Series
6285
Langit desa itu redup, awan mendung berarak perlahan, seakan menyimpan rahsia besar yang bakal merubah hidup seorang gadis bernama Ariana Sofea.
Sejak rombongan merisik tempoh hari, seluruh kampung sudah mula bercakap.
Ada yang menganggap Ariana bertuah kerana bakal bergelar isteri kepada lelaki kaya raya.
Ada juga yang menggeleng kepala, simpati kerana perkahwinan itu bukan atas kehendaknya sendiri.
Ariana duduk termenung di serambi rumah, jemarinya sibuk menggentel hujung kain batik.
Matanya merenung jalan tanah merah yang setiap hari dilalui, tetapi kali ini seakan asing.
Seakan setiap lorong, setiap pohon kelapa, sudah tahu dia akan pergi meninggalkan desa untuk ke dunia baru yang tidak pernah dia impikan.
“Masamnya muka anak ibu pagi-pagi lagi…” suara Puan Salmah lembut menegur.
Wanita itu keluar dari dapur sambil membawa segelas air suam.
Ariana menoleh dan mendengus halus,kembali dia memalingkan mukanya menatap panorama indah yang berada di depan matanya itu.
“Ibu masih boleh bergurau? Ana rasa macam nak lari jauh.”
Puan Salmah duduk di sisi anak gadisnya, mengusap lembut belakang tangan Ariana.
“Ana… kalau kamu lari, ke mana pun kamu pergi, jodoh tetap akan kejar. Jangan lawan takdir, nak. Kadang-kadang yang pahit di awal itulah ubat paling mujarab untuk hati.”
Ariana diam, menggerakkan bibirnya tanpa suara.
Dalam fikirannya, perkataan jodoh terasa bagai belenggu.
Dia tidak mahu, tetapi seluruh dunia seakan sudah berpakat menolak dirinya ke arah lelaki yang asing itu.
---
Di kota, Rafael Adrian pula duduk di kerusi rodanya, memerhati hujan renyai yang menitik di kaca jendela.
Dalam diam, dia mengingat semula perbualan Papanya .
“Papa mahu kau terima dia dengan ikhlas, Rafael. Bukan sekadar kerana Papa dan datuk kamu,” kata Tan Sri Arman pada malam sebelumnya.
Rafael menutup mata rapat-rapat.
Ikhlas? Bagaimana mungkin? Hatinya sudah lama tertutup, pintunya terkunci rapat.
Apa yang ada hanyalah tembok dingin, hasil daripada luka lama yang masih membekas.
“Encik Rafael…” suara Daniel, pembantunya, memecah sepi.
“Tan Sri mahu tuan bersiap,hujung minggu ini Datuk Razak kata kedua pihak akan bincang tarikh nikah.”
Rafael membuka mata, renungannya tajam menusuk.
“Nikah? Kenapa mesti tergesa? Aku belum pun bersedia.”
Daniel menarik nafas panjang.
“Maafkan saya tuan, tapi ini keputusan keluarga. Saya percaya, mungkin ada hikmahnya.”
Rafael mengetap rahang.
Hikmah? Apa hikmah yang ada pada perkahwinan tanpa cinta? Dia sudah serik mempercayai kata-kata manis takdir.
Namun, demi keluarganya , dia hanya mengangguk kecil.
---
Beberapa hari kemudian, suasana rumah Ariana sibuk dengan persiapan sederhana.
Kain langsir ditukar, lauk-pauk dimasak bergotong-royong bersama jiran.
Ariana hanya duduk, menolong sekadar perlu.
Hatinya kosong, seolah-olah jasadnya sahaja yang ada di situ.
“Anak dara, janganlah berwajah muram macam ni. Orang nanti kata tak suka nak kahwin,” usik Mak Jah, jiran sebelah yang sedang mengupas bawang.
Ariana tersenyum hambar.
“Biarlah orang nak kata apa, Mak Jah. Hati Ana Allah saja yang tahu.”
Puan Salmah hanya mampu menarik nafas panjang, cuba menenangkan suasana.
Dia tahu anaknya masih belum redha menerima takdir itu.
---
Hari pertemuan rasmi itu akhirnya tiba.
Beberapa buah kereta mewah sekali lagi berhenti di halaman rumah kayu sederhana itu.
Ariana mengintai dari balik tirai.
Dadanya berdebar tidak menentu.
Kali ini, dia diberitahu Rafael sendiri akan hadir.
Pintu kereta hitam itu terbuka, dan keluarlah seorang lelaki tampan berkemeja biru gelap, duduk di atas kerusi roda yang ditolak oleh Daniel.
Wajahnya tenang, tetapi mata itu redup, penuh rahsia.
Ariana menahan nafas.
Itukah dia?wajahnya memang mempesonakan membuat dadanya berdegup kencang.
Rafael mengangkat wajahnya, dan seketika pandangan mereka bertaut. Mata Ariana membesar, jantungnya berdegup semakin laju.
Dia tidak sangka lelaki lumpuh itu punya wajah yang begitu tampan dan aura yang begitu kuat.
Wajahnya persis seperti artis cina kegemarannya.
Namun, secepat itu juga dia berpaling, enggan mengaku dalam hati bahawa dirinya sedikit terusik.
Rafael pula hanya memandang sekilas.
Gadis itu kelihatan muda, polos dengan baju kurung biru lembut, wajahnya masih ada sisa remaja.
Manis dan mempesonakan, matanya indah dengan bulu mata melentik,bibirnya merah bak delima dan pandangannya redup tetapi ada aura yang sangat tajam.
Dia menghela nafas dalam.
Benarkah gadis mentah ini yang harus jadi isteriku?
---
Perbincangan berlangsung di ruang tamu. Datuk Razak mengetuai, sementara Tan Sri Arman duduk tenang di sisi Rafael.
Tuan Haji Razman turut berada di samping sahabat baiknya itu, dia hanya menurut apa yang dibicarakan oleh Datuk Razak dan keluarganya, apa yang dipersetujui itulah keputusannya juga.
“Ana, mari sini bersua muka dengan bakal suami kamu,” ujar Puan Salmah lembut, menolak anaknya ke hadapan.
Ariana mengetap bibir, melangkah perlahan.
Dia tunduk, menyambut salam senyum Rafael dengan hujung matanya .
Wajahnya dingin, tidak berani menatap lama.
Langsung pandangan mereka beralih arah.
Rafael hanya memandang dan mengangguk seadanya, kemudian menoleh ke arah papanya, seakan mahu mengatakan semuanya sudah selesai.
Datuk Razak tersenyum puas.
“Alhamdulillah. Insya-Allah majlis akad nikah kita buat minggu depan. Tak usah ditunda-tunda. Lagi cepat, lagi baik.”
Ariana tersentak.???!!
Minggu depan?!!!....
Hatinya menjerit, tetapi lidahnya kelu.
Rafael juga menoleh pantas, wajahnya jelas tidak puas hati.
Namun dia hanya diam, kerana ayahnya sudah lebih dahulu mengangguk setuju.
Begitu juga dengan Datuk serta ibu Ariana yang menyetujui sepakatan itu.
---
Malam itu, Ariana menangis lagi di biliknya.
“Ibu… kenapa cepat sangat? Ana tak sempat pun kenal dia. Ana tak sempat nak bersedia,” suaranya tersekat-sekat.
Puan Salmah memeluk anaknya erat.
“Ana, kadang-kadang kita tak diberi masa untuk bersedia. Kita cuma perlu percaya. Ibu yakin, Allah takkan biarkan kamu sendirian.”
Ariana menggigit bibir, hatinya masih resah.
Dia teringat wajah ketat Rafael siang tadi, dingin, tetapi ada sesuatu dalam renungan itu yang membuat jiwanya bergetar.
---
Di kamar mewahnya, Rafael pula termenung lama.
Daniel masuk membawa segelas susu hangat.
“Tuan nampak banyak berfikir.”
Rafael ketawa sinis.
“Aku akan berkahwin dengan gadis kampung yang aku tak kenal. Apa lagi yang patut aku fikir?”
Daniel memberanikan diri bersuara.
“Mungkin dia bukan seperti yang tuan sangka. Kadang-kadang orang sederhana itu lebih ikhlas daripada mereka yang kita kejar dulu.”
Rafael membeku...
Kata-kata itu menikam hatinya, mengingatkan pada cinta lama yang pergi meninggalkan luka.
Dia mengerut dahi, lalu menolak kerusi rodanya ke arah jendela.
“Hati aku sudah mati, Daniel. Jangan pernah harap aku akan jatuh cinta lagi.”
Namun jauh di sudut mata, ada bayangan wajah Ariana yang masih segar terlintas.
Wajah itu ada kelembutan namun ada juga kekerasan, dalam redup pandangnya siang tadi memberikan satu aura yang luar biasa pada hatinya namun dia tidak mampu ungkapkan saat ini.
---
Hari akad nikah tiba dengan cepat.
Rumah Ariana dihias ringkas, suasana kampung riuh rendah dengan jiran yang datang membantu.
Ariana duduk di bilik, wajahnya pucat, tangan dingin menggenggam erat.
“Ana, kuatkan hati,” pesan Tok Ayah yang datang menjenguk.
“Hari ini permulaan baru. Jangan takut.”
Ariana hanya mengangguk, air matanya bergenang.
Di ruang tamu, Rafael duduk di kerusi roda, wajahnya tegang tetapi tetap memukau dalam baju Melayu putih.
Suaranya tenang ketika melafazkan akad, sekali sahaja saksi mengangguk tanda sah.
Dengan itu, Ariana Sofea kini sah bergelar isteri kepada Rafael Adrian.
Namun, ketika dia duduk bersimpuh di sisi lelaki itu untuk upacara menyarung cincin, Ariana merasakan seolah-olah jiwanya terpisah jauh.
Rafael pula hanya menatap sekilas, tanpa senyuman, lalu memalingkan wajah.
Suasana meriah bagi orang lain, tetapi bagi kedua-dua pengantin, hati mereka bagai dililit duri.
---
Selepas lafaz sah itu disahkan oleh saksi, suasana seolah-olah terhenti seketika.
Ariana menunduk, menekur jari jemarinya sendiri yang menggigil.
Dia kini sah menjadi isteri Rafael, lelaki yang langsung tidak dikenalinya, apatah lagi mencintainya.
Namun hakikat itu sudah termeterai di hadapan wali, saksi, dan Allah Yang Maha Mengetahui.
“Ana…” suara Puan Salmah kedengaran di sisi.
Mata tua itu berkaca, namun senyum tetap menguntum, cuba memberi semangat.
Ariana hanya mampu mengangguk kecil. Di dalam hatinya, gelora semakin menyesakkan.
Dia ingin berlari keluar dari situ, ingin kembali kepada kehidupan yang sederhana sebelum namanya dijodohkan.
Rafael pula, lelaki yang kini bergelar suaminya, tidak menunjukkan sebarang riak.
Sekadar bersalaman dengan para tetamu, wajahnya kaku, matanya kelihatan jauh entah ke mana.
Senyuman yang dilemparkan kepada orang sekeliling hanyalah senyuman formal, hambar, sekadar menjaga maruah keluarga.
Majlis berinjak ke acara membatalkan air sembahyang.
Ariana terduduk kaku di sisi ibunya. Jantungnya berdegup kencang. Dia tahu, dalam beberapa detik lagi, Rafael akan menyentuh tangannya.
“Bertenang, Ana…” bisik ibunya perlahan.
Ariana menggenggam kain baju kurungnya erat-erat.
Bila Rafael melangkah ke arahnya, dia dapat melihat betapa tenangnya wajah lelaki itu—tenang yang seakan palsu. Tangan Rafael menyentuh hujung jari-jemarinya.
Ariana merasakan seolah-olah ada arus halus yang menjalar ke seluruh tubuh.
Tetapi bukannya rasa indah, sebaliknya kedinginan yang menikam terus ke tulang.
“Selamat menjadi isteri saya,” ujar Rafael perlahan, cukup hanya Ariana yang mendengarnya.
Ariana mengangkat pandangan, sejenak bertemu mata lelaki itu.
Tiada hangat, tiada cahaya.
Cuma renungan yang sukar dibaca.
Ariana segera menunduk kembali, takut kalau-kalau air matanya tumpah di hadapan tetamu.
Puan Helena ibu tiri Rafael, berdiri tidak jauh dari mereka.
Senyumannya tampak puas, seperti seorang jenderal yang baru sahaja menakluk kota.
Matanya bersinar penuh kemenangan. Ariana dapat merasakan setiap helaan nafasnya diawasi, seolah-olah dirinya hanyalah bidak di papan catur yang sedang dimainkan wanita itu.
“Syukurlah semua berjalan lancar. Semoga perkahwinan ini diberkati,” ujar Puan Helena lantang, seolah-olah ucapan itu lebih ditujukan kepada orang ramai berbanding anak menantu.
Ariana hanya mengangguk, membalas dengan senyum tawar.
Dalam hatinya, doa yang sama dia panjatkan, meski penuh getar:
"Ya Allah, jika ini jalan yang Kau pilihkan untukku, tabahkanlah hatiku. Jangan biarkan aku hancur di bawah permainan manusia".
Petang itu, setelah tetamu beransur pulang, Ariana dibawa ke kamar pengantin.
Bilik yang dihias indah dengan taburan bunga mawar putih dan langsir sutera, namun keindahan itu tidak mampu menenangkan jiwa yang berkecamuk.
Ariana duduk di hujung katil, memeluk diri sendiri.
Pintu bilik berderit dibuka...
Rafael masuk dengan kerusi rodanya, melepaskan songkoknya ke kerusi, dan tanpa banyak bicara, dia melabuhkan tubuh di sofa yang terletak berhampiran tingkap.
Ariana menoleh sekilas, kemudian menunduk semula.
Dia sudah terbiasa dengan keadaan itu meskipun kakinya tidak mampu bergerak bebas.
“Awak tak perlu takut. Saya tidak akan paksa apa-apa malam ini,” suara Rafael kedengaran, tenang namun dingin.
Ariana menggigit bibir.
Kata-kata itu sepatutnya melegakan, tetapi nada yang lahir seolah-olah jarak semakin melebar di antara mereka.
“Saya…” Ariana cuba membuka mulut, namun suaranya tenggelam.
...Akhirnya dia diam...
Rafael tidak menoleh. Matanya terarah keluar jendela, ke langit malam yang semakin gelap.
“Kita berdua tahu, perkahwinan ini bukan pilihan. Jadi jangan harap saya mampu memberi lebih daripada sekadar tanggungjawab. Itu saja.”
Dada Ariana berombak.
Dia menelan liur yang terasa pahit.
Kata-kata Rafael menampar hatinya, meski dia sudah menjangka.
Namun mendengarnya secara terus membuatkan nafasnya sesak.
“Baiklah,” jawab Ariana perlahan.
Keheningan menyelubungi bilik itu.
Jam berdetik, bunyinya menggema seperti menikam jiwa Ariana yang kosong.
Dia bersandar pada kepala katil, mata dipejam rapat, cuba menahan air mata daripada gugur.
Tetapi akhirnya titisan itu juga jatuh, membasahi pipinya yang pucat.
Di luar, bunyi cengkerik bersahutan.
Malam pertama yang sepatutnya diwarnai tawa dan bahagia, berubah menjadi malam penuh kelam, dingin dan asing.
Ariana sedar, perjalanan hidupnya baru bermula.
Sebuah perjalanan yang dipenuhi misteri hati seorang lelaki bernama Rafael, dan bayangan seorang ibu mertua yang penuh rahsia.
Namun di lubuk hatinya, ada secubit harapan kecil—bahawa mungkin, suatu hari nanti, cinta mampu berlabuh walaupun pada lautan yang gelap dan bergelora.
---
Ariana kembali teringat akan perbualan singkat tadi dengan Rafael.
Malam pertama mereka di rumah keluarga Ariana menjadi saksi dingin.
Rafael memilih duduk di kerusi rodanya, memandang kosong ke arah luar tingkap.
Ariana pula duduk di hujung katil, menunduk tanpa suara.
“Aku harap kau faham…” suara Rafael perlahan tetapi tegas. “Perkahwinan ini bukan pilihan aku. Jadi jangan harap apa-apa dari aku.”
Ariana terhenyak.
Matanya berkaca, hatinya bagai disiat.
Namun dia mengangkat wajah, membalas dengan suara bergetar tetapi berani.
“Kalau itu yang Tuan mahu, Ana pun tak pernah minta jadi isteri Tuan. Jadi kita sama-sama tahu tempat masing-masing.”
Rafael berpaling, sedikit terkejut dengan keberanian gadis muda itu.
Sejenak, ada sesuatu yang bergetar dalam hatinya.
Namun cepat-cepat dia menolak perasaan itu, mengeraskan wajahnya kembali.
“Bagus kalau kau mengerti,” balasnya dingin.
Ariana menunduk lagi, tetapi jauh di dalam hati, ada bara kecil yang mulai menyala.
Mungkin benar, cinta belum berlabuh.
Tetapi detik inilah yang akan menjadi permulaan segalanya.
Hatinya terasa renyuk saat ini namun takdir pula seolah datang menyapa......
Selamat pengantin baru buat Rafael dan Ariana..
Share this novel