BAB 1

Romance Series 12881

YARA ELIA menikmati juadahnya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Keadaan yang hingar bingar dengan lagu ‘Selamat Pengantin Baru’ yang dimainkan oleh deejay jemputan, berserta para tetamu yang hadir langsung tidak mengganggu. Sang mempelai yang sedang bersanding di pelamin juga tidak dihiraukan. Yang penting dia dapat mengisi perut yang memang dari tadi memainkan lagu keroncong.

Satu senggolan di lengan mengganggunya. Terus dilirikan mata ke arah gerangan yang sudah mengganggunya menyantap makanan. Falisha di sebelah mendekatkan wajahnya pada Yara ingin mengatakan sesuatu.

“Bukan Haidar ni ex kau ke?” soal Falisha agak perlahan, namun jelas dipendengaran Yara.

Yara bergumam sambil menalakan pandangan ke arah pelamin. Kelihatan Haidar yang merupakan rakan sekerja mereka satu masa dulu sedang sibuk melayan tetamu yang ingin bergambar dengannya sebagai kenang-kenangan. Wajahnya tampak cukup bahagia disamping wanita yang sudah bergelar isterinya.

Yara mengalihkan semula wajahnya ke makanannya dan dia menyudahkan kunyahan sebelum ditelannya. Yara memandang Falisha sekilas dan kepalanya terangguk-angguk sedikit.

“Betullah tu. Kisah tahun lepas. Aku bercinta dengan dia ada juga empat bulan rasanya. Lepas tu kami putus,” jawab Yara, bersahaja tanpa perasaan. Dia terus menyambung menikmati makanannya yang tinggal sedikit itu.

“Kau tak rasa apa-apa ke tengok Haidar bersanding dengan orang lain?”

“Rasa apa?” Yara pura-pura tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Falisha. Tahu sangat maksud tersirat Falisha itu tapi Yara tidak mahu mengambil pusing.

“Rasa something lah. Rasa marah ke, kecewa ke, atau… rasa terkilan. Kalau kau orang tak putus, mesti kau yang ada sebelah Haidar tu sekarang.” Falisha cuba memprovokasi Yara. Ingin melihat reaksi sahabat baiknya itu. Tapi hampa. Yara seperti tidak berperasaan dan terus menikmati juadahnya.

Hairan Falisha melihat sahabatnya itu. Sudahlah dengan selamba saja dia menghadiri jemputan perkahwinan bekas kekasihnya ini. Ingat lagi dia sewaktu Haidar menghulurkan kad undangan kepada mereka, Yara dengan relaks menerima undangan itu ibarat mereka berdua tidak pernah ada sejarah percintaan. Bahkan sekarang Yara sedang berseronok menikmati juadah yang dihidangkan. Kalau perempuan lain memang taklah. Pasti sedikit sebanyak akan ada sekelumit perasaan terkilan atau kecewa, walaupun hubungan mereka sudah bertukar sebagai sahabat.

Tetapi tidak pada Yara. Dia seperti seorang wanita yang tidak mempunyai perasaan untuk hal itu. Bahkan, boleh dikatakan yang sebenarnya Yara sudah lali dengan perkara ini.

Haidar bukanlah bekas kekasihnya yang pertama, malah sudah tidak terkira dengan jari. Yara bukanlah ‘play girl’ seperti perempuan lain tetapi tidak tahu kenapa nasibnya begitu. Sering bercinta, namun terputus di pertengahan jalan tanpa sebab yang jelas. Malah, bekas-bekas kekasihnya pula selepas memutuskan hubungan dengan Yara pasti akan menamatkan zaman bujang mereka.

“Alaaa… cerita lepas, buat apa nak ingat? Lagipun apa aku dapat kalau aku nak bersedih semua tu? Tetap dia bahagia dengan pasangan dia.”

“Yalah, memang cerita lepas tapi takkan tak ada sikit rasa tu?” Falisha terus mengasak. Ingin menyelami perasaan sebenar Yara.

“Dia ni bukan yang pertamalah. Apa aku nak heran. Aku dah lali dah semua ni. Lagipun Haidar kan kawan kita, jadi buat apa nak ada feeling macam tu. Buang masa. Lagipun aku pun dah ada pengganti.”

“Tu pun tak tahu bertahan berapa lama,” sindir Falisha perlahan.

“Apa?” soal Yara, pantas. Dia seperti dengar Falisha mengatakan sesuatu, tetapi tidak jelas di pendengarannya kerana Falisha cakap terlalu perlahan di tambah lagi dengan bunyi lagu yang sangat kuat sedang berkumandang.

“Eh, tak ada apa. Aku kata sedap makanan ni. Katering mana dia ambil ni?” dalih Falisha berpura-pura melihat kad nama dari pihak katering yang sengaja diletakkan di setiap meja untuk memudahkan tetamu mengetahui juadah yang terhidang, disediakan oleh pihak katering mana. Inilah kaedah promosi yang digunakan oleh kebanyakan pihak katering sekarang.

“Kan, sedapkan. Tak berhenti aku makan ni. Bolehlah kau nak kahwin nanti ambil katering ni juga.”

“Aku je? Kau tak nak kahwin?” sanggah Falisha sinis.

Yara terkedu lalu dia tersengih-sengih.

“Aku lama lagi. Aku dengan Muza kan baru je bercinta. Kau tu yang dah lama bercinta, baik cepat-cepat halalkan hubungan kau. Jangan lama-lama nanti melepas, padan muka kau. ‘Abang Pilot’ kau tu dah lama menunggu kau.”

Tersumbing bibir Falisha ke atas mendengar perlian Yara. Sesuka hati dia saja mengutuk Falisha depan-depan.

“Pandai kau nasihatkan orang, ya? Cakap dengan kau ni boleh buat sakit jiwa. Dahlah tak berperasaan. Makan je tau.” Selamba Falisha mengutuk Yara.

Yara hanya menyengih saja. Dia tidak peduli apa orang nak kata mengenai dirinya, yang penting dia dapat mengenyangkan perutnya. Perut kenyang, hati pun senang.

SEBELUM mereka berdua pulang, sempat mereka bertemu dengan pasangan pengantin itu untuk mengucapkan tahniah sekaligus berpamitan.

“Terima kasih kau orang sebab datang,” ucap Haidar kepada Yara dan Falisha.

“Aku tak sangka pula kau sudi datang, Yara,” sambung Haidar lagi bersama dengan lirikan mata yang menjengkelkan.

Yara menjulingkan mata lalu memberikan senyuman sinis.

“Dah kau jemput, aku datanglah. Lagipun aku datang sebab nak makan je. Rezeki jangan di tolak,” balas Yara.

Falisha di sebelah Yara sudah tidak senang duduk. Risau jika sesuatu yang tidak diingini berlaku sekejap lagi. Falisha sangat mengenali Yara. Yara memang seorang yang bersahaja dan tidak kisah dengan semua benda tapi, jika Yara diprovokasi dengan hebat, dia tidak akan berdiam diri. Bila datang perangai ‘gilanya’, dia tidak kisah di mana atau apa pun keadaannya. Itulah Yara Elia.

“Kau ni memang tak ada perasaan ke macam mana ya, Yara? Kalau orang lainlah di tempat kau, aku rasa tak ingin dia orang jejakkan kaki dekat sini.”

Tertawa Yara mendengar sindiran Haidar yang cukup mendalam itu. Nasib saja hubungan mereka sekerat jalan kalau tidak memang hari-hari periuk belangga terbang.

“Kenapa? Kau sebenarnya risau aku nyanyikan lagu ‘Pelamin Anganku Musnah’ ke?” Yara tidak berdiam diri. Dia membalas sindiran itu dengan sindiran juga.

Terbeliak mata Haidar. Yara memandang wanita di sebelah Haidar, lalu memberikan senyuman paling manis. Jelas kelihatan wanita itu terpinga-pinga dengan gurauan kasar suami dan juga rakan suaminya yang tidak dia kenali itu.

“Oh, awak jangan risau ya. Kami ni kalau bergurau memang kasar macam ni. Jangan ambil hati, ya. Lagipun saya dah ada kekasih hati. Jangan risau.” Yara menerangkan kepada si isteri Haidar. Dia tidak mahu gara-gara gurauan mereka, Haidar tidur luar malam ini.

“Wow, dah ada yang lain. Kali ni berapa lama pula?” sindir Haidar makin pedas.

Terus mati senyuman Yara. Dia merenung tajam wajah sinis Haidar itu. Terus dia mendekatkan wajahnya di sisi Haidar lalu berbisik, “Hari ni hari bahagia kau, kalau kau tak nak aku nyanyikan lagu ‘Pelamin Anganku Musnah’, kau try lah aku.”

Haidar meneguk liur. Amaran Yara merindingkan bulu romanya. Yara tersenyum sehingga ke telinga pada isteri Haidar.

“Selamat pengantin baru, ya. Semoga KEKAL hingga ke anak cucu,” ucap Yara dengan menekankan perkataan kekal sambil memberikan jelingan kepada Haidar.

Isteri Haidar membalas dengan ucapan terima kasih dan menyimpulkan senyuman manis. Sempat lagi Yara menitipkan pesanan kepada isteri Haidar, “Jaga budak ni baik-baik. Dia ni agak nakal sikit. Kalau dia nakal awak ligan je dia ni dengan parang.”

Falisha terus menarik Yara dari terus mencari pasal atau mengatakan sesuatu yang tidak patut. Terseringai Falisha sambil mengucapkan tahniah kepada pasangan mempelai itu. Ingin dia cepat-cepat beredar dari situ. Wajahnya sudah kemerah-merahan dengan gelagat Yara yang tidak semengah itu.

Yara sempat berpaling dan dia melaung ke arah pasangan itu, “Saya banyak tahu rahsia Haidar ni. Kalau awak nak tahu boleh contact saya. Awak tahukan nak cari saya dekat mana?”

Dengan lebih kuat, Falisha menarik tubuh Yara untuk meninggalkan tempat itu. Haidar pula terus membutangkan matanya. Si isteri di sebelah sudah bercekak pinggang merenung si suami. Terus mengelabah Haidar sambil kedua tangannya terawang-awang tanda tiada rahsia yang disoroknya. Yara yang melihat situasi itu dari jauh tersenyum puas hati.

DI dalam kereta, Yara ketawa mengekek geli hati kerana dia dapat mengenakan Haidar tadi. Falisha pula tergeleng-geleng melihat perangai ‘gila-gila’ kawannnya itu.

“Kau ni kan, kata tak kisah, tak ada perasaan, tapi tadi tu apa?” Berdecit-decit mulut Falisha mengenangkan apa yang berlaku tadi. Nasib saja tidak kecoh. Yara ini kan memang susah nak di jangka.

“Dah dia cari pasal dengan aku dulu. Padanlah muka. Nak lawan dengan aku konon. Eh, silap besarlah. Ni Yara Elia, pantang di provoke,” tingkah Yara mendabik dada.

“Perangai kau ni entah apa-apa. Susah betul nak ramal. Kata tak rasa apa-apa tapi bila ke provoke sikit macam tu dah menggelabah ketiak,” perli Falisha bersama gelengan.

“Oh yeah… kau pun tahu aku macam mana kan. Aku ni pantang disentuh. Jenis aku, aku buat hal aku, kau buat hal kau. Yang lepas tu tetap lepas, buat apa nak diungkit lagi. Tak perlu kut kalau untuk menyakitkan hati.”

“Yalah, Yara. Selagi orang tak kacau kau, kau pun takkan kacau orang. Faham sangat.” Falisha melepaskan keluhan halus. Dia terus menarik tali pinggang keledar lalu disilangkan pada tubuhnya agar dia sentiasa selamat selama dia berada di dalam kenderaannya itu.

“Ni kau nak terus balik ke atau kau nak pergi mana-mana? Kalau kau nak singgah mana-mana aku boleh temankan kejap je sebab malam nanti aku ada flight,” sambung Falisha lagi.

“Haah lah… malam ni kau kerja. Nasib baik flight aku esok pagi jadi bolehlah aku relaks-relaks hari ni.”

“Untunglah dapat berehat,” perli Falisha.

Yara dan Falisha merupakan pramugari di sebuah syarikat penerbangan yang termuka di negara ini, Malaysia Airlines atau lebih dikenali dengan panggilan MAS.

“Jadi aku hantar kau baliklah macam ni,” ujar Falisha seraya menurunkan brek tangan, bersedia untuk pemanduan.

“Tak payah hantar aku dekat rumah. Kau hantar aku dekat Pavilion,” pinta Yara sambil memakai tali pinggang keledar.

“Kau nak buat apa ke sana?” soal Falisha sudah memasang signal kereta menandakan dia akan keluar dari parkir kereta.

“Aku nak dating lah, apa lagi,” balas Yara dengan nada tergedik-gedik.

“Aku dah janji dengan Muza nak jumpa dia dekat sana,” sambung Yara lagi, sudah menormalkan suaranya.

“Laaa… Muza tak sibuk ke hari ni? Kenapa kau tak ajak sekali Muza datang majlis Haidar. Tak ada kau kena perli macam tadi. Silap-silap terbeliak mata Haidar tengok Muza.”

Muzaffar, teman lelaki Yara yang baru dia kenali tiga bulan lalu. Bagi Falisha, Muzaffar ini elok rupa parasnya dan tinggi budi pekertinya. Jauh berbeza dengan Haidar yang loyar buruk itu. Rupa Haidar masih boleh di kategorikan kacak, tapi tidak setanding Muzaffar. Malah pekerjaan Muzaffar sebagai pensyarah yang sedang menyambungkan pelajarannya membuatkan ‘level’ Haidar tertinggal ke belakang.

“Muza memang nak ikut pun tadi tapi aku yang tak bagi. Kau pun tahu stail aku macam mana. Aku mana suka nak tayang kekasih, lagi-lagi untuk menunjuk-nunjuk macam tu. Choi!”

Falisha membuat muka jeleknya.

“Yalah. Aku tahu kau nak simpan Muza untuk kau seorang je. Aku doakan agar hubungan kau kali ni sampai ke jinjang pelamin, kawan.” Falisha mendoakan kebahagian Yara.

“Amin. Aku dapat rasakan yang hubungan aku kali ni akan menjadi. Sebab Muzaffar tak macam lelaki yang pernah aku kenal sebelum ni. Dia lain.”

“Hmmm… yalah tu.”

Jauh di sudut hati Falisha mengharapkan hubungan rakannya kali ini biarlah menjadi. Dia sendiri penat melihat sahabatnya yang seorang ini. Percintaannya sentiasa terputus di tengah jalan. Entah ‘badi’ apa yang sudah melekat pada tubuh sahabatnya itu, dia tidak tahu. Walaupun Yara kelihatan kuat, namun Falisha tahu yang Yara sebenarnya sangat terluka. Entah di mana silapnya perhubungan percintaan sahabatnya itu, dia sendiri tidak tahu. Yara bukanlah seorang wanita yang terlalu bersosial. Apa yang Yara tahu, pergi kerja dan balik kerja. Kalau dia ingin melepak pun hanya dengan Falisha saja. Jadi, di mana silapnya terus menjadi tanda tanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience