Series
29011
“SILA duduk di sofa sana, Miss Diane.”
Nada suaranya rendah, bariton berat yang bergetar di udara, seperti gema yang menjalar terus ke tulang belakang.
Bulu roma Diane serta-merta berdiri. Nafasnya tersekat. Jantungnya berdegup kencang seperti genderang perang, lututnya menggigil, dan entah kenapa… belakang tubuhnya terasa panas sejuk dalam masa yang sama.
Ya Tuhan. Suara lelaki ni… kenapa macam ni?
Adakah semua lelaki matang bunyinya begini? Serak, berat… dan terlalu…
Diane menelan liur. Seksinya tu perlu ke?
Dia tidak selesa.
Langsung tidak selesa.
“Baik, bos…” jawabnya perlahan, dengan suara yang hampir tenggelam dalam degupan jantung sendiri. Langkahnya kaku menuju sofa di hujung ruang pejabat luas itu. Setiap inci ruang tersebut berbau kuasa dan wang, dari karpet tebal hinggalah ke meja besar berpermukaan kaca hitam tempat Syed Arrasy duduk.
Diane menapak perlahan, akhirnya melabuhkan diri di sofa yang terasa lebih dingin daripada udara di bilik itu. Tangannya erat di pangkuan, matanya menatap kosong ke depan. Tidak berani menoleh, apatah lagi bersuara.
Beberapa minit berlalu.
Tiada kata-kata. Tiada bunyi selain dentingan jam dinding dan sesekali hela nafas tenang lelaki di hadapannya.
Akhirnya, dengan penuh keberanian bodoh, Diane menjeling sedikit ke arah meja kerja Syed Arrasy. Lelaki itu masih sibuk, tekun meneliti tumpukan fail, menulis sesuatu di laptopnya, wajahnya tenang tapi fokus, seolah-olah dia lupa akan kewujudan Diane di situ.
Diane menghembus nafas perlahan. Bibirnya bergerak sedikit, berbisik tanpa membuka mulut.
“Berapa lama lagi aku kena duduk macam patung ni… punggung aku dah panas ni.”
Dia menegakkan badan semula, pura-pura tidak bersuara. Tolonglah, jangan perasan aku cakap.
Kerana satu hal pasti, lelaki itu berbahaya.
Dia pernah tengok macam mana orang boleh beku hanya dengan satu pandangannya. Dan sekarang, Diane ada dalam ruang yang sama, bernafas udara yang sama, terlalu dekat untuk rasa selamat.
Diane melirik lagi. Hampir tiga puluh minit dia di situ, tapi Syed Arrasy langsung tidak menoleh, seolah-olah kehadirannya tidak penting.
Dan kemudian tiba-tiba sahaja, pandangan itu terarah padanya.
Petir menyambar.
Diane kaku. Tubuhnya menegak seolah-olah ada besi disisipkan di tulang belakang. Jantungnya terasa seperti akan terkeluar dari dada. Tuhan, baru kena pandang pun dia dah rasa nak pengsan.
Tap. Tap. Tap.
Bunyi langkah kasut kulit bergema perlahan di lantai. Aroma maskulin yang halus dan mahal, gabungan cedarwood, musk dan sesuatu yang terlalu maskulin itu perlahan-lahan memenuhi udara.
Diane meneguk air liur, telapak tangannya sejuk.
Dan saat Syed Arrasy berhenti di hadapannya, duduk di sofa bertentangan, Diane tahu, inilah sebab kenapa semua orang dalam syarikat itu menunduk bila dia melintas.
Cara lelaki itu duduk sahaja sudah cukup untuk menjelaskan siapa dia, bahunya lebar, posisi tenang, pandangan lurus dan tidak goyah.
“DAH sarapan, Miss Diane?”
Nada suara itu tenang. Terlalu tenang. Formal, datar, tapi mengandungi sesuatu yang membuatkan udara dalam bilik itu terasa berat, seperti setiap perkataan Syed Arrasy membawa beban yang boleh menghancurkan jantung manusia biasa.
Diane menelan liur.
Tatapan lelaki itu menusuk dari seberang meja, pandangan yang tidak sekadar melihat, tapi menembusi.
Tatapan apa ni? Kenapa rasa macam nak pitam?!
“Su… sudah, bos,” jawab Diane tergagap, suaranya bergetar halus. Matanya tidak berani menetap di wajah lelaki itu, berpusing-pusing mencari tempat lain untuk memandang. Ke meja, dinding, lantai, apa saja selain mata kelam itu.
Dia tanya aku dah makan ke belum? Ya Tuhan, soalan biasa pun kedengaran macam ugutan bunuh…
Syed Arrasy tidak mengalihkan pandangan.
Tangannya bersatu di atas lutut, tubuhnya tegak, dan wajahnya kekal dingin, tapi ada sedikit sinar mengejek di mata itu, yang membuat Diane mahu menjerit dan menangis dalam masa yang sama.
“Aku harap,” katanya perlahan, suaranya berat, “kau tak lupa dengan apa yang berlaku semalam.”
Diane serta-merta menegakkan badan. “Maafkan saya, bos!” katanya cepat, hampir menunduk sepenuhnya. “Saya… saya betul-betul salah orang, bos. Sumpah, saya tak sengaja! Saya, saya cuma…”
Dia berhenti, tak tahu mahu sambung bagaimana. Nafasnya mula tak teratur.
LELAKI di depannya menyilangkan kaki, bersandar santai pada sofa, lengan disilangkan ke dada. Gaya itu nampak terlalu tenang untuk seseorang yang baru disimbah jus oren di muka semalam.
“Hm?” hanya itu bunyi yang keluar dari mulutnya, diiringi satu anggukan kecil. Sebelah alisnya terangkat, dan bibirnya terlukis dengan senyuman yang samar, tidak jelas sama ada senyuman itu lucu, sinis, atau… berbahaya.
“Salah orang?” suaranya turun satu nada. “Jadi… bagaimana dengan benih aku yang kononnya ada dalam rahim kau?”
Dunia Diane berhenti berputar.
Matanya membulat. Mulutnya terbuka sedikit. Suara nafasnya terlepas dalam satu hembusan panik.
“Tak… tak! Bukan macam tu, bos!” Dia segera menggeleng kuat, kedua tangannya melambai di udara seolah-olah mahu menepis tuduhan itu dari langit. “Bukan macam tu! Saya cuma… bestfriend saya yang minta tolong! Dia tak nak kahwin dengan lelaki yang dijodohkan dengan dia, jadi saya tolong buat kacau dinner diorang! Tapi, tapi saya salah meja! Saya tersilap orang, bos! Sumpah, saya tak tahu lelaki tu, saya tak tahu tu bos!”
Kata-katanya bertindih-tindih, nadanya semakin tinggi, matanya berkaca-kaca antara takut dan malu.
Syed Arrasy hanya memerhati.
DIANE pernah mendengar khabar angin. Bukan sekali, tapi berkali-kali.
Bahawa setiap orang yang pernah berurusan dengan Syed Arrasy Irfan… akhirnya akan menghilang. Tanpa jejak. Tanpa khabar.
Ada yang berkata lelaki itu bukan manusia sepenuhnya, iblis yang bersembunyi dalam jasad manusia.
Kerana di mata dunia, dia sempurna. Tampan, tenang, berwibawa, konon seperti dewa Yunani yang jatuh ke bumi untuk menguji iman manusia. Tapi di balik wajah itu, kononnya, tersimpan sesuatu yang jauh lebih gelap.
Diane tak pernah mahu percaya. Mengarut, malah over exaggerated katanya…
Sehinggalah hari ini.
“Wanita yang bersama aku semalam, itu ibu sku.”
Nada suara Syed Arrasy tenang, tetapi dingin, terlalu dingin.
Diane membeku. “Ibu?”
Darahnya terasa berhenti mengalir.
Aduhai... Dunia seperti bergema di telinganya.
Lelaki itu bersandar sedikit, memerhatikannya tanpa ekspresi. “Dia meminta aku untuk menikahi kau, sebagai tanggungjawab…” Dia berhenti sejenak, kemudian menyambung dengan nada rendah yang membuat udara terasa menipis. “…sebab kau cakap depan dia, aku dah mengandungkan kau… Kau declare yang kau bawa benih aku…”
Diane hampir tercekik nafasnya sendiri.
“B–bos!” jeritnya kecil, menegakkan badan dengan panik. “Saya boleh jelaskan! Saya boleh jumpa ibu bos, saya boleh minta maaf sendiri. Saya akan—”
Namun kata-katanya terhenti bila lelaki itu perlahan mengangkat pandangan.
Tatapan itu… tidak perlu suara untuk menakutkan.
“Walaupun kau berani berjumpa dengannya,” tutur Syed Arrasy perlahan, suaranya seperti bisikan tajam yang menyusup ke tulang, “...kau hanya akan berakhir di penjara.”
Diane tersentak. Mukanya pucat. Tangan yang tadi di atas riba kini menggigil tanpa henti.
“B–bos… tolong jangan,” pintanya lirih, hampir berbisik. “Saya rela dipecat, bos. Saya janji takkan datang lagi. Tolong, jangan penjarakan saya…”
Syed Arrasy tidak segera menjawab. Hanya helaan nafas perlahan yang keluar dari bibirnya, dan suara klik lembut ketika dia meletakkan pen di atas meja.
Diane menambah lagi. “Kenapa bos tak pecat je saya? Kan saya tampar bos, kuat pulak tu? Siap, uh.. Siap simbah air oren lagi, kan?”
“Memecat kau,” katanya tenang, “takkan mengembalikan nama baik aku di depan ibu aku.”
Nada itu bukan amarah. Ia lebih menakutkan daripada marah, kerana ia datang dengan kawalan penuh.
Dia memandang tepat ke mata Diane, dan untuk seketika, waktu terasa berhenti.
“Kau patut sedar sekarang. Kau tak ada pilihan lain lagi, Priscilla Diane.”
…
Diane dapat rasa dingin mengulit di tulang ketika nama penuhnya meniti di bibir Syed Arrasy. Tapi, ugutan itu lebih menakutkan.
“T-tapi… Kahwin?”
Suara Syed Arrasy semakin rendah, antara mengancam dan, mempermainkan.
“Kau nak kena pecat? No, tak semudah tu, Diane…”
Dia tersenyum. “I takkan pecat you, malah, I offer untuk, naikkan pangkat you sebagai isteri I. What do you say?”
Share this novel