Adrian membuka mata apabila sinaran matahari menerobos masuk ke biliknya melalui langsir yang sedikit terbuka. Dia menggeliat malas lalu melirik jam di tangannya. Pukul sembilan pagi. Hari ini dia hanya mahu bermalas-malasan di rumah dan menghabiskan masa bersama Lora.
Menoleh ke samping kiri, dia melihat tempat tidur di sebelahnya sudah kosong; petanda bahawa Miya sudah bangun.
Hujung minggu pun bangun awal, ketusnya dalam hati.
Dia bangun lalu bersandar pada kepala katil sebelum matanya terpandang sticky note yang dilekatkan di atas meja di sisi katil. Ditarik nota itu lalu membaca catatannya:
-Saya pergi jogging.-
Tergetus tawa dari bibirnya.
Dah kurus kering nak jogging lagi.
Adrian bangkit, berniat mahu menjenguk Lora di biliknya. Namun, ketika dia keluar, dia melihat Lora sedang berdiri di ruang tamu sambil melilau seperti mencari sesuatu.
“Lora…” tegurnya.
Lora toleh. "Daddy..."
Segera Adrian mendekati anaknya itu yang masih mamai dan kelihatan agak panik.
“What’s wrong?” Adrian bertinggung sambil memandang tepat ke mata Lora.
“Where is she?” tanya Lora.
Adrian mengerutkan dahi. She? Adakah Lora memaksudkan Miya?
“Auntie Miya?” Adrian bertanya untuk kepastian.
Lora mengangguk.
“Dia pergi jogging. Sekejap lagi dia balik,” ujar Adrian.
Lora kelihatan lega. Wajah yang tadinya tegang kembali kendur. Sempat mata Adrian menangkap ekspresi anaknya itu.
“Kenapa cari auntie?” tanyanya.
Lora geleng. "Nothing."
“Hmmm..Jom kita mandi dulu. Auntie balik nanti, kita pergi breakfast,” ujar Adrian lalu mendukung Lora ke biliknya.
MIYA hanya berjoging tidak jauh dari kawasan kondominium. Sudah menjadi rutinnya, setiap kali hujung minggu dia akan keluar berjoging.
Bukan untuk kurus, tetapi untuk stamina. Kerjayanya menuntut komitmen yang tinggi dan dia perlu stamina yang cukup untuk membolehkan dia melakukan semua kerjanya dengan sempurna. Tambahan pula sekarang, dia ada tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Lora dan Adrian. Ternyata melayan Lora lebih mudah daripada melayan Adrian walaupun Lora agak dingin dan tidak sukakannya.
Ketika Miya melangkah masuk, dia melihat Lora sedang menonton kartun kegemarannya, sementara Adrian sedang bercakap dengan seseorang di telefon.
“Hai Lora. Dah breakfast?” tanya Miya.
Lora menggeleng tanpa memandang Miya.
“Nak breakfast sekarang?” tanya Miya. Sebelum keluar joging pagi tadi, dia sempat menyediakan sarapan ringkas untuk mereka bertiga.
Lora tidak menjawab, tetapi dia bangun dan terus menuju ke ruang makan.
Adrian pula menyusul selepas menamatkan panggilan dari Eryna.
Miya baru mengeluarkan Burito dari microwave. Lora pula hanya duduk dengan senyap di meja sambil menghirup susunya yang mungkin baru dibancuh oleh Miya.
“Burito ni dah sejuk. Jadi saya panaskan dulu,” ujar Miya sambil memotong burito berinti ayam dan cendawan itu secara menyerong lalu menyusunnya di atas pinggan sebelum dihulurkan kepada Adrian dan Lora.
“Be careful, it’s hot,” ujar Miya ketika menghulurkan pinggan burrito itu kepada Lora.
Adrian hanya memerhati. Miya masih muda dan belum mempunyai anak, tetapi cara dia melayan Lora seolah-olah dia sudah berpengalaman. Dia sebagai bapa pun kadang-kadang kekok untuk menjaga dan menguruskan Lora, kerana semuanya dilakukan oleh pengasuh dan pembantu rumah. Ketika Dahlia masih ada, Dahlia yang menguruskan semuanya.
“You look like you’re having an experience with kids,” ujar Adrian.
“I used to work in a nursery before I got my current job,” balas Miya.
“I see.” Adrian mengangguk-angguk.
Beberapa minit, suasana di meja makan itu hening apabila masing-masing menikmati sarapan. Sesekali Miya membantu Lora apabila melihat anak itu terkial-kial mahu menyuap buritonya.
“You have any plans today?” tanya Adrian tiba-tiba.
Miya mengangkat muka dan menggeleng.
“Nope. Just thinking of doing some general cleaning,” balas Miya.
“Saya dah suruh maid datang esok. Lepas kerja dia selesai, dia balik,” ujar Adrian.
Walaupun dia tidak cintakan Miya, tetapi dia tidak suka melihat Miya melakukan kerja-kerja rumah seperti itu. Cukuplah Miya memasak dan melayan semua keperluan dia dan Lora setiap hari.
“Maid datang sekali seminggu je untuk buat general cleaning,” tegas Adrian apabila melihat Miya agak keberatan. Faham benar dia dengan kecerewetan Miya.
“Okay.” Miya akhirnya akur. "Tapi..."
"Saya dah pesan dekat maid pastikan tak ada habuk yang tertinggal walaupun sebesar hujung kuku."
"O-kay..." Miya angguk sekali. "...jangan lupa..."
"Lap habuk celah-celah remotes, pasu, belakang langsir, railing dan...semua...barang perhiasan." Adrian pantas menyela; bagai tahu apa yang mahu disampaikan Miya. Walaupun belum lama hidup bersama, namun semua tabiat Miya dia sudah hafal. Pantang ada masa terluang, Miya akan bersila mengelap semua barang di dalam rumah. Daripada sekecil-kecil perhiasan sehingga sebesar-besar perabot, semua dilap tanpa bersisa satu habuk pun. Kata Miya, habuk ialah musuh ketatnya yang utama. Ya, betullah. Siapa saja yang berkawan dengan habuk?
SELEPAS sarapan, Lora menuju ke biliknya dan kembali dengan membawa sebuah buku. Tanpa berkata apa-apa, dia menghulurkan buku itu kepada daddynya.
Adrian membaca kandungan buku itu yang digunakan oleh pihak sekolah untuk membuat pemberitahuan atau menyampaikan mesej penting kepada ibu bapa.
"Oh, Sabtu ni hari sukan?" Wajah Lora yang nampak berharap itu dia pandang.
Lora angguk.
“Okay, I'll go,” ujar Adrian.
Lora tidak memberikan sebarang reaksi dengan jawapan daddynya itu. Matanya memandang Miya yang sedang mengunyah buritonya sambil melihat telefon.
Adrian turut menghalakan pandangannya ke arah Miya. Rasanya dia tahu apa yang bermain di fikiran Lora.
Miya yang menyedari dirinya diperhatikan, berhenti mengunyah. Adrian dan Lora dipandang silih berganti.
“What’s wrong?” tanyanya.
Adrian tidak menjawab sebaliknya menghulurkan buku mesej di tangannya kepada Miya.
Miya menyambut buku yang dihulurkan Adrian lantas membaca kandungannya. Tidak mengambil masa yang lama untuk dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Adrian dan Lora melalui tatapan mereka tadi
“Lora nak Miya pergi ke?” tanyanya.
“Well, if you insist.”
Menganga Miya tidak percaya dengan jawapan Lora. Boleh tahan ego. Sebijik bapaknya!
Adrian pula menahan ketawa dengan jawapan Lora. Ego. Sedangkan dia tahu Lora mahu Miya pergi ke hari sukannya. Tatapan Lora pada Miya tadi langsung tidak berbohong. Tahun lepas mood Lora agak buruk kerana mommynya tidak ada bersama. Hanya dia dan Datin Fauziah yang menemani Lora ketika itu. Bertambah buruk mood Lora apabila dia tidak mendapat sebarang pingat dalam acara sukan yang disertainya. Malah Lora menyalahkan dia dan neneknya yang tidak memberi sokongan menyebabkan dia kalah dalam semua acara.
“Miya sebenarnya ada plan dengan kawan-kawan hari Sabtu ni. So, I'm sorry. Miya tak dapat ikut." Miya memulakan serangan balas. Menghirup kopinya, mata melirik Lora yang nampak kecewa. Puas hatinya. Lora tidak mahu mengaku, dia akan memaksa Lora sehingga mengaku. Dia punya banyak cara untuk memanipulasi fikiran dan tindakan orang.
“Then, it’s okay. I’ll go with daddy.” Lora masih dengan egonya.
“Okay…” Miya juga tidak mahu mengalah. Jari menatal skrin telefon, sebelum tiba-tiba membuat reaksi terkejut sambil menekup mulutnya. “Ala...dia orang cancel plan la pulak...” Meleret suaranya dengan nada kecewa.
Mata Lora bersinar ceria. “Then, can you go to my sport’s day?” tanyanya teruja dan tanpa sedar dia memegang lengan Miya.
Miya tersenyum puas. Kemenangan berpihak kepadanya. “Well, if you insist.” Dia mengulang kata-kata Lora tadi.
Lora mula menyedari perangkap Miya. Berubah wajahnya sambil melepaskan lengan Miya. Malu kerana menunjukkan keterujaan mahu Miya hadir ke hari sukannya. Dengan wajah masam, dia berlari ke arah Adrian lalu menyembamkan muka ke dada daddynya itu.
Adrian tertawa sambil mengusap-usap belakang kepala anaknya itu.
“Tak perlu malu-malu Miss Lora. You can count on me to be there and I promise to give you enough support so that you’ll get gold medal, huh.”
Lora tidak membalas. Malah langsung tidak memusingkan mukanya dari dada Adrian.
Tidak mengambil hati dengan sikap Lora itu, Miya bangun dan mula membersihkan meja makan.
Adrian hanya memerhati. Dia akui tindakan Miya tadi bukan hanya mencuri hati Lora, tetapi turut mengusik hatinya. Dia suka dengan cara Miya bergurau dan mendekati anaknya. Terlihat bersahaja dan tidak melebih-lebih.
.
.
.
-SAYA balik lambat hari ni. Nak cari tshirt merah for Lora's sports day.- Adrian membaca isi pesan Miya saat dia keluar dari pejabat petang itu.
Malas membuang masa menaip mesej, dia menekan nombor Miya. Hanya beberapa kali deringan, panggilannya bersambut.
"Dekat mana?" Tidak menunggu Miya menyapa terlebih dahulu, Adrian langsung bertanya.
"Baru sampai Pavi."
"Baru sekejap tadi awak mesej saya bagitahu nak balik lambat, and now you're at Pavi already?"
"That message was sent two hours ago."
Aaron terdiam. Malu sendiri kerana sudah salah sangka.
"Saya mungkin tak sempat balik masak. So .."
"Dengan siapa?" Adrian memotong percakapan Miya.
"Sorang."
"Wait for me. I'll be there in 40 minutes." Tanpa menunggu jawapan Miya, dia mematikan talian.
MIYA memandang sebal skrin telefonnya. Tidak bolehkah Adrian berkelakuan lebih manusiawi? Setidaknya, tunggulah dia menjawab okey, baru putuskan panggilan.
Malas terlalu memikirkan Adrian, Miya melangkah masuk ke dalam Pavilion; mencuci mata terlebih dahulu di butik-butik menjual beg tangan dan kasut. Tidak berniat mahu membeli. Hanya mahu membunuh waktu sementara menunggu Adrian.
Dari satu butik ke satu butik, tidak sedar sudah hampir sejam berlalu.
"This is our new arrival," ujar seorang jurujual ketika Miya melihat-lihat sebuah beg tangan jenis flap berwarna putih dengan top handle. Nampak benar-benar elegan dan eksklusif, ditambah dengan logo jenama itu terpampang jelas di bahagian depannya.
" The price is RM32 682." Nampak ramah, dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya, namun nadanya seolah-olah meremehkan jika Miya tidak salah menilai.
"Oh it's o..."
"Buy it if you like it." Satu suara tiba-tiba memotong perkataan Miya membuat Miya dan jurujual itu menoleh ke arah sumber suara.
Kelihatan Adrian sudah berdiri di belakangnya bersama Akram.
"Didn't I give you my black card?" soal Adrian.
"Yeah...but..."
"You want it?" tanya Adrian.
"No...No...Saja nak tengok-tengok sementara..."
"I pick this one," ujar Adrian sambil memandang jurujual itu dengan tatapan datar.
"What?" Miya melotot. Bila pula dia mahukan beg itu? Apa Adrian salah dengar?
"I don't want it," ujarnya.
"Oh, nak yang lain?"
"Bukan..."
"So, proceed with the white one," ujar Adrian sambil menunjuk ke arah beg tangan berwarna putih yang dilihat Miya tadi.
Jurujual itu mengangguk akur, sebelum beredar ke bahagian dalam, mengambil beg baru.
Miya berdecit. Memang Adrian memberinya kad yang membolehkan dia berbelanja semahunya, tetapi mereka akan bercerai setahun dari sekarang. Jadi tidak enak rasanya dia menghabiskan puluhan ribu wang lelaki itu hanya untuk sebuah beg tangan. Ya, bukan apa. Bimbang jika disuruh bayar semula nanti. Mana mahu dicekau duit sebanyak itu?
"Bagi kunci kereta awak pada Akram. Nanti awak balik dengan saya," ujar Adrian.
"Habis tu esok saya nak pergi kerja naik apa?"
"Nanti Akram tinggalkan kereta awak kat parking."
Miya mahu membantah, namun melihat wajah Adrian yang kelat seperti pisang berangan setengah masak, dia akhirnya menurut saja. Digagau kunci kereta di dalam beg tangan sebelum menyerahkannya kepada Akram.
Beberapa minit menunggu, jurujual wanita tadi menghampiri; meminta mereka memeriksa keadaan beg itu untuk memastikan keadaannya baik sebelum ke kaunter untuk membuat bayaran.
"Use the card I gave you," ujar Adrian.
Lambat-lambat Miya mengeluarkan dompet lalu mengambil kad yang diberikan Adrian tempoh hari. Separuh hati saja dia menyerahkan kad itu kepada juruwang untuk dileret pada mesin kad kredit. Dalam kepalanya dia berkira-kira berapa ratus yang dia perlu simpan setiap bulan untuk membayar semula harga beg itu jika dituntut Adrian kelak. Namun, bila dikira-kira, sebulan gajinya selepas ditolak komitmen bulanan perlu dikumpul tanpa perlu makan dan minum.
"Next time you need to learn with my wife how to use the right tone and intonation when facing customers. Even...They have no intention to buy." Adrian tiba-tiba bersuara sambil mata menatap tajam jurujual tadi.
Menganga Miya dengan kata-kata Adrian. Tidak sangka lelaki itu mengambil serius dengan layanan jurujual itu tadi sedangkan dia hanya menganggap itu perkara remeh. Ya, bukan dia ditengking, dimarah atau dimalukan khalayak ramai. Setakat nada sinis atau menyindir itu biasa. Tidak berbekas sedikit pun di hatinya.
"I'm sorry for my insolence," ujar jurujual itu dengan senyum canggung.
"Say sorry to my wife "
Jurujual itu memusingkan tubuhnya, memandang Miya lantas meminta maaf sambil menundukkan sedikit kepalanya.
"I'm sorry madam."
Miya hanya mengangguk dan tersenyum. Dalam hati berdoa supaya Adrian tidak memanjangkan hal remeh ini.
"Your tone should always start positive and upbeat. The tone of voice is so important to make customers feel at ease, assured and happy." Adrian masih belum selesai rupanya.
"Adrian...Dah selesai. Let's go," ujar Miya separuh berbisik lantas memaut lengan Adrian; berniat mahu menarik suaminya keluar dari butik itu.
"Using the right tone is not just about being nice. It helps us get things done because its phrasing is simpler and it uses fewer words. And it will encourage people to buy."
Miya kemam bibir. Menahan malu, geram, dan segan. Diusap-usap lengan Adrian sebagai satu bentuk isyarat supaya lelaki itu tidak melanjutkan bicara. Apatah lagi melihat wajah jurujual itu dan rakannya di kaunter juruwang terkulat-kulat tidak tahu harus membalas apa.
"I'm pretty sure she will use the right tone after this," ujar Miya separuh berbisik.
Mendengar suara Miya, wajah tegang Adrian perlahan mengendur. Dengan satu jelingan tajam dan wajah masam, ditarik tangan Miya keluar dari butik itu.
"Itu gunanya kad yang saya bagi pada awak!" ujar Adrian ketika mereka menaiki eskalator untuk ke tingkat seterusnya, mencari kedai yang menjual pakaian sukan.
"Untuk beli handbag mahal?"
"Yes! Walaupun awak tak berniat nak beli, tapi awak kena beli bila orang meremehkan awak macam awak tak ada duit."
Berkerut dahi Miya dengan kata-kata Adrian sebelum dia tertawa perlahan. "Kenapa nak peduli dengan orang? Biarlah dia nak anggap saya tak ada duit daripada membazir 30 ribu untuk beli handbag."
"Membazir kalau beli tapi tak pakai. Dah beli mahal, gunalah!" Adrian menjawab ketus.
Miya malas menjawab lagi melihat mood Adrian yang tidak begitu baik.
MEREKA melangkah masuk ke sebuah butik pakaian sukan yang terletak di tingkat lima.
"Semalam saya tanya Lora, dia kata dia rumah merah. So, kita kena beli baju merah," ujar Miya.
Tiada tanggapan daripada Adrian, tetapi dalam hati dia memuji kepekaan Miya. Tahun lepas, dia hanya memakai t shirt yang ada di almarinya saja tanpa mengikut warna rumah sukan Lora. Fikirnya, asal hadir sudah memadai.
Setelah puas memilih, mereka akhirnya membeli t shirt leher bulat daripada fabrik jenis mikro fiber. Setelah selesai membuat pembayaran, Adrian mengajak Miya makan malam di sebuah restoran makanan Cina.
"How about Lora?" tanya Miya, mengingat mereka hanya makan berdua tanpa ada Lora bersama.
"Lepas ni kita jemput dia."
Miya tidak berkata apa-apa lagi. Menunggu makanan sampai terasa begitu seksa. Seperti pesalah menunggu hakim menjtuhkan hukuman. Resah, gelisah, panik, entah semacam apa perasaan lagi. Mana tidak, duduk berhadapan dengan Adrian, tetapi lelaki itu hanya papar wajah datar. Tidak berbual dan tidak cuba juga untuk berbual. Beku sahaja seperti tugu peringatan. Tidak tahu harus berbuat apa sementara menunggu makanan mereka sampai, Miya mengeluarkan telefonnya. Melayari Fac atau IG sepertinya lebih baik daripada mengadap wajah Adrian.
"No phone at dinner table," ujar Adrian membuat Miya segera menyimpan telefonnya. Sudahnya, dia hanya duduk tegak di depan Adrian, melihat orang-orang sekeliling sambil mengira jumlah kerusi dan meja di restoran itu.
Suasana sepi itu berterusan sehingga mereka selesai makan dan berlarutan sehingga mereka sampai ke rumah. Miya juga tidak cuba untuk membuka bicara kerana bmbang dibiar berlalu sepi. Nanti dia juga yang malu sendiri.
.
.
.
MENGEMBANG senyum Lora melihat Miya dan daddynya memakai baju T berwarna merah. Gelagat ala cheer leader Miya juga membuat senyumannya semakin lebar.
"Victory is our aim, red team in the game! Woooo....."
"Rumah merah mesti dapat banyak pingat hari ni," ujar Miya bersemangat.
Adrian ikut tersenyum apabila melihat senyuman pada wajah Lora.
"Hari ni Lora kena makan banyak, baru ada stamina nak fight rumah lain," ujar Miya sambil menyodorkan sepinggan nasi goreng dengan kuantiti yang lebih banyak daripada biasa kepada Lora.
Lora akur walaupun selalunya dia akan menolak sarapan berasaskan nasi. Kembung-kembung mulutnya mengunyah sehingga licin nasi di pinggannya.
"Good. Sekarang habiskan susu tu," ujar Miya lagi dan tidak dibantah oleh Lora.
"Okay, now you're ready to fight!"
TEPAT jam lapan pagi acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat oleh kontinjen rumah sukan. Adrian bersedia dengan telefonnya untuk merakam. Miya pula teruja melihat anak-anak kecil berusia empat hingga enam tahun berbaris dan melakukan lintas hormat dengan kaki yang dihentak-hentak seperti melakukan kawad kaki. Sumbang dan tidak seragam tetapi tetap kelihatan comel.
Selepas itu barulah acara sukaneka dimulakan. Bawa bola ping pong dengan sudu menjadi acara pertama. Miya sudah bersedia di tepi padang apabila melihat Lora menyertai acara itu.
Terdapat empat buah rumah sukan iaitu rumah sukan Merah, Hijau, Biru, dan Kuning. Setiap pasukan mempunyai lima peserta untuk acara ini. Pada awalnya rumah Biru mendahului. Diikuti oleh rumah Merah, Kuning dan akhir sekali Hijau. Lora menjadi peserta ketiga yang membawa sudu berisi bola itu.
“Okay Lora! Go..Go.. Jia you..Jia you..” Miya menjerit sambil bersorak dan bertepuk tangan, memberi semangat kepada Lora.
“Argh….Lora faster! The Yellow boy is getting closer to you!”
Mendengar jeritan Miya, Lora melajukan langkahnya. Tetapi tidak lupa untuk berhati-hati supaya bola itu tidak terjatuh dari sudu. Namun entah bagaimana, kakinya tiba-tiba tersadung. Membuat dia terjatuh dan bolanya tergolek keluar dari sudu. Adrian hampir menerpa ke arah Lora, tetapi Miya menahannya.
“Lora, get up! Take the ball! Come on!” jerit Miya.
Lora yang hampir menangis, cepat-cepat bangun semula. Dia mengutip bolanya dan kembali berjalan dengan langkah yang laju ke arah pasukannya. Suasana sungguh riuh dengan jeritan dan sokongan ibu bapa kepada anak-anak mereka. Akhirnya pasukan Lora mendapat tempat kedua untuk acara itu. Lora kelihatan agak kecewa. Mencuka wajahnya menggambarkan perasaan tidak puas hati. Adrian memujuk sambil memeluknya. Miya hanya memerhati sambil tersenyum nipis. Dia suka melihat cara Adrian melayani Lora. Layanan yang sepantasnya didapat oleh anak perempuan daripada bapanya.
Acara terus berlangsung dengan meriah. Lora dan pasukannya mendapat tempat pertama untuk dua acara yang seterusnya. Sorakan Miya yang menjerit namanya membuat Lora tersenyum.
Sebagai penutup acara, ibu bapa dipelawa untuk mengambil bahagian dalam beberapa acara yang telah diatur. Adrian malas mengambil bahagian, tetapi Miya kelihatan teruja. Cepat sahaja dia bersetuju apabila guru kelas Lora bertanya sama ada dia mahu mengambil bahagian atau tidak. Adrian yang pada mulanya enggan, akhirnya mengambil bahagian juga setelah melihat muka cemberut Lora dan samar-samar dia mendengar anaknya itu mengatakan dia tidak sporting.
Miya mengambil bahagian dalam acara kereta api dadu. Mereka berdiri dalam barisan seramai sepuluh orang dan perlu memegang bahu orang di hadapan. Acara ini khusus untuk ibu-ibu dan mereka mewakili rumah sukan anak masing-masing. Peserta paling depan akan membaling dadu. Jika mereka mendapat nilai genap, mereka perlu maju ke depan secara serentak. Jika mendapat nombor ganjil, mereka perlu mundur.
Suasana gamat dengan gelak ketawa apabila mendapat nombor genap, mereka melebarkan langkah ke depan supaya cepat sampai ke garisan penamat. Apabila mendapat nombor ganjil, mereka hanya mundur sedikit sahaja.
Adrian tidak mensia-siakan peluang merakam aksi Miya. Bila lagi mahu melihat Miya dari sisi hodohnya. Lora juga tidak mampu menahan ketawa melihat aksi Miya dan pasukannya.
Akhirnya pasukan Miya mendapat tempat pertama untuk acara itu. Lora melompat sambil bertepuk tangan meraikan kejayaan Miya. Tersenyum Adrian melihat aksi Lora. Sudah lama dia tidak melihat Lora gembira begitu.
Selesai acara kaum ibu, bapa pula mengambil giliran. Acara yang lebih ekstrem di mana bapa perlu melompat sehingga ke garisan penamat sambil mengepit bola di celah kaki.
Miya mengambil alih tugas merakam aksi Adrian sambil ditemani Lora. Nyaring Lora menjerit memanggil daddynya memberi sokongan.
Terbahak-bahak Miya ketawa melihat aksi Adrian melompat sambil mengepit bola di celah kakinya. Sebaik sampai di garisan penamat, bola yang dikepitnya kemek seperti lempeng dan terpaksa digantikan dengan bola lain untuk peserta seterusnya.
“Lora, look at your daddy…Hahaha.” Miya tidak dapat menahan ketawa sehingga video yang dirakamnya pun ikut bergegar.
“Bola daddy Carmen tak kemek pun. Kenapa daddy punya bola kemek?” protes Lora.
“I don’t know. Hahaha…” Miya masih belum berhenti ketawa. Sempat otak jahatnya terfikir untuk memuat naik video itu di laman IG rasmi DayMond Jewels. Tetapi sesaat kemudian otak warasnya menegah. Sekali Adrian marah, tak pasal-pasal dia dilucut jawatan.
Hampir pukul sebelas pagi, acara selesai. Lora mendapat satu pingat perak dan dua pingat emas. Senyum terpancar di wajahnya menunjukkan dia benar-benar gembira dan berpuas hati dengan pencapaiannya.
Dalam perjalanan pulang, Miya tertidur sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Lora juga tertidur di car seatnya di tempat duduk belakang. Tinggal Adrian terkebil-kebil memandu sendirian.
Ketika dia memberhentikan keretanya di lampu isyarat, dia melirik Miya yang terlentok ke pintu kereta. Kemudian, melalui cermin pandang belakang, dia melihat Lora juga terlena dengan masih mengalungkan tiga pingat yang dimenangi di lehernya. Rasa bahagia dan hangat menyelinap ke dalam hati. Dia benar-benar menghargai usaha Miya hari ini. Memberi sokongan kepada Lora setiap kali anak itu menyertai pertandingan. Lora yang sebelumnya dingin dan pendiam, sudah pandai menjerit dan memberi sokongan kepada kawan-kawannya yang menyertai acara.
Malah gurunya juga memuji perubahan sikap Lora. Adrian tidak menolak, perubahan itu mungkin kerana Miya.
Share this novel