Ayana berjalan pulang ke wad bersendirian. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, dia mendapati Zaqwan sudah berada di dalam bilik.
Lelaki itu berdiri di sisi tingkap, membelakangi pintu. Sutnya yang sepatutnya tampak kemas dan elegan kini hanya tinggal kemeja putih yang sedikit berkedut, blazernya entah ke mana.
Pemandangan itu mengingatkan Ayana pada zaman universiti mereka dahulu, sosok lelaki yang lembut dan sopan dalam kemeja putih.
Namun, perjalanan waktu telah mengubah lelaki itu. Dan dia bukan lagi lelaki yang pernah dia kenali dahulu.
Tanpa memandangnya, Ayana terus melangkah masuk ke dalam wad. Auranya terasa begitu dingin hingga menyesakkan ruang.
Zaqwan menyedari kehadirannya dan berpaling.
“Kau pergi mana tadi?”
Ayana tidak menjawab. Dia terus berjalan ke arah katil dan duduk tanpa mempedulikan lelaki itu.
Zaqwan bersuara lagi, suaranya sedikit lembut.
“Maaf sebab tolak kau tadi. Aku… panik.”
Nada suaranya tenang, seolah-olah dingin dan tajamnya kata-kata sebelum ini hanyalah satu ilusi.
Zaqwan menundukkan kepala sedikit, memandangnya dengan renungan yang bercampur antara ejekan dan rasa bersalah yang berbaur dengan keraguan.
“Kau tahu apa yang Zana cakap?”
Merasa renungan tajam itu, Ayana mengangkat kepalanya. Pandangan mereka bertaut, dan dalam mata Zaqwan, dia melihat kekecewaan yang jelas.
"Dia cakap semua tu salah dia sebab cuai dengan cawan tadi. Dia sebenarnya nak tolong jelaskan benda ni, tapi kau pula macam nak lari dari tanggungjawab. Ayana, kau tak patut buat macam ni."
Ayana memandangnya lama, sangat lama.
Mata jernihnya mencerminkan pelbagai emosi yang bertindih. Dari terkejut, ke kecewa, dan akhirnya menjadi kosong dan dingin.
Perlahan-lahan, dia mengalihkan pandangannya ke luar tingkap tanpa sebarang perasaan.
Hujung bibirnya melengkung membentuk senyuman sinis. Senyuman yang begitu dingin dan penuh sindiran.
“Zaqwan, dah berapa lama kita kenal?”
Zaqwan terdiam sejenak sebelum menjawab,
“Lapan tahun.”
Ayana tersenyum kecil, namun tawanya kedengaran hambar.
“Ha—”
Lapan tahun.
Namun, kepercayaan Zaqwan terhadapnya hampir tidak pernah wujud.
Betapa bodohnya dia kerana menghabiskan bertahun-tahun dengan lelaki yang tidak pernah melihatnya dengan mata yang sebenar.
Dia tidak akan membuang masanya lagi dengan lelaki seperti ini.
Dengan tenang, Ayana bangun berdiri. Matanya menatap Zaqwan, namun kali ini, hanya ada kedinginan yang menusuk.
Dalam nada suara yang tidak dapat digoyahkan, dia berkata,
"Zaqwan, jom putus tunang."
Di sebalik ketenangan itu, terselit ketegasan dan ketabahan yang tidak dapat dihentikan.
Zaqwan terpana. Kilatan terkejut jelas melintas di matanya.
Akhirnya, Noktah.
Ayana memandang Zaqwan lama sebelum bersuara, suaranya tenang tetapi tajam menusuk.
"Tak payahlah buat muka terkejut Zaqwan. Kau dah buat pilihan kau masa kau pilih untuk selamatkan Zana. Atau, mungkin kau dah pun baut keputusan ni dari awal lagi, kan?”
Zaqwan masih kelihatan terkejut, matanya dipenuhi dengan pertentangan dalaman. Namun, hanya beberapa saat kemudian, keterkejutan itu digantikan dengan sesuatu yang lain.
Kelegaan.
"Ayana, aku minta maaf... Mungkin kita patut bawa haluan sendiri. Aku takut kalau terus macam ni, aku lagi banyak sakitkan kau sebab nak jaga Zana."
Ayana mengangkat sedikit lengannya, kepalanya mendongak memandang lelaki di hadapannya.
"Jaga Zana?"
Suaranya perlahan, tetapi setiap kata bagaikan belati yang menikam dalam.
"Zaqwan, dari semua yang jadi sebelum ni, pernah tak walau sekali kau betul-betul percaya kat aku?"
Zaqwan terdiam.
Wajahnya jelas menunjukkan kecelaruan yang berlaku dalam dirinya, namun akhirnya, dia bersuara juga.
"Zana tu… lembut dan naif… Ayana, kau pula terlampau tegas, dingin… keras kepala.”
Ayana menatapnya lama. Sangat lama.
Lalu, perlahan-lahan, bibirnya melengkung membentuk satu senyuman kecil. Tawa ringan terlepas dari bibirnya.
Namun, tawa itu tidak membawa kegembiraan. Sebaliknya, ia penuh dengan kedinginan dan sindiran. Seakan-akan semuanya tidak lagi bermakna.
Pada saat itu, hatinya remuk seribu. Betapa halus cara lelaki itu menyampaikan maksudnya.
Tapi… sejak bila jadi kuat itu satu kesalahan? Hanya sebab dia kuat, adakah itu bermakna dia yang jahat? Yang dipersalahkan kerana menindas yang lebih lemah?
Kata-kata Zaqwan yang penuh ketajaman itu menikam tepat ke jiwanya, menghantar kesakitan yang tidak tergambar.
Sakit.
Tetapi bukan kerana kehilangan cinta. Sebaliknya, kerana kesedaran bahawa selama ini dia tidak pernah dipilih.
"Ayana…"
Zaqwan melihat ekspresi wanita di hadapannya. Rasa bersalah semakin menyelubungi dirinya.
Dia menghulurkan tangan, cuba menenangkannya. Namun, sebelum dia sempat menyentuh Ayana, dia sudah pun melangkah ke belakang.
"Jangan sentuh aku!"
Dia menjerit dalam kegelisahan, lalu melepaskan genggamannya. Perlahan-lahan, dia mengangkat kepala, matanya yang jernih kosong, tanpa sebarang emosi, sementara bibirnya melengkung membentuk senyuman, senyuman yang tidak pernah sampai ke matanya.
Di sebalik sindiran itu, tersembunyi keputusasaan yang mendalam serta keteguhan yang nyata.
Pemandangan itu menghantar getaran tajam ke hati Zaqwan. Ia terasa seperti sebuah perjalanan emosi yang penuh liku, sehingga dadanya turut terasa perit.
"Ayana..." Zaqwan bersuara lagi, namun dia sendiri tidak pasti apa yang harus dikatakannya.
Ayana menatapnya dengan pandangan yang dingin sebelum bersuara, nadanya beku dan tidak berperasaan.
"Zaqwan, ingat baik-baik. Aku, Ayana, yang tak nak kau. Aku harap kau dengan Zana boleh kekal lama. Kau tak payahlah pujuk aku, aku bukan jenis yang lemah. Lagipun, siapa je yang nakkan dengan barang terbuang, kan?”
Kata-kata itu menikam tepat ke hati Zaqwan. Ia begitu tajam, begitu kejam. Dia hampir tidak percaya bahawa Ayana mampu mengungkapkan sesuatu yang begitu pedih.
Namun, dia tahu, Ayana memang berhak untuk marahkannya.
Tanpa berkata apa-apa lagi, dia mengetapkan bibir, menghela nafas panjang, dan akhirnya berpaling pergi. Sebelum melangkah keluar, dia hanya sempat berpesan agar Ayana menjaga dirinya.
Ayana duduk di atas katil dengan tubuh yang lemah sebaik sahaja Zaqwan meninggalkan wad. Dia menarik kakinya rapat ke dada, menatap kosong ke luar tingkap, matanya tidak berfokus pada apa-apa.
Dingin dan keras kepala?
Dulu, dia selembut embun pagi. Namun, dunia yang kejam memaksanya berubah. Ia menyalut dirinya dengan lapisan ais, memaksanya membina kekuatan yang tidak pernah dia sangka perlu dimiliki.
Dia tidak punya pilihan selain membina benteng, melindungi dirinya daripada terus dilukai, daripada terus merasa peritnya kekecewaan. Dia tidak mahu menangis. Dia tidak mahu kelihatan lemah dan menyedihkan di mata sesiapa.
Selama ini, dia fikir dia sudah terbiasa dengan kesepian dan keperitan itu. Namun saat ini, dia menyedari bahawa dirinya tidak sekuat yang dia bayangkan.
Dalam keheningan bilik, kesakitan yang selama ini dipendam mula menyusup masuk, memenuhi setiap ruang dalam hatinya. Tekaknya terasa kering, matanya mulai berkaca.
Namun, di sinilah batasnya.
Dia tidak akan menangis. Itu tidak berbaloi. Itu terlalu pengecut.
Lagpun, air matanya tidak akan membawa sebarang makna. Ia hanya akan lenyap begitu sahaja, sama seperti debu yang diterbangkan angin. Tiada harga. Tiada nilai. Hanya menjadi bahan ketawa bagi mereka yang ingin melihatnya jatuh.
Tiba-tiba, dia merasakan kehadiran seseorang menghampiri.
Tidak lama selepas itu, sehelai sapu tangan putih bersih muncul di hadapannya.
Ayana tersentak, lalu mengalihkan pandangannya. Sekilas, kejutan melintas di matanya sebelum dia perlahan-lahan melepaskan kakinya yang terlipat dan bangkit berdiri.
Di hadapannya, seorang lelaki berdiri tegak, tinggi, tegap, dan jelas lebih dominan dalam ruang yang mereka kongsi.
Baru sahaja mereka berpisah, kini takdir mempertemukan mereka sekali lagi.
“Awak… apa awak buat kat sini?”
Blazer Eizman tergantung di lengannya, sementara tubuhnya hanya berbalut kemeja putih yang kemas dan mahal. Butang di pergelangan tangannya yang elegan menambahkan lagi pesona keanggunan dan ketenangan yang melekat padanya.
Mata gelapnya tajam, mengikuti setiap pergerakan Ayana, seolah-olah membaca setiap perubahan kecil pada wajahnya. Ayana jelas cuba menyembunyikan ekspresinya, tetapi sorot mata lelaki itu menangkap segalanya, sesuatu yang sukar ditafsirkan berkilau sejenak dalam iris matanya.
Beberapa saat berlalu dalam keheningan sebelum dia akhirnya bersuara. Nada suaranya dalam dan tenang, namun ada sesuatu di sebaliknya yang tidak mudah diabaikan.
“Selalunya, perempuan memang akan menangis saat-saat macam ni”
Ayana sedikit terkejut dengan kata-kata itu, namun dia segera memahami maksudnya.
Dia pasti telah mengikutinya sehingga ke sini. Walaupun mungkin dia tidak mendengar segalanya, seseorang seperti Eizman, tajam dan penuh pemerhatian, pasti sudah dapat membaca situasi dengan jelas.
“Maaf, saya… tak sengaja terdengar perbualan korang tadi.”
Ayana tidak memberikan sebarang reaksi.
“Tak berbaloi pun menangis untuk orang macam tu. Lagipun, air mata saya tak berharga pun.”
Kening Eizman sedikit terangkat sebelum dia menjawab dengan tenang,
"Betul, ada je orang yang tak berbaloi untuk ditangisi. Buang masa je. Tapi pasal air mata awak tu… saya tak setuju."
Ayana menoleh, pandangannya penuh tanda tanya, seolah-olah menunggu penjelasan darinya.
Mata gelap Eizman masih mengunci wajahnya sebelum dia berkata perlahan tetapi penuh keyakinan,
"Nilai air mata tu bergantung pada siapa yang awak tangisi. Ada yang anggap tak ada nilai langsung, tapi ada juga yang rasa itu benda paling berharga."
Kata-kata itu kedengaran lembut, namun maknanya begitu mendalam sehingga mengetuk hati Ayana tanpa dia sedari. Dia segera mengalihkan pandangan, enggan membiarkan dirinya terpengaruh lebih jauh.
Eizman perlahan-lahan menyimpan sapu tangannya sebelum kembali bersuara,
"Okay, biar saya jawab soalan pertama yang awak tanya tadi."
Dia berhenti sejenak, menundukkan sedikit pandangannya ke arah Ayana sebelum meneruskan,
“Saya tau awak perempuan yang bijak. Sepatutnya awak dah boleh agak apa yang nenek nakkan, kan?”
Sekilas, kilauan samar muncul dalam mata Ayana. Perasaan canggung mula menyelubunginya.
“Dia nak cicit. Jadi dia suruh awak carikan pasangan hidup cepat…”
“Memang awak bijak.”
Eizman tersenyum, membuatkan Ayana sedikit lega.
Namun, hanya beberapa saat kemudian, suara lelaki itu kedengaran lagi, masih tenang, tetapi terselit ketegasan yang sukar diabaikan.
“Tapi, mengejar awak adalah pilihan saya sendiri. Lagipun, tak semua perempuan layak menjadi ibu kepada anak saya.”
Nada dominan yang tersirat dalam kelembutan suaranya membuatkan Ayana sedikit gelisah.
Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa seseorang yang begitu beradab dan tenang seperti Eizman boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu berani tanpa sebarang keraguan.
Dia menarik nafas perlahan sebelum bertanya, “Encik Eizman memang selalu berterus terang macam ni ke bila… mengejar seseorang?”
“Saya hanya kejar awak seorang.”
Ayana terdiam, menghela nafas perlahan. Ini kali pertama dia merasakan begitu sukar berdepan dengan seseorang.
“Kita baru je kenal hari ni, tak sampai sejam lagi pun, dan ini cuma pertemuan kita yang kedua. Encik Iezman tak rasa… terlalu tergesa-gesa ke?”
“Saya cukup yakin dengan pilihan saya.”
Akhirnya, ada sedikit perubahan pada wajah Ayana yang selama ini dingin dan terkawal.
Dia diam seketika sebelum mengukir senyuman pahit.
"Awak sendiri dengar apa yang saya katakan tadi. Saya dengan dia dah kenal lapan tahun, tapi kepercayaan antara kami macam tak wujud pun. Kita baru je jumpa… apa yang buat awak yakin saya ni pilihan yang tepat?"
Eizman mengangkat sedikit keningnya, matanya memancarkan sesuatu yang sukar dibaca.
“Awak nak bandingkan saya dengan lelaki sampah tu?”
Ayana sekali lagi terkejut. Matanya berkedip perlahan sebelum tiba-tiba dia tergelak kecil tanpa dapat dikawal.
"Maaf, ini memang salah saya."
Eizman menatap senyumannya yang cerah, dan sejenak, kilauan samar terpantul dalam matanya.
"Apa yang awak gelakkan?"
"Nampaknya saya memang tak kenal awak betul-betul. Tak sangka orang yang nampak sopan, tenang, dan penuh kawalan macam awak boleh keluarkan ayat macam tu. Memang tak kena langsung dengan rupa awak ."
"Saya cakap dengan jelas, awak pun faham maksud saya , jadi tak ada masalah pun."
Nada suaranya tenang, tetapi penuh dengan keyakinan..
Share this novel