33 Harus Pisah!

Family Series 110448

PANG!

Rhett terjelepok di atas lantai bila tangan sasa Dato’ Razif melempang wajahnya.

“Anak tak tahu diuntung!!! Papa tak pernah didik kau untuk bertindak bodoh macam ni, Rhett Raffendy!!!” Bergema satu rumah agam dengan tempikan Dato’ Razif. Dia sudah dikuasai rasa marah teramat. Kalau bukan kerana badannya ditahan oleh isteri ketika itu, pasti mampus Rhett dia kerjakan.

“Razif! Kau dah gila ke hah?! Ya Allah, cucu tok! Rhett! Kau tak apa-apa?” Tok Teh berteriak lalu berlari mahu dapatkan Rhett yang masih terbaring menahan kesakitan itu.

“Ini semua pasal ibulah! Jangan nak berpura-pura depan saya, ibu! Kalau bukan kerana ibu berkomplot dengan cucu ibu tu, semua ini takkan berlaku! Rhett tak mungkin akan berkahwin dengan perempuan entah dari mana asal usulnya itu!!!”

Tok Teh mematikan langkah bila dengar kata-kata Dato’ Razif. Marak menyala matanya ketika merenung wajah anak lelakinya itu.

“Hati-hati dengan percakapan kau, Razif. Jangan sampai kau terpaksa telan kata-kata penghinaan kau kepada Del nanti!” Tok Teh beri amaran keras. Dato’ Razif memandang berang.

“Apa maksud ibu?”

Tok Teh jeda. Bebola mata mengerling isteri Razif. Rhett yang mendengar memandang Tok Teh dengan rasa sebak. Perlahan, dia bangun lalu duduk di atas lantai. Pipi yang masih perit diusap perlahan. Mahu tercabut rahang dilempang papa tadi.

“Sini! Ibu nak cakap sikit dengan kau.” Tok Teh bergegas menghampiri Dato’ Razif lalu menariknya sehingga beberapa meter jauhnya dari isteri Razif. Tercengang kebingungan isteri Razif dengan kelakuan tok.

“Deila Araferro itu anak Mardhiah.” Bisik Tok Teh di telinga Dato’ Razif.

*Apa?” Terbeliak mata Dato’ Razif.

“Deila tu anak kandung kau, Razif.”

Dato’ Razif terundur beberapa langkah lalu mencekup mulut. Hampir gelap permandangannya saat itu. Seolah ada batu besar menghempap kepala. Kisah lama yang begitu susah payah dia lupakan kini tersingkap semula, buat luka lama yang hampir sembuh tertoreh semula. Tanpa sedar, mata mulai berkaca.

“Ini tak betul, ibu! Ya Allah! Kenapa ibu biarkan Rhett kahwin dengan budak tu?! Ibu dah gila ke?”

“Masalahnya, ibu sendiri tak tahu yang Rhett sukakan budak tu. Benda dah jadi, terima jela dengan hati terbuka.”

Amboi, mudahnya jawapan! Dato’ Razif menjeling tok dengan rasa kesal. Dia harus panggil apa Del nanti? Menantu? Arghhh!!! Semua ini tak masuk akal!

“Tak ibu! Semua ini harus dihentikan!” Dato’ Razif bertempik lalu meluru ke arah Rhett.

“Razif!”

“Abang!”

Hampir serentak Tok Teh dan isteri Dato’ Razif menjerit kerana terperanjat. Jeritan itu langsung tidak menghentikan Dato’ Razif. Rhett tidak sempat mengelak bila tubuhnya disepak oleh Dato’ Razif. Dia tergolek di atas lantai.

“Anak tak guna! Kau tahu tapi masih mahu kahwin dengan Del?! Kau memang cari bala, anak syaitan!!!”

Rhett hanya diam bila papa menyerangnya bertubi-tubi. Mama dan tok cuba meleraikan namun kedua-duanya terjelepok di atas lantai ditepis oleh Dato’ Razif. Sehingga tubuh Rhett hampir lunyai dikerjakan, barulah Dato’ Razif berhenti menyerangnya.

Dato’ Razif terjelepok di atas lantai, berhampiran dengan tempat Rhett terbaring. Dada naik turun dengan laju, nafas tercungap-cungap.

“Dengar baik-baik Rhett Raffendy. Papa nak kau ceraikan Del secepat mungkin!”

Rhett yang sudah hampir hilang kesedaran menggeleng lemah. Di celah-celah tubir mata yang tertutup rapat, jatuh sebutir demi sebutir air jernih hangat. Rhett tidak mampu bersuara.

“Papa haramkan kau kahwin dengan Del, Rhett Raffendy! Kau faham tak?” Kemarahan Dato’ Razif kembali meruap bila lihat Rhett menggeleng. Batang tengkuk Rhett dicekik sekuat hati.

“Ya Allah, hentikan Razif! Tolonglah berhenti… ya Allah, cucu tok! Cucu tok!!!” Jeritan pilu tok dengan suara tersekat-sekat kerana menangis berjaya menghentikan Dato’ Razif.

“Ibu kena tolong saya pisahkan Rhett dengan budak tu. Ibu tahu apa yang berlaku seharusnya tidak terjadi! Saya akan bertindak lebih tegas kalau Rhett ingkar, ingat tu!”

Tok tak peduli pada ugutan Dato’ Razif. Di matanya kini hanya ada Rhett. Cucu kesayangannya yang sedang terbaring kesakitan, hampir nyawa-nyawa ikan dikerjakan.

“Rhett… ya Allah cucu tok! Bangun nak, kita ke hospital ya!” Tubuh tidak berdaya Rhett tok peluk erat-erat sambil menangis hiba.

“Ini semua pasal mak lampir tu! Dasar perempuan syaitan bertopengkan manusia hodoh! Sampai kiamat tok takkan benarkan keluarga langsuir tu jadi sebahagian dari keluarga kita!”

SANGKAAN Tok Teh bahawa semuanya akan berlalu dengan mudah selepas Rhett ditahan di hospital ternyata meleset jauh. Dato’ Razif mengawal ketat bilik yang menempatkan Rhett kerana tidak mahu Rhett melarikan diri. Dato’ Razif juga memberi arahan kepada pengawal yang diupah khas itu supaya tidak membenarkan sesiapa pun datang melawat kecuali ahli keluarga, tetapi tidak Tok Teh. Dia tidak mahu ibunya berkomplot sekali lagi dengan Rhett. Dia kenal benar dengan sikap orang tua itu. Mudah berlembut hati bila dipujuk rayu oleh Rhett.

Rhett yang masih tidak mampu bergerak bebas kerana kecederaan yang dialami hanya mampu terbaring dan duduk bersandar. Dia tidak dapat berbuat apa-apa buat masa itu. Resah hatinya memikirkan Deila yang pasti sedang tertunggu-tunggu kedatangannya untuk membawa Deila balik kampung.

Dia tidak dapat menghubungi Deila kerana telefon bimbitnya telah diambil oleh papa. Dia tidak dapat meminta bantuan dari tok kerana tok juga disekat untuk berjumpa dengannya. Hanya mampu memanjatkan doa agar Deila tetap bersabar menunggu kedatangan yang entah bila dan bagaimana dia mahu melakukannya.

“Rhett…” Suara lunak memanggil namanya buat fikiran yang menerawang jauh kembali ke realiti. Rhett buka mata.

“Zara?”

Rhett cuba bangun sebaik sahaja lihat kemunculan Zara.

“Careful, Rhett.” Zara bergegas menghampiri lalu cuba membantu.

Rhett duduk dan menyandarkan tubuh di kepala katil hospital yang sudah Zara letakkan sebiji bantal untuk keselesaan Rhett. Bebola mata Rhett tidak berganjak dari terus merenung Zara. Sungguh dia tidak boleh terima perbuatan papa. Tok ditegah tetapi Zara, orang luar itu dibenarkan masuk melawat dia?

“Maafkan saya, Rhett. Kalau bukan sebab mummy, kau takkan jadi macam ni.” Zara bersuara lirih. Dia rasa bersalah atas perbuatan ibu.

Masih terngiang-ngiang suara ugutan ibu. Dia tahu ibu sedang gigih mencari setiap kesalahan keluarga tok dan dia risau ibu bertindak melampau. Dia tidak mahu Rhett diapa-apakan. Sesungguhnya, cinta dia masih utuh buat lelaki itu.

“Zara… kau ada bawa telefon tak?” Rhett tak endah langsung kata-kata maaf dari Zara. Kepalanya berserabut kerana Deila Araferro.

“Dalam beg tapi saya tinggalkan dalam kereta tadi.”

Rhett menyumpah dalam hati. Now what? Nak suruh Zara turun ke basement untuk ambil beg tangannya pasti akan menimbulkan syak pengawal yang papa upah jaga depan pintu biliknya. Rhett merenung Zara buat seketika. Hanya Zara satu-satunya harapan dia kini.

“Please help me, Zara…”

Terkesima Zara dibuatnya apabila lantunan suara Rhett mendadak berubah, seperti seorang manusia terdesak dan buntu. Selepas beberapa saat mengatur nafas dan tenangkan diri, Rhett kembali membuka mulut. Zara diam dan tekun memasang telinga.

Selepas keluar dari bangunan hospital, Zara memandu dengan kelajuan sederhana di lebuh raya. Hala tujuan ialah ke pinggir kota, sebuah kawasan yang kurang digemari oleh warga kota. Selepas memarkirkan kereta di dalam sebuah petak kosong, Zara keluar dari perut kereta dan merenung seketika sebuah bangunan usang di hadapannya. Langkah diatur tenang menuju ke pintu masuk bangunan tersebut.

“Rhett!”

Wajah penuh teruja di sebalik daun pintu hotel kos rendah itu mendadak berubah sebaik sahaja matanya ditentang oleh Zara Adelia.

“C… Cik Za… ra?” Tersekat-sekat Deila melontar suara. Sungguh dia tidak menyangka manusia yang mengetuk pintu bilik hotel yang dihuni sementara itu ialah bakal isteri Rhett. Mati-mati dia sangkakan Rhett yang muncul untuk tunaikan janji.

“Del… boleh saya masuk?” Pinta Zara dengan sopan sambil mengukir senyum mesra. Perlahan, Deila mengangguk sebelum berundur untuk memberi ruang kepada Zara.

“Macam mana… kau…” Deila yang masih kaget dengan kemunculan Zara hampir tidak mampu melontar keluar segala persoalan yang mengasak kepala.

“Saya datang atas permintaan Rhett. Dia mahu saya beritahu kau sesuatu, Del.” Tenang, Zara duduk di birai katil, menyilang kaki lalu memandang sekeliling sebelum bersuara. Deila yang masih terpacak di tepi pintu hanya memandang tajam. Dalam diam, dia cuba membaca isi hati wanita cantik yang kelihatan begitu tenang itu.

“Kemunculan kau buat Rhett menderita, Del.”

Deila terpempan. Wajah Zara terusan ditenung tanpa berkelip.

“Sejak kau muncul dalam hidup Rhett, hubungan dia dan Dato’ semakin renggang, tak ubah seperti musuh. Saya tahu siapa kau, Del. Kau adalah anak tak sah taraf Dato’. Ibu kau mahu hidup senang dan guna taktik tak bermaruah dan goda Dato’ tetapi tok cepat sedar lalu pisahkan mereka. Sekarang kau pula buat onar dan goda Rhett. Apa pun niat jahat kau, saya mahu kau hentikan semuanya dan pergi jauh dari hidup Rhett. Dia tidak bersalah dalam hal ini, Del. Kenapa dia yang kena tanggung semuanya?”

Deila menarik nafas sebanyaknya. Dia tidak kisah dengan tuduhan Zara terhadap dia, yang dia tidak boleh terima ialah tuduhan melampau Zara terhadap arwah ibu.

“Jangan tuduh arwah ibu saya macam tu, Cik Zara. Cik bercakap seolah Cik berada di situ dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku antara Dato’ dan ibu saya. Jangan macam tu. Cik cuma akan menambah dosa jika jatuhnya fitnah. Arwah ibu saya bukan mata duitan. Dia tidak pernah meminta-minta dengan Dato’. Dia berusaha untuk membesarkan saya tanpa bantuan keluarga Dato’. Sakit derita ibu hanya kami yang tahu, kami yang merasainya, bukan orang luar seperti cik.”

Zara tersenyum sinis. Rasa meluat meruap-ruap. Kata-kata Deila seperti serbuk hama, buat seluruh tubuh gatal. Kadar alergiknya terhadap Deila mendadak naik ke paras maksimum, yakni semenjak dia tahu gadis itulah punca lelaki kesayangannya berubah. Dasar perampas!

“Fitnah? Saya rasa nak muntah dengar perkataan itu. Celah mana fitnahnya bila semua sudah jelas di depan mata, Deila? Kalau betul ibu kau tak guna taktik kotor seperti mana yang kau lakukan untuk rampas Rhett dari saya, tak mungkin ibu kau diusir seperti kucing kurap oleh Tok Teh! Dan sekarang bila semuanya dah terbongkar, tak mungkin Rhett hantar saya ke sini untuk usir kau jauh dari dia dan keluarga dia!”

“Apa?!”

Spontan tubuh Deila menegak keras. Pandangan dipaku tajam ke sepasang mata Zara. Walau pun sukar mahu percaya apa yang Zara katakan, tak dinafikan hatinya remuk redam saat itu. Walau pun dia percayakan Rhett, kalau difikirkan secara logik tak mungkin Zara tahu tempat persembunyian dia ketika itu kalau bukan dari Rhett. Sebab itu, kata-kata Zara benar-benar mengugat kepercayaan dia terhadap janji manis Rhett Raffendy!

“Ya, Deila Araferro… kau dah dengar bukan? Rhett mahu kau berambus dari hidup dia. Pergi jauh dan jangan sesekali muncul lagi di depan dia mahu pun keluarga dia. Berkenaan perkahwinan kau dan Rhett, sedikit masa lagi kau akan diceraikan talak tiga! Tak mungkin Dato’ membiarkan perkara itu terjadi kalau saja dari awal dia tahu siapa kau sebenarnya, Deila Araferro! Dasar perempuan murahan! Kalau dan ibu kau sama saja, perampas!”

“Kurang ajarrr!!!”

PANG!

Zara terjerit kesakitan apabila kepala terteleng dilempang keras oleh tapak tangan Deila.

“Saya dan ibu bukan perempuan murahan! Kami bukan perampas!” Deila menjerit seperti sedang kerasukan. Rambut panjang Zara ditarik sekuat hati. Zara tidak mahu kalah turut merentap rambut Deila.

“Kau rampas Rhett dari saya!!!” Zara menjerit tak kurang nyaringnya. Deila menjerit bila rambutnya ditarik oleh Zara. Sakitnya rasa macam mahu tertanggal kulit kepala. Cis! Minah lembut ni kuat juga orangnya.

“Zara! Kau lepaskan rambut saya sekarang, tak guna! Lepaskan!!!”

“Kenapa saya harus mengalah hah?! Kau yang mulakan dulu Deila!!!”

“Lepaslah! Aww!!! Arghhh!!!”

Deila dan Zara terus bergelut. Masing-masing tidak mahu mengalah walau pun Zara sudah menangis meraung-raung kesakitan. Tidak lama kemudian, mereka berdua jatuh tergolek di atas lantai tetapi masing-masing tetap tidak mahu menghentikan serangan. Tarik menarik rambut diteruskan diselangi dengan jeritan maha nyaring.

“I hate you Deila Araferro!”

“I hate you more Zara Adelia!!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience