Series
6564
Bab 6
Selepas mengambil wang baki, aku dan adikku mengangkat segala barang yang dibeli. Tapi jauh di sudut hatiku terasa pilu untuk meninggalkan abang Giantku di kaunter itu. Aku melangkah longlai keluar daripada kaunter. Pandanganku masih lagi tertumpu ke belakang walaupun kakiku terus melangkah. Aku tersentak apabila diriku nyaris di langgar troli. Nasib baik Noor sempat menarik lenganku. Selesai meletakkan barang yang telah dibeli di boot kereta, aku mula masuk ke tempat duduk pemandu. Fikiranku tika ini masih lagi tertumpu kepada abang Giant.
“Aik, dah jumpa ke lelaki yang dapat bunyi loceng hati kau tu?”
Terkedu aku mendengar kata-kata adikku itu. “Mana kau tahu ni?” tanyaku kepada adikku. Terkejut aku, bagaimana dia boleh mengetahui tentang hal ini.
“Alah macam orang tak tahu, kau sibuk usha nama diakan.” Kata Noor dengan muka bangga.
“Nampak sangat ke?” Tanyaku lagi kepadanya. Takut kalau orang lain perasan akan apa yang kulakukan, kalau abang Giant yang perasan tak apalah, bentak hatiku.
“Tak ada lah. Orangkan kat sebelah kau tadi mestilah orang nampak. Tapi kan ada orang tu tadi berlagak, kata tak ada maknanya kat Giant tu ada orang yang dapat ketuk pintu hati dia.” Noor tergelak berdekeh-dekeh setelah dapat mempermainkanku.
“Orang terlupalah kat Giant tu ada ramai pekerja. Orang ingatkan orang yang berkeluarga je yang ada kat Giant tu.” balasku. Geramku kepada adikku sebentar tadi kerana hanya membeli fail sahaja di Giant membawa hikmah yang begitu indah sekali. Tidak sangka aku dapat bertemu lelaki yang dapat membunyikan loceng hatiku… bak kata Noorlah.
PAGI itu aku bersarapan dengan senyuman yang meleret, masakan tidak kerana semalam abang Giant berjaya masuk dalam mimpiku. Semalam sesudah sahaja aku melabuhkan diriku di atas katil fikiranku terus tertumpu kepada abang Giant sehinggalah aku terlena.
“Kau ni kenapa Ida dari tadi asyik tersenggeh je ibu tengok?” soalan dari ibu membuatkan aku tersentak dari lamunan abang Giant.
“Mana ada apa-apa ibu.” Aku segera memberikan jawapan agar ibu tidak bertanya lagi. Nasib baik ayahku pagi-pagi lagi telah keluar untuk bersenam bersama sahabatnya, jika tidak pasti aku akan disoal siasat tentang hal ini.
“Tak lama lagi ibu dapatlah men….” belum sempat Noor meneruskan katanya, aku telah menyepak kakinya di bawah meja terlebih dahulu agar dia tidak meneruskan katanya.
“Men… apa?” tanya ibu apabila Noor tidak meneruskan kata-katanya.
“Mentega.” Pantas aku menjawab sebelum Noor terlebih dahulu menjawab. Macamlah aku ni tak tahu yang dia nak sebut perkataan menantu.
“Kenapa pulak tak lama lagi ibu nak dapat mentega? Kan atas meja tu dah ada mentega.” Ibu bertanya lagi apabila tidak berpuas hati dengan jawapan yang telah aku berikan.
Alamak kenapa pulak mulut aku ni boleh sebut mentega. Tapi kalau tak sebut mentega nak sebut apa lagi bagi mengantikan perkataan menantu itu? Geram rasanya melihat Noor yang masih lagi berselera makan dengan muka yang tak bersalah setelah mengenakan diriku. Aku hanya mendiamkan diri tak mampu untuk bersuara manakala Noor tekun menghabiskan makanannya. Melihat keadaan kami yang sunyi sepi, ibu hanya mengelengkan kepalanya.
Share this novel