Completed
367
Bas yang mereka naiki telah pun berhenti di sebuah stesen bas desa beberapa minit yang lalu di Pekan Kampung Petualang. Faizal dan rakan-rakannya yang juga merupakan teman serumah merupakan penumpang terakhir yang turun daripada bas tersebut. Sementara rakan-rakannya mengeluarkan beg bagasi mereka daripada perut bas serta membeli beberapa bungkus mee serta makanan ringan, Faizal segera mencari kenderaan yang dapat membantu membawa mereka ke destinasi mereka. Tidak sampai sepuluh minit mencari kenderaan, Faizal segera mendapatkan kawan-kawannya menuju ke sebuah van yang setia menunggu mereka.
Faizal hanya tersenyum nipis apabila mengingati kehadirannnya buat kali terakhir ke Kampung Petualang adalah bersama-sama dengan arwah ibu dan bapanya beberapa tahun dahulu sementara matanya tenang memerhatikan suasana diluar van sepanjang perjalanan.
Pemerhatiannya terganggu sebentar dengan kerancakan perbualan manusia yang duduk dibelakang. Kelihatan seorang pemuda yang lebih tinggi dan berkulit cerah sedang rancak berbual dengan pemuda disebelahnya yang mempunyai struktur tubuh terlihat sedikit rendah dengan kulit yang sedikit gelap. Omar dan Kazim, adalah rakan serumah yang ingin mengikuti Faizal pulang ke kampungnya. Mereka berdua yang terkenal dengan keletah nakal mereka didalam kelas sering menjadi perbualan ramai pelajar dan juga pensyarah.
Selain mereka berdua adalah Johar dan Luqman. Johar sedang nyenyak tidur disebelah Faizal sambil wajahnya dilindungi oleh hud bajunya akibat kepenatan manakala Luqman pula sedang khusuk dengan permainan Gameboy yang sering dibawa bersama untuk menghilangkan kebosanan sewaktu melalui perjalanan yang jauh.
Perjalanan daripada kawasan Pekan Kampung Petualang ke kawasan desa perkampungan Petualang Satu hanya memakan masa sekitar setengah jam sebelum van yang mereka naiki tiba di sebuah Homestay yang mereka ingin menginap. Ketibaan mereka juga disambut oleh penantian seorang lelaki yang tidak dikenali dengan anggaran berumur sekitar 30 tahun disisi keretanya dihadapan perumahan Homestay berkenaan. Faizal sempat mengerling papan tanda yang menunjukkan nama perumahan desa berkenaan iaitu "Homestay Baiduri".
Faizal yang ditemani oleh Luqman segera menemui pak cik tersebut untuk mendapatkan kunci Homestay berkenaan. Salam yang diberikan oleh Faizal segera dibalas oleh pak cik itu dengan menghulurkan tangannya sambil bertanyakan kepada Faizal untuk kepastian.
"Assalamualaikum, Anak ini namanya Faizal ke? Macam mana perjalanan daripada Pekan Petualang ke sini? Harapnya taklah teruk sangat sebab laluan untuk memasuki kawasan Petualang Satu banyak yang rosak dan belum sempat dibaiki oleh JKR." Ujar pak cik tersebut kepada Faizal dengan ramah.
"Waalaikumussalam, ya, nama saya Faizal, Pak Cik. Alhamdulillah, kami selamat sampai ke Petualang Satu ni. Biasalah Pak Cik jalan kampung kadang-kadang macam tu, saya faham." Balas Faizal sambil menyambut huluran tangan pak cik tersebut sambil tersenyum.
"Maafkan saya sekiranya saya bertanya, adakah pak cik ni Pak Cik Ibrahim, pemilik kepada Homestay ni?" Tambah Faizal lagi.
"Ohh tak. Nama pak cik Azhar. Adik bongsu kepada Pak Cik Ibrahim. Sepatutnya dia yang serahkan kunci ni tapi dia arahkan pak cik pula untuk berikannya kepada kamu sendiri sebab dia sekeluarga terpaksa keluar ke luar negeri atas urusan kerja dan urusan peribadi. Lepas sebulan macam tu baru dia balik ke sini. Buat sementara waktu, pak ciklah yang akan uruskan tempat ni." Terang Pak Cik Azhar kepada Faizal. Luqman yang sejak tadi berdiam diri disebelah Faizal hanya mengangguk sambil memerhatikan suasana rumah Homestay tersebut.
Beliau segera mengajak mereka berdua untuk masuk ke rumah setelah melihat Omar, Kazim dan Johar telah meletakkan kesemua bagasi dan juga makanan mereka di serambi rumah tersebut. Apatah lagi waktu semakin menghampiri waktu asar pada waktu itu.
Pak Cik Azhar bergerak pulang setelah 30 minit berada disana untuk menerangkan serba sedikit mengenai bilik mahupun ruang dapur di Homestay tersebut dan dimana kedai runcit mahupun kedai makan yang boleh mereka pergi sekiranya telah kehabisan bekalan makanan yang mereka bawa pada hari-hari yang mendatang.
Setelah mengemaskan barang dan diletakkan dalam bilik masing-masing, mereka bergilir-gilir untuk mandi selepas mengemas rumah itu serba sedikit. Tidaklah sukar untuk mengemas rumah tersebut kerana menurut Pak Cik Azhar, dalam seminggu sekitar dua atau tiga kali Pak Cik Ibrahim dan anak-anaknya akan melawat rumah Homestay ini serta menebas lalang yang ada dilaman sekiranya perlu.
Mereka cukup berpuas hati dengan Homestay yang mereka menginap untuk hari-hari seterusnya sementara mereka semua berada di kampung Faizal untuk sepanjang cuti pertengahan semester. Malah di perkampungan ini juga mempunyai capaian talian internet yang laju sekaligus menjadi kegemaran mereka sebagai pelajar universiti terutama Luqman yang sering bermain permainan secara atas talian seperti Dota 2 serta membantu mereka untuk menyiapkan tugasan yang masih tertunda untuk disiapkan. Mereka semua tidur awal pada malam itu setelah menunaikan solat isyak berjemaah di rumah kerana ingin bersiap sedia bagi aktiviti yang perlu dilakukan pada esok pagi.
****
Tepat pukul sembilan pagi setelah mengunci dan memeriksa sekeliling Homestay tersebut, Faizal dan kawan-kawannya segera bergerak menuju ke rumah neneknya. Perjalanan menuju ke rumah nenenknya hanya memakan masa sekitar 15 minit dengan hanya berjalan kaki. Kelihatan laman dihadapan rumah nenek Faizal yang biasanya lapang kini telah dipenuhi oleh kenderaan yang dinaiki oleh sanak-saudara Faizal. Terpegun kawan-kawannya apabila melihat kenderaan dan rumah yang dimiliki oleh saudara dan juga nenek Faizal.
Omar dan Kazim terlopong apabila melihat rumah nenek Faizal bukanlah rumah kampong yang diperbuat daripada kayu semata-mata tetapi turut ditambah dengan binaan batu bata disamping rekaannya yang menarik. Johar pula terpegun apabila melihat model kenderaan yang digunakan oleh saudara Faizal yang boleh dikatakan kebanyakkan merupakan model daripada luar negara manakala Luqman yang biasanya pendiam pula sedang dikerumuni oleh anak-anak saudara Faizal yang sedang meneliti permainan Gameboy yang dibawanya. Faizal hanya tertawa melihat telatah kawan-kawannya sebelum menjemput mereka untuk menyapa pak cik saudaranya yang sedang berada di pangkin berdekatan situ.
"Assalamualaikum Pak Andak, Pak Ngah, dengan Pak Uda. Faizal bawa kawan-kawan sekali untuk tolong apa yang patut untuk aktiviti kita nanti" Ujar Faizal sambil merapati pak cik saudaranya dan menyalami mereka. Perbuatan Faizal turut diikuti oleh kawan-kawannya. Dapat dilihat perbuatan mereka yang kelihatan kekok berhadapan dengan ayah saudara Faizal.
"Ohh..Ini ke budak serumah yang kamu kata nak datang tu ya? Sihat-sihat semuanya. Badan pun Nampak tegap. Bolehlah tolong Pak Andak kamu nanti untuk bagi lembu dengan kambing makan." Ujar Pak Ngah sambil mengerling Pak Andak disebelahnya sambil menghirup kopi. Pak Uda pula hanya tertawa melihat kelakuan kawan-kawan Faizal yang berubah tingkah.
"Alang-alang boleh ajak kawan-kawan kamu tu ikut Pak Andak sekali ke kebun. Kebetulan ada beberapa pekerja yang ambil cuti, jadi Pak Andak ni kekurangan oranglah kat kebun tu." Tambah Pak Andak pula.
Kawan-kawan Faizal hanya mampu tersengih sahaja. Luqman pula seakan mengeluh kecil. Hasratnya untuk berehat sambil bermain game pada cuti pertengahan semester ini sedikit terganggu dengan kerja-kerja fizikal di ladang dan juga kebun milik ayah saudara Faizal.
Pak Andak yang ternampak kelakuan Luqman segera bersuara, "Jangan risau, korang muda lagi bukan macam Pak Cik-Pak Cik yang ada kat sini ni. Ada upah juga untuk korang nanti."
Johar hanya memandang Luqman yang bersikap malu-malu apabila ditegur tadi sementara Omar dan Kazim merasa gembira sambil saling berbalas High-five apabila dikatakan akan mendapat upah. Faizal hanya tersenyum sahaja.
"Ehh..korang dah sarapan belum? Ikutlah merasa sekali, ini ada pisang goreng dengan air milo. Panas-panas lagi ni. Jangan segan, kalau habis minta je. Nanti pak cik minta mak cik kamu buat lebih lagi." Ajak Pak Uda sambil mengajak mereka mereka duduk bersama-sama mereka.
Ajakan itu segera dipenuhi oleh Faizal dan kawan-kawannya dengan senang hati sementara Pak Uda memanggil isterinya untuk membawa makanan dan cawan lebih buat tetamu mereka pada pagi itu. Setelah selesai bersarapan, mereka semua bergotong-royong memasang khemah dan juga menyediakan tapak untuk memasak BBQ bagi aktivitu untuk keesokan harinya.
Sepanjang tiga hari, Faizal dan kawan-kawannya berulang-alik daripada pagi hingga petang untuk bersama-sama dengan seluruh keluarga besar Faizal di sana. Omar dan Kazim lebih rajin membantu sewaktu aktiviti gotong royong dilakukan walaupun hanya mengedarkan makanan untuk majlis kenduri kesyukuran bagi pembukaan kedai baru Pak Ngah di Perlis yang dilakukan pada hari kedua Hari Keluarga dilakukan.
Johar pula terlibat dalam membantu golongan lelaki memasak pada hari tersebut manakala Luqman pula sibuk bermain dan melayan keletah anak-anak saudara Faizal dilaman belakang rumah nenek Faizal. Faizal pula memegang peranan sebagai penyambut tetamu semasa kenduri kesyukuran dilakukan.
Pada hari ketiga pula aktiviti Hari Keluarga pada hari yang ketiga pula hanya melakukan aktiviti ringan seperti bermain permainan tradisional sebelum ditutup dengan aktiviti karaoke bersama semua ahli keluarga termasuklah nenek Faizal yang sekadar menjadi penonton melihat telatah anak-anak dan juga cucu-cucunya. Pada malamnya, Faizal dan kawan-kawan berasa puas kerana dapat melibatkan diri mereka dengan aktiviti kampung seperti bergotong-royong yang kini sukar untuk berlaku di kawasan yang lebih padat dan sibuk seperti di bandar.
*****
Pada pagi rabu, Faizal dan rakan-rakannya telah bergerak bersama-sama Pak Andak menuju ke ladang pokok pisangnya sebelum singgah sebentar di kandang haiwan ternakannya. Di sana, Faizal dan kawan-kawannya menerima tugasan masing-masing dengan arahan Pak Andak. Omar dan Kazim ditugaskan untuk memangkas beberapa daun pisang bagi setiap pokok yang telah mengeluarkan jantung untuk mempunyai sekurang-kurangnya enam helai daun setiap sebatang pokok.
Manakala Faizal dan Pak Andak pula sibuk membungkus mana-mana tandan pisang menggunakan kertas simen atau kertas pembungkus dedak ayam dengan menggunakan stapler. Tugas untuk Johar dan Luqman lebih mudah dimana mereka perlu mengumpulkan semua daun pokok pisang yang telah ditebas untuk dikumpulkan di beberapa tempat yang terasing daripada barisan pokok-pokok pisang sebelum kemudiannya dibakar. Kerja yang mereka mulakan pada pukul 9:30 pagi di kebun pisang tersebut berakhir apabila menjelang azan zohor sebelum mereka berhenti rehat untuk menunaikan solat zohor dan juga makan tengahhari.
Setelah berehat sebentar di sebuah pondok sederhana besar yang terdapat di kebun pisang disediakan oleh Pak Andak untuk para pekerjanya, mereka menyambung perjalanan menuju ke kandang Pak Andak tidak jauh daripada situ pada pukul 2:16 petang. Faizal yang duduk dihadapan dan bersebelahan dengan tempat duduk pemandu tidak perasan akan perubahan riak wajah Pak Andak yang semakin risau apabila van yang dipandunya semakin mendekati kandang yang dimaksudkan.
Dia pula sedang mengelamun dan kadang kala melihat telatah rakan-rakannya di tempat duduk belakang yang membuat hal masing-masing melalui cermin pandang sisi. Sebaik van yang dipandu dihentikan berdekatan dengan kandang, Pak Andak segera mengarahkan Faizal dan rakan-rakannya untuk memakai but dan sarung tangan serta membawa juga cangkul ke belakang kandang sebelum dia bergegas memasuki kandang.
Sedang Faizal menutup bonet belakang van sementara Johar mengagihkan cangkul kepada Kazim dan Omar, Luqman memecahkan suasana dengan pertanyaannya, "Korang ada bau apa-apa tak? Aku tercium macam bau darahlah. Bau tu macam dekat dengan kandang je."
Mereka yang lain segera memberikan fokus kepada hidung masing-masing untuk memastikan bau yang dikatakan oleh Luqman. "Haahlah, bau darah..macam makin kuat pula baunya." Kata Johar pula.
"Bau ni memang datang daripada kandang Pak Andak kaulah, Faizal." Sambung Omar. Faizal segera bergerak menuju ke kandang dengan hati yang berdebar untuk memeriksa sebelum diikuti oleh Kazim dan lain-lain.
Sebaik sahaja mereka memasuki pintu kandang tersebut, langkah mereka terus dimatikan dengan pemandangan yang menakutkan dihadapan mereka. Dihadapan mereka kelihatan beberapa ekor kambing yang telah disembelih dengan perut yang telah dibelah digantungkan secara terbalik. Di bawah bangkai tersebut terdapat tompokan darah yang mulai mengering dan mengotori lantai kandang yang diperbuat daripada kayu. Masih terdapat darah yang mengalir daripada bangkai kambing tersebut.
"Astagfirullah, kenapa jadi macam ni Pak Andak?" Soal Faizal kepada Pak Andak yang sedang duduk berteleku di kerusi berdekatan bangkai kambing yang tergantung.
"Entahlah Faizal, Pak Andak pun tak tahu. Bukan setakat kambing je, lembu Pak Andak pun ada yang jadi mangsa. Tak tahulah siapa punya angkara ni." Keluh Pak Andak kepada mereka.
Luqman yang tak tahan dengan pemandangan mengerikan tu cepat-cepat berlari ke tepi kandang selepas tekaknya mula merasa loya. Kelakuannya hanya dilihat oleh mereka semua yang masih dikuasai oleh bau hamis darah kambing diiringi dengan bunyi isi perut yang dimuntahkan oleh Luqman.
Perasaan terkejut mereka dengan pemandangan didalam kandang masih belum hilang sebelum dikejutkan kembali dengan jeritan Luqman memanggil mereka untuk melihat diluar kandang sambil jarinya menunjukkan seuatu di bawah. Mereka segera bergerak mendekati Luqman kecuali Pak Andak yang masih duduk di kerusi seakan sudah mengetahui apa yang ingin ditunjukkan oleh Luqman.
Sebaik sahaja mereka tiba di sebelah Luqman yang masih berasa loya, sebuah pemandangan yang menggerunkan terbentang dihadadpan mata mereka. Kelihatan 7 ekor bangkai lembu terbaring dengan keadaan tubuh mereka yang kurus kering seakan-akan isi tubuh mereka telah disedut sehingga kering. Jelas kelihatan tanda-tanda gigitan disekeliling leher lembu tersebut dengan beberapa anggota badan mereka yang telah dicarik-carik secara paksa.
"Allahuakbar, apa yang berlaku kat sini sebenarnya?" Soal Kazim kepada Pak Andak. Pak Andak membetulkan topi dikepalanya sebelum melepaskan satu keluhan panjang. Sementara menanti jawapan daripada Pak Andak, Omar menepuk-nepuk belakang badan Luqman sementara yang lain meletakkan cangkul mereka di tepi kandang.
"Sebenarnya masalah ni dah lama mengganggu orang kampung. Dah hampir 4 tahun benda ni berlaku. Setiap kali bulan mengambang penuh atau malam keliwon, akan ada haiwan ternakan orang kampung yang mati keesokkan harinya." Terang Pak Andak sambil memandang mereka semua.
"Jadi, kita nak buat apa sekarang ni Pak Andak?" Soal Luqman dengan nada lemah.
"Sekarang kita turunkan bangkai kambing tu untuk ditanamkan sekali dengan bangkai lembu Pan Andak kat hujung kandang ni. Sebab tulah Pak Andak bawa sekali cangkul ke kandang, kalau-kalau ternakan pak Andak jadi mangsa juga malam tadi." Ujar Pak Andak kepada mereka semua.
Untuk petang itu, Faizal bersama kawan-kawannya membantu Pak Andak menanam semua bangkai ternakan dan memberi makan kepada saki baki ternakan yang masih hidup sebelum bergerak pulang ke rumah masing-masing.
*****
Selang dua hari kemudian sewaktu Faizal dan kawan-kawannya sedang sibuk memberi makan haiwan ternakan di kandang, mereka dikejutkan dengan teriakan daripada kejauhan memanggil Pak Andak dan juga Faizal. Mereka segera menghentikan pekerjaan yang sedang mereka lakukan sementara mencari-cari sumber teriakan tersebut. Daripada kejauhan mereka dapat melihat anak bongsu pak Uda bernama Sulaiman sedang mengayuh basikalnya dengan pantas ke arah mereka. Dia segera melompat turun daripada basikalnya sebelum sempat mendekati tempat kami berdiri dengan tergasa-gesa bagi menyampaikan berita.
"Pak Andak, Abang Faizal. Tolong ibu. Ibu kena histeria kat rumah." beritahu Sulaiman. Para pekerja Pak Andak yang ada disana turut berhenti daripada melakukan kerja mereka.
"Astagfirullah, ibu kamu histeria? Ayah kamu ada kat rumah tak?" Pak Andak bertanya dengan nada cemas.
"Ayah ada kat rumah, tengah tengokkan ibu. Ayah suruh Sulaiman minta tolong Pak Andak carikan orang untuk ubatkan ibu," Jelas Sulaiman lagi.
Pak Andak mengangguk sebelum menoleh kepada Faizal. "Faizal, kau pergi ikut Sulaiman ke rumah dia. Tolong Pak Uda kau apa yang patut. Aku akan telefon kawan aku yang pandai mengubatkan orang. Kamu semua habiskan kerja yang patut kat sini, lepas tu boleh balik awal. Aku nak tengok isteri adik aku lepas ni." Beritahu Pak Andak kepada mereka semua. Para pekerjanya hanya mengangguk sebelum menyambung kerja yang tertangguh.
Kebetulan Faizal datang ke kandang dengan menaiki motor Pak Andak pagi tadi, dia segera mengikuti Sulaiman menuju ke rumah Pak Uda bersama-sama Johar sementara Luqman, Omar dan kazim bersama-sama Pak Andak menjemput kawannya yang duduk tidak jauh daripada situ.
Sebaik sahaja Faizal dan luqman tiba dan meletakkan motornya di bawah pokok Mangga, kelihatan beberapa orang jiran serta anak-anak kecil mula berkumpul di perkarangan rumah Pak Uda. Jeritan serta hilai tawa milik Mak Uda kedengaran sehingga luar rumah menakutkan anak-anak kecil yang ada disitu sebelum mereka melarikan diri ke rumah masing-masing. Sebaik sahaja mereka berdua masuk ke dalam rumah Pak Uda, dapat dilihat keadaan ruang tamu yang berselerak dengan Mak Uda sedang dipegang oleh suaminya dengan bantuan beberapa orang jiran lelaki.
"Bila jadi ni?" Tanya Johar kepada Sulaiman.
Sambil mengesat peluhnya dengan hujung lengan baju, Sulaiman menjelaskan "Baru je bang. Masa Mak tengah lipat kain tiba-tiba je Mak rebah. Adik yang nampak apa jadi kat Mak terus beritahu Ayah. Ayah cuba kejutkan Mak. Tahu-tahu je terus mengamuk campak semua baju dengan kain tu. Nasib Ayah sempat pegang Mak sebelum apa-apa jadi kat kitorang." Johar hanya mengangguk setelah mendengar penjelasan Sulaiman.
Faizal segera menuju ke bilik dimana adik-adik Sulaiman berada dan sedang dijaga oleh seorang jiran yang mendengar kekecohan awal yang terjadi di rumah Pak Uda. Tidak lama kemudian, kedatangan Pak Andak yang membawa kawannya tidak lama kemudian berjaya untuk menenangkan keadaan Mak Uda.
Sementara Pak Andak dan kawannya berjaga-jaga untuk menemani Pak Uda sekeluarga, Faizal bersama-sama kawannya segera pulang ke rumah untuk mandi dan berehat setelah penat untuk seharian kerana bekerja di kandang serta menghadapi kejadian yang berlaku di rumah Pak Uda pada lewat petang. Faizal dan kawan-kawannya juga telah diberikan masa untuk berehat beberapa hari oleh Pak Andak kerana ingin memberikan perhatian kepada keluarga Pak Uda disamping mereka telah memberikan bantuan untuk menjaga kandang dan juga kebun pisangnya.
*****
Keesokkan hari setelah selesai bersarapan di warung berdekatan, Faizal dan rakan-rakan mengambil masa yang terluang untuk melakukan aktiviti masing-masing. Kazim yang teringin menikmati suasana kampung telah bersiar-siar dengan menaiki motor yang dipinjamkan oleh Pak Andak kepada mereka untuk memudahkan pergerakan. Luqman pula sedang sibuk menyiapkan tugasannya yang masih berbaki didalam bilik sementara Omar pula tidur di ruang tamu. Johar dan Faizal pula melepak di beranda sambil menikmati makanan ringan dan berbual mengenai situasi yang terjadi kepada hari jumaat lalu tentang berita mengenai orang-orang kampong yang kehilangan haiwan ternakan mereka dalam keadaan yang mengerikan di pinggir kampung.
Tetapi ketenangan mereka pada tengah hari itu dikejutkan dengan kehadiran kereta Pak Andak yang memasuki halaman Homestay sebelum berhenti tepat di hadapan rumah mereka. Sebaik sahaja Pak Andak menjengahkan kepalanya, dia terus memanggil Faizal di Beranda, "Assalamualaikum Faizal. Jom ikut Pak Andak ke rumah Pak Long kamu. Dia tengah sakit sekarang ni." Ujar Pak Andak.
"Waalaikumussalam Pak Andak. Pak Long sakit? Sakit apa?" Tanya Faizal. "Tak tahulah sakit apa. Itulah Pak Andak nak ajak kamu tengok Pak Long sekali." Jawab Pak Andak. Setelah berbincang dengan kawan-kawannya, Faizal dan Omar bersetuju untuk mengikut Pak Andak sementara Luqman menjaga rumah mereka menanti kepulangan Kazim.
Tiba sahaja mereka di rumah Pak Long, mereka semua segera menjengah ke dalam bilik untuk melihat keadaan Pak Long dengan keizinan daripada isteri Pak Long iaitu Munirah. Keadaan Pak Long amat menyayat hati. Perutnya mengembang dan membulat seperti perut orang perempuan yang mengandung untuk 9 bulan. Mengikut penjelasan daripada Munirah, dia mengatakan bahawa Pak Long jatuh sakit dua hari sebelum Hari Keluarga dilakukan di rumah nenek dan sakitnya semakin teruk dari sehari ke sehari. Sekali lagi Pak Andak membawa kawannya yang merawat isteri Pak Uda tempoh hari.
Sepanjang kawannya merawat Pak Long, beberapa kejadian pelik berlaku dan disaksikan oleh mereka yang berada didalam rumah tersebut seperti bauan yang lebih busuk daripada bau bangkai yang kadang kala mengganggu perhatian dan juga beberapa barangan serta bingkai gambar yang sengaja dijatuhkan oleh seseorang.
Melihatkan keadaan ini Faizal segera mencadangkan agar mereka sekeluarga membuat bacaan yasin dan solat hajat secepat mungkin supaya kejadian yang menimpa keluarga saudaranya tidak berulang kembali dan keadaan Pak Long menemui kesembuhan. Setelah menelefon dan berbincang dengan Imam kampung mereka, pihak masjid bersetuju untuk melakukan bacaan yasin dan solat hajat.
*****
Faizal dan kawan-kawannya baru sahaja pulang daripada masjid setelah selesai melakukan solat hajat secara berjemaah dengan ditemani oleh Pak Andak yang memandu van. Malam itu suasana agak tenang dan dingin. Tiada sebarang bunyi yang kedengaran melainkan bunyi cengkerik dan katak yang kadang-kala bersahutan. Faizal adalah orang yang terakhir masuk tidur pada malam itu kerana memeriksa kunci pintu di ruang tamu dan juga pintu di dapur belakang berbanding kawan-kawannya yang masuk tidur lebih awal. Setelah memastikan semua tingkap dan pintu telah ditutup rapat, Faizal pun melelapkan matanya dengan berselubungkan selimut di atas katil.
Setelah beberapa minit dalam pembaringannya, Faizal dapat merasakan seperti dirnya diperhatikan oleh seseorang. Dia cuba untuk membuka mata dan menggerakkan tubuhnya beberapa kali namun sukar disamping merasakan seperti tubuhnya ditindih sesuatu yang berat meyebabkan pernafasannya mula menjadi sukar.
Namun keadaan yang menimpa dirinya tidak bertahan lama kerana kelopak mata yang awalnya sukar untuk dibuka mula menjadi ringan dan badannya dapat merasakan sesuatu yang berat telah diangkat daripada menindih tubunya. Perlahan-lahan matanya cuba untuk dibuka walaupun tubuhnya masih belum untuk bergerak bebas. Sebaik sahaja dia membuka mata, dia terperanjat bukan kepalang apabila mendapati dia tidak lagi berada didalam bilik tidurnya.
Dia cuba untuk menggerakkan anggota tubuhnya tetapi terganggu kerana merasakan seperti tangan dan kakinya telah diikat dengan sesuatu. Faizal cuba untuk meronta sekuat-kuatnya sebelum mendapati kedua tangan dan kakinya telah diikat dengan rantai besi. Setiap kali dia cuba untuk meronta, dia dapat merasakan ikatan rantai besi itu semakin ketat dan menyakitkan anggota tubuhnya.
Sedang dia sibuk untuk melepaskan dirinya perhatiannya terganggu dengan bunyi pintu dibuka oleh seseorang. Sebaik sahaja daun pintu terbuka, kelihatan sebuah lembaga dengan pakaian seperti seorang doktor yang dtelah dikotori dengan darah mula melangkah masuk menuju ke tempat pembaringan Faizal diiringi dengan bau yang kurang menyenangkan.
Tangan kanannya menggenggam sebilah pisau pembedahan manakala tangan kiri pula terdapat sebuah gergaji elektrik. Daripada kejauhan Faizal dapat melihat mulut doktor itu terkumat-kamit seperti mengatakan sesuatu. Pakaiannya dikotori dengan darah yang agak banyak sehingga turut terdapat percikan darah di wajahnya.
Doktor itu mula mendekati tempat pembaringan Faizal yang tak mampu untuk membuat apa-apa pada ketika itu. Dia hanya berhenti bergerak setelah berdiri tepat di sebelah kepala Faizal. Sayup-sayup kedengaran suaranya di telinga Faizal. "Keluar daripada tempat ni..Jangan dekat dengan mereka..." Ujarnya berulang kali.
Dalam ketakutan Faizal bertanyakan sesuatu, "Siapa kau?! Macam mana aku boleh ada kat sini?? Tolonglah lepaskan aku." Rayu Faizal namun tidak diendahkan oleh doktor tersebut dan mulutnya masih terkumat-kamit.
Dalam ketakutan terlintas diminda Faizal, apa yang dimaksudkan dengan tempat ni, tempat apa dan siapa mereka yang doktor itu maksudkan sebenarnya. Dia bertanyakan soalan kepada doktor itu beberapa kali namun tetap tidak dilayan dan terus mengulang-ulang bicaranya. Tanpa disangka-sangka, doktor itu terus menikam berulang kali tepat di dadanya sambil menjerit-jerit seakan menggila dan Faizal dalam menahan kesakitan yang teramat hanya mampu menjerit meminta belas.
Setelah berasa puas menikam dadanya, doktor itu mengubah posisinya untuk berdiri di hujung kepala Faizal. Faizal dalam kedaan lemah tidak mampu berbuat apa-apa di pembaringan sambil matanya sahaja yang mengekori pergerakan doktor itu. Sambil tersenyum, doktor itu segera mengaktifkan gergaji ditangannya sebelum mula membelah kepala Faizal bermula daripada tengah-tengah dahi dan terus mengelilingi kepala Faizal. Dengan kesakitan yang teramat sangat Faizal hanya mampu menjerit sambil meronta-ronta diiringi dengan ketawa doktor itu yang semakin menggila.
Faizal membuka mata dan bingkas bangun dari katil setelah terdengar laungan azan subuh yang sayup-sayup kedengaran dengan keadaan tubuhnya yang dibasahi peluh. Tangannya segera mencapai telefon berdekatan untuk melihat waktu ketika itu. Jam digital di telefon menunjukkan pukul 5.46 pagi. Dia termenung seketika di pinggir katil mengingatkan mimpi yang dihadapi sebelum bangkit untuk menuju ke bilik air.
*****
Untuk beberapa hari, penyakit yang menimpa Pak Long semakin teruk dan kejadian histeria yang dialami oleh isteri Pak Uda juga semakin kerap berlaku. Malah semenjak kejadian yang menimpa ternakan Pak Andak berlaku, hampir setiap malam ternakan orang kampung mula diserang dan merisaukan ramai penternak kerana merasakan ternakan mereka tidak lagi selamat. Disamping itu, orang kampung juga turut menerima gangguan ketika waktu malam bermula selepas maghrib sehinggalah waktu semkin menghampiri azan subuh. Faizal dan kawan-kawannya juga tidak ketinggalan menerima gangguan misteri di Homestay mereka.
Antara gangguan yang mereka terima adalah mereka semua mula menerima mimpi ngeri sama seperti yang diterima oleh Faizal sebelum ini. Hal ini menyebabkan ada diantara mereka yang tidak cukup tidur pada waktu malam malah ada yang meracau dalam tidur sehingga terpaksa dibangunkan oleh teman serumah yang lain. Tetapi hal ini tidaklah terlalu mengganggu Luqman kerana dia telah terbiasa berjaga malam untuk bermain permainan video dalam laptopnya. Tetapi itu tak bermakna yang dia juga terlepas daripada terkena gangguan.
Gangguan yang Luqman terima semasa berada di dalam rumah berlaku ketika dia ingin memasak maggi menggunakan belanga. Sebaik sahaja dia meletakkan belanga di atas tungku api dengan serta merta keluar nyalaan api biru yang menjulang tinggi sehingga mencecah siling rumah. Kejadian ini turut disaksikan oleh Kazim dan Johar yang berada di rumah pada ketika itu manakala Faizal dan Omar membantu Pak Andak di kebunnya.
Hal ini diceritakan kepada mereka berdua sebaik sahaja pulang pada petang tersebut. Malah terdapat kesan hangus didalam belanga namun setelah diperiksa pada keesokkan harinya kesan hangus dalam belanga tersebut telah hilang dan berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Menambahkan misteri, kehadiran api misteri itu datang secara tiba-tiba sebelum sempat Luqman menyalakan api dapur.
Seterusnya, Faizal dan kawan-kawannya juga pernah diganggu sewaktu mereka sedang bermain badminton pada waktu malam di kawasan badminton yang disediakan di Homestay Baiduri sehari selepas mimpi ngeri mula menghantui mereka semua. Ketika itu giliran Kazim dan Johar untuk bermain badminton selepas tamat giliran Faizal dan Luqman sementara Omar menjadi pengadil permainan. Sementara yang lain seronok bermain, Luqman sempat bertanyakan sesuatu kepada Faizal.
"Faizal, kau rasa kita patut jumpa kawan Pak Andak kau tu ke? Nak tanya pasal mimpi yang kita semua dapat tu." Cadang Luqman. Sambil meneguk air mineral yang dibawa, Faizal cuba mempertimbangkan cadangan Luqman.
"Orang-orang kampong pun ramai kata yang gangguan kat kampung ni makin teruk berbanding dulu. Kalau dulu ternakan orang kampung yang mati cuma lepas malam jumaat atau malam bulan penuh, tapi untuk masa ni haiwan ternakan diorang mati hampir setiap hari beberapa hari lepas kita sampai kampung ni." Sambung Luqman lagi.
"Aku rasa baik juga kalau ikut cadangan kau tu. Pak Andak aku pun ada beritahu masa aku, Omar dengan Johar dekat kandang hari tu. Mulai esok, orang masjid nak buat bacaan yasin dengan solat hajat supaya gangguan ni hilang daripada kampung ni untuk beberapa hari. Lagi satu, ada khabar angin dari orang kampung yang kononnya gangguan ni berpunca daripada bomoh yang datang ke kampung ni beberapa tahun yang lalu. Tapi tak pastilah betul ke tak sebab ramai cakap tak pernah pun jumpa atau nampak muka bomoh tu." Kata Faizal panjang lebar selepas menghabiskan botol air mineral yang dia bawa daripada rumah.
Belum sempat Luqman ingin bertanyakan lebih lanjut tiba-tiba mereka semua diganggu dengan bunyi orang ketawa mengilai berdekatan mereka. Perlawanan diantara Kazim dan Johar juga terhenti. Faizal segera bangun daripada duduknya sementara Luqman cepat-cepat mengemas bulu tangkis yang bersepah.
Entah kenapa mulut Kazim begitu gatal menegur bunyi hilaian tersebut sebelum sempat Omar menegurnya. "Hishh..siapa pula yang mengilai malam-malam macam ni" Kata Kazim sebelum dia perasan mata semua kawan-kawannya memandang tepat ke arah dia dan menyedari kesilapan yang telah dilakukan.
Bunyi hilaian itu pula selepas ditegur oleh kazim semakin lama semakin kuat dan nyaring sebelum tiba-tiba senyap. Mereka semua yang merasakan tidak sedap hati dengan suasana yang terlampau sunyi segera mengemas untuk bergerak pulang.
Baru sahaja mereka melangkahkan kaki, cahaya daripada lampu jalan yang ada di kiri dan kanan jalan mula berkelip-kelip seperti ada gangguan elektrik menyebabkan langkah mereka terhenti serentak. Lampu yang pada mulanya berkelip sekali sekala mula menggila untuk tempoh beberapa minit. Debaran didada mereka semakin kuat kerana merasakan ada sesuatu yang ingin mempermainkan mereka sambil memulakan langkah perlahan-lahan.
Sebaik sahaja lampu jalan berkelip-kelip dengan rancak sebelum terpadam serentak menyebabkan mereka semua bertempiaran lari menuju ke rumah dalam suasana yang gelap gelita. Mujur tiada sebarang kenderaan yang melalui jalan tersebut pada malam itu. Sepanjang mereka berlari menuju ke rumah, terdengar bunyi hilaian yang seakan-akan mengejar mereka daripada belakang.
Disebabkan rasa takut dan bertekad ingin segera sampai ke Homestay Baiduri, mereka akhirnya tiba di sana dalam masa yang singkat sebelum masuk ke dalam rumah dengan tergesa-gesa. Dari dalam rumah, mereka dapat mendengar bunyi hilaian ketawa, cakaran dan juga bunyi haiwan menguis daun kering di sekitar luar rumah sebelum berhenti apabila hampir masuk waktu subuh. Mereka hanya dapat tidur dengan aman selepas waktu dhuha pada hari itu.
*****
Waktu pagi Faizal dan kawan-kawannya pada hari jumaat itu dikejutkan dengan kehadiran Pak Andak dihadapan rumah. Salam yang diberi oleh Pak Andak segra disambut oleh mereka sebelum mengajak untuk masuk bersarapan bersama mereka.
"Pak Andak datang ni nak sampaikan berita sebenarnya." Ujar Pak Andak. Sementara Omar menyediakan cawan serta air di dapur dengan dibantu oleh Johar yang menyambung kembali memasak cekodoknya yang tertangguh semasa ketibaan Pak Andak sebentar tadi. Setelah semua penghuni rumah tersebut berkumpul di ruang tamu, tanpa melengahkan masa Pak Andak segera menyampaikan berita yang baru sahaja dia terima sebelum itu.
"Ni Pak Andak nak beritahu kamu semua. Masalah kepada gangguan dan haiwan ternakan orang kampung yang mati rupanya hasil perbuatan seorang bomoh yang bersembunyi disebuah pondok terletak di hujung ladang getah di hujung kampung. Dia yang sembelih kambing orang kampung untuk tujuan ritual sihir manakala haiwan ternakan yang mati tu pula adalah mangsa kepada makhluk halus peliharaan dia selama ini." Cerita Pak Andak sebelum berhenti untuk meneguk air teh yang dihidangkan oleh Kazim.
Setelah menghabiskan secawan teh, Pak Andak terus menyambung ceritanya. "Orang kampung sebelum ni ramai juga cuba cari bomoh tapi tak jumpa sebab dia ada ilmu pelindung diri yang membuatkan orang lain tak boleh nampak dia kalau ada niat tak baik dekat dia. Alhamdulillah, kebetulan pagi semalam sebelum subuh ada penoreh getah ternampak kelibat dia sebelum senyap-senyap ikut dia sampai ke tempat dia bersembunyi. Dengan bantuan orang ramai dan juga mereka yang mempunyai ilmu keagamaan yang tinggi, bomoh itu berjaya ditangkap sebelum diserahkan ke balai polis." Cerita daripada Pak Andak itu diakhiri dengan ucapan Alhamdulillah dan rasa syukur ke hidrat ilahi oleh Faizal dan kawan-kawannya.
"Lagi satu, Faizal. Keadaan Pak Long dengan Mak Uda kamu juga sudah beransur pulih berkat doa orang kampung semasa solat hajat dan usaha kawan Pak Andak yang merawat dia sebelum ni tanpa henti. In sha allah, kalau kamu semua takde apa-apa malam boleh Pak Andak bawa kamu melawat Pak Long" Beritahu Pak Andak kepada Faizal.
Berita yang Faizal terima mengenai keadaan Pak Long amat menggembirakan Faizal dan berhasrat untuk membawa kawan-kawannya berjumpa dengan Pak Long di rumahnya. Setelah hasratnya untuk menyampaikan berita kepada Faizal tercapai, Pak Andak segera meminta diri untuk pulang kerana ada urusan sekejap di kebun pisangnya sekejap lagi. Faizal dan kawan-kawannya berasa gembira kerana cuti pertengahan semester yang masih berbaki sekitar seminggu dapat dilalui dengan aman tanpa sebarang gangguan dengan berita penangkapan bomoh tersebut.
*****
Tepat pada pukul 3 petang di hari yang sama, penghuni rumah di Homestay Baiduri dikejutkan dengan kehadiran beberapa kereta polis bersama-sama dengan Pak Cik Azhar yang memberikan kunci rumah Homestay kepada Faizal sebelum ini.
"Ehh..Pak Cik Azhar?! Ada apa-apa jadi ke?" Tanya Faizal sebaik sahaja terpandang dua orang pegawai polis yang berada di sebelah Pak Cik Azhar setelah membuka pintu rumah pada petang itu.
"Maafkan pak cik sebab datang mengejut tak beritahu dulu. Sebenarnya pak cik cuma temankan pegawai polis yang nak siasat tempat ni berkaitan dengan satu kes pembunuhan." Jelas Pak Cik Azhar.
"Kes pembunuhan??!" terkejut Faizal dengan penjelasan Pak Cik Azhar. Kawan-kawannya yang terdengar ayat daripada mulut Faizal segera berkumpul didepan pintu rumah.
Untuk mengelakkan terjadinya kekecohan, seorang pegawai polis yang memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Roslan segera menjelaskan tujuan kedatangan mereka di situ dengan lebih lanjut.
"Maaf semua. Tujuan kami datang ke sini berkaitan dengan penangkapan bomoh di kampung ini tempoh hari. Menerusi maklumat yang kami terima daripada hasil soal jawab dengan suspek, suspek mengaku telah melakukan sebuah pembunuhan dan mayat itu telah ditanam di sekitar kawasan ini untuk menyembunyikan bukti pembunuhan yang telah dia lakukan.
Malah menurut maklumat daripada Encik Ibrahim, pemilik kepada Homestay Baiduri, Homestay ni juga jarang menerima kehadiran pengunjung melainkan pada setiap hujung tahun untuk bercuti. Suspek juga turut kami bawa ke sini untuk menunjukkan lokasi dia menyembunyikan mangsa yang dibunuh." Terang Inspektor Roslan panjang lebar. Faizal juga perasan akan kelibat seseorang yang berada di tempat duduk belakang di salah sebuah kereta polis yang ada disana.
Dengan keizinan Faizal dan kawan-kawannya serta peringatan untuk tidak menghalang tugas pihak berkuasa di situ, pihak polis segera melakukan siasatan dengan bantuan suspek yang dibawa.
Pada petang itu, sebuah penemuan berjaya dibongkar dimana sebuah rangka manusia yang mempunyai tengkorak kepala terbelah seperti dipotong dengan sesuatu seperti gergaji dan lokasi persembunyian itu terletak jauh di belakang rumah dimana Faizal dan kawan-kawannya menetap. Pihak polis segera pulang setelah berjaya mendapatkan segala bukti dan meletakkan notis larangan di lokasi penemuan dengan beberapa orang polis untuk menjaganya.
Kazim sempat memberikan pendapatnya seakan berseloroh semasa mereka semua berkumpul di ruang tamu malam itu sambil menonton televisyen, "Banyak betul pengalaman kita semua bercuti kat kampung kau, Faizal." Faizal yang mendengar hanya mampu tersenyum hambar dan sebelum disambut dengan keluhan mereka yang lain.
***TAMAT***
Share this novel