Disebalik keindahan fajar yang menjelma, kelihatan seorang gadis yang memandang dunia seolah-olah tidak ada maknanya. Ayana Wardah merupakan seorang anak tunggal kepada sepasang suami isteri dengan kehidupan serba sederhana. Tidak bahagia, tidak juga menderita, itulah kehidupan yang Wardah jalani setiap hari.
7 TAHUN LALU
"Wardah, kau tak bosan ke? kita dah nak habis belajar tapi setiap hari kau mesti balik awal, tak ada pun nak lepak dengan kami" celoteh rakan seperjuangannya, saudari Sufia. Tidak seperti Wardah, dia merupakan seorang gadis ceria yang sentiasa mempunyai kisah untuk dikongsikan kepada rakan sekelas mereka. Bak kata Wardah, anak kucing pujaan ramai. Walaupun personaliti Wardah dan Sufia berbeza, hanya mereka yang tahu betapa istimewanya persahabatan tersebut. Mereka tidak menggelarkan diri masing-masing sebagai rakan karib kerana mereka tidaklah serapat rakan karib yang lain di luar sana akan tetapi Wardah dan Sufia sentiasa ada untuk satu sama lain ketika salah seorang dari mereka menghadapi cabaran dalam kehidupan.
Selepas kelas berakhir, Wardah menepuk bahu Sufia untuk menandakan bahawa dia ingin pulang. Tidak kiralah segigih mana pun Sufia berusaha untuk memujuknya, dia tetap akan akur dengan keinginan Wardah kerana rasa hormat antara satu sama lain.
"Ha, baliklah dulu. Nanti tolong singgah rumah Fahim dalam perjalanan balik okey. Ambilkan buku kau dan aku."
"Rumah Fahim? Hmm... okay." Wardah menjawab dengan perlahan. Dia tidak pernah berbual dengan Fahim secara berasingan tanpa Sufia. Buat Wardah, misi yang Sufia berikan adalah suatu cabaran baru buat dirinya yang pendiam dan kekok dengan kehidupan sosial.
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, menyumbang kepada ketenangan jiwa yang hendak Wardah rasakan. Langkah demi langkah, dia semakin menghampiri pagar rumah Fahim. Setibanya di rumah tersebut...
"Assalamualaikum, Fahim. Ada sesiapa di rumah tak?!" Itulah suara paling kuat Wardah pernah lontarkan sepanjang zaman remajanya. Dia cuba membunyikan loceng namun tiada sebarang respon. Selepas menunggu beberapa minit, Wardah bersedia untuk berjalan pulang ke rumahnya tanpa bertemu Fahim. "Tak mengapalah," katanya dalam hati. Tiba-tiba, usai berlalu dari rumah Fahim, Wardah ternampak suatu kelibat dari jauh berlari dengan sangat pantas ke arahnya. Ya benar, kelibat tersebut adalah Fahim. Dia berlari ke arah Wardah sambil melambai-lambai tanpa sempat memakai selipar di kedua-dua belah kakinya. Melihat keadaan Fahim yang serba kalut, Wardah tanpa sedar mengeluarkan senyuman manis dan tertawa melihat kecomelannya itu.
"Kenapa awak ketawa?"
"Hahaahhaha, sebab awak nampak tergesa-gesa dan tak sempat pun pakai selipar."
"Oh hihihi. Alamak, maaf!! Sebenarnya saya masak tadi tapi tiba-tiba ternampak awak di luar rumah saya jadi saya terkedu d- dan selepas nampak awak pergi barulah saya berani untuk keluar berjumpa awak sebab... saya takut ia cuma bayangan saya." Penjelasan Fahim membuatkan Wardah terdiam seketika dan tersenyum kembali. Melihat respon tersebut, Fahim berasa senang hati dan bertanya tentang tujuan Wardah datang ke rumahnya.
"Oh, Sufia minta saya singgah ambil buku yang awak pinjam daripada kami hari itu."
"Sekejap ya, saya pergi ambil." Dengan kelajuan yang sama, Fahim pergi dan kembali semula memberikan buku kepada Wardah. Setelah itu, Wardah mengucapkan terima kasih dan bergegas pulang ke rumahnya.
KINI
Jam menunjukkan pukul 8 malam. Wardah sedang bersedia untuk menaiki kapal terbang di KLIA bagi melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom. Setelah menyelesaikan segala urusan sebelum berangkat, Wardah akhirnya duduk di tempat duduknya. Pramugari dan pramugara sangat peramah dan baik dengan semua penumpang.
"Oh, mungkin penumpang ni terlewat," bisiknya dalam hati melihat seorang jejaka yang tinggi lampai dan berpakaian segak masuk secara tergesa-gesa. Wardah tidak dapat mengalihkan pandangannya daripada penumpang tersebut kerana dia semakin menghampiri tempat duduk yang kosong disebelah Wardah. Betullah tekaan Wardah, penumpang tersebut merupakan jiran penerbangannya selama 13 jam di dalam pesawat itu. Wardah cuba berkelakuan mesra dan menyapa penumpang tersebut namun tiba-tiba dia menanggalkan topeng muka dan menunjukkan wajahnya. Wardah terkaku dan tidak mampu memberikan apa-apa respon selepas melihat wajahnya. Mindanya menjadi hitam dan kosong. Manusia yang paling Wardah tidak ingin bertemu lagi akhirnya berada di sebelah dia.
"Hai Wardah! Dah lama kita tak jumpa, ni Fahim!"
_______________________________________________________
Assalamualaikum semua, ini kali pertama saya menulis sebuah cerita. Diharapkan kalian dapat memahami perkara yang saya ingin sampaikan. Buat pengetahuan kalian, Fahim bukanlah watak lelaki utama. Untuk mengetahui cerita ini dengan lebih lanjut, mohon semua bersabar okey?
Share this novel