ALISA terus terbaring di sofa ruang tamu sebaik sahaja pulang dari warung. Peluh masih melekat pada dahinya, rambutnya berserabai dan mukanya jelas menunjukkan keletihan yang amat sangat.
“Ya Allah, mak. Penat betul meniaga ni. Macam kerja buruh je rasanya!” Alisa merungut panjang sambil meletakkan sebelah tangannya di dahi seperti heroin drama Melayu klasik.
Mak Yam yang melihat drama anaknya tergelak kecil lalu menggeleng-gelengkan kepala sambil melipat kain baju di sudut ruang tamu.
“Baru kerja setengah hari dah lembik. Itu tanda kamu tak biasa kerja bawah panas. Kerja dalam aircond saja mana tahu penat meniaga,” sindir Mak Yam dengan selamba.
Alisa terus bangun sedikit, mencebik pada Mak Yam. “Mak ni, warung mak tu bukannya buka sehari suntuk pun tapi kenapa penat dia macam Lisa pergi berperang tiga hari!”
“Kalau mak yang dah tua ni boleh jaga warung tu sorang, takkan kamu yang muda macam ni dah nak pitam-pitam? Mengada-ngada betul kamu ni, Lisa!” sindir Mak Yam lagi sambil ketawa kecil.
“Mak, tak payahlah meniaga lagi. Berhenti jelah. Lisa dah rasa macam mana penatnya kerja kat warung tu. Takkan mak nak buat kerja ni sampai bila-bila?” Alisa mula memujuk dengan muka simpati.
Mak Yam berhenti melipat kain lalu memandang Alisa tajam. “Kalau mak berhenti meniaga, kita nak makan apa?”
“Kan ada duit pencen arwah ayah. Kita pakai jelah duit tu,” balas Alisa cepat, penuh harapan.
Mak Yam menjeling tajam, “Eh, mak tak nak kongsi duit pencen arwah ayah kamu dengan kamu. Mak nak guna duit tu buat beli handbag baru tiap bulan. Kamu nak duit, carilah sendiri!”
Alisa tarik muka masam dan tergamam dengan perangai Mak Yam yang tiba-tiba kedekut duit pencen arwah ayahnya sendiri. “Eleh, macam luak sangat duit tu. Beli handbag setakat harga beg Tik Tok je pun. Mak ni, tiba-tiba jadi kedekut pula dengan anak sendiri. Pelik betul!”
Mak Yam sambung bersuara lagi. “Tak ada, tak ada. Kamu kena berdikari juga cari duit sendiri. Tak payah nak fikir macam-macam. Warung tu boleh je jadi sumber rezeki kamu. Jangan nak memilih sangat.”
Alisa mengeluh panjang lagi. “Lisa bukan setakat penat je mak tapi tak tahan lah dengan mulut puaka regular customer mak yang seorang tu. Harap muka je helok tapi mulut hansuang!”
Mak Yam tersenyum penuh makna. “Pelanggan tetap mak? Kamu maksudkan Kaisar ke?”
Alisa terus mengangguk laju. “Ya, dialah. Menyakitkan hati sangat. Dari semalam asyik cari pasal dan kerja tahu nak menyindir orang je.”
Mak Yam mula membebel dengan nada selamba, “Kaisar tu baik budaknya, rajin tolong mak kat warung. Kamu tu je tak reti menilai orang.”
Alisa mula panas hati mendengar Mak Yam membela Kaisar. “Eh, siapa sebenarnya anak mak ni? Lisa ke Kaisar? Bukan main backup Kaisar macam nak buat menantu pulak!”
Mak Yam tergelak besar sambil melipat kain semula, “Eh, jangan perasan sangatlah Lisa. Mak tak kuasa nak jodohkan kamu dengan Kaisar tu. Buat rugi beras rumah dia je nanti dapat isteri macam kamu ni.”
“Amboi, sedapnya mulut mak bercakap! Siapa yang rugi? Lisa ni dah ada crush kat KL tau. Jangan haraplah Lisa nak try mengurat si Kaisar tu!” balas Alisa pantas sambil menyilangkan tangan.
Mak Yam bangun sambil membawa bakul kain menuju ke dapur dan masih tersenyum nakal. “Crush kat KL kamu tu suka makan mee kari tak? Kalau tak suka, baik kamu lupakan je. Kaisar tu dah tentu suka mi kari mak, senang kerja kamu nanti kalau nak mengurat dia!”
Alisa mencebik lagi, geram dengan sindiran Mak Yam. “Lisa takkan mengurat Kaisar walaupun dia pelanggan tetap warung mak. Over my dead body!”
Mak Yam berpaling sejenak, tersengih penuh makna, “Jangan cakap besar sangat, Lisa. Nanti kamu sendiri yang terjatuh hati, dah susah mak juga yang kena cari rombongan meminang!”
Alisa terkedu, hatinya tiba-tiba berdebar. Cepat-cepat dia menepis perasaan aneh itu jauh-jauh. Dalam hati, Alisa bertekad untuk mengelakkan Kaisar sejauh mungkin walaupun hatinya rasa tidak tenteram setiap kali mengingatkan lelaki itu.
HARI kedua Alisa menjaga Warung Mi Kari Terangkat semakin mencabar kesabarannya. Dia berdiri di depan cerek air panas sambil merungut seorang diri.
“Mi Kari dah perfect, penat bancuh air tak habis-habis pulak! Macam mana mak boleh bancuh sekali 5 cawan ni? Alisa mengeluh sambil menuang gula dengan penuh keyakinan tanpa menyedari sudu yang digunakannya jauh lebih besar daripada biasa.
Warung mula sesak dengan pelanggan yang tidak sabar-sabar mahu mencuba hasil tangan Alisa hari ini yang dijanjikan tidak tertumpah garam sebalang lagi. Di satu sudut, Kaisar duduk santai sambil memerhatikan Alisa dengan senyuman mengejek yang sudah menjadi trademark-nya.
“Cik bandar, air teh tarik satu!” jerit Kaisar seakan sengaja mahu mengusik wanita yang tengah sibuk itu.
Alisa menjeling tajam. “Sabarlah. Ikut turn. Karang you dah minum jangan sampai terpikat pulak.” Sempat Alisa perli.
Kaisar tersengih sinis, "Aku risau terpikat kencing manis je."
Alisa berjalan mendekati Kaisar lalu menghempas gelas berisi teh tarik di hadapannya. Kaisar mengangkat gelas itu dan menghirup perlahan sebelum mukanya berkerut teruk.
“Aduh! Lisa, kau nak bunuh aku ke apa ni? Terlebih manis sampai rasa macam sirap pekat!”
“Apa pula lebih manis? Sedaplah tu. You memang sengaja suka cari pasal dengan I je, kan?” Alisa mempertahankan diri. “Customer lain tak ada pun kuat complain macam you.”
“Sedap? Kalau lebah minum ni pun boleh diabetes tau!” Kaisar mengusik sambil menunjukkan air tersebut pada pelanggan lain.
Pelanggan mula ketawa kecil melihat gelagat Alisa dan Kaisar yang pantang bertemu. Mesti ada saja nak digaduhkan.
"You ni memang dari semalam asyik tahu nak kritik I je, kan? Kalau you pandai sangat, you buatlah sendiri!" Alisa semakin hilang sabar.
Kaisar bangkit berdiri, "Kalau aku buat sendiri, baik aku buka warung sendiri je.”
“Haaa…Eloklah you buka sendiri dari menyibuk je kat warung orang macam tak ada kerja lain,” balas Alisa tak mahu mengalah.
“Apa pulak aku menyibuk? Aku datang nak makan dengan minum. Kau ni memang tak reti bersyukurlah dapat loyal customer macam aku.”
“Loyal customer ke, loyar buruk customer,” sindir Alisa.
“Dah, dah. Tak payah korang nak bergaduh,” tegur Kak Jah.
“Dia ni, Kak Jah. Suka sangat nak complain Lisa. Kalau pandai sangat, cuba la buktikan,” cabar Alisa.
“Kau nak aku hijack dapur warung kau ke? Aku takut kau yang menangis nanti kalau Mak Yam bagi aku free je warung tu sebab lagi percaya dengan kepakaran aku.”
Alisa buat muka menyampah tengok sikap Kaisar yang suka membanggakan diri.
“Eh, kejap. Dari korang asyik bertekak siapa lagi bagus, apa kata korang berdua sama-sama join masuk pertandingan ‘Gerai Viral Malaysia’ yang majlis daerah anjurkan tu. Korang berdua boleh masuk sebagai satu team wakil Warung Mi Kari Terangkat Mak Yam ni.”
Alisa tercengang mendengar idea Kak Jah yang secara tiba-tiba itu.
“Kak Jah nak suruh saya masuk? Dengan mamat ni?” Alisa tunding jari ke arah Kaisar sambil buat muka. “Memang taklah!” Kuat suara Alisa.
Tak kuasa Alisa nak masuk pertandingan tersebut. Dia meniaga ini pun secara terpaksa kerana memikirkan hutang-hutangnya yang tertunggak sebelum makin banyak. Lagi tak kuasa dia nak masuk pertandingan itu dengan Kaisar.
“Yalah pertandingan tu kena secara berkumpulan. Masa ni la kau boleh suruh Kaisar tunjuk kepakaran dia selain tahu complain air tangan kau je. Kau boleh tengok dia pandai masak ke tak?” Kak Jah cuba memujuk.
Berkali-kali Alisa geleng kepala tanda tidak mahu.
Kaisar menyeringai nakal, “Aku cabar kau masuk pertandingan tu dengan aku. Kalau kita menang, aku takkan jadi pengkritik tetap kau lagi.”
Semua pelanggan bersorak gembira mendengar cabaran Kaisar itu, masing-masing bersungguh-sungguh menggesa Alisa menerima cabaran tersebut.
“Setuju jelah Lisa, biar dia tahu kehebatan orang yang pernah duduk kat bandar!” sorak Kak Jah.
Alisa memandang sekeliling, egonya mula tercalar mendengar sorakan pelanggan yang semakin kuat.
Share this novel