingin tertawa.
Jika sesiapa bertanya beberapa tahun lalu, adakah dia akan bertahan dengan situasi seperti ini? Mungkin makian akan muncul dengan lancarnya di bibir perempuan itu sebelum dia menjawab dengan jelas, “Hah, tak mungkin!” Jelas, dan lantang.
Tetapi lihatlah dirinya sekarang. Apabila sudah terkena batang hidung sendiri, maaf dan peluang diberi lagi dan lagi seperti sedekah. Walhal, tidak ada sedikit pun perubahan baik yang berlaku. Menyedari hal ini, Alisa berasa dirinya seorang manusia yang dungu.
Meskipun sijil ijazah kedoktoran kursus perubatan kanak-kanak yang elok tersimpan di rak buku bersama sijil-sijil dan surat penerimaan jawatan sebagai doktor pakar kanak-kanak, Alisa berasa dirinya amatlah bodoh.
Tawa yang tadi muncul, berhenti sendirinya. Matanya beralih kembali ke arah telefon yang masih dalam genggaman. Air mata yang tadinya bertakung, kini jatuh ke atas skrin telefon sebaik sahaja dia menundukkan kepala. Tangannya menggeletar, pandangannya kabur.
Skrin telefon setia menunjukkan paparan mesej yang terasa sangat terang di dalam ruang bilik yang gelap.
Bilangan panggilan manja dan kata sayang sudah tidak terkira, walhal Alisa baru sahaja menyelongkar separuh dari isinya. Mesej-mesej ini datang dari perbualan tunangnya, Farhan.
Namun malangnya, perbualan ini dengan perempuan lain yang Alisa langsung tidak kenal.
Takdir tertulis bahawa Farhan tertinggal telefonnya dalam kereta Alisa sewaktu mereka keluar untuk makan malam. Takdir tertulis bahawa hati Alisa remuk buat kesekian kalinya.
Ini bukan kali pertama, bukan juga kedua atau ketiga. Hatinya berkecai. Alisa sudah tidak tahu berapa banyak lagi maaf dan peluang yang mampu dia berikan sebelum dia sendiri mati rasa.
Namun hadnya bukan pada malam itu. Jemarinya dengan perlahan menekan butang kunci. Telefon itu dibiarkan terbaring di atas meja kopi. Alisa bersedia untuk pejam mata. Dia rela untuk pura-pura buta.
Kenapa? Kerana Alisa amat sayang akan Farhan.
Dalam draft lebih panjang. Tapi draft ditulis dalam bahasa Inggeris. Saya pula rasa kekok menulis dalam Bahasa Melayu setelah sekian lama. Maka, dipendekkanlah prolog ni. Kalau saya post cerita dalam Bahasa Inggeris, ada yang nak baca ke? Haha. Soalan, soalan.
Share this novel