Series
1030
“SAYA nak tahu dengan tepat apa yang saya perlu cari.”
“Baik.” Amir Tariq mengangguk. Ada sinar dalam perbincangan ini. Dia hampir tersenyum namun dia mengekalkan profesional. Perempuan ini benar-benar bijak mengawal keadaan. Sangat tenang dalam menghadapi masalah sebesar ini.
“Dan semua hasil kerja saya akan dilaporkan kepada siapa?”
“Saya.”
“Tak ada orang lain?”
“Tak ada.”
“Ayah awak?”
“Tidak.”
“Keluarga awak?”
“Tidak.”
Alina bersandar sedikit.
“Saya akan lapor terus kepada awak?”
“Ya.”
“Dan kalau saya jumpa sesuatu yang saya tak sanggup terlibat untuk tutup?”
Mata Amir mengeras sedikit. “Benda tu tidak akan dipaksa atas awak.”
“Saya boleh berhenti?”
“Ya.”
“Serta-merta?”
“Ya.”
Alina merenungnya. Rasa seperti sangat mencurigakan. “Awak cepat sangat setuju.”
“Sebab saya dah fikir tentang semua syarat tu sebelum awak masuk.”
Itu membuatkan Alina berhenti.
Amir sendiri sedar bagaimana ayat itu berbunyi. Rasa macam tidak kena lalu dia menambah, “Saya tahu jenis profesional yang saya perlukan.”
“Jenis?”
“Orang yang akan lawan saya kalau saya salah.”
Sekali lagi mata mereka bertemu.
“Saya tak perlukan seseorang yang hanya cari apa yang saya suruh dia cari.”
Nada Amir tenang.
“Saya perlukan audit sebenar.”
Jeda.
“Saya perlukan awak seperti reputasi awak gambarkan.”
Alina tidak berkata apa-apa.
“Peka.”
Satu lagi jeda.
“Susah dikawal.”
Mata Alina mengecil.
Amir hampir tersenyum.
“Dan tak mudah dibeli.”
Entah kenapa, pujian itu terasa lebih intim daripada sepatutnya. Alina mengalihkan pandangan kepada dokumen di atas meja. “Ini satu kepercayaan yang besar untuk lelaki yang baru mengaku dia tengah ugut saya.”
“Ini bukan kepercayaan.”
Amir bersandar.
“Ini keperluan.”
Senyuman kecil muncul lagi.
Kali ini Alina benar-benar nampak.
“Sebab kalau saya paksa awak sampai awak cuma jumpa benda yang saya mahu awak jumpa, tak ada guna saya ambil awak bekerja.”
Alina kembali memandangnya.
“Saya nak awak jujur dengan apa yang awak jumpa.” Amir Tariq berhenti seketika. “Walaupun saya sendiri tak suka jawapan dia.”
Alina terdiam.
Ayat itu terasa terlalu dekat dengan dirinya. Seorang lelaki yang sanggup menerima angka walaupun tidak menyukai jawapannya.
Itulah bahasa yang dia faham.
Dan dia membenci hakikat bahawa Amir Tariq semakin sukar untuk diletakkan dalam satu kategori yang mudah.
Dia sepatutnya menjadi penjahat dalam cerita itu.
Lebih mudah kalau begitu.
“Baik.”
Amir Tariq tidak bergerak.
“Saya start Isnin.”
Ada sesuatu dalam dada Amir yang melonggar. Dia tidak menunjukkan apa-apa.
“Satu syarat terakhir.”
Amir Tariq menghela nafasnya perlahan. “Apa tu?”
“Saya nak surat pelepasan hutang tu di tangan saya sebelum saya jejak semula bangunan ni.”
“Jumaat?”
“Jumaat, boleh.”
“Awak akan dapat Khamis.”
Alina mengangkat kening. “Awak ni memang jenis tak boleh kalah ya?”
“Kalau boleh.”
Bibir Alina hampir terangkat.
Hampir.
Dan perkara kecil itu terasa seperti kemenangan yang jauh lebih besar daripada sepatutnya kepada Amir.
Dia berdiri.
Alina turut bangun.
Amir menghulurkan tangan.
“Selamat datang ke Silver Dragon Holdings, Cik Alina Sofea.”
Alina memandang tangan itu dahulu.
Kemudian wajah lelaki itu.
“Saya belum kata saya suka bekerja dengan awak.”
“Saya tak expect awak akan suka.”
“Bagus.”
Barulah Alina menyambut tangannya.
Kulit bertemu kulit.
Singkat.
Profesional.
Sekadar satu jabat tangan.
Namun Amir terdiam.
Ada satu rasa halus yang menjalar daripada tapak tangannya ke seluruh lengan.
Tidak masuk akal.
Tidak logik.
Dan terlalu cepat.
Alina pula segera menarik tangannya selepas beberapa saat. Tetapi dia juga merasakan sesuatu. Satu denyutan kecil yang tidak boleh dijelaskan dengan angka. Dia menyalahkannya pada adrenalin.
Pada keputusan besar yang baru dibuatnya.
Pada hakikat bahawa dia baru sahaja bersetuju untuk bekerja dengan sebuah keluarga yang selama ini hanya dibacanya melalui fail-fail penyiasatan kewangan.
Apa sahaja.
Asalkan bukan lelaki di hadapannya.
“Saya tunggu dokumen Khamis.”
“Awak akan dapat.”
Alina Sofea mengambil beg tangannya.
Kemudian berpaling.
Amir Tariq memerhatikannya berjalan ke pintu.
Dia sepatutnya kembali melihat dokumen di atas meja. Meneliti semuanya dalam keadaan yang lebih fokus.
Ataupun seharusnya kembali memikirkan tentang kesihatan ayahnya.
Tan Sri Ghazi.
Pelabuhan Klang.
Siasatan.
Semua perkara yang jauh lebih penting.
Tetapi matanya tetap pada Alina.
Sebelum wanita itu membuka pintu, Amir bersuara.
“Cik Alina.”
Alina Sofea menoleh.
Amir sendiri tidak pasti kenapa dia memanggil. Ada begitu banyak perkara yang tidak boleh dikatakan.
Maaf kerana menggunakan hutang ayah awak.
Saya tak akan biarkan sesiapa sentuh nenek awak.
Saya tahu awak benci saya sekarang.
Dan sesuatu yang paling tidak masuk akal…
Saya harap awak datang semula Isnin bukan hanya sebab terpaksa.
Akhirnya Amir hanya berkata, “Kalau ada sesiapa hubungi awak atau nenek awak pasal hutang tu sebelum Khamis, telefon saya terus.”
Alina memandangnya.
“Saya tak ada nombor awak.”
Amir Tariq berhenti.
Kemudian berjalan ke meja, mengambil sekeping kad peribadi dan menghulurkannya.
Alina Sofea mengambil kad itu.
Kad tersebut hampir kosong.
Nama.
Satu nombor telefon.
Tiada jawatan.
Tiada nama syarikat.
“Personal number ke ni?”
“Ya.”
“Awak bagi kat semua pekerja baru macam ni ke?”
“Tak.”
Jawapan itu keluar terlalu jujur.
Mata mereka bertemu.
Sekali lagi.
Dan untuk pertama kali pagi itu, Alina Sofea benar-benar tidak tahu apa yang mahu dikatakan.
Dia memasukkan kad itu ke dalam beg.
“Baik, Encik Amir.”
“Amir.”
Alina Sofea berhenti.
“Saya rasa kalau awak akan lapor terus kepada saya, tak perlu ada nama Encik.”
Sudut bibir Alina bergerak sedikit. “Jangan terlalu yakin kita akan rapat sangat.”
Kemudian dia keluar.
Pintu tertutup.
Amir Tariq masih berdiri di tempat yang sama.
Beberapa saat.
Kemudian lebih lama daripada itu.
Sam masuk dari ruang luar.
Dia memandang pintu.
Kemudian Amir.
Kemudian pintu semula.
“Jangan.”
Amir Tariq terus berkata sebelum Sam sempat membuka mulut.
Sam menahan senyum.
“Aku tak cakap apa-apa.”
“Bagus.”
“Berapa lama meeting?”
Amir Tariq kembali ke mejanya.
Dia cuba melihat dokumen.
Gagal.
“Tak lama pun.”
Sam memandangnya selepas melihat kotak kad nama personal Amir Tariq ada di atas meja dan terbuka. “Kau bagi nombor personal kau dekat dia?”
Amir Tariq mengangkat wajah. “Untuk keselamatan dia.”
“Oh, semestinya.”
Amir Tariq menjeling.
Sam tersenyum puas.
“Aku keluar dulu sebelum kau buang aku dari tingkat 40.”
Dia berpaling.
“Sam.”
Lelaki itu berhenti.
“Pastikan kereta dia keluar dari basement dengan selamat.”
Sam menoleh perlahan. “Kau ni seriuslah?”
“Ya.”
“Amir.”
“Apa?”
Sam merenung sahabatnya beberapa saat sebelum akhirnya tersenyum kecil.
“Nothing.”
Dia keluar.
Amir Tariq kembali bersendirian.
Fail Alina masih berada di atas mejanya.
Dia melihat nama itu.
Alina Sofea.
Apa yang berlaku pagi tadi tidak sepatutnya menjadi apa-apa.
Dia memerlukan seorang akauntan.
Dia mendapat seorang akauntan.
Itu sahaja.
Tetapi Amir Tariq sudah mengenali dirinya cukup lama untuk tahu bila sesuatu tidak lagi sekadar urusan perniagaan.
Perasaan itu terlalu pantas.
Terlalu tidak munasabah.
Dan datang pada waktu paling buruk dalam hidupnya.
Namun ketika Alina Sofea masuk tadi, memandang tepat ke matanya tanpa sedikit pun rasa gentar, Amir merasakan sesuatu yang sudah bertahun-tahun tidak pernah berlaku.
Dunia di sekelilingnya senyap seketika.
Seolah-olah semua perkara lain kehilangan bunyi.
Semua hilang untuk beberapa saat.
Yang tinggal hanya perempuan itu.
Dan Amir tahu…
walaupun dia belum mahu memberikan nama kepada perasaan tersebut…
dia sudah jatuh hati pada pandangan pertama.
Masalahnya, Alina Sofea mungkin baru sahaja mula membencinya.
Share this novel