JAM sudah menunjukkan pukul 11 malam dan Kuala Lumpur tetap sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang memenuhi jalan, membuat langit malam kelihatan berkilauan.
Reza Akasyah duduk memerhati hiruk-pikuk bandar yang bertentangan dengan suasana sunyi biliknya.Matanya terpaku pada pemandangan indah jalanan yang bercahaya namun malangnya, keindahan itu membuat matanya pedih dan penglihatannya menjadi kabur.
"Auch!'
Reza Akasyah memejamkan matanya dan ingatannya kembali pada hari kejadian yang berlaku dua tahun yang lalu.
Hari di mana takdir bukan sahaja meragut penglihatannya, tetapi juga melumpuhkan kakinya akibat kemalangan. Hari itu, takdir telah mengubah seluruh hidupnya.
Lapan bulan selepas kemalangan itu berlaku, Reza Akasyah bangkit semula. Ketekunannya menjalani fisioterapi intensif selama berbulan-bulan akhirnya memulihkan kakinya dan membuatnya dapat berjalan semula. Penglihatannya juga perlahan-lahan pulih walaupun cahaya terang masih mengganggu matanya dan membuat penglihatannya kabur.
Tiada siapa yang tahu bahawa Reza Akasyah telah boleh melihat semula dan dia tidak berniat untuk mendedahkan perkara itu sehingga penglihatannya pulih sepenuhnya seperti sediakala.
Saat Reza Akasyah tenggelam dalam kenangan masa lalu tiba-tiba pintu biliknya perlahan-lahan terbuka dan dua orang pembantu rumahnya masuk sambil membawa seorang wanita yang kelihatan tidak separuh sedar kemudian memapahnya ke katil Reza Akasyah.
"Baring kan dia slow...slow. Jangan buat bising sampai tuan dengar," ujar salah seorang pembantu dengan nada perlahan kepada rakannya.
Mereka fikir Reza Akasyah tidak mendengar sedang lelaki itu tersenyum sinis melihat gerak-geri kedua-dua pembantu itu yang menyangka dia buta dan tidak dapat melihat apa yang mereka lakukan.
“Siapa tu?” Reza Akasyah mengeram perlahan.
Geramannya membuat kedua-dua pembantu itu terkejut. Mereka kelihatan sangat ketakutan dan segera melarikan diri dari bilik tanpa berfikir panjang.
Reza Akasyah bengang. Dia mengetap rahangnya ketika bangkit dari kerusi dan berjalan ke arah wanita yang telah ditinggalkan di biliknya. Siapa yang berani masuk ke biliknya tanpa izin?
Reza Akasyah mendekati katilnya lalu melihat wanita itu yang wajahnya tertutup dengan rambut panjangnya itu kelihatan seperti gelisah.
"Huh!" Reza Akasyah merengus kasar. "Siapa yang suruh angkut you ke sini hah?"
Percuma saja Reza Akasyah bertanyakan soalan begitu pada wanita tersebut.
Dengan rasa ingin tahu siapa gerangan wanita tersebut, Reza menyelak rambut yang menutupi wajah wanita itu lalu dia tergamam dan tangannya kaku menyentuh hujung rambut wanita itu.
"Inara." Nama itu meniti di bibir Reza Akasyah.
Rasa terkejutnya berubah risau bila melihat keadaan Inara sebegitu.
Reza Akasyah duduk di birai katil lalu perlahan-lahan menunduk wajahnya mendekati wajah Inara. Dia menghidu di sekeliling Inara.
Tak ada bau alkohol. Itu yang Reza Akasyah pasti.
Jadi cuma ada satu kemungkinan. Inara mungkin dikhianati seseorang.
"Nara... Inara..." panggil Reza Akasyah sambil menepuk pipi Inara perlahan-lahan untuk menyedarkan wanita itu.
Tapi langsung Inara tak beri reaksi.
"Raisa Inara!" panggil Reza Akasyah sekali lagi sambil mengawal suaranya.
Reza Akasyah sudah buntu lalu mahu bangun dan panggil pembantu peribadinya untuk membawa Inara keluar dari biliknya. Namun, saat dia hendak pergi, tiba-tiba Inara menggenggam tangannya.
"Umm...uh...umm..." Inara kembali gelisah sebelum terbangun dengan mata masih separuh buka.
Reza Akasyah terkaku melihat Inara sudah terduduk di hadapannya.
Dengan khayal, Inara memandang Reza Akasyah. Dia merapati wajah Reza lalu jarinya menyentuh wajah Reza. Dari kening ke hidung lelaki itu kemudian jarinya terhenti pada bibir Reza.
“Handsome,” ujar Inara yang masih khayal.
Reza Akasyah langsung tidak bergerak walau jarak wajah mereka hanya seinci. Dia menahan degupan jantungnya melihat bibir Inara merah bak delima.
Hampir saja bibir mereka bersatu jika kepala Inara tidak terlentok pada bahunya.
Reza Akasyah melepaskan keluhan lega.
Mata Inara kembali terpejam tapi rintihan wanita itu masih kedengaran.
“Jangan…jangan tinggalkan…Nara…Please…”
Terbit satu perasaan dalam hati Reza Akasyah mendengar rintihan sayu Inara. Dia tidak tahu apa yang telah berlaku pada wanita itu tapi yang dia tahu ini bukan kemahuan Inara.
Reza Akasyah sangat mengenali sosok peribadi Inara yang baik itu.
Perlahan-lahan tangan Reza Akasyah mengusap belakang Inara seperti mahu menenangkan wanita.
“Shhh…. I takkan tinggal kan you…Tidur, Nara…” ujar Reza Akasyah seperti memujuk Inara yang akhirnya tidur lena berbantalkan bahu Reza Akasyah.
Hampir seketika mereka berkeadaan sebegitu, tiada lagi kedengaran rintihan Inara ataupun kegelisahannya. Hanya kedengaran dengkuran halus menandakan wanita itu terus lena. Perlahan-lahan Reza membaringkan Inara semula di atas katil.
Reza Akasyah tidak berganjak dan terus perhatikan wajah cantik Inara sambil berfikir semua ini angkara siapa.
“Siapa buat you macam ni, Inara? Siapa yang you jumpa sampai you kena khianat macam ni?”
Reza Akasyah yakin yang Inara dikhianati. Pasti seseorang telah memberikan Inara sesuatu sampai dia khayal dan tidak sedar apa yang berlaku padanya.
Tapi yang buat Reza Akasyah tertanya-tanya kenapa semua ini ditujukan padanya? Adakah Inara menjadi mangsa untuk memerangkap dirinya? Terlintas seseorang dalam fikiran Reza Akasyah sekarang.
INARA membuka matanya perlahan-lahan dan mendapati dirinya berada di sebuah bilik yang tidak dikenali. Dia segera bangun dengan rasa panik, cuba untuk turun dari katil dengan tergesa-gesa.
"Aduh!" Inara mengerang kesakitan. Kepalanya rasa berat dan sakit seperti baru lepas terhantuk kuat. Apa yang sebenarnya berlaku?
Dalam keadaan Inara sedang bingung tidak tahu apa yang terjadi padanya, dia terdengar suara lelaki.
“Dah bangun?”
Inara serta-merta berpaling untuk melihat pemilik suara itu.
Membulat mata Inara apabila dia melihat seorang lelaki berada di dalam bilik yang sama dengannya, lagi-lagi penampilan lelaki itu sekarang.
Air masih menitis dari tubuh lelaki itu yang terdedah. Hanya sehelai tuala yang melilit pinggangnya sementara ototnya yang tegap jelas terpamer di depan mata Inara.
Wajah Inara serta-merta merah dan mulutnya sedikit terbuka tanpa sepatah kata pun keluar dari bibirnya yang melihat pandangan itu terlalu menggoda!
Senyuman terukir di wajah Reza Akasyah apabila melihat reaksi Inara. Salah satu keningnya terangkat sedikit sambil dia bertanya dengan nada usikan, ""Do you like what you see?"
Inara mendongak lalu memandang wajah pemilik suara itu. Tidak kurang menarik daripada tubuhnya, wajah lelaki berdarah kacukan itu begitu tampan.
Tersentak dari lamunannya, Inara segera bertanyakan pada lelaki asing di hadapannya dengan tergapgap.
“Si…siapa awak? Ma…macam mana…awak boleh ada…dalam bilik saya?”
Senyuman di wajah Reza Akasyah serta-merta hilang. Matanya yang tadi lembut berubah menjadi dingin apabila Inara tidak mengenalinya?
“Your room?” tanya Reza dengan suara dingin membuatkan Inara yang mendengarnya rasa menggigil.
Inara terlalu panik dengan situasi itu sehingga dia tidak menyedari bahawa bilik itu kelihatan sangat mewah. Dengan serta-merta, wajahnya bertukar pucat. Tidak mungkin Inara mampu menyewa bilik semewah ini bila tersedar yang dia tiba-tiba berada di bilik asing itu.
Dengan perasaan takut akan kemungkinan yang bermain dalam fikiran Inara sekarang ini cepat-cepat dia menyelak selimut yang membaluti tubuhnya.
Inara menarik nafas lega bila melihat tubuhnya masih tersarung pakaian lengkap. Tapi rasa leganya itu hanya seketika bila dia mula rasa ragu-ragu setelah bertentang mata dengan Reza Akasyah.
Dengan perasaan takut dan malu, Inara beranikan diri bertanya. “Malam tadi…Kita tak ada buat apa-apa kan?”
“Buat apa?” soal Reza Akasyah yang sengaja buat tak faham.
Inara meneguk liur.
“You tak ingat apa-apa?” soal Reza Akasyah lagi.
“Errr…” Inara terkelu lalu menundukkan wajahnya. Adakah lelaki itu suruh dia ingat sesuatu yang berlaku antara mereka?
Reza Akasyah mengeluh melihat reaksi Inara yang terpamer pada wajahnya.
“Maksud I, you tak ingat apa yang berlaku sebelum you tak sedar?” tanya Reza Akasyah. “Siapa yang buat you?”
Inara mendongak dan memandang Reza Akasyah dengan kebingungan.
Reza Akasyah yang melihat Inara masih keliru hanya mampu menghela nafas dan menggelengkan kepala. Inara masih naif seperti dulu sampai tidak tahu apa yang telah terjadi padanya. Inara masih tidak sedar ada seseorang yang sengaja berbuat jahat padanya.
“Malam tadi you keluar dengan siapa? You tak sedar ke ada orang sengaja bagi you drug sampai you jadi macam ni?”
Inara tersentak. Kemudian dia cuba mengingati apa yang berlaku malam tadi walau kepalanya kembali rasa pening.
Apa yang Inara ingat, malam tadi dia bertemu dengan Nelisa. Kakak tirinya itu, mengajak dia bertemu untuk menawarkan bantuan kewangan bagi membayar rawatan ibunya. Nelisa tidak menunjukkan tanda-tanda curiga kerana melayan Inara dengan baik seperti biasa. Cuma…
“Akak dah order air untuk Nara. Minum la,” suruh Nelisa tanpa Inara curiga.
Air.
Selepas Inara minum air yang dipesan Nelisa, dia terus tak ingat apa-apa.
Jadi ini semua angkara Nelisa?
“I rasa you macam dah tahu angkara siapa,” teka Reza Akasyah.
Ya, Inara tahu siapa pelakunya tapi kenapa Nelisa sanggup melakukan perkara ini kepadanya? Walaupun mereka bukan adik-beradik kandung, Inara tetap anggap Nelisa seperti saudara kandungnya sendiri.
Reza Akasyah memandang Inara yang sedang tenggelam dalam fikirannya lalu bertanyakan pada wanita itu. “Raisa Inara, you betul-betul tak kenal I?”
Inara terkedu mendengar soalan itu. Dia memandang Reza Akasyah dengan terkejut sebelum menjawab soalan lelaki itu.
“Macam mana awak boleh tahu nama saya? Kita memang kenal ke?” soal Inara pula kerana dia memang benar-benar tidak mengenali lelaki ini. Jika mereka pernah bertemu, mustahil Inara akan lupakan lelaki setampan ini.
Jawapan Inara buat Reza Akasyah berasa geram kerana wanita itu tidak mengenalinya.
“Siapa awak? Macam mana awak kenal saya? Kita memang pernah jumpa ke sebelum ni?” tanya Inara lagi. Pandangan Inara sedikit curiga ketika dia menatap Reza Akasyah.
“Seriously? You tak ingat I?” tanya Reza Akasyah yang berang dan tanpa sengaja tertendang meja kecil di sebelahnya dengan kuat.
Terkejut Inara sehingga menggigil bahunya.
Reza Akasyah tidak peduli reaksi Inara itu lalu berpaling pergi meninggalkan Inara yang ketakutan sendirian. Dia perlu bersiap untuk pergi ke pejabat.
Inara mengambil peluang itu melarikan diri dari bilik tersebut. Dia harus segera pergi dari situ dan mencari Nelisa untuk meminta penjelasan.
Selesai bersiap, Reza Akasyah sedar Inara sudah tiada. Namun tiada rasa marah di wajahnya. Dia hanya tenang dan senyuman tipis muncul di bibirnya bila mengenangkan pertemuan semulanya dengan Inara malam tadi.
Reza Akasyah segera menghubungi pembantu peribadinya. Tidak sampai 5 minit, Farid sudah muncul di hadapan Reza Akasyah.
“Farid, aku nak kau periksa CCTV malam tadi. Siasat siapa yang Inara jumpa malam tadi dan hantar dia ke bilik aku.”
“Baik, tuan. Tapi…” jawab Harris dengan ragu-ragu.
Reza Akasyah merenung Farid dengan dingin. “Tapi apa?”
“Gambar wanita yang bersama tuan malam tadi dah viral. Ada orang sebarkan yang tuan dan wanita itu ada hubungan sulit. Buktinya ada orang sebar gambar wanita tu keluar dari rumah ni tadi.”
Reza Akasyah mengerutkan dahi. Nampaknya orang yang melakukan hal ini merancang semuanya dengan teliti sampai berita tersebut tersebar dengan cepat.
“Kau siasat ni angkara siapa?” arah Reza dengan dingin dan tampak tidak peduli tentang berita tersebut.
“Tuan, pertunangan tuan dengan Cik Nelisa mungkin akan terjejas sebab skandal ni. Kerjasama antara dua buah company juga turut akan…” Farid cuba mengingatkan Reza Akasyah tapi sebelum dia habiskan ayatnya, majikannya itu sudah beri isyarat untuk berhenti.
Reza Akasyah bukan orang bodoh. Dia boleh agak kemungkinan besar Nelisa yang telah merancang semua ini. Mereka berdua terjebak dalam perkahwinan yang diatur oleh keluarga masing-masing demi kepentingan perniagaan.
Bukannya Reza Akasyah tidak tahu yang Nelisa berpura-pura menerimanya. Wanita itu menyangka Reza Akasyah masih buta dan sudah pasti Nelisa tidak mahu bersuamikan lelaki cacat. Oleh itu, Nelisa pasti akan cari jalan membatalkan pertunangan ini tanpa merosakkan nama baik keluarganya.
Reza Akasyah hanya perlu kumpulkan bukti untuk menguatkan tuduhannya.
Share this novel