PINTU pejabatnya ditolak daripada luar. Afka melangkah masuk.
“Selamat pagi Encik Afka,” sapa Nadia, setiausahanya.
Afka tersenyum nipis. “Selamat pagi. Rizal dah masuk?”
“Encik Rizal jumpa klien dekat luar.”
Afka mengangguk faham.
“Oh ya, tadi Cik Adel hantar hadiah untuk Encik Afka.”
Dahi Afka berkerut halus. Cik Adel? Macam pernah dengar nama tu.
“Cik Adel yang mana ya?” soalnya.
“Client Encik Afka dua bulan lepas. Kes saman fitnah tu.”
“Oh... Okey. Saya ingat.” Ramai sangat kliennya sampai Afka terlupa. Lagipun selepas tamat urusan mereka, Afka tidak akan berhubung dengan mereka lagi kecuali jika mereka perlukan bantuan Afka.
“Saya rasa dia suka Encik Afka lah.” Nadia membuat andaian sendiri. Daripada cara wanita itu dia dapat menebak yang wanita itu sudah jatuh hati pada Afka.
Lagipun itu tak mustahil. Afka seorang yang sangat kacak dan berkarisma. Dia berjaya mencuri hati gadis-gadis di luar sana dengan penampilannya.
Nasib baiklah Nadia sudah berkahwin. Kalau tidak, mungkin dia juga akan menjadi salah seorang peminat Afka.
“Pandai-pandai je awak ni.”
“Tapi Cik Adel tu pun cantik. Sesuai dengan Encik Afka. Apa salahnya kalau...”
“Jangan nak mengarut, Nadia. Dia cuma klien saya. Saya tak campur adukkan urusan peribadi dengan kerja,” pintas Afka.
Nadia tayang sengih. “Sorry.”
SELEPAS menghantar semua bungkusan pelanggannya di syarikat penghantaran, Ajana mengajak stafnya, Alia makan di restoran berhampiran.
“Betul ke kedai ni sedap?” soal Ajana. Alia yang mencadangkannya untuk makan di sini tadi.
“Betul kak. Saya dah pernah makan dekat sini dengan family saya. Dia orang semua suka.” Bersungguh-sungguh Alia nak buktikan yang makanan di restoran itu sangat sedap.
Mata Ajana terpandangkan sebuah kereta BMW 3 Series berwarna hitam yang terparkir di kotak parking berdekatan restoran. Dahinya berkerut halus. Macam kenal je kereta ni.
“Kenapa kak?” tanya Alia.
“Tak ada apa-apa.” Ajana menggeleng perlahan.
Mereka berdua masuk ke dalam restoran. Ramai pelanggan waktu itu. Mujurlah ada sebuah meja kosong. Dapatlah mereka duduk.
Beberapa minit kemudian, seorang pelayan datang dan mengambil pesanan mereka.
“Kak,” panggil Alia.
Ajana yang sedang sibuk menatap skrin telefonnya itu angkat wajah. “Kenapa?” soalnya.
“Akak kenal ke lelaki tu? Daripada tadi dia pandang sini.”
Ajana langsung menoleh ke belakang. Matanya membulat melihat lelaki yang dimaksudkan oleh Alia.
Afka!
Patutlah dia nampak seperti kereta Afka di luar restoran tadi. Rupanya memang Afka. Ah, kenapalah lelaki tu ada je dekat mana-mana?
Afka jungkit kening kepadanya sebaik pandangan mereka bersatu. Ajana balas dengan jelingan tajam. Tapi raut wajahnya langsung berubah saat melihat seorang wanita menghampiri Afka. Wanita itu duduk di meja yang sama.
Terus Ajana pusingkan tubuh kembali. Siapa wanita itu? Teman wanita Afka ke? Ah, tak kisahlah siapa pun. Itu bukan masalahnya. Kalau Afnan, Ajana kisah!
“Tak kenal.”
“Ya ke? Tapi cara dia pandang akak tu, macam dia kenal akak je.” Alia masih tak puas hati.
“Dah lah, biarlah dia.” Ajana malas nak cakap soal Afka lagi. Kalau boleh nak makan cepat-cepat lepas tu balik.
SELEPAS mereka makan, Ajana bangun menuju ke kaunter pembayaran.
“Meja 12.” Beritahunya pada penjaga di kaunter itu.
“Dah bayar cik.”
“Hah? Tapi saya belum bayar lagi. Salah tengok kut.”
“Betul. Memang dah bayar,” balas lelaki berusia lingkungan 20-an itu.
Dahi Ajana berkerut halus. Siapa pula yang bayarkan makanan dia dan Alia?
“Siapa yang bayar?”
“Err... Tak silap saya lelaki yang duduk meja hujung sana tadi.” Lelaki itu menunjukkan ke arah meja yang Afka dan seorang wanita duduk tadi. Kini meja itu sudah kosong. Ajana pun tak sedar bila Afka pulang.
“Oh ye ke? Terima kasih.” Ajana terus berlalu pergi. Alia sudah menunggunya di kereta.
KEBIASAANNYA selepas makan malam, Ajana langsung masuk bilik menyiapkan rekaan terbaru tudung keluarannya.
Tapi malam ini tiba-tiba Encik Aziz dan Puan Mawar mengajaknya duduk di ruang tamu. Katanya ada hal serius yang ingin dibincangkan.
Puan Mawar dan Encik Aziz saling berpandangan. Sebenarnya mereka takut ingin menyuarakan tentang hal ini. Takut kalau Ajana tidak boleh terima. Tapi apa salahnya mencuba kan? Mana tahu jika Ajana setuju.
“Ada apa ibu, abah? Macam serius je,” soal Ajana tidak sabar. Berdebar pula rasa.
“Sebenarnya macam ni, semalam Cik Embun telefon ibu. Kami berbual panjang,” cerita Puan Mawar.
Ajana mengangguk perlahan. Menunggu ibunya meneruskan cerita.
“Lepas tu...” Puan Mawar jeda seketika. Dia pandang suaminya.
“Cik Embun ada beritahu yang dia berkenan nak jadikan Ajana menantu dia,” sambung Encik Aziz.
Ajana terdiam seketika. Dia cuba menghadam berita yang disampaikan itu. Cik Embun nak jadikan dia menantu? Biar betul?
“Betul ke?” soal Ajana tidak percaya. Apa yang Cik Embun nampak padanya sehingga mahu menjadikannya menantu?
“Ya sayang. Kami pun mula-mula terkejut. Tapi Cik Embun betul-betul serius. Dia nak Ajana jadi sebahagian daripada keluarga dia.”
Ajana diam lagi. Dalam hati mula timbul rasa senang. Terbayang-bayang wajah Afnan di minda.
“Ajana setuju tak?” soal Encik Aziz.
Ajana cepat-cepat mengawal perasaan. Tidak mahu orang tuanya nampak keterujaannya.
“Kalau ibu dan abah rasa ini yang terbaik, Ajana ikutkan je. Ajana terima lamaran tu.” Tanpa berfikir lama Ajana langsung bersetuju. Afnan kut, takkan dia nak tolak. Menyesal seumur hidup nanti.
“Alhamdulillah.” Encik Aziz dan Puan Mawar sama-sama mengucapkan rasa syukur. Ceria wajah mereka. Akhirnya Ajana bersetuju juga untuk berkahwin.
Selama ini jika mereka bercakap soal perkahwinan, Ajana langsung mengelak. Mereka juga tidak pernah nampak Ajana bercinta dengan mana-mana lelaki. Orang tua mana yang tidak mahu melihat anaknya berkahwin, begitu juga dengan mereka.
Sekarang bila Ajana terima lamaran kawan baiknya itu, barulah lega hati mereka. Lagipun mereka percaya Ajana tentu akan bahagia berada di dalam keluarga itu.
“Ajana minta izin masuk bilik dulu.” Ajana bangun meninggalkan ruang tamu.
Naik je tingkat atas, dia terus berlari masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup rapat. Ajana langsung melompat ke atas tilam.
“Ah!” Dia menjerit ceria sambil berguling-guling di atas katil. Wajah Afnan terbayang-bayang di ruang mata.
Ajana rasa macam mimpi. Selama ini dia sangkakan cuma dia yang meminati lelaki itu dalam diam, siapa sangka lelaki itu juga punya rasa yang sama. Tak sia-sia dia menunggu Afnan selama ini.
“CIK Mawar telefon mama tadi. Dia cakap, Ajana setuju.”
Kata-kata mamanya itu terngiang-ngiang di telinganya. Afka bahagia lamarannya diterima tapi dalam masa yang sama dia tertanya-tanya, mengapa mudah sangat Ajana menerima lamarannya?
Pelik. Memanglah Afka mengharapkan Ajana akan menerima lamarannya tapi dia tak sangka semudah ini lamarannya diterima.
Buat masa ni, Afka tolak tepi dulu hal itu. Yang penting sekarang Ajana sudah menerima lamarannya. Bibirnya tersenyum senang.
Baru lamaran diterima, Afka sudah membayangkan betapa bahagianya dia dan Ajana menempuh bahtera rumah tangga bersama. Ah, jauh betul berangan. Tapi angan-angan tu kan percuma. Dan mungkin daripada angan-angan akan bertukar menjadi kenyataan. Tiada siapa yang tahu, melainkan Dia.
Share this novel