To Be Continue 121212
HAWON
"Wush! bapaklah busuk!" Irfan tutup hidung walaupun dah pakai topeng muka. Bau busuk masih boleh menembusi lubang hidungnya. Rasa nak muntah tengok bangkai mayat dalam tab mandi. Nampak sangat mukanya begitu geli.
"Memanglah busuk, 7 hari dah mayat ni. Busuk ke tak aku nak kau ambil semua gambar kat dalam kondo ni untuk bahan bukti." Kata Farah.
Irfan pasrah dalam hati mengeluh. Terketar-ketar tangannya mahu menangkap gambar. Tak ada alasan untuk dia menolak kerana sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai forensik. Sudah 3 tahun dia berkhidmat, belum pernah dia menangkap gambar mayat yang sungguh ngeri itu. Tertelan air liurnya. Tahan sahajalah bau busuk dan hanyir itu. Mayat lelaki berusia 30-an itu masih terendam dalam air.
Farah keluar dari situ, matanya meliar dan memerhati sekeliling kondo milik mangsa. Otaknya tak berhenti-henti berfikir. Firasatnya cukup kuat, pembunuh ini sungguh misteri, licik dan bijak. Baru pertama kali, kes seperti itu merungsingkan pemikirannya. Mayat dibunuh cara halus tetapi kejam. Apa yang pasti lelaki yang dibunuh itu tidak dibunuh di kondo miliknya kerana mayat ditinggalkan dengan elok berpakaian tetapi mulutnya ditoreh, dua pergelangan tangan diikat dan dua belah kakinya disilang menjadi W position. Bukan hanya disilang, tulang kaki mangsa patah dan terkoyak. Apa yang peliknya adalah motif pembunuh meninggalkan mayat di tab mandi. Jika hendak dikatakan mangsa dibunuh kerana dirompak mustahil kerana tiada barang berharga yang hilang. Jauh sekali juga sebab kes bunuh diri.
Sedang Farah geledah dia terjumpa dompet dan kad pengenalan mangsa. Farah lantas membukanya dengan sarung tangan. Mangsa seorang peguam dan sudahpun berkahwin kerana gambar seorang perempuan dan anak kecil terselit disebalik dompetnya. Berkerut dahi Farah.
"Cik Farah tengok ni. Saya jumpa nota ni dalam kereta mangsa." Zafran datang kepada Farah setelah membuat pemeriksaan di kereta mangsa.
Nota itu tertulis TO BE CONTINUE 121212
Berkerut lagi dahi Farah.
"Awak jumpa nota ni kat mana?" Tanya Farah.
"Kat cermin kereta mangsa, saya rasa nota ni sengaja ditulis oleh pembunuh." Jawab Zafran.
Farah mengangguk perlahan. Setuju dengan pendapat Zafran. Farah boleh faham disebalik nota tersebut. Ini bermakna, akan ada pembunuhan berlaku sekali lagi. Namun, apa maksud kod 121212? Kes ni semakin serius untuk ditangani oleh mereka bertiga iaitu Farah, Irfan dan Zafran. Mayat lelaki itu dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. Keputusan bedah siasat mengambil masa yang lama. Farah memang tak boleh sabar.
10 keping gambar ditampal di mirrorboard yang ditangkap oleh Irfan berkenaan dengan kes pembunuhan tadi ditenung lama oleh Farah. Dia duduk diatas meja sambil kedua belah tangannya ke dalam kocek seluar. Semakin banyak dia berfikir semakin kecil anak matanya. Ada satu keping gambar yang telah menarik perhatiannya iaitu kod 121212. Kod itu bukan sahaja ditinggalkan di nota malah kod itu ditoreh di belakang leher mangsa. Tak boleh nak bayangkan betapa seksanya ambang maut lelaki yang mati itu.
"BOO!!" Irfan sergah Farah. Terangkat bahunya kerana terkejut.
Irfan berusia 26 tahun. Amat rapat dengan Farah sejak dia intern lagi. Orang pertama sekali yang paling rapat dengan Farah adalah Irfan. Irfan sudah menggangap Farah seperti kakaknya tetapi kuat membodek dan menyakat Farah.
"Sudah-sudahlah tu Kak Farah, esokkan masih ada lagi. Tengok jam tu dah pukul 8. Jomlah balik." Ajak Irfan.
"Apa masalahnya, macamlah kau dengan aku tinggal sebumbung." Jawab Farah selamba.
"Eh jap saya belum habis cakap lagi maksud saya jomlah balik saya nak tumpang akak." Tersengih serupa kerang busuk si Irfan.
Farah menggeleng dan menjeling.
"Okaylah kalau macam tu saya balik dulu. Jumpa esok!" Irfan beredar meninggalkan Farah.
"Eh Cik Farah tak balik lagi " Sekali lagi ada suara menyapa Farah.
Semua ada kesedaran berkemas nak balik. Farah sekali dia fokus sampai bila-bila dia tak peduli keadaan sekeliling. Zafran muda setahun sahaja dengan Irfan. Dia paling menghormati Farah dan layanannya kepada Farah tidak seperti Irfan. Zafran agak formal dengan Farah. Penampilannya yang manis dan tinggi selalu diminati oleh pekerja wanita yang bujang di Unit Forensik 2 meskipun mereka bertiga itu di Unit Detektif dan Forensik 4. Unit yang bertanggungjawab menyelesaikan kes dan jenayah yang besar. Hampir 5 kes daripada 10 kes telah diselesaikan oleh mereka. Farah adalah ketua bagi Unit Forensik 4. Mereka pernah dipuji dan dimarahi oleh pihak atasan. Jika ada kes yang gagal diselesaikan, kes itu akan berpindah ke unit lain. Setiap unit tak pernah ada persefahaman yang baik. Itu adalah ujian dan cabaran buat mereka lagi-lagi Farah.
"Nah, ni USB cctv yang sempat saya ambil dari pengawal keselamatan di Kondo tadi." Zafran memberi USB berwarna merah kepada Farah sebelum hendak balik.
"Thank you Zafran, awak balik naik apa ni?" Tanya Farah sambil tangannya menerima USB.
"Naik ... Buroq." Zafran kenyit mata.
Farah tersenyum pelik. Tak pernah-pernah Zafran berjenaka.
"Haha tak adalah, saya naik train. Kereta saya kat bengkel lagi." Zafran kembali serius.
"Teruk sangat ke kereta awak?" Tanya Farah nak tahu.
"Ermm teruk jugalah, lepas 5 hari macam tu baru siap. Kalau tak ada apa-apa lagi saya balik dulu. Cik Farah nak balik pukul berapa ni?"
"Lepas saya tengok rekod cctv ni saya baliklah. Saya nak minta tolong, awak dapatkan maklumat tentang isteri dan anak mangsa nanti boleh?"
Zafran angguk dan senyum tanda menerima tugasan dari Farah. Sebaik sahaja Zafran beredar, Farah pergi ke mejanya membuka komputer dan cucuk USB yang diberi oleh Zafran untuk melihat rakaman. Dia menggigit kuku jari, video yang hendak dimainkan mengambil masa. Tiba-tiba komputer kepunyaannya lembab. Farah bukan seorang yang penyabar.
Tiba-tiba bulu romanya meremang sebaik sahaja melihat rakaman itu. Dalam rakaman tu kereta jenis Mercedes Benz warna hitam muncul di parking kereta. Kereta itu adalah kepunyaan mangsa. Orang yang keluar dari perut kereta di pintu pemandu bukan mangsa tetapi seorang lelaki bertubuh tinggi serba hitam dan bertopeng. Dia mengeluarkan beg bagasi besar dari bonet kereta. Kelakuannya sungguh tenang berdepan dengan situasi itu. Dia menarik beg bagasi warna merah itu sehingga ke dalam kondo. Sayangnya cctv hanya dapat dirakam sampai di pintu masuk kondo mangsa. Farah membuat andaian, mangsa yang dibunuh itu ada di dalam beg bagasi tersebut dan waktu itulah pembunuh meneruskan kerjanya dengan meninggalkan mangsa dikondonya. Tak lama kemudian, pembunuh muncul sekali lagi dalam rakaman selepas setengah jam lelaki itu berada di dalam kondo mangsa. Farah masih tekun, sikitpun matanya tidak berkedip. Pembunuh tu berhenti di depan kamera cctv dan membuat isyarat menulis 121212 sebelum mahu beredar dari kondo. Biarpun dia bertopeng, Farah merasakan pembunuh itu melihatnya. Semakin lama pembunuh itu tenung ke kamera litar tutup itu. Farah terus tutup komputer! Psiko! Pembunuh ni bukan sebarang pembunuh. Dia seolah-olah mahu membocorkan identitinya kepada semua orang termasuk polis. Farah mula rasa tercabar. Dia akan merungkaikan kematian yang misteri hingga ke lubang cacing!
Share this novel