“Shafiqah Amira..” Belum sempat Fayhan menyambung Shaf terlebih dahulu
memutuskan talian. Dikesatnya setitis air mata yang merembes keluar dari
tubir matanya dengan hujung lengan baju. Sungguh dia terharu. Derap
langkah kakinya langsung diatur bagi mendekati perhentian bas yang
terletak tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dia tidak mahu menyusahkan
Fayhan lagi. Biarpun berkemungkinan hatinya sudah sedikit terbuka untuk
Fayhan .
Selepas membayar tambang teksi dia terus melangkah mendekati pintu pagar
rumah yang sederhana besar itu. Aneh, kereta Fayhan tidak kelihatan.
Terjongket-jongket Shaf memerhatikan halaman rumahnya itu namun masih
kosong. Tanpa berlengah, Shaf membuka pintu pagar lalu membuka kunci
pintu rumahnya pula sebelum menerobos masuk ke dalam. Biliknya menjadi
sasaran. Apabila terkuak sahaja pintu bilik, tertancap di matanya sebuah
buku berwarna biru gelap yang berkulit tebal. Elok sahaja buku itu
diletakkan di atas katil bersaiz ‘king’, tempat dia beradu.
Perlahan-lahan Shaf mendekati sebelum langsung mencapai buku itu.
“Dia takdirku.” Perlahan Shaf menyebut, membaca tulisan dihadapan kulit
buku itu. Muka surat pertama diselaknya. Alangkah terkejutnya dia
apabila terdapat gambarnya yang sedang menghirup air teh ais dengan
senyuman yang jelas terpancar tetapi dia sedikitpun tidak memandang ke
arah kamera jika dilihatkan persekitarannya ini adalah gambar sewaktu
dia berada di Universiti Putra Malaysia untuk tahun pertamanya. Terdapat
tulisan di bawah gambar itu.
“Kali pertama, aku sudah terpaut melihatnya. Mungkinkah ini cinta?” Shaf
mengalih muka surat yang seterusnya.
Dilihatnya gambar dia yang berada jauh di belakang. Manusia-manusia yang
berdiri berdekatan kamera kebanyakannya adalah terdiri daripada para
graduan. Tetapi entah kenapa dirinya kelihatan seperti sedang mengejar
waktu. Lembut sahaja Shaf mengusap-usap lukisan yang mengelilingi
gambarnya. Shaf tersenyum tanpa sedar.
Dilangkaunya beberapa muka surat. Shaf terkedu melihat gambar
perkahwinannya. Di dalam gambar itu Fayhan memandangnya manakala dia pula
tidak berganjak daripada melihat kamera.
“Hadiah terakhir ibu buat Fayhan . Terima kasih ibu, Fayhan yakin akan
bahagia. Namun, akankah dia?” Shaf menekup mulut, akhirnya berderaian
jua manik-manik bening itu. Rupanya lelaki itu ikhlas menerima dia
tetapi dia pula bagaimana?
Tiba-tiba bunyi deringan telefon menampar gegendang telinganya. Cepat
sahaja Shaf mengangkat panggilan itu.
“Assalamualaikum, Shaf. Datang hospital cepat. Fayhan kemalangan.” Waktu
yang berdetik dirasakannya seakan-akan terhenti. Telefon ditangannya
akhirnya jatuh menyembah bumi. Puaskah dia? Puaskah apabila semuanya
bertukar menjadi seperti ini? Sanggupkah dia menelan realiti yang datang
menyinggah? Bertubi-tubi soalan datang menghujani dirinya disaat itu.
‘Apa aku dah buat?’
TIGA hari Shaf menemani suaminya itu di hospital dan selama tiga hari
jugalah hati Shaf dilanda badai kerisauan tatkala melihatkan keadaan
suaminya yang masih tidak sedarkan diri.
“Awak, bangunlah. Janganlah macam ni.” Lirih Shaf bersuara. Tangan
suaminya itu diusap lembut. Namun, masih tiada sebarang tindak balas
yang diterima. Dia ingin menyatakannya, tetapi semua seperti tidak
terluah. Akhirnya Shaf menyanyi sendiri tanpa sedar.
“Ku.. suka padamu.. suka caramu pabila kau bersamaku.. hatiku riang
selalu.. namunku tidak tahu.. cara untuk kata padamu.. bahawaku suka
padamu... ooh.. laluku nyanyikan lagu.. untuk sampaikan rasa sukaku.. ku
ingin kau dengarkan aku..” Tersedu sedan Shaf dibuatnya, entah kenapa
lagu yang bertajuk suka tiba-tiba didendangkannya. Shaf tertunduk
menahan sebak. Terlalu banyak dosa yang telah dia lakukan terhadap
lelaki itu.
“Shaf… kenapa menangis ni?” Tiba-tiba suara Fayhan didengarinya. Tangan
lelaki itupun terasa hangat mengusap pipinya. Cepat-cepat Shaf
mengangkat kepalanya.
“Abang dah sedar? Kejap Syaf panggilkan doktor.” Fayhan menggenggam
tangan isterinya, bagi menegah gadis itu daripada berbuat demikian. Air
mata Shaf yang masih bersisa dikesatnya menggunakan tapak tangan.
“Akhirnya mengaku juga isteri ni abang ya? Siap nyanyikan lagu untuk
abang lagi. Tapi yang penting penyakit gagap sayang dah hilang.” Fayhan
ketawa lemah. Shaf tersenyum senang melihat lelaki itu. Tangan Fayhan
dibawanya ke pipi.
“Abang, maafkan Shaf. Jangan jadi macam ni lagi. Shaf takut sebab Shaf
dah mula…”
“Sayangkan abang? Tidak perlu dilafazkan lagi. Dengar sayang nyanyi pun
dah cukup. Tapi…”
“Ada syarat?”
“Mestilah. Syaratnya, lepas ini sayang kena buat kerja rumah. Masak,
lipat baju dan yang seangkatan dengannya. Jangan beri alasan sebab abang
tahu Shaf boleh buat semua tu cuma Shaf sengaja bagi alasan kan?”
“Eh! Mana abang tahu? Stalking eh? Baik mengaku.”
“Not stalking, just watching you.. always.”
‘Dia takdirku’ kini mereka yakin akan ikatan yang telah tersimpul mati.
Rasa cinta yang hadir mula menyemai sinar bahagia. Mungkin ramai yang
ingin melawan arus kehidupan. Namun, bukankah Dia Yang Maha Berkuasa
lebih mengetahui setiap sesuatu kejadian? Jadi, kurangkanlah berharap
dan bukakanlah pintu penerimaan dengan hati yang lapang sesungguhnya
nikmat Allah itu luas.
Share this novel