SYAMIRA melangkah masuk ke restoran mewah itu dengan penuh keyakinan. Gaun hitam dengan belahan tinggi di sebelah kiri yang disarungnya menampakkan betis jenjangnya, cukup untuk membuat beberapa kepala menoleh.
Aromanya pula cukup halus tetapi mampu memikat sesiapa sahaja yang dekat dengannya.
Seorang pelayan lelaki menghampiri dengan senyuman mesra.
“Selamat malam, Cik Syamira. Meja cik dah sedia,” sapa si pelayan tersenyum ramah.
Syamira mengangguk sedikit sambil melemparkan senyuman tipis terukir.
“Terima kasih.” Ucap Syamira.
Dia menapak ke arah meja di sudut restoran, tempat Hana sudah menunggunya. Wanita itu, berusia akhir 30-an dan berpakaian kemas tetapi sederhana dengan wajah serius seperti biasa.
“Lambat,” tegur Hana, terus memandang Syamira Syamsuden.
“Macam tak biasa dengan aku,” balas Syamira sambil duduk dan menyilangkan kaki.
“KL ni bila masa tak jam?”
Hana mendengus perlahan.
“Macam biasa, alasan. Tapi aku tak panggil kau ke sini sebab nak sembang pasal trafik,” sahut Hana. Serius nadanya.
“Ya, aku dah boleh teka,” Syamira menjawab tangan terus mengambil segelas air kosong yang sudah tersedia di atas meja.
“Apa isu besar sangat sampai kau nak jumpa aku malam-malam ni?” Syamira langsung menyoal setelah menghirup sedikit air.
Hana meletakkan telefon pintarnya di atas meja. Roman wajahnya sedikit serius.
“Kau tahu tak, nama kau dah mula dikaitkan dengan kelab tu? Orang dah mula bercakap, Mira. Kau ada plan apa-apa?” Jelas Hana dengan merenung raut bermekap tipis itu.
Syamira mengangkat kening saja dan dia masih lagi kelihatan santai.
“Plan? Aku tak rasa benda ni sebesar mana pun, Hana. Wartawan ni kerja dia memang cari cerita panas. Lama-lama dia orang senyaplah,” jawab Syamira dengan senyumannya.
“Syamira, kau tak boleh ambil mudah. Ini bukan gosip biasa. Kau tahu, kan? Sekarang dah ada akaun media yang terang-terang cakap pasal sugar baby? Orang tengah cari siapa sebenarnya di belakang kelab tu. Kalau ada yang korek dan kaitkan nama kau, apa kau nak buat?” Tukas Hana gelisah tapi tidak pada model itu.
“Aku dah lama tahu dunia ni kejam, Hana. Bukan benda baru. Kau tahu aku tak takut,” jawab Syamira, iramanya tenang tapi jelas.
Hana menghela nafas panjang. Dia mengenali Syamira sudah lama, tetapi keyakinan wanita itu kadang-kadang terasa seperti pedang bermata dua.
“Aku risau sebab kau terlalu yakin. Dunia ni bukan semuanya boleh kau kawal, Mira,” tutur Hana. Ini adalah kebenarannya!
“Bukan soal kawal, Hana. Aku cuma tahu apa aku buat. Selama ni, nama aku dah banyak kali naik dengan gosip. Aku masih ada di sini. Kau rasa aku takkan survive benda ni?”
“Mira, ini bukan pasal survive. Ini pasal reputasi. Kelab tu dah mula jadi isu besar dan kalau nama kau terpalit, habis cerita kau. Kau nak sampai tahap tu baru nak menyesal?” Sanggah Hana.
Syamira tersenyum nipis, seperti dia tidak terusik langsung. Dia menyandar sedikit ke belakang, memandang Hana dengan mata separuh malas.
“Relax, Hana. Aku tahu siapa aku. Kalau aku nak jalan keluar, aku tahu nak buat macam mana.”
Hana meletakkan cawan teh yang dari tadi dipegang.
“Aku cakap ni sebab aku kawan kau, Mira. Kalau kau perlukan bantuan, beritahu aku sebelum benda ni jadi lebih teruk.” Hana menjelaskan lagi.
“Aku hargai kau risau tapi aku okay. Aku tak akan biar benda ni jatuh sampai aku tak boleh naik balik,” sahut Syamira.
Hana mengangguk perlahan.
“Aku harap apa yang kau cakap ni betul. Tapi jangan terlalu yakin, Mira. Orang yang jatuh biasanya tak nampak bila waktunya.”
Syamira hanya tersenyum, tetapi selepas Hana bangun dan meninggalkannya sendirian, ekspresinya berubah. Kata-kata Hana terngiang-ngiang di kepalanya.
Di dalam tas tangan, telefon pintar Syamira bergetar. Dia mengeluarkannya dan membaca satu mesej yang baru masuk.
“Kau kena hati-hati, Mira. Nama kau dah jadi sasaran.”
Dia menutup mesej itu, wajahnya tetap tenang, tetapi di dalam hati, perasaan gelisah mula menjalar perlahan-lahan.
Syamira mengeluh perlahan dan menyandarkan kembali tubuhnya pada kerusi. Malam itu terasa lebih berat daripada biasa.
Di sebalik semua keyakinan yang cuba ditunjukkannya tadi, dia tahu keadaan sedang perlahan-lahan melawan arus.
Telefon pintarnya kembali bergetar. Kali ini, panggilan masuk. Nama di skrin sesentuh membuatkan dia terdiam seketika, sebelum akhirnya menjawab.
“Ya, baby?” Suaranya lembut tetapi ada nada berjaga-jaga.
“Kenapa lama sangat nak angkat?” Suara lelaki di hujung talian kedengaran sedikit mendesak.
“I tengah dinner dengan kawan,” Syamira menjawab, nadanya tetap tenang.
Dia tidak mahu lelaki itu tahu apa-apa tentang pertemuannya dengan Hana.
“Kalau macam tu, I tak kacau. Tapi I nak you tahu something. Media dah mula hidu pasal kita.” Ungkap si suara.
Syamira memejam mata seketika. Dia cuba menenangkan dirinya.
“I tahu. Hana pun dah cakap benda yang sama.” Ujarnya setenang yang mungkin.
“Kalau macam tu, apa plan you?” Suara lelaki itu menjadi lebih tegas.
“Plan I? Buat bodoh je lah. Biar benda tu mati sendiri. Wartawan ni macam tu, baby. Kalau kita buat muka cuak, lagi dia orang gali,” jawab Syamira bagaikan perkara itu tak menjadi kudis.
“I tak rasa benda ni akan selesai dengan cara tu, Mira. You kena fikir jauh.”
“I tahu apa I buat, okay? Trust me, baby.” Syamira cuba memujuk tetapi lelaki itu hanya mendiamkan diri.
“Kalau ada apa-apa, call I,” katanya sebelum menamatkan panggilan.
Syamira meletakkan telefon di atas meja dan dia termenung seketika. Ada sesuatu yang dia rasa tak kena pada malam itu.
Biasanya dia mampu menghadapi gosip atau kontroversi tanpa rasa goyah, tetapi kali ini… lain.
Beberapa meja di hadapan. Seorang lelaki sedang memerhatikannya. Wajahnya tidak terlalu menonjol tapi berpakaian biasa, cukup kemas untuk tidak disyaki apa-apa.
Dia menyimpan telefon pintarnya ke dalam poket dan bangun. Lalu berjalan keluar dari restoran tanpa menoleh lagi.
Syamira tidak perasan tetapi nalurinya mula berasa tidak selesa. Dia melihat ke sekeliling sebelum mengambil telefonnya sekali lagi, menekan nombor yang sudah dihafalnya.
“Hana…”
Syamira menanti seketika, mendengar nada dering di talian sebelum suara Hana menjawab dengan nada sedikit terkejut.
“Mira? Kau okay?”
“Hana, aku rasa... ada orang ikut aku.” Suaranya rendah tetapi ada getar halus yang tak dapat disembunyikan.
Hana terdiam beberapa saat.
“Ikut kau? Kau kat mana sekarang?” Soal suara di hujung talian itu sama cuak.
“Masih dekat restoran tadi. Tapi ada sesuatu yang tak kena. Aku rasa ada orang perhatikan aku dari tadi. Masa aku masuk, masa aku keluar. Kau tahu aku selama ni, kan tak ambil port pasal benda-benda macam ni? Tapi this time I feel quite weird lah!”
“Okay, dengar sini,” Hana bersuara tegas.
“Jangan buat apa-apa yang boleh nampak kau takut. Kau teruskan macam biasa tapi hati-hati. Aku boleh datang kalau kau nak,” ujar Hana memberi cadangannya.
“Tak payah. Aku cuma nak kau tahu,” jawab Syamira, cuba mengawal nada suaranya.
“Kalau macam tu, kau balik sekarang. Terus ke rumah. Jangan singgah mana-mana,” pesan Hana.
“Alright,” Syamira menjawab pendek sebelum menamatkan panggilan.
Dia menarik nafas panjang cuba menenangkan dirinya. Sebelum bergerak keluar, dia memeriksa sekeliling dengan sepintas lalu.
Tidak ada wajah mencurigakan. Dan tidak ada gerakan yang aneh. Namun, rasa itu tetap ada. Perasaan seperti dia sedang diawasi.
Setibanya di tempat parkir, suasana agak sunyi. Hanya beberapa kereta tersusun rapi di bawah cahaya lampu malap.
Syamira melangkah dengan berhati-hati. Detak kasut tumit tingginya bergema di ruang yang kosong itu.
Sebuah kereta hitam berkilat tidak jauh dari tempatnya berdiri tiba-tiba menghidupkan enjin. Lampu hadapannya menyala terang, membuatkan Syamira hampir terhenti.
Dia menoleh tetapi kereta itu hanya bergerak perlahan-lahan keluar dari kawasan parkir tanpa sebarang tanda mencurigakan.
Dia menggeleng perlahan cuba meyakinkan dirinya bahawa itu cuma kebetulan. Namun, langkahnya tetap pantas menuju ke keretanya sendiri.
Sebaik pintu kereta dibuka dan dia meloloskan diri ke dalam, Syamira mengunci pintu dengan segera. Telefon pintarnya dikeluarkan sekali lagi.
Dia membuka aplikasi kamera dan menukar kepada mod hadapan, memeriksa wajahnya seketika bukan untuk bersolek tetapi untuk memastikan dia kelihatan tenang.
“Relax, Mira. Kau bukan budak baru,” dia berbisik kepada dirinya sendiri sambil menghidupkan enjin.
Namun ketika dia memandu keluar dari kawasan itu, melalui cermin pandang belakang dia melihat sesuatu yang membuatkan hatinya berdebar kencang.
Kereta hitam yang sama tadi berada tidak jauh di belakang, lampunya mengekori dengan jarak yang konsisten.
Kali ini, Syamira tidak mahu memperjudikan nasib. Dia segera menekan nombor telefon Hana semula.
“Hana,” katanya tergesa-gesa.
“Aku rasa aku memang diekori.”
SYAMIRA memandu ke The Tropika Residences, salah satu apartment mewah yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Bangunan itu berdiri megah, bercahaya terang dengan seni bina moden yang menjadi simbol status golongan atasan di kota raya.
Setibanya di lobi, seorang valet berpakaian kemas segera menghampiri.
“Selamat malam, Cik. Nak saya parkirkan kereta?”
Syamira mengangguk sambil menyerahkan kunci kereta mewahnya.
“Hati-hati, ya.” Pesan Syamira.
Langkahnya anggun menuju ke lif, kasut tumit tinggi yang disarungnya menghasilkan bunyi halus pada lantai marmar.
Tidak ada sesiapa di sekeliling, hanya dia dan bayang-bayangnya yang tercermin pada dinding kaca.
Setelah memasukkan kod akses lif, dia dibawa terus ke tingkat paling atas, penthouse mewah yang menjadi tempat pertemuannya dengan lelaki itu. Ketika pintu lif terbuka, dia mendapati pintu utama apartment sudah sedikit terbuka.
“Macam biasa, careless,” gumamnya sambil menolak pintu dan melangkah masuk.
Di dalam, ruang tamu itu luas dengan pemandangan menakjubkan Kuala Lumpur di waktu malam.
Lampu-lampu bangunan menyala bak bintang, tetapi suasana di dalam apartment itu sedikit suram. Lampu yang dinyalakan hanya dari dapur,mencipta bayang-bayang panjang di ruang tamu.
“Baby, you di mana?” panggil Syamira, memecah keheningan.
“Di sini,” suara lelaki itu kedengaran dari arah bilik tidur utama.
Syamira melangkah ke arah bilik dan membuka pintu perlahan-lahan. Lelaki itu sedang duduk di atas katil, bersandar pada kepala katil sambil memegang telefon.
Kemeja putihnya sudah dilonggarkan, rambutnya sedikit kusut tetapi dia tetap kelihatan berkarisma.
“You lambat,” tegurnya tanpa mengalihkan pandangan dari skrin telefon.
“Macam tak biasa dengan I,” balas Syamira sambil tersenyum kecil, menutup pintu bilik.
Dia melepaskan tas tangan jenama mewahnya itu, ke atas sofa kecil di sudut bilik sebelum melangkah mendekat.
Lelaki itu akhirnya meletakkan telefon di atas meja sisi, memandang Syamira dengan senyuman tipis.
“Ada wartawan cari I tadi.”
“Cari pasal apa?” Syamira bertanya sambil duduk di tepi katil.
“Pasal kita.”
Syamira mengangkat kening.
“Lagi? Tak habis-habis, kan?” Sindir Syamira lalu menyilangkan paha gebunya.
“I tak risau pasal I. I lebih risau kalau dia orang mula kaitkan you. I tak nak nama you terpalit dalam semua ni,” jawab si lelaki berstatus orang kenamaan itu.
Syamira tersenyum nipis, mengusap lembut bahu lelaki itu.
“Baby, relax. I tahu macam mana nak handle benda ni. Wartawan ni suka buat cerita. Selagi kita tak bagi reaksi, dia orang akan bosan sendiri,” jawab Syamira masih tenang. Dia sebenarnya dah cukup-cukup masak dengan sikap Paparazzi di luar sana.
“Tapi dia orang dah start tulis pasal kelab tu, Mira. Nama-nama sugar baby yang dia orang kaitkan makin banyak. Kalau nama you termasuk sekali, macam mana?” Dia bersuara resah.
Syamira menghela nafas.
“Nama I dah banyak kali naik dengan gosip. Dah bertahun-tahun I dalam dunia ni. Percayalah, benda ni takkan apa-apa.”
Lelaki itu terdiam seketika, kelihatan seperti memikirkan sesuatu. Dia bangun dari katil. Berjalan ke arah tingkap besar yang memaparkan pemandangan menakjubkan bandar Kuala Lumpur.
“Mira,” katanya tanpa menoleh intonasi suaranya perlahan tetapi tegas.
“Kalau benda ni jadi isu besar, kita mungkin tak boleh teruskan.”
Syamira terdiam. Kata-kata lelaki itu terasa seperti tamparan halus. Tetapi dia segera menutup rasa itu dengan senyuman.
“Baby, you overthinking,” katanya dan juga berdiri seraya menghampiri belakang tubuh lelaki itu.
“Percayalah pada I. I tahu apa yang I buat.”
Lelaki itu tidak menjawab tetapi matanya tetap memandang jauh ke luar tingkap bagai ada sesuatu yang bermain di fikirannya.
Di luar, bulan bersinar terang tetapi di dalam hati Syamira ada bayangan yang perlahan-lahan menghantui.
Share this novel