Baiklah. Ini adalah catatan terakhir aku sebelum bergelar err.. Alamak, malu pulak nak tulis dalam ni. Hehe.
Ceh. Ayat macam bagus sahaja, kan? Dalam jurnal sendiri pun nak malu. Bukan apa.. Bukankah pernah terjadi si Tsu sengaja baca jurnal aku ni. Ni yang duk fikir-fikir samada nak berterus-terang atau tak. Tsu, walaupun kau dah tahu status aku.. dan kalaulah kau terbaca halaman ni sekarang, aku doakan kaki kau tempang sebelah! Baik tutup cepat-cepat!
Hahaha.. Padan muka. Tak tahulah samada kau dah blah atau kau masih tatap ayat yang ni. Tempanglah kaki kau Tsu.. Amin.. Amin.. Amin!
Sebenarnya macam ni. Nak dijadikan cerita, petang semalamlah pencetus hikayat. Memang surprise sungguh dengan kunjungan orang yang tak disangka ke sini. Ke sini? Ha'a, bumi Skudai yang indah permai lagi mendamaikan jiwa. Tesis baru sahaja hantar minggu lepas. Alhamdulillah, semuanya berjalan sangat lancar. Tu pun, nasib baik ada Tsu yang tak putus-putus bagi semangat dekat aku. Tapi, aku memang tabik springlah dekat Tsu. Semangat dia buat projek.. fuh. Tak dapat digambarkan. Bila aku tanya, "Apa hal yang semangat sangat nih?" Dia jawab, "Kau tak ingat bapak aku ada company apa? Tak ingat apa dia pesan kat aku dulu? Kaukan ada masa tu!"
Haha. Papa Dato' memang tegas sungguh dengan Tsu ni. Anak bongsu katakan. Dah siap bagi syarat supaya fikirkan projek yang gempaq sebab lepas ni Tsu akan duduk di kerusi Director. Masa aku dengar papa Dato' cakap macam tu, kecut perut aku dibuatnya. Yelah. Papa Dato' tak tengok perangai anak bongsu dia kat sini. Haih, tak matang. Sungguh tak matang. Dalam tak matang Tsu tu, ada pulak orang yang suka. Dah bertunang pun. Hantar aje tesis, dah busy dengan majlis kahwin pulak. Hakim tu seorang doktor, tau! Haih, padanlah Tsu semangat gila dengan projek dia. Sebab nak sama taraf dengan doktor, kenalah jadi Director. Tsu... untung.. untung.
Alamak, termelalut jauh pula. Orang yang datang tu sebenarnya adalah Jiji. Kenapa dia datang? Ini satu hal yang boleh buat aku hangin satu badan. Kutlah alasan dia nak jumpa aku ke, rindu aku ke, nak tengok muka aku yang semakin bulat dan comel ke (maklumlah, tengah bahagia, kan..), atau apa-apa alasan yang berkaitan aku ke. Semuanya salah belaka. Aku punyalah excited sebab buah hati datang. Alih-alih dengan selambanya dia cakap, "Mama Ema suruh aku datang ambik barang-barang korang berdua."
Apa lagi. Mencukalah aku sepanjang hari semalam. Memang aku plan nak tumpang barang-barang aku kat rumah Tsu buat sementara waktu. Dah jadi yatim piatu ni, aku ingat nak cari kerja di KL dan hidup berdikari. Bila dah dapat kerja dan sewa rumah, baru aku angkut balik barang-barang aku dari rumah mewah Tsu tu. Mama Datin dan papa Dato' setuju aje. Makanya aku ingat, Abang Taufik Tsu ke yang datang, Ini tak, kekasih aku pula yang muncul (kekasih eh?) Masa bawak turun barang-barang dari bilik ke kereta, aku diam aje tak cakap apa-apa pun dengan Jiji. Dia berborak sahaja dengan Tsu yang waktu tu dah habis angkat barang. Yelah, barang Tsu tak banyak macam aku. Aku punya barang dikumpul selama 4 tahun. Tak sama macam Tsu yang selalu bawak balik barang-barang dia bila tiba cuti semester.
Lagi aku hangin bila Jiji tak offer langsung nak tolong. Aih, tak pernah aku dengar cerita dari kengkawan yang ada buah hati sanggup tengok awek-awek diorang angkat barang berkotak-kotak. Secara langsung, aku memang pelik sungguh dengan Jiji. Dia boleh tengok aje aku terbongkok-bongkok angkat barang sendirian? Ahh, buah hati apa macam tu?! Hish, rasanya aku memang patut fikir 40 kali dulu sebelum setuju nak jadi pasangan dia. Fikir, Aimy.. Fikirkan masa depan anda!
Aku agak hampir satu jam juga aku ulang-alik bilik-kereta untuk angkut barang. Last barang yang aku angkat adalah sebuah kotak yang berisi nota-nota kuliah. Sayangnya nak bagi junior. Aku sayang sangat dengan buku-buku nota aku. Tsu pun puji buku nota aku yang lengkap dan kemas itu. Makanya, aku rasa aku tak nak berpisah dengan nota-nota yang dah banyak tolong aku dalam kuiz dan exam. Angkat ajelah semua! Dan ketika itu, ada pulak suara yang berbunyi, "Berapa banyak kotak lagi ni?"
Uh, bising betul! Nak tak nak aku jawab juga, "Ini last." Aku tahu dia tak sabar nak blah dari sini bila dia angguk-anggukkan kepala lepas dengar jawapan aku. Sedih aje aku rasa. Kenapa kali ni dia lain sangat. Selalunya dalam emel, boleh aje nak cakap 'Miss You'. Bila dah duk depan-depan macam ni, sepatah haram pun tak terdengar. Dia dah jumpa orang lain yang lebih baik dari aku ke? Lagi comel? Kalau tahu akan jumpa orang baru, kenapa susah-susah tackle aku dulu? Nak merajuk. Tak kira!!
Share this novel