Suasana bilik mesyuarat sekolah sunyi seketika. Cikgu Siti Hawa duduk tenang dengan wajah serius di hadapan dua insan yang sejak tadi kelihatan gusar. Ummi Faiq memeluk beg tangan erat-erat di pangkuan, manakala Abi Faiq duduk tegak dengan dahi berkerut, matanya tidak lepas memandang Cikgu Siti Hawa.
"Terima kasih sebab datang," ujar Cikgu Siti Hawa memulakan bicara. "Saya panggil hari ini sebab ada perkara penting. Faiq... telah dikenakan tindakan disiplin oleh guru disiplin, Cikgu Arshad, dan pihak pentadbiran sekolah memutuskan untuk menggantung Faiq selama dua bulan."
Tangan Ummi Faiq terketar. Abi Faiq mengangkat kening, wajahnya berubah marah.
"Apa? Gantung dua bulan? Kenapa?!"
Cikgu Siti Hawa menarik nafas. "Ada gambar lama yang dikaitkan dengan kelakuan tidak senonoh, disebarkan di media sosial. Gambar itu melibatkan Faiq. Kami tidak dapat mengesahkan sepenuhnya siapa penyebarnya, tetapi perkara ini menjejaskan reputasi sekolah."
Faiq yang duduk di sudut belakang hanya menunduk. Nafasnya berat. Suaranya tersekat di kerongkong.
Abi berdiri, menepuk meja. "Ini sama! Sama seperti apa yang berlaku pada Amir dulu! Anak-anak saya ni memang tak serik!"
"Abi—" Ummi cuba menenangkan, tetapi Abi memotong.
"Cukup! Aku dah muak! Kau tahu tak betapa susahnya hidup kita sejak Amir difitnah dulu? Sekarang kau ikut jejak dia? Kau tahu tak malu tu apa, Faiq?"
Faiq menggenggam erat hujung seluar sekolahnya. Matanya berair. "Saya tak buat..."
"Tak buat? Tapi nama kamu yang naik! Gambar tu orang lain yang reka ke?!" tempik Abi.
Suasana bilik itu mula tegang. Ummi hanya mampu menangis perlahan. Cikgu Siti Hawa yang melihat keadaan itu cuba mencelah.
"Abi... saya percaya Faiq teraniaya. Tapi kami di pihak sekolah terpaksa ikut prosedur. Saya sendiri percaya Faiq boleh berubah. Dia sudah tunjuk kemajuan besar sejak program SportRIM... tapi ini ujian."
Abi menggeleng, suaranya rendah namun tajam. "Dulu Amir. Sekarang Faiq. Aku dah letih nak hadap semua ni."
Faiq berdiri. "Kenapa semua salah abang? Abang Amir tak salah, Abi! Dia pun mangsa fitnah! Kenapa Abi tak pernah nak percaya pada anak-anak sendiri?!"
Abi tergamam. Ummi memegang lengan Faiq, namun Faiq menepis halus dan keluar dari bilik itu, membawa luka yang makin dalam dalam hati mudanya.
Di luar sekolah, langit mendung. Faiq berjalan tanpa arah, air mata mula menitis. Telefon bimbitnya bergetar—mesej dari Uwaisy: "Kami percaya kau, bro. Kami akan siasat. Aku, Khairul, dan abang kau akan bantu."
Di sudut perpustakaan awam, Uwaisy dan Khairul Anam sedang berbincang dengan Amir Furqan yang baru tiba secara rahsia.
"Kita kena cepat. Aku kenal Dragon. Dan aku tahu siapa yang dekat dengan dia sekarang..." kata Amir dengan nada serius.
"Idzlan," ujar Uwaisy, matanya tajam.
Khairul menambah, "Dia ponteng kelas Sejarah minggu lepas. Cikgu Zakiah sendiri pelik."
Amir mengangguk. "Kalau aku dapat bukti... Faiq akan bebas."
Uwaisy mengangkat kepala, memandang jauh ke luar jendela. "Kita tak akan biar dia jatuh macam kau dulu, Amir. Kali ni, kami semua akan berdiri bersama Faiq."
Share this novel