“Semua pelajar baru diminta berbaris mengikut kelas masing-masing. Ulang suara… semua pelajar baru diminta berbaris mengikut kelas masing-masing.”
Suara lantang dari corong pembesar suara bergema memenuhi dewan sekolah.
Di luar pagar utama, sebuah kereta mewah buatan luar negara bergerak perlahan menghampiri pintu masuk yang tertutup rapat. Cermin gelap di bahagian pemandu diturunkan, menampakkan wajah seorang lelaki separuh umur yang segera menjenguk mencari kelibat pengawal keselamatan.
“Maaf, encik. Selepas loceng berbunyi, kereta awam memang tak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah. Encik boleh parkir di luar dan berjalan kaki masuk,” terang pengawal keselamatan dengan ramah.
“Cik muda, dengar tak tu? Uncle tak boleh masuk. Cik kena turun dan jalan kaki sendiri.”
Di bahagian penumpang belakang, seorang gadis dalam seragam sekolah hanya mencebik. Wajahnya dibuang ke sisi, merenung tajam ke arah bangunan sekolah yang kelihatan agak usang.
“Kita balik saja, Uncle. Saya tak nak belajar di sekolah ni! Abang Ran dengan Abang Han semua belajar di sekolah swasta. Kenapa saya yang dihantar ke sini? Papa dengan Mama memang pilih kasih!” bentaknya sambil berpeluk tubuh.
Si pemandu yang sudah berpuluh tahun setia berkhidmat dengan keluarga Tan Sri Darwais hanya mampu menggeleng kepala.
“Janganlah macam tu, cik muda. Jangan cetuskan kemarahan papa cik lagi. Turunlah cepat, masuk ke dalam. Cik dah lewat sangat ni.” Nada suaranya lembut memujuk. Bukannya dia takut dimarahi Tan Sri, tapi lebih risau akan nasib anak gadis itu sendiri.
“Buat masa sekarang, cik muda kena patuh pada arahan papa cik. Jangan lagi tambah kemarahan dia. Uncle risau, kalau cik terus melawan, Tan Sri mungkin akan hantar cik lebih jauh… ke hujung dunia sekalipun.”
Gadis sunti itu merengus kasar. Sakit benar hatinya terhadap papa saat itu. Bukannya apa… cuma tertangkap masuk kelab malam di bawah umur. Air syaitan itu pun dia tak sentuh langsung! Tapi bila papa mengamuk, hampir roboh banglo lima tingkat yang mereka diami.
Ya, dia tahu papa malu besar bila terpaksa datang sendiri untuk mengikat jamin dirinya di balai polis. Kecoh satu negara apabila berita mengenai anak seorang tokoh usahawan terkenal ditangkap dalam kelab malam, naik lori polis, kemudian bermalam di lokap.
Mujurlah dia tidak terbabit dengan benda terlarang. Urusan ikat jamin jadi lebih mudah berbanding yang lain. Namun kerana kejadian itu, dia hampir-hampir dibuang keluarga. Dia benar-benar tertekan. Tiada seorang pun yang sudi bertanya, mengapa dia sampai jadi seliar itu? Semua hanya tahu menuding jari, menghukum tanpa cuba mengerti.
“Cik muda!” Sergahan pemandunya memecah lamunan. Dia segera menyambar beg sekolah di sisi, menolak pintu kereta lalu menurunkan kedua-dua kaki ke tanah.
“Saya pergi dulu, Uncle. Terima kasih!” ujarnya ringkas sebelum melangkah ke depan tanpa lagi menoleh ke belakang.
Langkahnya diatur laju menuju dewan sekolah. Malangnya, baru sahaja menjejak kaki ke perkarangan, bahunya dihalang seorang pengawas lelaki.
“Nama? Pelajar baru? Asal lewat hah?” nada kasar lelaki itu memanah telinga.
Bola mata gadis sunti itu terangkat, menatap penuh berani. “Maaf, aku lewat bangun,” balasnya selamba.
Tawa sinis meletus dari bibir pengawas itu. “Ahh… lupa. Ini kan sekolah bapa kau yang punya? Peraturan pun bapa kau yang buat? Patutlah kau berani langgar suka hati. Semuanya boleh diubah ikut sedap mulut orang kaya.”
Terketap rahang gadis itu, marahnya naik mendidih.
“Terima kasih. Aku harap kata-kata kau jadi kenyataan, sebab aku memang tak pernah sukakan peraturan. Now, if you excuse me, I need to get inside!” ujarnya angkuh, melangkah selamba tanpa menghiraukan wajah bengang pengawas itu. Malah, sengaja dihentak keras lengannya sewaktu melintas.
“Kau ingat semudah itu?!”
“Auww! Lepaslah! Sakit!!!” terjerit dia bila rambut ekor kudanya disambar kasar. Tarikan itu membuat tubuhnya terundur ke belakang, hampir saja bertembung dengan lelaki itu.
“Budak baru nak up, kurang ajar macam kau ni memang patut diajar!” herdik pengawas itu, terus menarik rambut ekornya tanpa kompromi.
Wajah cantiknya berubah garang, seperti singa betina yang disentuh anaknya.
“Lepaskan aku! Aku sumpah akan buat laporan ke lembaga disiplin kalau kau tak berhenti sekarang!” gertaknya. Dalam hati, kalau bukan kerana pakaian seragam sekolah yang membataskan, sudah lama flying kick mendarat di muka lelaki berlagak itu.
Namun lelaki itu tidak menunjukkan sedikit pun rasa simpati. Sekali sentap, getah rambutnya terlucut, jatuh ke tanah. Rambut hitam yang tadinya terikat kemas kini berjuraian menutupi wajahnya. Pengawas itu menyeringai. Wajah puas hati.
“Khai Sinclair!”
Suara segak, penuh maskulin dan tenang menegur dari arah belakang. Seketika, saraf gadis itu kaku. Auranya lain macam! Hati yang tadi membara dengan marah kini dilanda getar aneh yang tak mampu ditafsirkan.
“Jangan keterlaluan, Khai.”
Aneh. Satu ayat ringkas, tapi cukup membuat pengawas berlagak itu diam dan akur, seolah hilang sengatnya.
“Cal… aku gurau je,” balas Khai Sinclair tergelak janggal, beralasan.
Orked menjeling sebal pengawas berlagak itu. Meluat. Kacak tahap dewa pun kalau perangai macam syaitan, tetap hodoh di matanya.
“Are you okay?” Suara maskulin menggetar kalbu itu kembali kedengaran. Membongkok sedikit, mengutip getah rambut yang terjatuh, lalu dihulurkan padanya.
Mata mereka bertentang. Dunia seakan berhenti berputar. Nafas tersekat. Mulut hampir terlopong, cepat-cepat ditutup dengan tangan.
Wajah itu putih bersih, kening rapi, tidak terlalu tebal, tidak pula terlalu nipis. Mata almond shape, bola mata hitam pekat dilingkari bulu mata lentik. Hidung mancung, bibir merah basah, ditambah bentuk wajah oval yang sempurna. Rambut hitam pekat dipotong kemas, belah tengah. Perfecto. Aura itu… ya Allah, terlalu luar biasa!
“What’s your name?” tanya jejaka tampan itu sambil merampas buku catatan dari tangan Khai Sinclair. Matanya tidak lepas dari menatap gadis itu. Wajah tenang, jelas terbiasa dengan situasi orang terpaku memandangnya.
“Tengoklah perangai dia ni!” Khai pula sibuk menyampuk. “Hey! Kau tahu tak siapa yang kau tengah cakap sekarang ni? Ni Callum Damien, ketua pelajar sekolah ni! Hormat sikit boleh?!”
“Khai! Masuk dewan sekarang. Biar aku yang uruskan.” Nada Callum tegas. Mata tajam menikam.
Khai Sinclair hanya mencebik sebelum berpaling kasar, meninggalkan mereka berdua. Kini hanya tinggal mereka. Callum kembali menatap, pandangan matanya menusuk.
“Now, your name… please.”
Gadis itu masih terpaku, lidah kelu. Nada suara Callum mengeras, kedengaran bosan menunggu.
“Your name, please!”
“Ayaris!” terlepas spontan dari bibirnya.
Sekelip mata, perubahan jelas terlihat pada wajah Callum. Pandangannya tajam, menikam terus ke anak mata gadis itu.
“I mean… Ayaris Orked!” cepat-cepat dibetulkannya.
Seakan-akan masa berhenti. Wajah tegang Callum longgar serta-merta, berubah aneh.
“Ah…” keluhan halus meluncur dari bibir merahnya. “Ayaris Orked…” bisiknya perlahan, cukup untuk didengari Ayaris. Jantung berdegup aneh.
“Kita… pernah jumpa ke?” soal Ayaris, masih hairan dengan reaksi lelaki itu.
“Masuk ke dalam dewan.” Tak dilayan. Malah, usai kata Ayaris terus ditinggalkan terkebil-kebil seorang diri di situ.
Ayaris terpaku. Bola matanya terus mengekori sosok tubuh tinggi berotot itu tanpa berkelip. Even belakang badan saja pun cukup buat air liur hampir meleleh! Callum Damien… lelaki sesempurna itu ternyata wujud.
Dada yang beralun laju dipegang perlahan. Rasa aneh merayap dalam diri. Betulkah kata pepatah dari mata turun ke hati? Seraut wajah dan tubuh sempurna itu masih berlegar-legar di ruang minda. Beginikah yang dikatakan… jatuh cinta pandang pertama?
“Hoi! Buat apa tercegat dekat situ? Masuk ke dalam dewan sekarang!”
Hampir melompat gadis itu dikejutkan dengan tengkingan parau seorang guru separuh abad.
“Ma… maaf, cikgu!” cepat-cepat dia menyusun langkah, menuju ke dewan dengan wajah merah padam.
Namun sebaik sahaja kakinya mencecah muka pintu, suara jeritan dari corong speaker menusuk telinga, membuat langkahnya mati mendadak.
“Perhatian semua!!!” gema suara itu menguasai seluruh dewan.
Ayaris mengalih pandangan. Mata terbeliak luas. Ah, yang memegang mikrofon itu rupanya si pengawas berlagak yang hampir dia sepak tadi!
Baru hendak mengalihkan wajah, pandangan matanya terikat lagi… tepat pada sosok jejaka yang berdiri di sebelah pengawas itu.
Callum Damien.
Dada Ayaris terus dihentak debaran hebat. Nafas terasa sesak.
“Sekarang, saya mahu kamu semua pandang ke arah pintu. Nampak tak pelajar perempuan yang baru muncul tu?”
Oh tidak! Jantan tak guna itu mula lagi. Mati serta-merta senyuman di wajah Ayaris Orked. Kulitnya yang putih bersih terus merona merah jambu apabila semua mata dalam dewan terpaku padanya. Pandangan tajam dilempar ke arah pengawas sombong lagi berlagak itu.
“Korang nampak tak pelajar perempuan tu? Hari ni dia lewat bangun! Hebat, kan? Jom kita bagi tepukan gemuruh!”
Bergema seluruh dewan dengan tepukan sarkastik, seolah-olah mengangkat satu penghinaan besar. Ayaris hanya mampu menekur lantai. Jemarinya menggenggam erat, menahan gelora. Malu… marah… geram… sakit hati… semuanya bersatu menyesakkan dada.
“Now… denda apa agaknya patut kita kenakan pada pelajar baru itu?” Nada sinis pengawas itu menambah bara.
Suasana dewan semakin riuh. Satu demi satu cadangan gila kedengaran, jelas mahu mengenakan dan memalukan Ayaris. Pandangan mereka bertaut, renungan penuh kebencian bersilang tanpa belas.
“Come here, mak cik lewat bangun!” Khai Sinclair mengangkat tangan, memanggil dengan sengihan mengejek, seolah dialah raja berkuasa di situ.
Terherot bibir Ayaris. Mak cik? Entah siapa kau nak samakan aku dengan mak cik… memang tak sudi!
“Hoi, mak cik! Pekak ke?! Aku kata ke sini cepat!”
Pekikan Khai bergaung, membuatkan telinga berdesing. Semua mata kembali tertancap pada Ayaris, bimbang kalau-kalau mereka turut menjadi sasaran amukan pengawas itu.
Tidak mahu menimbulkan lebih banyak masalah pada hari pertama persekolahan, Ayaris akhirnya melangkah perlahan ke arah Khai dan barisan pengawas lain termasuklah Callum Damien.
Sambil berjalan, tanpa sedar matanya berkali-kali mencuri pandang ke arah Callum yang asyik berbual dengan teman di sisi. Begitu sulit menahan diri daripada menatap lelaki itu, ibarat bintang paling bersinar di langit malam.
“Your name!” Kasar suara Khai, jelas terpamer riak tidak senang pada wajahnya.
“Aku datang nak bertanggungjawab atas kesalahan aku, kan? Jadi, bagitahu saja apa aku kena buat, tuan pengawas!” Ayaris membalas lantang, tanpa gentar.
Mata Khai Sinclair terbeliak. Rahangnya mengetap kuat, tulang pipi turut mengeras.
“Kau memang kurang ajar, kan? Ingat sebab kau perempuan, aku nak berlembut? Jangan cabar aku, mak cik!”
“Mak cik? Siapa mak cik kau? You… are… delusional!” balas Ayaris tajam.
Penumbuk Khai tergenggam kemas. Lidahnya kelu. Ini kali pertama ada yang berani membalas hingga dia hilang kata.
“Kau memang nak cari pasal dengan aku, kan? Kau…”
“Stop it, Khai! Sekejap lagi guru-guru masuk dewan. Ayaris Orked, pergi berbaris ikut kelas. Sekarang!” Callum Damien tiba-tiba berdiri di antara mereka. Menyampuk tegas dan keras.
Saat itu wajah Ayaris Orked bersinar bagai bulan mengambang. Dia kaku, merenung Callum tanpa berkelip. Dia… sebut penuh nama aku?
“Now, Ayaris Orked!” Suara Callum naik seoktaf bila Ayaris masih terpaku, menatapnya seperti peminat fanatik menatap seorang bintang ternama.
“Hoi!!! Are you deaf? So stupid!” jerkah Khai tiba-tiba, membuyarkan lamunannya. Ayaris terkebil-kebil, bingung sebentar.
“Pergi masuk barisan sekarang!” ulang Callum.
Ayaris senyum manis kepada Callum. Sebaik memaling wajah, dia mencemik tajam ke arah Khai. Benci betul dengan mulut longkang mamat ni! Tak pernah keluar perkataan baik. Dengan langkah laju, dia menuju barisan pelajar yang ditunjukkan. Namun tiba-tiba…
“Ahh!”
Ayaris tersadung sesuatu. Tubuhnya hilang imbangan lalu jatuh terjelepok di atas lantai. Riuh satu dewan bergema dengan gelak tawa pelajar-pelajar yang menyaksikan.
Celaka! Dia memaki dalam hati. Tiada apa pun di laluan itu… kecuali kaki seseorang yang sengaja direntang untuk menjatuhkan dan memalukan dirinya di depan semua orang. Silap dia juga, melangkah tanpa memandang ke bawah.
“Hey! Kau okay tak?”
Seorang pelajar perempuan di barisan hadapan cepat-cepat menghulurkan tangan. Ayaris mendongak, terpandang wajah ayu yang penuh keprihatinan. Huluran itu disambut.
“Terima kasih,” ucap Ayaris perlahan sambil menepuk-nepuk baju kurungnya, merapikan kedutan yang tercipta akibat jatuh tadi.
“Hi… aku Elna Darlene. Kau Ayaris Orked kan? Aku dengar nama kau disebut kuat masa kau lawan cakap dengan pengawas tu tadi.”
Ayaris hanya mengangguk kecil.
“Jom, baris depan aku. Tak payah jauh ke belakang. Mulai hari ni… aku nak jadi kawan baik kau, Orked.”
Ayaris menoleh, senyum nipis tersungging. “Panggil je aku… Yaris.”
Dia tak pernah suka dipanggil Orked. Nama itu terlalu kuno di telinganya. Nama yang dipilih oleh atuk sendiri dan hanya atuk masih setia memanggilnya begitu. Bagi dia, hanya atuk berhak menggunakan panggilan itu.
Bebola mata dialih, lurus ke depan. Hanya terpaku ke satu wajah. Tanpa sedar, bibir menguntum senyum. Terpesona. Memuja. Mendamba. Malangnya, lelaki itu langsung tak pandang ke arahnya.
Tiba-tiba dia rasa ada sepasang mata sedang memanah tajam ke arahnya. Dia mengalih pandangan. Hampir terundur apabila pengawas berlagak itu membeliakkan mata. Cis! Dia benci lelaki itu. Mohon dijauhkan lelaki itu darinya!
Share this novel