"Ratu?"
Sekali lagi gelaran itu dipanggil. Lantas kedua belah tangan aku disentuh sang jejaka dan melayanglah kami ke udara tanpa kenderaan apa-apa.
Aku hanya memerhati suasana sekeliling. Segalanya berputar terlalu pantas. Tudung yang tersarung elok di kepala sebentar tadi, melayang ke kiri dan ke kanan. Mujur sempat aku pegang agar tidak tercabut dari kepala. Hah! Kacau!
Aku mendongak. Memandang jejaka yang memanggil aku Sang Ratu sebentar tadi. Lagaknya tampak bersahaja. Siapakah dia? Dari mana munculnya dia? Hairan! Dengan kekuatan yang si jejaka miliki, sekilas mata sahaja aku sudah di bawa pergi jauh dari tapak rumah sendiri.
"Patik rakyat biasa yang hanya menjalankan tugas seperti yang diperintahkan oleh Ketua Kerajaan." ujarnya setelah kami selesa di atas sana.
"Raja? Siapa raja yang awak maksudkan?" Dan macam mana pula kita boleh terbang secepat dan selaju ni?"
Aku masih lagi bingung. Soalan yang terlontar keluar dari ulas bibir pucat aku hanya dibiarkan tidak berjawab oleh sang jejaka yang bersayap itu.
Sayap? Ya! Jejaka itu punya sayap! Aku sendiri terkaku melihat kelebihan yang dia miliki. Seperti burung yang aku lihat di atas bumbung tadi. Ah! Burung? Siapakah jejaka itu sebenarnya? Dan dari mana dia muncul? Sudahlah fizikalnya persis burung itu.
Dalam kekalutan rasa yang menghimpit, seketika kemudian kami mendarat di atas sebuah padang rumput yang sangat luas halamannya. Si jejaka segera melepaskan pegangan tangan.
"Sebentar ya ..."
Tanpa menanti reaksi balas dari aku, dia segera menghilangkan diri. Sekali lagi dia pergi tanpa kesan. Keluhan berat dilepaskan dari bibir. Sedikit kecewa bercampur takut kerana ditinggalkan sendirian di daerah asing tanpa peneman.
Tiba-tiba kaki aku telah disentuh oleh sesuatu yang lembut. Aku pantas menunduk. Terkejut bukan kepalang hati ini saat bebola mata tertancap pada segerombolan makhluk berkaki empat serta bertelinga capang dan panjang. Persis arnab.
Tetapi aku kira, ini bukan arnab kerana bila disergah, mereka lantas berdiri tegak. Seolah-olah mahu menyanyikan lagu negaraku ketika aku bersekolah dahulu. Pelik bin ajaib. Bahkan tampak memang benar. Aku sedang dikelilingi oleh sekumpulan makhluk aneh yang berbulu arnab.
"Sang Ratu Dermawati Inderapura! Tunduk hormat sahabat sekalian!" jerit satu suara yang berdiri diantara mereka.
Semua mereka membongkokkan tubuh ke arah aku. Sekali lagi aku terpana. Siapakah sebenarnya aku di sini? Gaya seperti orang ternama ditunduk hormat segala. Siapakah aku yang sebenarnya? Dan yang paling penting, di mana aku berada sekarang? Sekelip mata sahaja, segalanya sudah berubah drastik.
Aku meraba wajah. Tiada lagi cermin mata besar. Pipi juga diraba. Juga tiada jerawat memenuhi wajah. Filter apakah ini? Atau aku berada di dalam kelas lakonan? Siapakah tenaga pengajarnya? Adakah aku benar-benar aku sekarang?
"Kalau awak tidak keberatan, boleh saya tahu saya berada di mana sekarang ni?"
Aku memberanikan diri untuk bertanya. Dalam hati masih lagi dikuasai pelbagai rasa. Pelik dan hairan sudah tentu. Ditambah pula dengan suasana sekeliling. Binatang boleh bercakap? Makhluk aneh? Ah, zaman apakah ini?
Salah satu makhluk yang persis arnab itu berjalan ke hadapan mendahului rakan-rakan yang lain. Di kepalanya terdapat topi yang diperbuat dari daun kelapa aku kira. Sungguh cantik dan kreatif. Sehelai bulu itik putih pula diselit dihujung betul-betul atas kepalanya. Comel!
"Sang Ratu .... sebenarnya Tuanku kini berada di Empayar Inderapura. Sebuah negara yang aman makmur dan kaya. Dengan penduduknya yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dan makhluk," jelas makhluk tersebut penuh teruja.
Aku termenung sejenak. Dunia apakah ini yang aku singgah? Aku bermimpi atau aku sudah mati? Tetapi mustahil aku sudah mati! Baru sebentar tadi aku sihat dan cergas. Pipi kanan dan kiri segera dicubit kasar dengan kedua belah tangan.
"Auch!"
Hah! Ternyata aku bukan berada di dunia khayalan dan dunia impian! Buktinya pipi aku sudah kemerahan dicubit tangan sendiri. Hampir lebam jadinya.
Arnab jadian di hadapan aku sudah terkekeh ketawa. Mungkin lucu melihat gelagat aku yang terkebil-kebil menahan kesakitan. Hah! Benarkah bagai dikata? Aku berada di sebuah negara yang asing dari tempat kelahiran aku?
"Sang Ratu masih lupa?"
"Lupa?"
"Ya. Lupa. Patik kira, Sang Ratu masih belum bisa mengingati tempat kelahiran sendiri. Kerana itulah kami telah diarahkan oleh Ketua Kerajaan untuk memerhati Sang Ratu agar tidak pergi jauh. Tapi kami tidak menyangka bahawa Sang Ratu telah hilang dari pandangan seketika tadi"
Kening aku bertaut mendengar penjelasan arnab jadian tersebut. Bila masa pula aku berasal dari tempat asing ini? Seingat aku, aku baru saja jejak kaki ke tempat yang aneh begini. Tiba-tiba disergah pula dengan makhluk pandai bercakap dan comel!
Mustahillah jika aku berasal dari tempat yang namanya entah dari zaman mana. Jika aku dilahirkan di sini, macam mana dengan rumah aku? Bagaimana dengan ibu? Ayah? Kakak? Abang? Dan juga adik aku? Mereka siapa pula?
Aku jadi bingung. Kepala terasa berpinar-pinar. Sakit kepala tiba-tiba menyerang. Terasa mengcengkam kuat ke otak. Menghantar rasa sakit yang teramat.
"Sang Ratu!" Arnab jadian menjerit cemas.
"Mana makhluk yang bersayap tadi? Mana dia?" Aku juga turut menjerit kuat sebelum tubuh aku terkulai layu tiba-tiba. Jatuh menyembah rumput hijau bak sutera baldu.
Dalam keadaan cahaya yang memancar samar-samar, aku menangkap kelibat seorang jejaka yang lengkap memakai jubah berwarna hijau keemasan juga bertanjak berona yang sama menerpa cemas.
"Adinda!"
Panggilan itu hanya sayup-sayup menampal gegendang telinga. Dan akhirnya aku tidak lagi mendengar suara-suara laungan cemas makhluk-makhluk aneh tadi. Saat itu juga tubuh aku sekali lagi melayang, terbang menjauh ...
Bersambung .....
Suka2.. jemputlah baca. Tak nak komen pown xpo. Hehe..
Share this novel