23 Hancur!

Family Series 57531

Deila mengerah sepenuh tenaga mendukung sebatang tubuh lembik opah untuk dibawa masuk ke dalam kereta. Tangisan pecah bila terkenangkan Amirul. Kalau sebelum ini, Amirul pasti muncul menolong, memberi kekuatan dan meminjamkan bahu tempat dia melepaskan segala rasa yang menggumpal di dada.

Saat itu, Deila benar-benar rasa keseorangan. Sepanjang perjalanan menuju ke pekan sebelah kampung kerana hanya di pekan tersebut terdapat hospital terdekat, Deila tak berhenti menangis. Banyak hal menyesakkan kepalanya. Opah yang terbaring tidak sedarkan diri di sebelah sesekali disentuh dadanya untuk memastikan opah masih bernafas. Tak putus-putus doa dipanjatkan dalam hati, memohon agar opah tak dipisahkan dari dia. Bukan tak reda kepada takdir, tapi sungguh dia benar-benar berharap ianya tak berlaku terlalu cepat.

Opah ditahan oleh pihak hospital kerana kondisinya yang kurang memberangsangkan. Mujur Deila sudah siap membawa beberapa kelengkapannya kerana hal itu sudah dia jangkakan. Dia sumbat je masuk apa-apa yang tergapai oleh tangannya kerana kelam kabut tadi.

Ketika hari menjelang petang, barulah Deila dibenarkan masuk ke dalam wad untuk melawat opah. Air mata mengalir deras melihat keadaan opah. Tubuh bersirat dengan beberapa wayar, tangan di infus dan mulut opah ditutup dengan ventilator oksigen. Tubuh penuh bersirat wayar opah dipeluk. Sungguh Deila tidak kuat melihat keadaan opah. Sungguh dia benar-benar takut akan kehilangan opah.

“Opah…” Deila menyeru sambil menangis teresak-esak. “Opah kena kuat, tolonglah kuat demi Del.”

Tubuh hangat kaku tanpa sebarang respon opah dipeluk erat bersama tangisan pilu Deila. Entah berapa lama dia menangis di dada opah. Tangisan menyurut bila datang jururawat meminta dia keluar kerana jururawat itu mahu melakukan pemeriksaan. Dengan rasa berat hati, Deila mengheret langkah keluar dari wad tersebut.

Deila duduk di ruang menunggu bersama air mata yang sukar mahu dikeringkan. Saat itulah, dia teringatkan Amirul. Lelaki yang sentiasa ada untuk menghiburkan di saat dia benar-benar rasa down. Deila kembali teresak-esak. Merasa diri keseorangan, tiada tempat mahu mengadu.

Deila bangun dan berjalan keluar menuju ke arah parking kereta. Telefon bimbit dikeluarkan dari laci kereta. Buat seketika, Deila hanya merenung skrin telefon, memandang nombor telefon Rhett dengan rasa ragu-ragu. Dia mahu menelefon lelaki itu. Dia mahu meluah, dia mahu dengar suara Rhett. Mahu lelaki itu memujuk, memberi kata-kata semangat untuknya. Cukup itu saja! Dia tidak mengharap yang suaminya itu datang menemani kerana dia faham, Rhett juga punya tanggungjawab lain.

Tak salah punya kemahuan seperti itu. Dia isteri Rhett. Dia mahukan perhatian dari suami. Dia mahu berkongsi semua rasa yang dia alami bersama suami. Dia isteri yang sah. Siapa pun wanita yang memanggil Rhett dengan panggilan sayang di dalam telefon itu, dia ada hak untuk tahu. Dia sudah penat memendam semuanya seorang diri.

Nombor Rhett akhirnya didail. Deila nekad. Andai wanita itu yang menyambut panggilan, dia akan tanya. Malangnya, panggilan itu dibiarkan sepi. Tak putus asa, Deila memanggil sekali lagi.

“Hello.”

Deila melepaskan nafas penuh kelegaan. Itu suara Rhett. Walau pun suara itu mendatar dan kedengaran dingin.

“Rhett, saya sekarang berada di hospital.” Tak mampu kawal perasaan, tangisan Deila pecah ketika bercakap.

“Kenapa?” Masih dingin dan dapat Deila rasa yang lelaki itu tidak berminat mahu tahu melalui nada suaranya.

“Saya dah ganggu kau ke?” Deila tanya dengan rasa tidak puas hati. Dapat dia rasakan yang Rhett melayan dia dengan dingin sekali.

“Saya tengah mesyuarat ni.” Deila jeling jam di tangan. Mesyuarat apa dah petang hampir menginjak ke senja macam ni? Deila diserang amarah. Nampak jelas Rhett semacam mahu mengelak dari dia.

“Opah sakit. Doakan opah cepat sembuh. Tu je, bye!”

“Tunggu!” Jeritan Rhett buat Deila tidak jadi menamatkan panggilan. Deila gigit bibir, menahan esakan dari pecah. Air mata yang mengalir deras di pipi dia seka perlahan.

“I hope everything is fine there. Please give me some time to settle down everything here.” Usai berkata, Rhett menamatkan panggilan. Deila terduduk di atas tanah lalu menangis teresak-esak.

Mudahnya jadi lelaki! Give me some time katanya? Jadi bagaimana dengan dia? Opah jadi begitu kerana tindakan mereka berdua. Mengapa hanya dia seorang yang harus menanggungnya? Rhett boleh siap demand beri dia masa? Dasar lelaki tak guna!

Opah sedar keesokan harinya. Deila cuba sedaya upaya untuk tidak menangis di depan opah walau pun dia benar-benar mahu berbuat demikian. Mahu beritahu yang kata-kata opah semuanya benar. Dia bakal jalani hidup seperti ibu. Mencintai orang yang salah. Mencintai insan yang punya dunia berbeza dengan mereka. Dia terluka teruk, tapi cuba untuk tidak ditunjukkan depan opah.

“Del…” Opah bersuara lemah. Tangan opah yang tergawang-gawang ketika memanggil Deila dengan pantas Deila genggam lalu dia bawa ke bibir. Jemari opah dikucup dengan penuh kasih sayang.

“Ya, opah…”

“Opah nak jumpa Rhett.” Air mata Deila jatuh tak tertahankan bila opah menyebut nama lelaki itu.

“Rhett tidak dapat dihubungi, opah. Rhett pasti sangat sibuk sekarang.” Deila cuba memujuk opah.

“Kau pergi ke bandar dan bawa Rhett ke sini.”

“Tak, Del takkan tinggalkan opah seorang diri di sini.” Bantah Deila dengan tegas. Wajah berkedut opah ditenung, mengharap pengertian opah.

“Kau upah cucu Kimal, si Ayu tu untuk temankan opah sementara kau ke bandar. Ini permintaan opah, Del. Jangan hampakan opah.”

Empangan air mata pecah mendengar kata-kata opah. Tak sampai hati mahu terusan menolak, Deila akhirnya mengangguk dengan hati yang berat.

“Pergerakan kau pasti lebih cepat kalau guna kereta besar tu.” Opah menyambung kata dengan sedikit kesukaran. Nafas opah kelihatan tidak teratur. Opah sedikit termengah-mengah ketika berbicara.

“Baik, opah.” Akur, Deila menyatakan persetujuan. Melihat opah tampak kepenatan, Deila mengusap rambut sejemput opah lalu memujuk opah untuk berehat. Seketika kemudian, opah mulai berdengkur halus.

Deila bingkas mengangkat punggung. Dia bercadang mahu cepat-cepat kembali ke kampung untuk mengambil Ayu, anak gadis remaja yang selalu diupah oleh Deila untuk menjaga opah setiap kali dia keluar ke pekan atau ke bandar untuk membeli stok kedai runcit. Kalau bukan Ayu, anak jiran tidak jauh dari rumah mereka iaitu Fuad. Memandangkan opah berada di hospital, tak sesuai pula jika dia minta Fuad jagakan opah.

“Del!” Jeritan seseorang mengejutkan Deila dari fikiran panjangnya. Bebola mata berguling, mencari empunya suara yang cukup dia kenal itu.

“Del! Kenapa tak beritahu saya opah sakit?!”

Deila tidak mampu menahan tangisan. Belum pun sempat lelaki itu berada di depannya, Deila sudah menangis teresak-esak. Rasa sebak, gembira, terharu… semua teraduk menjadi satu bila melihat lelaki itu sedang berlari anak menuju ke arah dia.

“Opah sakit kerana saya, Mirul! Opah tak terima apa yang telah saya lakukan. Saya berdosa, Mirul! Saya dah belakangkan opah. Saya memang layak dibenci, Mirul!” Bersama tangis berlagu sendu, Deila luahkan perasaan tanpa dipinta. Dia sudah tidak peduli. Lelah menanggung semuanya. Dada terasa begitu sakit kerana sesak menyimpan semuanya seorang diri.

Amirul menghampiri. Mata bagai disimbah habuk bila lihat Deila menangis sambil menumbuk dadanya.

“Bawa mengucap Del! Opah kuat orangnya. Dia pasti akan kembali sihat seperti sediakala.” Pujuk Amirul. Hampir mahu mengelus bahu Deila kerana itu kebiasaan dia lakukan setiap kali Deila bersedih tetapi bila teringat status Deila, keinginan dibantutkan. Dia kena jarakkan diri. Hubungan dia dan Deila kini sudah berubah, tidak seperti dahulu lagi.

“Saya takut, Mirul. Ya Allah, saya belum bersedia andai opah… andai opah…” Deila duduk berteleku lalu menutup wajah dengan tapak tangan. Tak mampu menghabiskan kata, Deila menangis semahunya.

Amirul mencangkung di hadapan Deila. Hati terasa pedih mendengar tangisan Deila.

“Jangan cakap macam tu Del. Saya dah kata opah kuat orangnya. Saya juga belum bersedia dan saya takkan dapat terima kalau opah… pergi dulu!” Tak semena-mena, Amirul melepaskan tangisan. Air mata tumpah jua bila memikirkan opah. Dia juga sayangkan opah. Orang tua tu dah macam keluarga sendiri. Tempat dia mengadu dan tukang bela dia setiap kali dia bergaduh lalu melarikan diri dari bapa pada zaman kanak-kanak.

“Saya sebatang kara, Mirul. Andai terjadi sesuatu kepada opah, saya hilang tempat bersandar. Hilang kasih sayang. Saya hilang segalanya, Mirul!”

“Jangan cakap macam tu. Saya masih ada, Del!”

“Kau pun dah bencikan saya, Mirul. Kau dah putuskan persahabatan kita. Kau dah tak nak kawan saya lagi.”

“Tak,” Laju Amirul menggeleng. “saya tarik balik kata-kata saya. Kita dah bersumpah untuk sehidup semati bersama, Del. Walau pun kau dah mungkir janji, saya maafkan kau. Saya tak boleh, tak mungkin mampu membenci kau, Deila.”

Luahan Amirul buat Deila semakin sebak. Deila melorotkan tangan lalu merenung wajah Amirul yang sudah dibasahi air mata. Ya, dia dah mungkir janji. Dia yang jahat! Amirul sudah bersama dengannya sejak zaman kanak-kanak. Tup-tup dah besar panjang boleh kahwin, dia pilih untuk berkahwin dengan lelaki yang baru dia kenal tak sampai beberapa bulan.

“Maafkan saya, Mirul. Ini kifarah yang harus saya tempuh kerana saya dah langgar sumpah setia kita.”

“Ya, kau harus diberi pengajaran atas perbuatan kau, Del! Tapi, kifarah tu pasti tidak melibatkan opah. Seharusnya kau je yang menderita. Opah pasti akan sihat semula!”

Amirul memang menyebalkan! Tengah Deila nangis-nangis pun, sempat lagi batin mengutuk Amirul. Deila mengesat air mata lalu bingkas berdiri.

“Kau nak ke mana?” Amirul ikut berdiri.

“Saya nak tunaikan permintaan opah, Mirul. Opah nak jumpa Rhett. Saya kena pergi ke bandar untuk membawa Rhett balik jumpa opah.”

Amirul memandang Deila agak lama. Wajah jelas kelihatan kurang senang.

“Kau boleh ke memandu dalam keadaan macam ni, Del? Jauh perjalanan nak ke bandar tu.”

“Saya harus pergi, Mirul. Saya tak berani mahu berlambat-lambat. Saya risau… saya tak sempat… saya takut…” Begitu payah mahu menghabiskan ayat. Air mata kembali mencurah jatuh walau pun sudah sehabis daya Deila cuba tahan.

“Saya pergi dengan kau!” Putus Amirul tiba-tiba. Deila tersentak.

“Saya boleh pergi sendiri, Mirul. Saya tak nak menyusahkan sesiapa. Lagi pun, saya tak nak orang kampung salah faham. Keluarga kau pasti tak suka.”

“Saya tak kisah. Saya kan anak Ketua Kampung. Mereka takkan berani cakap sembarangan punyalah. Mengenai keluarga saya, kau jangan risau. Tahulah saya uruskan.”

“Tapi… saya tak rasa tindakan kau betul, Mirul. Biarlah saya je…”

“Saya tak sanggup nak biarkan kau memandu dalam keadaan kau macam ni, Del! Kalau apa-apa berlaku di tengah jalan tu nanti macam mana? Dah, keputusan saya muktamad! Orang kampung takkan bising punyalah kalau kita balik bersama Rhett nanti. Ke kau takut Rhett cemburu?”

Deila terpempan. Kelu lidah mendengar sindiran Amirul di penghujung katanya itu. Dia langsung tak terfikir macam tu. Dia cuma risau Amirul pula dijadikan bahan bualan oleh orang kampung nanti.

Kerana kenekadan Amirul, Deila mengalah. Setelah selesai menghantar Ayu ke hospital untuk menjaga opah, dia dan Amirul bertolak ke bandar.

Perjalanan panjang itu diteruskan tanpa henti. Mereka bergilir memandu. Jika Amirul keletihan, Deila akan ganti pegang stereng kereta. Begitu jjuga sebaliknya. Berhenti pun dalam setengah jam untuk merehatkan enjin kereta sebelum perjalanan diteruskan.

Ketika mereka tiba di bandar, barulah Deila memberanikan diri untuk menelefon Rhett. Masalahnya dia sendiri tidak tahu alamat suaminya apatah lagi di mana suaminya bekerja. Amirul hanya memandang jengkel sambil menjuih bibir bila Deila jawab soalannya dengan ayat ‘tak tahu’. Macam mahu je dia hempuk kepala Deila di meja restoran tempat mereka sedang mengisi perut sekarang.

“Saya tak tahulah Rhett tu lelaki jenis apa. Tula, pandang lagi kesempurnaan paras rupa dan kekayaan, Del! Kau langsung tak kenal siapa laki kau kan? Kau ingat kahwin ni macam main pondok-pondok ke? Asal dah kahwin, semua dah okay ke anggapan kau? Tak, Del! Orang berkahwin ni tujuannya mahu hidup bersama, membina keluaga bersama. Yang kau? Saya tak faham betullah. Sakit hati saya tengok keadaan kau.”

Deila hanya mendiamkan diri dengar bebelan Amirul. Tambah bengkak bernanah-nanah hati bila panggilan yang dia buat hanya dibiarkan sepi. Semakin berdepa-depa muncung Amirul melihat Deila.

“Panggilan tak kena layan ke? Hah, rasalah kau! Sejak awal kemunculan Rhett lagi saya dah agak dah! Lelaki itu bukan lelaki yang baik. Tengoklah, dia pasti merahsiakan sesuatu dari kau, Del. Kalau betul kau tu isteri dia, tak mungkin dia biarkan panggilan kau tak berjawab!”

Melihat sepasang mata Deila mulai berkaca, Amirul kemam bibir. Sungguh pun dia masih rasa tidak puas hati dan masih mahu menghentam Deila, melihat kesedihan yang terpamer di wajah Deila, dia tidak sampai hati.

Tak putus asa, Deila membuat panggilan sekali lagi. Masih sama. Hanya dibiarkan sepi. Tubir mata semakin panas bila air hangat mulai bergenang di kawasan itu. Amirul tahan diri dari melepaskan rasa geram yang mencanak.

“Del? Del ke tu?” Tersentak Deila bila panggilan yang dibuat entah kali yang keberapa itu tiba-tiba disambut oleh seseorang. Suara yang menyapa pendengaran itu seperti pernah dia dengar sebelum ini.

“Ya, saya Deila.” Deila menjawab dengan rasa cuak.

“Ya, Allah! Del cucu tok rupanya! Kenapa telefon Rhett? Dia sedang sibuk tu. Telefon dia ni tertinggal di atas meja makan.”

Deila membuang nafas penuh kelegaan kerana Tok Teh rupanya yang menyambut panggilan.

“Macam ni tok, opah sakit. Sekarang ditahan di hospital. Opah minta Del bawa Rhett ke kampung untuk jumpa opah.”

“Oh, macam tu ke? Teruk ke sakit si Murni tu? Rasanya sekarang ni Rhett tak dapat ikut kerana dia ada urusan penting. Kau di mana sekarang? Nanti tok hantar orang untuk jemput kau. Kebetulan sangat. Tok memang berniat nak jemput kau datang ke rumah. Cuma Rhett tu asyik-asyik menolak dan kata belum sampai masanya kau datang.”

Deila terkesima. Mengapa Rhett tak mahu dia datang ke rumah Tok Teh? Deila menarik nafas dalam-dalam. Cuba bertenang walau pun hati tertoreh parah dengar penjelasan Tok Teh.

“Saya berada di sebuah restoran. Sajian Bonda namanya, tok.”

“Baik, tunggu je situ. Sekejap lagi orang tok sampai.”

“Baik, tok.”

Selepas menamatkan panggilan, Deila merenung sayu ke arah Amirul. Mata yang mulai basah dikesat perlahan.

“Kenapa? Rhett tak nak jumpa kau ke?” Sinis Amirul memerli. Dia geram sebenarnya. Sakit betul hati dia melihat Deila diperlakukan seperti seorang wanita tak punya perasaan. Lebih buat dia sakit itu, itu pilihan Deila! Kalau kahwin paksa dia masih boleh terima. Ini tak! Deila yang pilih jalan itu.

“Saya akan bawa Rhett dengan apa cara sekali pun, Mirul. Saya tak mahu hampakan opah.”

“Tak jelas lagi ke? Lelaki tu sedang mengelak dari kau, Del! Kenapa kau jadi macam ni hah? Cinta sangat ke kau pada lelaki itu sampai mata kau dibutakan?”

Deila menahan air mata dari gugur dengan segenap kudrat yang dia ada. Buat masa ini, biarlah dia butakan hati, butakan mata! Katalah apa saja, dia terima tanpa bantahan.

Seperti yang dijanjikan, orang suruhan Tok Teh datang menjemput mereka. Amirul berkeras mahu memandu kerana dia tidak yakin bila lihat Deila yang nampak berserabut. Amirul mengekori kereta orang suruhan Tok Teh sehinggalah mereka tiba di sebuah banglo mewah.

“Del!” Tok Teh yang sudah menunggu di luar rumah meluru lalu memeluk Deila. Melihat Deila datang berteman, Tok Teh mengajak mereka masuk.

“Dia ni ke bakal suami kau, Del?” Pertanyaan Tok Teh hampir buat Amirul menyembur keluar air teh yang sedang dihirupnya itu.

“Kacak juga budaknya. Apa kerja kau wahai anak muda? Kalau kau dah kahwin dengan Del nanti, mampu ke kau bagi cucu tok ni kesenangan? Tok tak mahu lihat cucu tok menderita. Tak payah dihias emas permata pun takpe, asal cukup makan pakainya dan tunaikan keinginan dia. Itu saja yang tok harapkan.”

Deila terkebil-kebil. Tidak dapat menjawab. Kalau dia jawab jujur, tok pasti pengsan. Nak berpura-pura rasanya tak adil buat Amirul.

“Rhett ke mana, tok?” Deila cepat-cepat mengalih topik bila lihat Amirul sudah seperti cacing kepanasan ditusuk renungan mendalam Tok Teh.

“Rhett tengah buat photoshoot. Agaknya malam baru dia balik. Tu pun kalau dia tak singgah di rumah Zara.”

Deila tersentak. Zara? Dia masih ingat nama itu. Nama yang disebut oleh Rhett ketika dia sedang bercakap dengan seorang wanita di dalam telefon dahulu.

“Buat photoshoot untuk apa, tok?” Amirul menyampuk. Dia kembali tenang berbanding tadi. Mahu tercabut jantung tadi bila ditenung mendalam oleh Tok Teh.

“Apa Rhett takde beritahu kau apa-apa ke Del? Hesy, budak ni! Tok dah berkali-kali pesan supaya beritahu kau, Del. Rhett nak nikah dengan Zara. Budak Zara tu kekasih Rhett. Dah lama mereka tu bercinta. Baru sekarang nak kahwin. Tu pun kalau keluarga tak masuk campur, lama lagilah tok nak melihat cicit tok.”

Deila cuba tersenyum, walau pun hancur hatinya mendengar perkhabaran itu.

“Rhett nak nikah?” Amirul bertanya sinis. “Untungnya tuan punya badan.” Amirul lempar renungan mengejek ke arah Deila.

Deila gigit bibir bawah. Cuba mengumpul kekuatan. Cuba mengawal diri. Hancur… sungguh dia hancur saat itu!

Sorry korang lama menghilang. Enjoy!

Share this novel

Masnah
2024-03-12 11:33:53 

jahat n tamaknya rett, bila lagi nk update

Zainabzety
2024-03-12 05:58:35 

x guna punya rhet kau akn dpt balasan ats apa yg kau buat dkt del

norsila
2024-03-11 22:58:03 

bodohnyaaa ..kesian del ..dahlah dio dajalkn del nikah samo dio..last2 dio nk nikah lagi..huuu..bom joo dio tu biar mampus


NovelPlus Premium

The best ads free experience