Belum pun sempat kerusi kerja dipanaskan oleh punggung, Alena tersentak apabila salah seorang rakan sekerja muncul dan beritahu ada seseorang mahu berjumpa dengannya di lobi syarikat. Bersama rasa cemas, Alena meluru keluar mendapatkan lift. Dalam otak, cuma Bambam memenuhi. Dia risaukan adiknya yang kini sedang ditahan di hospital. Risau ada perkhabaran tidak baik.
“Cik Arisa Alena kan?”
Alena tergamam. Seorang wanita pertengahan abad tetapi masih bergaya dengan penampilan ala-ala wanita berstatus di depannya Alena teliti buat seketika.
“Saya Puan Anita. Cik tak kenal saya tapi saya kenal siapa cik. Kita duduk dulu sebelum saya beritahu tujuan saya mahu berjumpa dengan cik.”
Sambil melabuhkan punggung bertentangan dengan wanita anggun itu, Alena gigih berfikir. Wajah wanita itu sepertinya biasa dia lihat, tetapi di mana ya?
“Datin Sri Anita?” Alena suarakan sebaik sahaja dia teringat sesuatu.
Isteri Tuan Seth! Sudah tentu! Alena pernah lihat wanita itu beberapa kali tampil bersama Tuan Seth dalam majlis tahunan tertutup syarikat.
“Ya, saya. Panggil je Puan Nita.”
Alena angguk. Sama seperti Tuan Seth, sentiasa merendah diri walaupun berstatus dan sangat disegani masyarakat. Kenapalah anak teruna mereka yang sorang tu lain dari yang lain? Anak kiriman neraka ke?
“Macam ni, Cik Alena… saya dengar cik satu-satunya pekerja wanita yang berani dekat dengan Rin, anak teruna saya yang bungsu tu.”
Alena kemam bibir. Mahu dijawab jujur, rasanya macam tak sopan pula. Salah frasa ‘berani dekat’ tu. Semua cuma kesilapan teknikal. Ikut hati dia tak rela pun nak dekat-dekat Mr devil tu!
“Saya nak minta bantuan Cik Alena, boleh tak?”
“B-Bantuan… yang macam mana tu, puan?” gagap Alena tanya. Datin Sri Anita tersenyum manis.
“Perhatikan gerak geri Rin. Dengan siapa dia berkawan dan apa aktiviti pelik dia selain kerja. Laporkan terus kepada saya.” Datin Sri Anita menghulur sekeping kad nama kepada Alena.
Berbelah bagi hati sama ada mahu sambut huluran tersebut atau biarkan sahaja. Kalau disambut, bererti Alena setuju dengan permintaan gila Datin Sri. Kalau dia tolak, risau pula periuk nasinya bakal terjejas. Apa perlu dia buat?
“Saya tak minta secara percuma. Name your price, Cik Alena. Saya jamin kedudukan cik di syarikat ini juga tidak akan terjejas. Rin tidak boleh pecat cik. How’s that?”
“Tapi puan…” Alena jeda memikirkan kata-kata yang sesuai untuk dilontar. “Tuan Rin bukan mudah untuk didekati.” Macam mahu jinakkan syaitan! Itu pendapat Alena. Datin Sri ukir senyum tipis.
“Cuba dulu. Saya yakin dengan kemampuan Cik Alena. Come closer, I’ll tell you a secret.”
Alena merapatkan wajah ke arah Datin Sri Anita.
“Adrin Daylan tidak akan bercakap apatah lagi berurusan dengan mana-mana perempuan kecuali ahli keluarga. He even hugged you, that’s impressive!”
“Tak, takde peluk. Itu cuma kesilapan teknikal!” Laju Alena nafi bersama gelengan pantas. Biji mata hampir terjojol kerana terkejut.
Macam mana Datin Sri boleh tahu tentang hal itu? Pasti ada mata-mata yang diupah dalam syarikat.
“Believe me, you’re the one! I’m counting on you, Arisa Alena. Here… gunakan tanpa had. It’s all yours!”
Sekeping kad berwarna hitam dihulur kepada Alena. Laju Alena tolak sambil geleng, entah sudah ke berapa kali asyik geleng je.
“Tak, puan. Saya tak nak terima apa-apa bayaran sebelum saya berjaya melakukannya.” Sengaja Alena kata macam tu kerana dia tidak yakin yang dia mampu buat seperti yang dipinta. “Lagipun… mengapa saya kena perhati gerak geri Tuan Rin? Er… tuan tu… ada masalah ke? Maaf, saya cuma nak tahu je.”
Datin Sri Anita tersenyum pendek. Tidak tersinggung dengan pertanyaan Alena. Lega Alena pandang. Risau juga soalannya buat wanita itu mengamuk tadi.
“Ada sesuatu yang tak beres dengan anak teruna saya sorang tu. Mother’s instinct. That’s what you‘re going to find out, Cik Alena. Kalau ada sesuatu yang pelik, terus laporkan kepada saya. I mean anything.”
Ah, ini parah ni! Takkan dia kena ikut Adrin lapan jam setiap hari? Itu lagi pelik! Nanti dikata dia terhegeh-hegeh pula dengan bos tampan tu. Eh, tak nak!
“Puan… saya tak janji saya mampu lakukan tapi saya cuba.”
“Ya, saya faham. Cuba dulu.” Datin Sri Anita bersuara lembut. Mendesak dengan cara berhemah. Kad bank berwarna hitam disorong kembali ke arah Alena. Laju Alena geleng.
Dia perlukan duit tapi bukan duit yang diberi dengan cara itu. Risau terbeban hutang juga terbeban budi. Itu paling bahaya, there’s no way to run!
“Kalau saya berjaya, saya akan tuntut bayaran dari puan.” Alena menolak lembut huluran Datin Sri.
“Baik, saya hormati keputusan Cik Alena. Jika perlu bantuan, hubungi saya bila-bila masa. Saya akan bantu selagi saya mampu.” Kad nama milik Datin Sri Anita ditinggalkan di atas meja sebelum wanita itu beredar.
Alena tersandar di penyandar sofa sebaik sahaja kelibat Datin Sri Anita hilang dari pandangan. Mata digosok beberapa kali. Masih tidak percaya apa yang barusan berlaku. Mengapa? Banyak-banyak manusia di situ, mengapa dia? Banyak-banyak lelaki, mengapa Adrin Daylan, lelaki kena rejek dari neraka itu?
Alena melangkah gontai menuju ke lift. Semangat mahu bekerja sirna. Otak berserabut kini. Belum hilang kerisauan tentang Bambam, timbul pula masalah lain. Sedang menunggu pintu lift terbuka, telefon bimbit berlagu. Alena sambut panggilan tanpa melihat nombor yang tertera.
“Arisa Alena, get me two cups of Espresso double shot with less sugar from CoffeeDrinks, thirty minutes from now!”
Argh!!!
Hampir je Alena hempas peranti empat segi itu di atas lantai marmar. Geram bukan kepalang. Adrin Daylan langsung tak tanya dia setuju ke tak nak pergi. Apa Adrin ingat dia bos boleh arah orang sesuka hati ke? Dia belum lagi sah jadi PA Mr devil tu, bukan hari ini tapi esok!
Bersama sumpahan berkarung, Alena putar tubuh dan bergegas keluar menahan teksi. Setengah jam kemudian, Alena muncul semula dan terkocoh-kocoh menghampiri lift. Mujur waktu itu bukan lunch hour, jadi lebuh raya agak lengang. Begitu juga kedai kopi berkenaan. Alena terus tekan punat tingkat presiden sebaik sahaja berada di perut lift.
“Rin! Are you crazy?!”
Mendadak mati langkah Alena ketika hanya berjarak beberapa inci menghampiri pintu bilik pejabat Adrin Daylan apabila jeritan lantang itu bergema dari dalam bilik tersebut. Macam lipas kudung, tubuh Alena melekat di daun pintu. Perlahan, wajah dirapatkan. Mahu curi dengar. Lumrah, perempuan dengan naluri penyibuk berpisah tiada!
“I know what I’m doing!”
“Don’t, Rin!”
“I said I know what…”
“I hate it!”
“Zen!”
Suara tempikan keras dari dalam bilik itu buat Alena tergamam sejenak. Apa berlaku? Tengah bertengkarkah dua jejaka ukiran surgawi itu?
“I’ve got a plan, Rin. Please listen to me....”
Plan? Plan apa? Aizen Qaiser ni memang hanat, penghasut terpaling durjana di alam maya. Alena merapatkan telinga di daun pintu, mahu curi dengar. Siapa sangka, daun pintu rupanya tidak tertutup rapat. Alena tertolak ke depan apabila pintu tiba-tiba terkuak.
“Aaahhh!” Meluru laju tanpa mampu mengawal tubuh, Alena cuba kawal pergerakan kaki. Malang tak berbau, kaki yang mengenakan kasut tumit tinggi terpeleot.
“Aaahhh!” Sekali lagi jeritan ngeri maha dahsyat meluncur dari bibir apabila Alena sedar arah tubuh meluru.
SPLASH!
Hanya mampu menutup mata! Tak sanggup melihat apa yang berlaku apabila tubuh menabrak belakang sebatang tubuh sasa.
“Auchhh! Damn it!!!”
Pelukan terlerai! Zen meloncat kesakitan apabila air kopi di tangan Alena habis tumpah di belakangnya. Masih berasap tipis!
“M-MAAF!”
Keluar terus gaya seorang dayang istana ketika datang menyembah permaisuri. Dua tapak tangan bercantum di atas dahi sambil membongkokkan tubuh. Sebelah tangan Alena mulai berubah jadi kemerahan, disimbah air kopi tadi. Tapi dia tahu kecederaan dia pasti tidak seteruk Aizen Qaiser.
“You!!!”
Pasrah, Alena tadah wajah sambil tutup mata saat dia lihat Zen meluru ke arahnya sambil angkat sebelah tangan.
“Stop, Zen!”
Tangan kekar berurat besar Adrin menghentikan ayunan deras tangan Zen. Berubah terus air muka Zen.
“You defend her?! Seriously, Rin? She hurts me!”
“I am not. Let’s treat you first!” Rin menarik Zen keluar seraya kata.
Terpinga Alena memandang. Pandangan Adrin lurus ke depan, tak jeling walau sekilas ke arah Alena. Wajah tegang, merah menyala macam naga bersedia mahu sembur api. Tak seperti Aizen, siap lempar pandangan membunuh ke arah Alena.
Alena hanya mampu tercengang sehingga dua tubuh sasa terukir sempurna idaman setiap makhluk tuhan itu hilang dari pandangan. Apa yang berlaku? Apa yang barusan dia saksikan sebelum kejadian air kopi tumpah? Mereka berpelukan! Dua jantan tu berpelukan. Walaupun dua jejaka itu membelakangi pintu, Alena yakin mereka sedang berpelukan. Tak! Zen peluk Rin dari belakang. Apa kejadahnya?!
Alena mundar mandir di ruang yang luas itu. Gigih fikir mengapa dua jejaka ukiran surgawi itu berpelukan tadi. Peluk sebagai kawan? Itu normal. Perempuan juga bisa berpelukan. Mungkin tidak bawa maksud apa-apa. Dia saja fikir berlebihan. Ah, pasti begitu.
Alena berdecit apabila tangan yang terkena air panas mulai berdenyut. Bergegas dia keluar untuk mendapatkan rawatan segera. Usai merawat luka melecur sendiri dengan ubat dan pembalut yang dibeli dari farmasi, Alena duduk termangu di luar bangunan farmasi. Hati jadi tak senang dengan apa yang dilihat dalam bilik Adrin tadi.
Gatal hati mahu luah kepada seseorang. Simpan semuanya sendiri? Terlalu berat buat seorang Alena. Hal itu adalah sesuatu yang sangat sensasi! Dahi berkerut. Boleh buat duit! Tak fikir panjang, Alena terus hubungi Datin Sri Anita. Wanita itu meminta Alena menunggu dia di salah sebuah restoran berdekatan. Lebar sengih Alena teringat duit berkepuk-kepuk yang bakal diterima kelak. Hanya jual maklumat bos hanat tu, boleh jadi kaya raya dia!
Pertemuan dengan Datin Sri Anita hanya berlangsung selama setengah jam kerana wanita itu punya urusan lain. Alena juga kena balik pejabat. Dia cuma isi borang keluar untuk sejam sahaja dengan alasan ke klinik merawat kecederaannya. Semua Alena ceritakan kepada wanita anggun itu.
“Berpelukan?” tanya Datin Sri Anita dengan wajah sedikit terkejut.
“Saya tak pasti sebenarnya sebab saya cuma nampak dari belakang. Seakan berpelukan, itu pendapat saya je.”
“Baiklah, teruskan memerhati Rin. Terima kasih, Cik Alena.” Sekeping sampul tebal dihulur kepada Alena. Buntang mata Alena memandang.
“Ambillah sebagai ganjaran atas maklumat hari ni. Saya nak cepat ni. Saya pergi dulu.”
“Puan, tak perlu… urm…” Alena mematikan ayat apabila Datin Sri Anita tergesa-gesa pergi tanpa menunggu kata-katanya. Senyum melebar sebaik saja isi sampul diintai. Duit cash! Sempat mengira, semuanya 1k, untung!
Lega sungguh apabila Adrin Daylan langsung tak muncul mencari dia sehingga tamat waktu bekerja. Di luar bangunan kerjanya, Alena menahan sebuah teksi dan meminta pemandu teksi untuk menghantar dia ke hospital. Alena mahu gantikan ibu yang pasti sudah penat seharian temankan Bambam.
Ketika Alena tiba, ibu sedang berbual dengan seorang doktor pakar. Alena menghampiri.
“Pembedahan pertama, kita akan baiki injap jantung anak puan. Jika keadaan tidak bertambah baik, kita akan gantikan dengan injap tiruan. Anggaran kos rawatan mencecah Rm 100,000.00.”
Hampir pitam Alena dengar. Di mana dia dan ibu mahu cari duit sebanyak itu? Dia sudah tidak layak memohon loan bank kerana sebelum ini pun dia sudah tiga kali buat loan demi rawatan Bambam dan sehingga kini masih terbelenggu dengan hutang bank.
Ya Allah… apa harus dia lakukan? Bambam perlukan rawatan segera.
“Puan boleh berbincang dengan ahli keluarga puan dahulu. Ini borang kebenaran pembedahan. Kalau puan setuju, saya akan aturkan pembedahan secepat mungkin.”
“Doktor, kami setuju. Saya akan bayar deposit dahulu. Selebihnya nanti, akan saya usahakan.” Sampul yang diberi oleh Datin Sri terus diserahkan kepada doktor tersebut.
Selepas doktor itu berlalu, Alena tarik ibu ke dalam pelukan apabila dia lihat air mata mengalir ke pipi ibu tercinta.
“Jangan risau, ibu. Tanda tangan surat kebenaran tu dan beri kepada doktor. Kos rawatan tu akan saya usahakan. Yang penting, nyawa Bambam.”
“Tak, Lena. Biar ibu yang fikirkan hal ni. Kau dah banyak berkorban.”
“Ibu… saya akan usahakan.”
Saat itu, rasa menyesal menghambat jiwa. Kenapalah dia tolak kad yang diberi oleh Datin Sri hari tu? Kad unlimited tu! Argh, jangan tamak Lena. Laju kepala digeleng.
“Tapi Lena…”
“Dah, ibu jangan fikir panjang. Keselamatan Bambam lebih penting sekarang. Tanda tangan cepat dan bagi doktor borang tu.”
Bersama juraian air mata, ibu akur dan buat seperti yang disuruh. Alena buang wajah, sembunyikan air mata yang bergenang di tubir mata. Pasti ada jalan! Allah takkan beri ujian lebih dari kemampuan umatnya.
Esok hari, Alena bersiap dari hospital dan terus ke tempat kerja. Risau terlewat lagi, Alena hanya tidur beberapa jam. Itu pun tidur dalam keadaan duduk di kerusi penjaga. Sengsaranya toksah cakap. Demi Bambam, dia sanggup redah semua kesulitan itu.
“Morning, sweetie! Asal muka takdak seri ni?”
Damia, gadis front desk menyapa mesra seperti kebiasaannya. Alena leretkan sengih lebar.
“Letih, Mia. Saya jaga adik, masuk hospital.” Alena jawab jujur.
“Bambam masuk hospital? Poor him, semoga cepat sembuh, little angel!”
Alena angguk. Terharu dengar doa tulus teman sekerjanya itu.
“Oh, by the way… bos suruh kau terus ke tingkat presiden.”
Mati mendadak langkah kaki Alena. B-Bos? Mr devil dari neraka tu dah masuk ofis? Seawal ini?
“Ok!” Pendek jawapan, takde semangat langsung. Langkah diteruskan. Longlai!
Beberapa saat Alena terpacak di depan pintu pejabat Adrin Daylan. Berfikir… apa yang bakal lelaki dari neraka itu sajikan untuk dia? Peristiwa semalam kembali tertayang di layar minda. Tak mustahil Adrin sudah rancang sesuatu untuk kenakan dia. Tak mungkin dia dilepaskan macam tu je selepas apa yang berlaku semalam. Dia kena rancang strategi supaya tidak tertewas di tangan lelaki keji itu.
“Selamat pagi, tuan!”
Alena melangkah masuk selepas daun pintu diketuk. Adrin Daylan sedang duduk bersandar di kerusi kerja sambil urut pelipis. Dah kenapa?
“Tuan? Ada apa-apa yang perlu saya lakukan hari ini?” Melihat wajah tegang Adrin, Alena rasa tidak sedap hati. Seolah dia pesalah dan sedang tunggu hukuman berat dalam kandang mahkamah.
“I really underestimate you.”
Alena tercengang. Maksudnya?
“Dare to stab me in the back huh, Arisa Alena?”
What the…
Maksudnya apa coba? Alena lempar pandangan tak mengerti.
“Apa maksud bos? Saya tak faham.”
“Nak jadi pengintip untuk keluarga saya? Dream on, Arisa Alena! Saya akan pastikan kau tak berani lihat atau buka mulut lagi selepas ini!”
Adrin bingkas bangun lalu menghentak permukaan meja dengan kuat. Terenjut bahu akibat terkejut. Laju Alena undur setapak apabila dia lihat Adrin buka langkah. Oh dear, danger alert! Macam mana lelaki hanat tu boleh tahu? Cis!
“Tuan… jangan salah sangka. Pertemuan saya dengan Datin Sri cuma atas urusan kerja. Tiada kaitan dengan tuan.” Alena beralasan.
“Shut up!!!”
Seraya jerit, Adrin meluru dengan pantas ke arah Alena.
“Tuan!”
Tangan Alena yang cedera berbalut bandage Adrin rentap kasar.
“Aduh! Tuan, sakit!”
“Sakit?! That’s how you pay the price, Arisa Alena! I’ll make your life like hell!”
“Argh!”
Alena meringis kesakitan apabila Adrin sengaja picit bahagian tangan yang tercedera dengan kuat.
“Tuan, tolong lepaskan. Sakit!”
Kain Kasa berwarna putih itu mulai tercemar dengan tompokan berwarna merah. Alena tahan air mata dari gugur. Sakitnya, hanya Allah yang tahu.
“Rin!” Jeritan lantang dari arah pintu mematikan pergerakan Adrin. Tangan Alena dilepaskan.
Hampir melonjak Alena menahan rasa sakit berdenyut-denyut. Jatuh jua setitik dua air mata. Pantas dikesat kerana dia tidak mahu terlihat lemah di depan syaitan keji itu. Tajam pandangan dilempar ke empunya suara yang kini sedang melangkah masuk dengan wajah mendatar. Tak mungkin muncul kerana mahu selamatkan dia, bisik batin Alena.
“What, Zen? Can’t you see I am very busy now?” gerutu Adrin, jelas terganggu dengan kemunculan Aizen Qaiser.
Alena pandang dua jejaka tampan itu silih berganti. Adegan semalam kembali tertayang di layar minda. Ada apa dengan dua lelaki itu?
“Kau nak sangat projek Nilai Saujana tu kan?” seraya kata, Aizen hulur sekeping sampul coklat berukuran A4 kepada Adrin. “Saya dah buat janji temu dengan Datuk Firdaus.”
Adrin jongket kening. Sampul bertukar tangan.
“Let her deal with him!” sambung Aizen lalu menjeling sinis ke arah Alena. Kening Adrin berkerut, hampir bertaut di hujung.
“Are you crazy, Zen?”
“That’s my condition, Rin. Tak nak, Jentayu Holdings akan ambil alih projek ni!” jawab Aizen, seakan mengugut.
Adrin terkelu. Bebola mata beralih ke wajah Alena. Fikir sejenak sebelum mengangguk perlahan. Laci meja kerja diselongkar, menarik keluar sebuah fail berwarna biru lalu memandang Alena.
“Go and get this project, no matter what!” Fail bersama sampul surat dillempar ke arah Alena, tepat mengena dada. Alena tahan diri dari menyumpah seranah Adrin Daylan. Tunduk mengutip fail dan sampul di lantai.
“Baik bos… tapi, saya ada permintaan.”
Adrin pandang sinis. Bibir terherot senget. Namun bibir terkunci, mahu dengar apa yang bakal dikatakan oleh Alena.
“Andai saya berjaya dapatkan projek ni, boleh tak bos pinjamkan saya 100 ribu? Saya janji saya akan bayar balik perlahan-lahan.” Alena tayang wajah terpaling comel.
Adrin buang wajah yang jelas dipenuhi garis menyampah. Aih, tak berkesan langsung kecomelan dia yang bisa menggegarkan tulang rusuk.
“Kau nak buat apa dengan duit sebanyak tu?”
Eh, nak sibuk pulak! Terjuih bibir Alena. Namun cepat-cepat wajah dimaniskan apabila Adrin kembali memandang dia.
“Saya perlu sangat. Hal peribadi, bos.”
Adrin berdiri tegak. Dagu licin yang terjaga rapi digosok perlahan.
“Let’s see how good you are, then I’ll decide! But, if you lost the deal, don’t bother to come here, ever again!”
Alena tarik nafas sedalamnya sebelum angguk, penuh yakin. Demi Bambam, akan dia dapatkan kontrak itu walau dengan apa cara sekalipun.
Selepas Alena beredar, Adrin kembali menghempas punggung di kerusi kerja. Pelipis diurut perlahan. Aizen tersenyum, menghampiri dan berdiri di belakang Adrin. Bahu Adrin dipaut lalu diurut perlahan.
“Lega tak?” tanya Aizen. Adrin diam. Mata tertutup rapat.
“Datuk Firdaus, lelaki kejam yang suka memperlekehkan orang. Why him?” Adrin tanya dengan suara dalam.
“Simple, I hate her!” Aizen tak sembunyikan wajah meluatnya. Adrin mengeluh halus.
“She might get killed…”
“Suits her! Baru perempuan tu sedar diri sikit, berlagak sangat!”
Adrin terus diam. Malas mahu teruskan perbalahan.
“Macam mana? Sakit belakang dah berkurang tak? Kalau bukan kerana perempuan tu semalam, saya dah selesai urut belakang kau.” Bebel Aizen, tak puas hati. Bukan saja tak selesai, tengah urut Adrin tiba-tiba Alena muncul dan siram kopi panas di belakang dia. Mujur cepat dirawat. Rasa benci semakin menebal kepada Arisa Alena.
“Zen, get out. Saya banyak kerja.”
“Rin!” Sungguh tidak puas hati nada suaranya.
“Jumpa di tempat biasa malam ni!” Adrin kata lagi, dengan suara lebih tegas.
Aizen kemam bibir. Langkah diorak kasar menuju ke pintu. Muncung naik sedepa!
Selepas Aizen keluar, Adrin cuba tumpukan perhatian pada kerja yang berlambak. Malangnya, fikiran bukan di situ. Adrin melempar kasar ballpoint pen di tangan lalu hempas tubuh di penyandar. Berfikir sejenak sebelum menyambar telefon bimbit.
“Follow her!” arah Adrin kepada manusia di hujung talian sebelum bingkas mengangkat punggung.
Share this novel