Ini ceritaku....
Aku dilahirkan dan dibesarkan tanpa kasih seorang ayah.
Namun aku tidak pernah merasa kekurangan kasih sayang.
Mak, nenek, bapa saudara, ibu saudara dan jiran-jiran sangat menyayangiku.
Hidupku sejak kecil penuh keceriaan sesuai dengan namaku.
Semua orang peduli denganku sampai aku lupa yang aku tidak seperti kawan-kawanku yang lain. Yang mempunyai ayah, ibu dan adik beradik. Keluarga mereka sempurna tidak sepertiku.
Mak aku mempunyai tiga orang anak. Namun yang tinggal bersamanya hanya aku seorang.
Aku tidak mengerti apa itu perceraian, apa itu perpisahan lantaran umurku baru menginjak usia 6 tahun.
Cerita mak, ayah tinggalkan dia dan membawa lari abang dan kakakku bersamanya.
Mak sakit hampir setahun kerana terlalu rindukan anak-anaknya yang ketika itu baru berusia setahun enam bulan dan enam bulan.
Mak terpaksa tebalkan muka untuk rujuk kembali bersama ayah demi untuk bersama anak-anaknya dan mereka pun bersatu semula.
Tapi ayah hanya pulang ke rumah mak seorang diri tanpa anak-anak. Kecewanya hati mak. Namun dia tetap bersabar. Anak-anaknya ditinggal bersama ibu mertuanya.
Ketika mak sedang mengandungkan aku dua bulan, sekali lagi ayah menghilang dan terus menghilang sehingga aku dilahirkan dan berusia enam tahun.
Sepanjang enam tahun itu mak membesarkan aku dengan jerih payah. Namun aku bahagia. Sangat bahagia seolah-olah dunia ini hanya untukku.
Usiaku menjangkau enam tahun, ayahku datang bersama abangku. Tiada kemesraan di antara abang dan mak. Abangku juga cuba menjauhi mak.
Dan sepanjang usia enam tahun tu juga berbagai dugaan yang kami sekeluarga hadapi kerana kerakusan sikap ayah yang hanya ingin menyeksa hidup mak. Aku tak pasti sama ada ayah bertindak sendirian atau ada arahan lain yang memaksa dia berbuat begitu....
Share this novel