Rate

Lepaskan Dia

Short Story Completed 8761

Pagi ini seperti biasa saya akan ke warung Haji Sudin untuk bersarapan. Hari ini sedikit lewat saya ke warungnya kerana masalah kesihatan. Cuma demam biasa. Mungkin peristiwa semalam menyebabkan saya jadi begini.

Jika saya tidak gagahkan diri saya untuk keluar, saya mahu makan apa? Dan saya merancang untuk ke klinik selepas bersarapan nanti. Di rumah, hanya ada saya dan Watson. Kucing saya. Tidak mungkin saya menyuruh Watson untuk membelikan makanan dan ubat demam untuk saya. Saya cuma demam bukannya gila.

*******

Saya memandu dengan keadaan kepala yang berat. Dalam perjalanan saya ke warung Haji Sudin, untuk pecahkan kesunyian di dalam kereta, saya memasang radio. Semasa itu, radio putarkan lagu Anggun dari kumpulan Bau. Lagu ini seolah-olah memahami keadaan saya sekarang. Gila juga pagi-pagi sudah putarkan lagu sentimental sebegini. Semasa lagu ini dimainkan, tiba-tiba saya teringatkan kejadian semalam.
Usai memarkir kereta bersebelahan warung Haji Sudin, saya terus menuju ke sana dengan harapan dapat duduk dengan segera. Biasalah orang sakit. Pekerja warung hampiri saya. Tanpa sempat dia membuka mulut, saya terus memesan teh o suam, satu. Dan memberitahu pekerja itu bahawa makanan saya akan ambil sendiri. Dia berlalu. Saya mencapai pinggan bersaiz kecil dan diisikan di atas pinggan saya dua potong kuih lapis dan sebiji ketupat. Tempat yang menyediakan makanan itu hanyalah beberapa ela dari tempat duduk saya. Mudahlah saya mengambil kuih-muih itu.
Saya melihat Haji Sudin rancak berborak dengan teman-temannya. Kalau bukan borak fasal bola mungkin fasal politik. Entahlah. Saya meneguk teh o suam yang baru sahaja tiba di meja saya. Saya mencapai surat khabar yang berada di hadapan saya ketika itu. Saya membeleknya dengan lemah. Dalam keasyikan saya melayani surat khabar itu, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak saya kenal, meminta untuk duduk di depan saya. Saya membenarkan. Dia memesan nasi lemak dan kopi o panas. Agak saya, umurnya mungkin dalam lingkungan 30 tahun ke atas.

Saya teruskan membaca surat khabar. Dia menegur saya. Dia bertanyakan tentang diri saya. Demam? Dia seolah-olah dapat meneka keadaan diri saya yang tidak sihat itu. Saya mengangguk tanda mengiyakan. Dia senyum.
Dalam beberapa minit kemudian, dia bersuara lagi. Kali ini saya sedikit pelik dengan sikapnya yang entah tiba-tiba sahaja meluahkan kisahnya yang dia lalui sebelum ini. Kisah sedihnya. Tanpa mengenal siapa saya di hadapannya. Jika orang sekeliling melihat kami, mungkin fikir mereka kami ini kawan. Saya layankan sahaja luahannya itu. Dalam erti kata lain, sebenarnya saya ingin menjaga hatinya. Saya mendengar dari awal hinggalah ke pengakhiran kisahnya itu. Kisahnya biasa-biasa sahaja tetapi sedikit dapat menyedarkan saya.
Dia bahasakan dirinya ‘abang’. Luahannya begini; “Bila abang lihat kamu dalam keadaan begini – demam – abang tiba-tiba teringatkan isteri abang. Maksud abang, bekas isteri. Abang benar-benar sayang dia. Siapa tak sayang bini oi. Abang disatukan atas dasar pilihan orang tua. Mula-mula memanglah rasa janggal. Setelah abang betul-betul kenal hati budinya, abang mulai cinta kepadanya. Abang beri seratus peratus kepercayaan kepadanya. Dia juga sama.”
Saya mendengar luahannya dengan penuh perhatian saya. Selepas dia menelan suapan terakhir nasi lemaknya, dia melipat-lipat kertas pembungkus nasi lemak itu dan menindih dengan sudu. Dia meneguk kopi o panasnya – mungkin sudah bertukar suam. Dia menyambung lagi, “Kami dikurniakan cahaya mata perempuan. Kami sangat gembira dan waktu itu abang hampir menitiskan air mata. Terharu. Tahun kedua itulah abang ceraikan isteri abang. Isteri abang… curang dengan abang. Waktu abang pulang dari tempat kerja abang, dari jauh abang nampak seorang lelaki bermotosikal di hadapan pagar rumah abang. Memberi satu bungkusan kepada isteri abang. Abang teruskan pemanduan abang. Selesai abang turun dari kereta, abang terus mendekati mereka berdua. Mereka tergamam – separuh terkejut – dengan kehadiran abang masa itu. Abang lihat bungkusan itu, rupa-rupanya ubat-ubatan dari sebuah klinik yang abang tidak pasti klinik mana. Abang tanya isteri abang siapa lelaki bermotosikal ini. Katanya, itu kekasih lamanya dan dia masih mencintai lelaki itu. Tersentak perasaan abang waktu itu. Remuk hati abang bila abang dapat tahu lagi yang dia sebenarnya tidak mencintai abang malah hanya berpura-pura mencintai abang selama ini. Bertambah remuk hati abang bila dia mengaku depan abang yang dia sudah mengadakan hubungan sulit dengan lelaki itu.”

Saya yang khusyuk mendengar luahannya terpaku ketika itu. Saya melihat dia meneguk kembali kopi o panasnya. Habis. Dia menyambung, “Isteri abang memberi alasan bahawa selama ini abang tidak mempedulikannya. Tidak hiraukan kesihatannya. Abang tahu dia berbohong. Sedangkan makan minum dia dan anak abang, abang jaga. Abang beri kasih sayang sepenuhnya. Mungkin untuk menutup rasa bersalah, dia berkata begitu. Hari itu memang dia ada demam. Fikir dia, abang tidak tahu yang hari itu dia demam. Tanpa dia berfikir panjang, dia meminta kepada abang untuk lepaskan dia. Berkali-kali dia meminta kepada abang. Lelaki bermotosikal itu hanya tercegat di situ dengan membuat muka bodoh. Abang berjalan ke arah kereta abang, setelah membuka pintu kereta, abang mencapai bungkusan ubat yang abang belikan untuknya dan memberi kepada isteri abang. Waktu itu juga abang lafazkan cerai talak satu dihadapannya. Pagi-pagi lagi abang sebenarnya sudah tahu yang isteri abang itu demam. Semasa abang bangun dari tidur, dia ada sedikit meracau. Abang biarkan dia tidur. Silap abang juga kerana semasa abang di tempat kerja, tidak sedikit pun abang bertanya khabar tentang kesihatannya semasa dia di rumah.”

Lelaki yang bahasakan dirinya abang itu bangun dan pergi membayar pesanannya di kaunter yang dijaga oleh Haji Sudin itu. Selepas membuat pembayaran, dia kembali ke arah saya dan berkata lagi, “Setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita pasti ada hikmahnya.” Saya senyum dan memintanya bersabar di atas apa yang berlaku terhadap dirinya.

Saya bertanya kepadanya tentang destinasi yang hendak dia tuju selepas ini. Katanya dia hendak pergi ambil Afiqa, anaknya itu di sekolah tadika yang tidak jauh dari tempat kami bersarapan. Selepas itu, dia harus menghantar anaknya ke rumah pengasuh kerana tengah hari nanti dia akan masuk kerja. Malam, barulah Afiqa mendapat perhatian – kasih sayang – daripadanya.

*******

Usai membeli ubat demam, saya termenung sejenak di dalam kereta. Terngiang-ngiang kisah abang tadi di telinga saya. Semasa itu, peristiwa yang berlaku semalam menghantui fikiran saya lagi. Peristiwa di mana, semasa saya sedang bekerja di salah sebuah restoran, saya terserempak dengan tunang saya sedang berkasih mesra dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali dirinya itu. Dalam penglihatan saya, agak saya, umurnya mungkin dalam lingkungan 20 tahun ke atas dan mungkin baya saya. Tunang saya itu muda daripada saya. Muda setahun.
Saya menuju ke arah mereka – dalam keadaan yang sangat marah. Kejadian malam itu sama seperti kisah abang yang bersarapan dengan saya tadi. Cuma tempat dan bilangan orang awam yang membezakan kami. Saya teruk dimalukan oleh tunang saya. Dia hina pekerjaan saya. Memang hampir sama dengan kisah abang tadi. Tunang saya meminta untuk lepaskan dia. Saya tidak dapat berkata. Dia mengembalikan cincin yang menjadi ikatan pertunangan kami itu dan mereka berdua berlalu pergi. Saya kecewa dengan sikapnya.
Saya menanggalkan apron dan topi milik restoran itu lalu memulangkan kepada pemilik restoran yang turut menyaksikan kejadian itu. Saya berhenti kerja.

*******

Saya menghidupkan kereta saya. Sebelum saya memandu pulang ke rumah saya, saya capai telefon saya dan menghantar satu mesej kepada tunang saya, – atau lebih layak dipanggil bekas tunang. Mungkin mesej ini mesej terakhir saya untuknya. Mesej saya kepadanya berupa begini; “Hm, tentang semalam, InsyaAllah saya akan lupakan. Saya maafkan awak. Dan awak tak perlu minta maaf kepada saya. Saya redha atas permintaan awak untuk putuskan pertunangan kita. Saya terima. Mungkin ini mesej terakhir saya untuk awak. Selepas selesai sahaja berurusan dengan keluarga saya dan keluarga awak, jangan cuba cari saya lagi. Jangan ganggu keluarga saya. Jika awak ternampak saya, buat-buat tidak kenal sudah. Saya lepaskan awak. Assalamualaikum.. – Bekas Tunangmu.”
Saya tekan butang hantar. Terasa kejam pula ayat-ayat mesej saya tadi. Biarlah. Saya letak telefon saya di tempat duduk, sebelah kiri saya. Saya mula pandu kereta saya. Saya pasang radio kereta untuk hilangkan kesunyian. Waktu itu radio memutarkan lagu Cerita Sedih nyanyian Black Mentor bersama kumpulan Modread. Sekali lagi radio ini seperti memahami keadaan saya.
Sesampainya di rumah, seperti biasa saya akan memeriksa peti surat rumah. Ternyata terisi sekeping surat di dalamnya. Surat dari tempat pengajian yang saya mohon sebelum ini. Alhamdulillah, saya dapat menyambung pengajian di Amerika Syarikat. Saya bersyukur kepada tuhan. Sangat bersyukur. Saya tidak akan lepaskan peluang ini. Saya terus menelefon ibu saya yang berada di kampung untuk perkhabaran berita gembira ini. Sebenarnya bekerja di restoran itu hanyalah pekerjaan sementara sahaja, mencari duit lebih. Hanya untuk mengisi masa lapang – menambah pengalaman hidup.

*TAMAT*

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience