Series
15024
USAI makan malam, Edrian terus meminta diri untuk ke bilik. Nadia pula menyusul setelah selesai mengemas dapur.
Edrian sedang duduk bersandar pada kepala katil dengan pandangan kosong terarah ke hadapan. Sejak masuk ke bilik tadi, hati dan fikirannya tidak tenang.
Kalau someone buat I macam tu... tak tahulah kalau I boleh maafkan.
Kata-kata Nadia petang tadi masih terngiang berulang-ulang di kepalanya.
Edrian meraup kasar rambutnya sebelum melepaskan keluhan berat. Dadanya terasa seperti dihimpit oleh sesuatu yang sangat berat.
Perkahwinan mereka sudah mencecah usia enam bulan, tetapi sampai hari ini dia masih belum mampu memberikan apa yang sepatutnya diberikan oleh seorang suami kepada isteri.
Bunyi pintu bilik air dibuka membuatkan Edrian tersedar daripada lamunannya.
Edrian hanya memandang sekilas Nadia yang sedang melangkah keluar sambil mengelap wajah dengan tuala kecil. Wanita itu sempat melemparkan senyuman kepadanya sebelum berjalan menuju ke meja solek untuk melakukan rutin penjagaan wajah sebelum tidur.
Selesai semuanya, Nadia terus menuju ke katil. Dia tidak terus berbaring, sebaliknya dia duduk di sebelah Edrian, memandang sisi wajah lelaki yang tidak memandangnya itu buat sejenak.
Nadia mengetap bibir. Jantungnya berdegup lebih pantas. Bukan kerana takut, bukan juga kerana marah. Tetapi ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya. Malam ini, dia mahu memastikan sesuatu. Dia mahu mencuba lagi.
Tanpa sebarang amaran, dia mencapai tangan Edrian lalu menarik lengannya sebelum dia membaringkan kepalanya ke atas dada suaminya. Lengannya pula dilingkar manja ke pinggang lelaki itu.
Edrian tersentak kecil. Tubuhnya kaku buat beberapa saat, tetapi dia hanya diam. Tidak membalas, tidak juga menolak. Dia hanya membiarkan setiap perlakuan isterinya.
"You..."
"Hmm," sahut Edrian dengan nada datar seperti selalu.
Nadia mengetap bibir. Ada keraguan pada wajahnya. Namun, dia tetap memberanikan diri untuk bertanya.
"You tak terfikir nak ada anak ke?" soalnya sambil melukis bulatan menggunakan hujung jari telunjuknya di atas perut Edrian.
Spontan Edrian mengetap rahang. Dia tahu mengapa wanita itu bertanyakan soalan tersebut. Namun, dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab.
Sunyi. Hampir seminit berlalu begitu sahaja dalam kebisuan.
Nadia akhirnya menegakkan tubuh lalu memandang tepat ke mata suaminya. Pandangan mereka bertaut. Dia cuba mencari sesuatu di dalam mata lelaki itu.
Sedikit kasih sayang, keinginan atau sekurang-kurangnya satu tanda bahawa lelaki itu melihatnya sebagai seorang isteri dan bukan sekadar seseorang yang kebetulan berkongsi hidup dengannya.
Tetapi, apa yang dilihatnya hanya pandangan kosong yang sukar ditafsirkan.
"Ed... kalau you ada masalah, feel free to tell me. I promise I takkan judge you," kata Nadia lembut.
Edrian menghela nafas panjang. "Dah lewat ni. Mesti you penat."
"I tak penat pun," jawab Nadia. Dia tahu lelaki itu hendak mengelak.
"Esok you kena kerja, kan? Jomlah, kita ti..."
Belum sempat Edrian menghabiskan ayat, tanpa amaran Nadia tiba-tiba merapat lalu menyambar bibirnya.
Tubuh Edrian spontan terkaku. Matanya membulat.
AWAL pagi lagi Nadia sudah berada di dapur selepas menunaikan solat Subuh. Dia terus melabuhkan punggungnya ke kerusi meja makan usai menyediakan sarapan ringkas.
Sesekali dia memandang ke arah pintu dapur, sesekali memandang ke arah nasi goreng dan dua cawan teh yang masih berasap di hadapannya.
Nadia mengetap bibir. Otaknya terus-menerus memikirkan tentang apa yang berlaku semalam.
Sudah enam bulan dia hidup sebagai isteri Edrian. Enam bulan juga dia cuba memahami lelaki itu. Tetapi sampai sekarang, dia masih tidak tahu apa sebenarnya masalah suaminya. Edrian tidak pernah kasar terhadapnya. Tidak pernah marah. Tidak pernah membentak.
Tetapi, lelaki itu juga tidak pernah mencurahkan kasih sayang kepadanya. Tiada kemesraan. Tiada sentuhan. Setiap kali Nadia cuba mendekat, setiap kali itulah lelaki itu mencipta dinding yang tidak mampu ditembusi. Sama seperti semalam.
Nadia memejamkan mata. Keluhan panjang terpacul daripada mulutnya setelah itu.
Apa sebenarnya masalah you, Ed? Persoalan sama terus bermain di kepalanya, menuntut jawapan.
Dia membuka matanya semula, memandang kosong permukaan meja. You memang tak ada keinginan langsung terhadap I ke? Buat kesekian kalinya, dia melepaskan satu keluhan panjang.
Selama ini, dia fikir mungkin suaminya penat. Mungkin lelaki itu memang perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perkahwinan mereka.
Tetapi enam bulan bukanlah tempoh yang singkat dan malam tadi telah membuktikan sesuatu. Kali ini, dia nampak dengan jelas. Penolakan semalam itu bukanlah disebabkan suaminya tiada tenaga kerana penat, tetapi sebuah ketidakmahuan yang sangat jelas.
Tiba-tiba, Nadia mengangkat wajah. Matanya membulat. Lagaknya seperti ada sesuatu yang terlintas di fikirannya.
Jangan-jangan... dia gay? Nadia mengetap bibir. No... no. Tak mungkin. Laju dia menggeleng sambil memegang dahinya. Hish, apa benda yang aku fikir ni? Takkanlah.
Suaminya ada cinta pertama sebelum mereka berkahwin. Seorang wanita. Sekurang-kurangnya, itulah yang dia tahu daripada sepupu lelaki itu.
Agak lama Nadia diam sebelum dia menghela satu nafas panjang. "Sudahlah... tak payah fikir."
Beberapa saat kemudian, kedengaran bunyi derapan langkah dari arah pintu dapur. Spontan Nadia menoleh.
Edrian sedang melangkah masuk ke dapur dengan langkah teratur. Riak wajahnya tenang seperti biasa. Seperti tiada apa-apa berlaku. Seperti kejadian semalam tidak pernah terjadi.
Sementara Nadia sudah tidak senang duduk. Wajahnya terasa sedikit berbahang. Malu dan canggung kerana peristiwa semalam. Namun, dia berusaha untuk berlagak tenang.
"Morning."
"Morning," sahut Edrian sambil memandang Nadia. Riak wajahnya tidak berubah. Dia terus duduk bertentangan dengan wanita itu.
Cepat-cepat Nadia mengalihkan pandangan ke arah pinggan kosong di atas meja lalu mencapainya. "You nak banyak ke sikit?" soalnya sambil menarik sedikit bekas berisi nasi goreng supaya lebih dekat dengannya.
"Sikit je."
Nadia mengangguk kecil lalu mula mencedok untuk lelaki itu dan untuk dirinya sendiri. Kemudian, mereka terus mula makan.
Sunyi.
Nadia cuba makan seperti biasa, tetapi rasa malu dan canggung masih terasa mencucuk-cucuk di hati. Rasa menyesal pun ada.
Edrian pula hanya diam dan kekal tenang menikmati masakan isterinya.
Nadia bukanlah wanita yang pandai memasak. Sebelum berkahwin, dia hanya makan di luar. Kalau terpaksa memasak sendiri, paling jauh pun dia hanya tahu menyediakan mi segera dan telur mata sahaja.
Namun, selepas berkahwin, dia mula belajar sedikit demi sedikit. Bukan kerana dia tiba-tiba mempunyai minat terhadap dunia masakan, tetapi kerana dia mahu menyediakan sesuatu untuk suaminya sehingga dia sanggup belajar memasak dengan chef di resortnya meski penat bekerja seharian. Semuanya dilakukan demi lelaki bernama Edrian.
Nadia melirik pinggan Edrian dengan ekor mata. Hanya dengan melihat lelaki itu makan pun sudah cukup membuatkan dia rasa bahagia.
Dia tahu, hasil masakannya memang belum sempurna, tetapi sekurang-kurangnya jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
"Sedap?" Suara Nadia memecahkan kesunyian.
Edrian berhenti mengunyah buat beberapa saat sebelum mengangguk kecil. "Hmm."
Respons lelaki itu membuatkan Nadia spontan mengukir senyuman kecil.
Suasana kembali sunyi buat seketika sebelum Nadia bersuara semula.
"I gerak ke resort kejap lagi. Ada meeting dengan team pasal program hujung minggu ni."
"Hmm," balas Edrian sambil mengunyah.
"Habis nanti, I terus balik ambil you... lepas tu hantar you pergi ke airport."
"Hmm."
Nadia tersenyum nipis. Dia sudah biasa dengan jawapan pendek lelaki itu, jadi dia tidak mengambil hati.
"You ada teringin nak makan apa-apa tak untuk lunch? Nanti I..."
Belum sempat Nadia menghabiskan ayat, telefonnya di atas meja berdering.
Nama yang tertera pada skrin membuatkan Nadia mengerutkan dahi. "Kenapa dia tiba-tiba call?" desisnya sebelum menekan butang jawab.
"Hello, Am..."
Nama yang disebut membuatkan Edrian laju memandang isterinya, memasang telinga dengan muka fokus. Suara garau di hujung talian sayup-sayup kedengaran, tetapi butir bicaranya jelas tertangkap di telinga.
"Hah?" Mata Nadia sedikit membulat.
"Esok dengan lusa?" Dia diam beberapa saat sebelum tersenyum.
"Oh, nak check-in petang ni?"
"Boleh je... Nak ambil pakej yang mana?"
"Berdua dengan wife you je? Ingatkan company trip macam selalu."
Tubuh Edrian spontan tertegak. Matanya membulat. Dia terus memasang telinga.
"Don't worry... Nanti I arrange untuk you, okay? Jumpa petang nanti."
Talian ditamatkan.
Saat Nadia menoleh, cepat-cepat Edrian mencapai cawan kopinya lalu dihirup, berpura-pura seperti tiada apa-apa berlaku.
"Ammar nak datang bercuti dengan wife dia. Dia nak book bilik untuk dua malam," kata Nadia tanpa disoal.
Senyap. Tiada balasan daripada Edrian. Dia hanya menghirup kopinya seperti biasa. Namun, hakikatnya fikirannya tidak setenang yang dilihat pada wajahnya sekarang.
Ammar dan isterinya akan berada di resort isterinya selama dua hari dan berita itu benar-benar mengganggu fikirannya.
Nadia tidak memanjangkan perbualan. Dia sambung makan lalu bangun dan mengemas pinggan dan cawan yang sudah kosong setelah mereka selesai bersarapan, kemudian membawanya ke singki.
Edrian masih duduk di meja makan. Nadia berjalan menghampirinya sambil mengelap tangannya usai membasuh pinggan.
"I gerak dulu, ya. Nanti kalau dah siap, I balik ambil you," ujarnya sebaik dia berdiri di sebelah Edrian. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman seperti biasa.
Namun, Edrian tidak menyambut tangannya. Wajah isterinya direnung.
Sikap lelaki itu membuatkan dahi Nadia berkerut. Baru dia hendak mengatakan sesuatu, Edrian sudah terlebih dahulu bersuara.
"I ikut."
Nadia terkedu buat beberapa saat. "You... nak ikut I pergi ke resort?" soalnya untuk memastikan dia tidak salah dengar.
"Hmm," jawab Edrian sambil berdiri lalu memasukkan sebelah tangannya ke dalam poket seluar sebelum berpaling menuju ke pintu.
Nadia masih berdiri di situ dengan tangan yang belum sempat diturunkan. Terkebil-kebil matanya memandang belakang tubuh suaminya yang semakin menjauh.
Perlahan-lahan dia menurunkan tangannya. Kemudian, dia mengukir senyuman nipis. Hatinya rasa berbunga.
Dia tidak tahu apa yang membuatkan Edrian tiba-tiba mahu mengikutnya ke resort. Yang dia tahu, asalkan lelaki itu berada di sisinya sudah cukup untuk membuatkan paginya terasa bermakna sebelum suaminya kembali ke Kuala Lumpur.
DI HADAPAN rak kasut, Nadia berdiri bertentangan dengan Edrian yang sedang menyarungkan kasut kulit ke kakinya.
Sejujurnya, dia masih tertanya-tanya mengapa lelaki itu tiba-tiba mahu mengikutinya. Sebelum ini, jika Edrian pulang ke rumah mereka di Langkawi, setiap kali dia mengajaknya ke resort, lelaki itu sentiasa menolak.
Tetapi, dia memilih untuk tidak mempersoalkannya. Mungkin suaminya memang mahu meluangkan masa dengannya hari ini.
"You tak bawa barang you terus ke?" soal Nadia sebaik sahaja Edrian berdiri usai memakai kasut.
Edrian menoleh.
"Nanti dari resort, kita terus tembus ke airport. Tak perlu lagi balik rumah ambil barang, kan?" sambung Nadia.
"No need."
Jawapan Edrian membuatkan Nadia mengerutkan dahi. "Maksud no need tu..."
"I cancel flight," potong Edrian.
Nadia terus terdiam selepas mendengar jawapan yang tidak dijangka itu. Matanya membulat tidak berkedip.
"Cancel?"
Edrian mengangguk kecil. "Yes."
Nadia spontan menahan senyum, cuba menyembunyikan kegembiraannya. Namun, di sebalik perasaan itu, persoalan yang sejak tadi berlegar-legar di ruang fikirannya terasa semakin mencucuk.
Kenapa tiba-tiba? Ingatkan setakat nak ikut ke resort je, tapi sampai cancel flight ni macam... something.
Nadia memandang Edrian yang sudah berpaling mencapai tombol pintu. Senyuman kecil terukir di bibirnya.
Selama enam bulan ini, Nadia tidak pernah berhenti berharap. Sejak awal perkahwinan mereka, dialah yang sentiasa cuba menjadi seorang isteri. Dia yang cuba mendekat, cuba memahami dan cuba mencipta kemesraan walaupun Edrian tidak pernah memberikan balasan yang sama. Tetapi hari ini, Edrian menunjukkan sikap yang bukan kebiasaannya.
Mungkin dia dah mula nak buka ruang untuk hubungan kami berkembang. Mungkin dia dah mula nak kenal aku dengan lebih dekat. Nadia menarik nafas dalam-dalam. Dia sedar mungkin dia terlalu cepat membuat kesimpulan.
Namun, setelah sekian lama menunggu, dia memilih untuk percaya pada perubahan kecil yang ditunjukkan lelaki itu.
Senyuman kecil di bibirnya kembali terukir. Dia tidak tahu apa yang mendorong Edrian membuat keputusan itu.
Namun, buat masa sekarang dia memilih untuk percaya bahawa keputusan suaminya hari ini adalah kerananya.
Dia tidak tahu apa yang menanti mereka di hadapan. Apa yang dia tahu, sepanjang hari ini dia dapat meluangkan lebih banyak masa dengan suaminya.
Share this novel
Edrian tak move on..nnt biar nadia acuh dgn edrian padan muka
?