Akhirnya tanpa dapat berbuat apa, aku melihat saja Nissan Murano itu meluncur laju membawa Hawa aku. Masa itu apa yang aku rasa hanyalah kecewa, sedih, dukacita dan segala yang sewaktu dengannya. Namun tidak lagi setelah aku dapat tahu perkara yang sebenar.
25 Ogos 2010, 10:15 p.m Abang sayang… hari ini lagi sekali, Hawa kena kacau dengan budak ‘jahat’ tu! Nasib baik tau… along cepat sampai. Sudahlah kereta Hawa rosak. Kesian, terpaksa menyusahkan along untuk datang ambil Hawa. Tapi ada hikmah juga. Hawa nampak muka budak ‘jahat’ tu berubah terus. Lepas ni, dia takkan kacau Hawa lagi rasanya. Hawa dah boleh senyum lega. (Kalau sekarang ni, Hawa ada depan mata abang… jangan lupa minta Hawa senyum ya. Hawa nak abang tengok betapa indahnya senyuman Hawa untuk abang) =) Bakal isteri abang ni, perasankan? Hawa pasti… abang pun punya perwatakan yang sama. Perasan juga!
Benarlah kenyataan dan kebenaran itu. Aku memang perasan. Malah sangat perasan. Bila baca Hawa tulis macam itu, aku rasa macam senyuman aku tak nak hilang saja. Ah, rindunya aku pada senyuman manis dia. Memang, keindahan senyuman Hawa tiada tolok bandingannya. Aku harus akui, segala yang ada pada Hawa semuanya indah belaka.
Tangan aku masih ringan lagi menyelak ke muka yang seterusnya. Sempat lagi aku mengerling ke arah jam. Sudah pukul 2 pagi. Bila buka saja diari ini, aku rasa segala mengantuk yang bersarang sudah hilang. Mataku terasa segar. Lantas aku teruskan saja membaca coretan insan yang aku cintai itu.
10 Oktober 2010, 10:10 a.m Abang sayang… cantikkan tarikh dan waktu dicoretkan perasaan Hawa dalam diari ini? Hawa tengah gembira ni. Mak cakap ada orang nak masuk meminang. Abang ke tu? Hawa doa-doa… semoga inilah yang telah dijanjikan oleh DIA untuk kita. Hawa berharap sangatlah… abang dapat datang sunting Hawa secepat yang mungkin. Sebab, kebelakangan ini… Hawa asyik mimpi yang aneh-aneh saja.
Hawa mimpikan seseorang… mungkin itu abang. Rupanya tak jelas. Tapi Hawa macam pernah tengok saja. Kita mungkin pernah jumpa ya? Hawa teruja sangat nak tunggu hari pernikahan kita. Oh ya… di kala abang membaca diari, tolong jangan rasa pelik sebab Hawa tak nak jumpa abang sepanjang tempoh pertunangan kita. Sebab banyak lagi yang Hawa nak coretkan untuk tatapan dan bacaan abang usai kita menjadi suami isteri yang sah. Abang… Hawa rasa, abang ada dekat dengan Hawa. Perasaan macam ini mengganggu sebenarnya. Abang rasa ke apa yang Hawa rasa sekarang ni?
Share this novel