Prolog.

Drama Series 3749

DIA memerhati dari jauh, melihat setiap gerak-geri wanita itu. Wanita yang terlalu yakin dengan dunia luar tetapi dia tahu lebih baik.

Setiap langkah yang diambilnya, setiap senyuman yang dilemparkan, semua itu hanyalah topeng. Rahsia yang dia simpan terlalu berharga untuk dibiarkan begitu saja.

Dan dia tahu selama ini, wanita itu tak tahu apa yang sedang menunggunya.

Dia bersembunyi di balik bayang, melihat bagaimana hidup figura jelita itu, berputar. Setiap pertemuan di ranjang itu bukan sekadar kebetulan.

Ia dirancang, setiap inci diperhatikan dan dia tahu betul apa yang akan terjadi. Apa yang masih belum dia fahami adalah betapa kuatnya wanita ini. Betapa dia kini tidak lagi takut untuk menghadapinya.

Tapi masih ada masa. Semua ini hanya permulaan.

Dia tahu, wanita itu tidak akan pernah dapat lari dari apa yang sudah dimulakan. Ini lebih besar dari sekadar permainan. Ini tentang kuasa. Tentang penguasaan yang takkan pernah dia lepaskan.

Di dalam hatinya, dia tersenyum sendiri. Rancangan ini akan berjaya. Mungkin wanita itu tak sedar lagi tetapi permainan ini bukanlah sesuatu yang boleh ditarik balik.

Terkadang, dalam diam mereka yang paling yakinlah yang paling mudah dipermainkan.

Dan wanita itu… akan menjadi miliknya, akhirnya.

Dia memerhati dengan penuh perhatian. Setiap detik yang berlalu menjadi sebahagian daripada rancangannya.

Bagi dia, wanita itu bukan sekadar wanita yang bermain dengan api. Dia adalah api itu sendiri, membakar sesiapa yang berani mendekati.

Tetapi dia tahu bagaimana untuk mengendalikannya. Rahsia di balik kamar itu hanya permulaan.

Manakala yang sebenar sedang menunggu masa untuk menghancurkan dunia si jelita itu, dengan sepenuhnya.

Dia melangkah keluar dari bayangan, membiarkan kegelapan malam menyembunyikan kehadirannya.

Bagi wanita itu, dia hanyalah insan yang muncul dengan janji-janji manis.

Tetapi bagi dia pula. Wanita ini hanyalah bidak dalam permainan yang jauh lebih besar. Semuanya sudah disusun dengan sempurna.

Setiap pergerakan. Setiap keputusan yang dia buat, semuanya mengikut rancangan. Dia memandang ke arah tingkap kamar.

Tirai yang sedikit terkuak memperlihatkan siluet wanita itu. Wajahnya tersenyum kecil. Dia tahu, figura jelita itu terperangkap tanpa dia sedar.

Dan kini, dia sedang berjalan perlahan di lorong sempit itu dengan di temani langkahnya yang tenang.

Pintu di hujung lorong menjadi satu-satunya fokusnya. Semua yang berlaku malam ini, di bawah perancangan dia. Setiap perincian sudah diatur dan dia hanya perlu memainkan peranannya dengan sempurna.

Wanita itu, tidak akan pernah tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku. Dia terlalu sibuk melindungi rahsia hidupnya sendiri tanpa sedar bahawa rahsia itu kini dalam genggamannya. Malam ini, segalanya akan berubah.

Dia berhenti di hadapan pintu itu, tangannya teragak-agak seketika sebelum mengetuk perlahan. Tiga ketukan. Tidak terlalu kuat tetapi cukup untuk menarik perhatian orang di dalam.

Dari dalam, bunyi langkah kaki yang mendekat kedengaran samar. Dia tersenyum kecil, penuh keyakinan. Malam ini, permainan ini akan dia tamatkan.

Dia mendengar kunci diputar dari dalam. Perlahan-lahan pintu itu terbuka, memperlihatkan susuk tubuh dalam kimono night satin yang berdiri di baliknya.

Wajah wanita itu kelihatan terkejut namun cepat-cepat dia menutup reaksi itu.

Dia tidak berkata apa-apa, hanya mengangkat kening sambil melangkah masuk tanpa dipelawa. Bau haruman bunga mawar memenuhi ruang, bercampur dengan aroma samar lilin yang hampir padam. Ranjangnya masih berselerak, seperti baru sahaja ditinggalkan.

Susuk tubuh itu walau tertanya-tanya tapi dia tetap menutup pintu secara perlahan dengan pandangannya tidak lepas dari lelaki itu.

Ada sesuatu dalam cara dia berdiri, dalam cara dia memandangnya. Bagaikan dia tahu lebih banyak daripada yang sepatutnya.

"Apa yang kau buat di sini?" Suaranya terkawal tetapi cukup tegang untuk memberi petunjuk dia tidak selesa.

Dia berpaling. Dan membiarkan panah matanya menyusur setiap inci bilik itu sebelum akhirnya memandang ke arah wanita seksi itu, semula.

"Hanya ingin memastikan kau baik-baik saja," jawabnya, senyuman kecil bermain di bibir.

Wanita berkimono itu mendekati dan tegak berdiri tidak jauh darinya.

"Aku tak perlukan kau untuk itu. Kalau itu saja, pintu ada di sana." Suaranya tegas tetapi pandangannya penuh waspada.

Dia ketawa. Di pendengaran dia, kata-kata berbaur usir itu tidak sedikit pun mengusik keyakinannya.

"Kau tahu? Aku selalu tertanya-tanya... bagaimana rasanya hidup dengan begitu banyak rahsia? Bukankah itu melelahkan?"

Wanita itu terus mengerutkan dahi.

"Aku tak tahu apa yang kau maksudkan."

Dia melangkah lebih dekat. Dan memandangnya dengan tajam.

"Kau tahu apa yang aku maksudkan. Tapi jangan risau, aku di sini bukan untuk menghakimi. Aku cuma nak tahu... sampai bila kau mampu menanggung semuanya?"

Hening memenuhi ruang.

Wanita itu, tidak menjawab tetapi matanya mula menggelap seperti badai yang menunggu untuk meletus.

Dia tersenyum lagi, puas dengan reaksi itu.

"Setiap rahsia ada masanya. Dan masa kau... semakin hampir."

Wanita itu, berdiri mematung di tengah bilik. Nafasnya memberat. Tangannya mengepal erat. Siapa sebenarnya lelaki itu dan sejauh mana dia tahu?

Rahsia di balik kamar malam ini… mungkin sudah tidak lagi memihak kepadanya.

"Siapa?"

"Seseorang yang tahu kau lebih daripada yang kau sangka."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience