Bab 3

Romance Series 63831

“PAPA!”

Turun daripada atas basikal, Aneesa segera berlari mendapatkan Ghazi yang kebetulan baru sahaja sampai di rumah.

“Papa! Papa!” Aneesa memanggil lagi sebelum membantu membukakan pintu kereta untuk ayah angkahnya itu. Walaupun belum sampai sehari berpisah, tetapi dia sudah merindui Ghazi sangat-sangat.

Ghazi tersenyum, senang hati menghulurkan tangannya kepada Aneesa untuk disalami. “Anak-anak papa dari mana ni?” soal Ghazi sambil memandang ke arah Aneesa dan Adham silih berganti. Hatinya akan berasa lega setiap kali melihat cara Adham melayani dan menerima Aneesa walaupun anak sulungnya itu jarang sekali hendak memaniskan wajah.

“Abang ajak Anes temankan dia main bola. Anes rasa seronok sangat dapat naik basikal dengan abang!”ujar Aneesa dengan riak yang bersemangat.

“Ya lah tu, aku yang ajak. Lepas tu beria-ria pula nak balik.” Adham menggeleng sebelum mengambil giliran untuk menyalami ayahnya. Geram sebenarnya dengan perangai Aneesa tadi tetapi untuk marah, dia tak sampai hati pula. Jujurnya, sikap manja Aneesa itulah yang selalu membuatkan hatinya terhibur.

“Lepas tu abang belikan ice cream untuk Anes. Dua.” Aneesa menambah lagi tanpa faham langsung dengan perlian Adham sebentar tadi.

“Iya? Hmmm… papa pun ada belikan hadiah untuk Anes. Sebab dah dapat nombor satu kat kelas kan?”

“Yeay, papa beli?” Aneesa melopong sebelum menyambut huluran Ghazi bersama senyuman manis yang meleret panjang. “Terima kasih, papa. Anes dah lama sangat nak Plasticine ni! Anes nak buat biskut raya yang cantik-cantik!”

“Sama-sama. Teruskan usaha, pastikan anak papa kekal cemerlang kat kelas.”

Aneesa angguk sebelum terleka meniliki hadiah yang diberi oleh Ghazi itu.

“Am dah siap packing? Tadi Uncle Faizal ada call papa, dia kata dia akan suruh Ikmal yang jemput Am kat airport nanti.”

“Dah, pa. Am dah ready.”

“Papa harap Am dapat buat yang terbaik. Fokus pada pelajaran, jangan kecewakan harapan papa. Ingat, jangan bercinta selagi belajar tu tak habis. Jaga diri elok-elok kat tempat orang. Papa tak nak dapat menantu dulu selagi Am belum berjaya gantikan papa dalam syarikat kita tu."

“Am tahu, Am akan ingat pesan papa tu.” Adham mengangguk senyum.

Perbualan anak beranak itu seolah-olah tidak diambil kisah oleh Aneesa namun dia masih lagi mampu mendengar semuanya dengan jelas. “Abang nak pergi mana?” soalnya sambil memandang ke arah Ghazi dan Adham silih berganti.

“Abang Am nak sambung belajar.” Ghazi yang menjawab bersama segaris senyuman bangga.

“Kat mana?” Saat ini nada suara dan riak wajah Aneesa serentak berubah.

“Jauh. Kat Australia. Anes pun belajar betul-betul macam abang tau? Kalau Anes dah besar nanti, papa pun nak Anes belajar tinggi-tinggi macam Abang Am. Papa nak anak-anak papa sama-sama majukan dan pertahankan bisnes papa.”

Aneesa angkat muka, mencuba untuk mencari tatapan Adham namun lelaki itu pula terus berlalu masuk ke dalam rumah. Dia mungkin hanya seorang budak ‘kecik’ yang baru sahaja berusia 10 tahun, tetapi dia sudah faham apa ertinya jauh, sambung belajar. Semua itu sudah semestinya akan mewujudkan satu suasana yang paling dia takutkan, iaitu… perpisahan.

MALAM itu, Aneesa langsung tidak dapat memejamkan mata. Mengiring ke kiri, rasa berat untuk berpisah sedang kuat menyelubungi hati. Mengiring ke kanan, rasa bimbang siapa pula yang akan dia kahwini apabila besar nanti. Dia sudah bertekad hanya mahu berkahwin dengan Adham seorang sahaja. Jika Adham benar-benar pergi, sudah pasti dia tidak akan menemui lelaki sebaik abang angkatnya itu.

Aneesa bangkit daripada perbaringannya lalu berjalan menuju ke arah meja tulis. Sekeping kertas putih diambil dan di atas kertas putih itu jugalah dia mula melukis apa yang sedang dia rasakan. Aneesa hanya mampu melukis sambil menangis kerana jika mahu meluah semuanya dengan kata-kata, dia tidak mampu.

“BOLEH tak kalau abang Am tak payah pergi?” soal Aneesa dengan nada yang lirih. Bertanya soalan yang sama, malah sudah terulang entah untuk yang ke berapa kali. Mahunya Aneesa cuma satu, agar lelaki yang selalu melindunginya itu jangan pergi. Di dalam rumah besar itu, dia hanya ada Adham seorang sahaja. Hanya Adham yang selalu melayaninya dengan baik walaupun sikap asli lelaki itu terlihat kasar dan angkuh.

“Aku kena pergi. Aku kena sambung study aku. Aku janji, selesai semuanya nanti, aku akan balik,” ujar Adham dengan nada yang datar. Terlihat seperti tidak kisah namun hakikatnya dia juga berat hati mahu meninggalkan Aneesa. Anak kecil itu sudah dianggap seperti adik kandungnya sendiri walaupun baru beberapa bulan sahaja mereka saling mengenali.

Aneesa merupakan seorang anak yatim piatu. Kedua-dua orang tuanya telah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika Aneesa sedang berada di sekolah. Di akhir nafasnya, arwah Zaihaidi telah mengamanahkan Aneesa kepada sahabat baiknya, iaitu Ghazi.

Titik hitam dalam hidup Aneesa bermula ketika dia dibawa tinggal bersama keluarga Ghazi. Aneesa selalu dilayan dan diarah seperti hamba oleh Kamilia dan anak perempuannya, Nadirah setiap kali ketiadaan Ghazi di rumah itu.

“Tapi kenapa abang kena pergi jauh? Kenapa abang tak nak sambung belajar kat sekolah Anes je?” Aneesa menangis tersedu sedan, tak segan memeluk Adham untuk menumpangkan wajah. Aneesa memang seorang anak yang manja dan penakut, kerana itu jugalah dia selalu bergantung nasib kepada Adham.

Tidak membalas pelukan Aneesa, Adham bercurian mengulum senyum. Polos benar anak kecil itu. Bagaimana dia yang sudah berumur 17 tahun mahu menyambung pelajaran di sebuah sekolah rendah?

“Sekolah kau tu untuk budak-budak kecik macam kau, Aneesa. Aku ni dah besar, tua tujuh tahun daripada kau. Dah, kau jangan menangis. Aku janji aku akan balik.” Adham tertawa kecil sambil mengusap dahi Aneesa dengan lembut.

“Janji?”

“Janji.”

“Anes sayangkan abang.”

Adham hanya mengangguk. Tidak kisah langsung dengan apa yang dikatakan anak kecil itu sebentar tadi. Apalah sangat maksud sayang buat seorang budak yang baru berumur 10 tahun itu?

“Dah ke, Am? Papa dah lambat ni.” Laungan Ghazi mematikan semuanya. Bersama keluhan berat, Adham terus menolak perlahan tubuh Aneesa dari dalam dakapannya.

“Aku kena pergi sekarang. Kau jaga diri kau.”

“Abang janji akan balik ya? Anes akan tunggu abang. Kalau Anes dah besar nanti, Anes nak kahwin dengan abang. Abang baik.” Aneesa meluah lagi sebelum menghulurkan sekeping kertas yang sudah terhias dengan hasil lukisannya kepada Adham. “Ni gambar abang dengan Anes. Abang simpan, abang jangan buang. Anes janji, Anes akan tunggu abang sebab Anes cuma nak kahwin dengan abang je.”

Adham bungkam. Sebelum ini, dia selalu sahaja meremeh dan mengabaikan perkataan kahwin atau sayang yang sering Aneesa luahkan kepadanya tetapi mengapa kali ini hatinya benar-benar terasa lain? Tak sedar, setitis air matanya langsung jatuh ke pipi. “Aku janji akan balik.” Untuk ke sekian kalinya, Adham tersenyum biar hanya senyuman yang hambar. Kepala Aneesa diusap kasar, setelah itu dia terus melangkah masuk ke dalam kereta.

Saat kereta Ghazi sudah menghilang daripada pandangan, Aneesa segera mengesat air matanya. Masih ingin menangis tetapi dia takut akan dimarahi oleh Kamilia. Nanti dikatakan mengada-ada pula.

“Hahaha!”

Mahu memusingkan tubuh tetapi Aneesa langsung tersentak ketika kedengaran tawa nakal yang tiba-tiba sahaja memecah nyaring dari suatu arah. Namun tak perlu ditebak, dia sudah tahu siapa gerangan insan yang selalu sahaja bertingkah menjengkelkan itu.

“Anes nak kahwin dengan abang Am? Hahaha! Kahwin???” Melihat muka cemberut Aneesa membuatkan Hakeem semakin seronok mahu mengusik. Muka masam Aneesa itulah yang selalu membuatkan dirinya berasa lebih bersemangat dan menang.

“Daripada Anes kahwin dengan abang Am, lagi baik Anes kahwin dengan dia ni… kalau dicium boleh berubah jadi putera raja. Tak percaya, cuba try!”

Seekor ular mainan yang bercorak merah dan hitam diangkat lalu dimasukkan ke dalam baju Aneesa. Sempat melompat terkinja-kinja bersama gelak tawanya, Hakeem terus berlari menyelamatkan dirinya setelah itu.

“Abanggg!!! Abang Akim jahat! Jahat!”

“Hahaha!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience