Series
4545
LANGIT di luar mula beransur gelap, menandakan waktu Maghrib semakin menghampiri.
Pada ketika ini, Rose sedang sibuk memasukkan pakaian yang sudah dilipat ke dalam beg. Hampir semuanya sudah siap dikemas sejak petang tadi. Esok pagi, dia akan bertolak ke Kuala Lumpur. Ya, dia sudah bersiap sedia untuk berhijrah ke sana.
Tiket bas juga sudah dibeli, selepas dia bertemu dengan Niza, sebelum sahabatnya itu berlepas ke Sabah.
Rose sudah tekad. Tiada sebab lagi dia harus tinggal di sini. Leman pula hanyalah bapa tiri. Dan selama ini pun, hubungan mereka tidak pernah rapat. Dan dia tidak perlu meminta izin daripada lelaki itu untuk meninggalkan rumah ini.
Usai mengemas, Rose menghela nafas perlahan sebelum bangun dari katil, dan mahu ke dapur untuk membasahkan tekaknya yang kering.
Baru sahaja dia membuka pintu bilik, langkahnya terus terhenti. Ada satu suara kedengaran dari halaman rumah. Itu suara Leman. Bukankah lelaki itu sudah tiga hari tidak pulang ke rumah selepas pengebumian mak? Dia tidak menyangkakan yang Leman akan muncul hari ini.
“Aku perlukan duit. Aku nak beli barang.”
Rose yang sedang berdiri di muka pintu terus terdiam. Barang? Barang apa yang dia nak beli?
“Kalau kau tak bagi aku duit, macam mana aku nak dapatkan bekalan? Kau tak boleh buat aku macam ni. Kita dah berkawan lama. Kau juga yang bagi aku rasa dulu. Sekarang kau nak biarkan aku ketagih ke?”
Jantung Rose mula berdegup laju.
Bekalan? Pak cik Leman ambil dadah ke? Rose mula tidak keruan. Dia masih tidak berganjak. Malah dia semakin menghampiri pintu ruang tamu, dan mahu mendengar perbualan Leman dengan lebih jelas.
“Tak pun macam ni. Malam ni kau bagi aku duit. Aku ada barang yang boleh dijual. Dan dia masih fresh anak dara lagi.”
Rose menelan liur. Anak dara? Adakah barang yang mahu dijual itu adalah dirinya?
“Anak tiri aku itulah. Siapa lagi? Dialah aku nak jual.”
Rose terkedu. Anak tiri? Dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Leman. Sudah tentulah dirinya.
“Malam ni aku hantar dia dekat kau. Kau bayar aku macam yang kita bincangkan. Kena bayar tinggi tau? Anak tiri aku ni anak dara.”
Tangan Rose mula menggigil. Dia menekup mulutnya. Selama ini Rose menyangka lelaki itu hanya kaki judi. Dia tidak pernah menyangka yang Leman turut mengambil dadah. Dan sekarang Leman sanggup menjualnya semata-mata untuk mendapatkan wang.
Rose perlahan-lahan mengundurkan dirinya. Dia tidak mahu mendengar lagi.
Tanpa berlengah, Rose berpatah balik ke biliknya semula. Beg pakaian yang sudah dikemas tadi terus dicapainya. Tak lupa juga, telefon bimbit dan dompet turut dimasukkan ke dalam beg kecil yang disandangnya.
Dia tidak jadi menunggu sehingga hari esok. Lebih baik dia keluar rumah malam ini juga. Tombol pintu dipulas. Alangkah terkejutnya dia, apabila Leman sudah berdiri tegak di hadapannya.
Leman memandang beg pakaian di tangan Rose sebelum matanya beralih kepada wajah anak tirinya.
“Kau nak pergi mana?” soal Leman dengan mata merahnya.
Rose mengetap bibir menahan marah. “Kau jangan sibuk hal aku. Aku nak keluar dari rumah ni.”
“Kau nak keluar dari rumah ni? Aku tak izinkan!”
Matanya mencerlung tajam memandang Leman. “Tak izinkan? Apa hak kau? Kau bukan ayah kandung aku!”
Rose cuba untuk melangkah, tetapi Leman menghalang laluannya.
“Aku tak izinkan kau tak faham ke?!” jerkah Leman.
Rose tersenyum sinis. “Kau ingat aku tak dengar apa yang kau cakap dekat telefon tadi? Kau nak jual aku, kan?”
Wajah Leman terus sahaja berubah. “Kau diam! Jangan melawan cakap aku!”
“Eh, kau tak ada hak langsung ke atas aku, kau tahu tak? Aku takkan duduk dalam rumah ni lagi. Sebelum kau jual aku, lebih baik aku berambus dari sini!” Rose menolak tubuh Leman. Lelaki itu cuba menariknya kembali, tetapi Rose melawan sekuat hatinya. Dia menendang lutut Leman, sehingga membuatkan lelaki itu jatuh terduduk.
Rose dengan pantas cuba untuk melarikan diri. Namun, belum sempat dia melangkah keluar dari bilik, Leman sempat menarik kakinya.
Argh! Rose jatuh tersembam. Beg pakaian yang dipegangnya terlepas, lalu jatuh ke lantai. Rose pantas bangun, begitu juga dengan Leman.
Rose tidak mahu mengalah. Sekali lagi dia cuba menendang ke arah lelaki itu. Namun, Leman sempat mengelak, seperti tahu langkahnya.
Rose cuba mencapai beg pakaiannya yang jatuh tadi. Leman pula dengan pantas menolak tubuhnya dengan kuat, sehingga membuatkan dirinya terdorong ke hadapan, lalu dahinya terhantuk tepat pada bucu meja solek.
Dum!
Rose menahan kesakitan. Rasa pedih mula menjalar pada dahinya. Perlahan-lahan, tangannya naik menyentuh tempat yang terasa sakit. Rose tergamam saat melihat darah pada jari-jemarinya.
Pandangan matanya mula berpinar-pinar.
Manakala Leman masih berdiri di hadapannya.
“Kau sepatutnya tak perlu melawan aku Rose!”
Rose cuba mengangkat wajah, tetapi pandangannya semakin kabur.
“Sekarang ni, confirm bapak ayam tu bayar murah. Dahi kau dah berdarah. Tak guna punya anak tiri.”
Rose tidak mampu membalas. Tubuhnya semakin lemah. Suara Leman semakin sayup. Dan akhirnya, pandangannya terus menjadi gelap.
DATO’ HARISZ termenung sambil mendengar lagu yang semakin rancak berkumandang di dalam kelab malam tersebut. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya langsung tidak berminat untuk pulang ke rumah. Lebih-lebih lagi apabila Tania seakan-akan tidak menghiraukannya.
Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja dia melanggan pelacur untuk mengisi malamnya. Namun, dia tahu dia tidak boleh berbuat demikian. Dia masih mencintai Tania. Tidak mungkin dia sanggup berlaku curang di belakang isterinya.
Malas mahu berlama di situ, Dato’ Harisz terus sahaja bangun dari kerusi. Sekeping wang kertas RM100 diletakkan di atas meja. Dia terus melangkah keluar dari kelab malam tersebut.
“Berapa harga kau boleh bayar?” soal lelaki berambut kerinting.
“Anak dara ke ni?”
“Yalah. Aku angkut perempuan ni dari Johor sampai ke Kuala Lumpur kau tahu tak? Mestilah anak dara. Takkan aku nak jual perempuan dah tak ada dara.”
“Kau tak makan dia, kan?”
“Mestilah aku tak makan dia. Sebab tu aku cakap dia dara lagi.”
“Hmm, sepuluh ribu boleh?”
“Kau gila ke sepuluh ribu? Ni barang baik punya. Takkan sepuluh ribu? Aku dah bagi dekat bapak dia lapan ribu. Agak-agaklah aku cuma dapat untung dua ribu aje.”
“Tapi dahi perempuan tu dah luka. Takkan nak bayar mahal?”
“I nak perempuan tu. I bayar lima ratus ribu. “ Dato’ Harisz muncul di situ. Dari tadi dia mendengar perbualan mereka berdua.
Dua lelaki yang berdiri di sisi kereta tadi terkejut dengan kehadiran seorang lelaki bersut hitam yang sedang memandang ke arah mereka berdua.
“Err, lima ratus ribu?”
Dato’ Harisz mengangguk.
“Okay deal.”
“Kau tadi janji nak jual perempuan tu dekat aku. Kenapa kau jual dekat dia pula?”
“Dia bayar mahal. Kau bayar murah.”
Lelaki berkumis nipis mendengus kasar, lalu melangkah meninggalkan mereka berdua.
Dato’ Harisz mengeluarkan buku ceknya. Dia terus menulis nilai lima ratus ribu di atas buku cek tersebut lalu dihulurkan kepada lelaki tadi.
“Kenapa bapa dia jual anak dia?” soal Dato’ Harisz. Sebenarnya dia tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja dia mahu membeli gadis itu. Adakah kerana nafsu ataupun sekadar mahu menyelamatkan?
“Bapa tiri aje.”
“Mak dia?”
“Mak dia baru meninggal. Perempuan ni pun dah tak ada siapa-siapa. Bapa tiri dia pun tak boleh pakai. Biasalah kalau dah tahi dadah ni tak boleh nak buat apa.”
“Ambil seratus ribu lagi.” Dato’ Harisz menghulurkan satu lagi cek kepada lelaki tersebut.
“Eh, banyaknya.”
“I tak nak siapa-siapa cari dia lagi. You faham?”
Lelaki berambut kerinting tersenyum lebar. “Baik, jangan risau. Tak ada siapa-siapa akan cari dia.”
Pintu kereta dibuka.
Dato’ Harisz terpana saat melihat wajah gadis yang tidak sedarkan diri itu di tempat duduk belakang. Dahinya turut kelihatan luka. Dia merenung wajah gadis itu beberapa saat. Jika hendak dibandingkan dengan Tania, gadis itu jauh lebih cantik daripada isterinya.
Entah kenapa, ada satu perasaan yang tak dapat disembunyikan. Ada sesuatu pada wajah gadis itu yang membuatkan dia terus-terusan mahu memerhatikannya.
Namun, Dato’ Harisz segera mengalihkan pandangan. Apa yang sedang difikirkannya? Dia masih mempunyai seorang isteri. Tania tetap wanita yang dicintainya.
Shit! Gumamnya, sambil meraup wajah.
“Ni beg sandang dia. Telefon bimbit dan kad pengenalan dia ada dalam ni. Dalam masa lima jam perempuan ni akan sedar. Sekarang ni mana kereta?”
Dato’ Harisz tersedar. Dengan pantas dia menunjukkan keretanya yang hanya selang dua baris dari kereta lelaki itu. Apa yang kau cuba buat sekarang ni Risz? Kau dah beli seorang gadis.
ROSE membuka mata dengan perlahan-lahan. Pandangan masih kabur. Dia cuba menggerakkan kepalanya, tetapi terasa sedikit berpusing.
Rose cuba mengingati apa yang telah berlaku. Perlahan-lahan tangannya memegang dahi. Seperti ada sesuatu yang melekat pada kulitnya.
Plaster? Baru dia teringat dahinya terhantuk pada bucu meja solek. Tetapi, di manakah dia sekarang?
Bilik yang cukup luas, dan katil yang didudukinya juga jauh berbeza daripada katil di rumahnya. Pandangan Rose bergerak dari satu sudut ke satu sudut sebelum akhirnya terhenti ke arah satu susuk lelaki yang mengenakan sut hitam, sedang duduk di sofa. Dan lelaki itu sedang memandang ke arahnya.
Rose terkedu.
Wajah lelaki itu kelihatan kacak, tetapi nampak dingin, sambil menyilangkan kedua-dua tangannya ke dada.
Siapakah dia?
Tiba-tiba Rose teringat kembali kata-kata Leman, bahawa dia akan dijual kepada bapa ayam. Adakah lelaki di sofa itu telah membelinya?
Tidak menunggu lama, Rose bingkas bangun dari katil. Walaupun ada rasa sedikit pening, tetapi Rose tidak peduli. Yang penting sekarang, dia perlu keluar dari bilik ini.
Rose terus mengayunkan langkah menuju ke pintu. Namun, belum sempat tangannya mencapai tombol pintu, satu tangan kekar tiba-tiba merentap lengannya dari belakang.
Rose terkejut. “Lepaskan saya!”
“Where do you think you’re going?” Dato’ Harisz akhirnya bersuara setelah dari tadi hanya mendiamkan diri.
Rose pantas menepis tangan lelaki itu daripada lengannya. “Jangan sentuh aku!”
Rose mula berundur ke belakang sedikit demi sedikit. Nafasnya mula turun naik.
“Kau jangan ingat kau boleh keluar dari sini.” Dato’ Harisz memberi amaran.
Kata-kata itu membuatkan kemarahan Rose semakin membuak-buak. Dia tidak menangis. Yang dia tahu sekarang, dia perlu keluar dari sini. Wajah Leman mula terbayang di mata. Tak guna punya bapa tiri! Sanggup dia menjual dirinya semata-mata mahukan wang. Kalau dia tahu perkara ini akan terjadi, sepatutnya hari pertama selepas maknya dikebumikan dia telah keluar dari kampungnya.
“Aku nak keluar!” Rose terus berpaling dan cuba berlari ke arah pintu. Belum sempat dia melangkah, lelaki itu sudah menghalang laluannya. Dan lelaki itu juga cuba merangkul pinggang Rose bagi menghalangnya daripada melarikan diri.
Rose tidak teragak-agak. Dia terus sahaja memberikan satu tendangan tepat pada kaki lelaki itu.
Dato’ Harisz hilang imbangan sebelum terjatuh ke atas lantai.
Rose tidak menunggu lama. Dia terus berlari menuju ke pintu dan cuba memulas tombol. Tetapi tombol tersebut sudah dikunci. Dia gagal membuka pintu itu.
Tak guna! Rose mula panik. Tangannya masih cuba memulas tombol pintu tersebut, walaupun dia tahu dia akan gagal membukanya. Tiba-tiba sahaja lengannya ditarik kuat.
Rose tersentak.
Belum sempat dia berpaling, tubuhnya terus ditolak ke atas katil. Dia cuba cuba untuk bangun, tetapi lelaki itu sudah pun menindih tubuh badannya.
Rose tergamam. Lelaki ini sedang menindih tubuh badannya. “Lepaskan aku!”
“Lepaskan kau? Aku dah beli kau. Kau ingat semudah itu aku akan lepaskan kau?”
Rose mengetap bibir menahan marah. Ini bermakna dirinya sudah dijual. Tiba-tiba dia mendapat satu keberanian, sambil menatap wajah lelaki yang masih menindih tubuh badannya. “Aku bukan perempuan murahan yang kau boleh beli dekat mana-mana kedai runcit. Tanya aje harga, lepas tu terus bayar. Untung betul ya, jadi orang yang berduit ni.”
Dato’ Harisz tersentak. Gadis ini berani menatap wajahnya. Laju sahaja dia bangun daripada menindih tubuh badan gadis itu.
“So, what? Kalau aku banyak duit pun. Yang penting aku dah beli kau.”
“Berapa harga kau beli aku? Aku boleh bayar balik.”
“Kau takkan mampu.”
Rose semakin tidak keruan. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Terlalu mahalkah harga dirinya sehinggakan lelaki di hadapannya boleh berkata seperti itu?
“Kau dah jadi milik aku sekarang. Harga yang aku beli terlalu mahal, untuk seorang gadis seperti kau.” Dato’ Harisz terus menanggalkan kotnya.
“Kau nak buat apa ni?” Rose mengundurkan dirinya ke belakang.
“Aku dah beli kau. Jadi, sekarang ni kau milik aku.”
Rose tidak akan menyerah diri begitu sahaja. “Kalau betul kau nak aku jadi milik kau, nikah dengan aku dulu. Dan jangan harap aku akan ikut cakap kau, tanpa melawan.”
Dato’ Harisz memandang gadis itu agak lama. Nikah? Gadis itu meminta untuk bernikah dengannya?
Share this novel
lagi lagi mcm best ja