41 Cinta Kita

Family Series 110448

“Saya tak benarkan! Saya lebih berhak kerana saya masih suami Del!” Rhett bersuara lantang.

Tok Teh dan Dato’ Razif berpandangan sebelum angguk, setuju dengan pendapat Rhett.

“Amirul dah melampau! Apa dia ingat hanya kerana dia sekampung, membesar bersama Del, disayangi oleh opah, dia punya hak ke untuk atur hidup Del?!” Rhett terus membebel. Bantal di dada Rhett picit dengan rasa geram.

“Habis tu, apa rancangan kau, Rhett? Kau tu masih tak boleh banyak bergerak sekarang.” Tok Teh bersuara, pasrah. Dia sedar dia sudah tiada hak ke atas Deila. Kini, dia hanya mampu berharap pada Rhett untuk buat keputusan sebaiknya buat mereka berdua.

“Saya nak jumpa pengarah hospital ni. Tok kenal Dato’ Faiq tu kan?”

Tok Teh angguk. Tiada masalah mahu berunding dengan Dato’ Faiq. Lelaki itu pernah terhutang budi dengan dia dulu. Tok Teh senyum. Wajah bersinar dengan harapan.

“Siapa yang cuba bunuh Del, Rhett? Kata Amirul, ini kali kedua Del diserang.”

Rhett termangu. Dia turut terkejut bila dengar ini kali kedua Del cuba dibunuh oleh seseorang. Ya Allah, sungguh dia tidak tahu tentang itu. Terasa dia lelaki tak berguna saat itu. Paling dia tidak boleh terima, asyik-asyik Amirul jadi hero. Dia suami Del, sepatutnya dia yang melindungi Del, bukan Mirul! Argh!

“Saya tak tahu, papa. Del memang dipulau oleh orang kampung sebelum ni, tapi rasanya tidaklah sampai mahu bunuh dia.”

“Rasanya bukan orang kampung Del. Pertama kali Del diserang masa Del lari dari rumah dan menginap di sebuah motel murah.” Terang Dato’ Razif. Rhett pandang papa dengan mata terbeliak. Ya Allah! Itu semua idea dia. Siapa sangka dia dipukul teruk sampai masuk hospital. Rhett rasa mahu meraung saat itu.

“Ya, betul papa! Saya masih cam kereta yang penjenayah tu guna.” Rhett langsung teringat kereta pacuan empat roda yang dilihatnya. Flat nombor kereta itu pun masih dia ingat.

“Bagi details kereta tu. Biar papa siasat.” Tawar Dato’ Razif.

Selepas Dato’ Razif dan tok beredar, Rhett baling bantal ke dinding bilik dengan rasa marah membuak. Sumpah, dia akan hancurkan manusia yang begitu berani meninggalkan parut di kulit mulus Deila.

“Argh!” Rhett mengerang kesakitan. Lukanya masih belum sembuh. Entah berapa lama lagi dia kena asyik baring. Dia mahu jumpa Deila. Dia mahu usir Amirul dari sisi Deila. Dia lebih layak bersama Deila!

Seorang jururawat yang masuk untuk buat pemeriksaan rutin terpaksa mengalah dan beri Rhett kerusi roda selepas Rhett ugut mahu bangun dari katil untuk ke bilik Deila. Dengan bantuan jururawat, Rhett akhirnya berjaya berada di depan pintu bilik Deila. Nafas ditarik sedalamnya sebelum Rhett pulas tombol pintu.

“Rhett!” Amirul bingkas bangun dari tempat duduk di sisi katil Deila. Terkejut lihat kemunculan Rhett.

“Who do you think you are, Mirul? She’s my wife, still my wife… not only today, tomorrow but until my last breath. Nak pindahkan Del jauh dari saya? Over my dead body, Mirul!” Rhett sembur bersama hunusan mata penuh percikan api kemarahan. Kalau saja bukan kerana keadaan dirinya ketika itu, pasti dia akan kerjakan Amirul kaw-kaw.

“Yes, kau suami Del. Tapi, di mana kau saat Del bertarung nyawa kerana kau hah?” Amirul balas tak kurang lantangnya. Penumbuk dikepal erat. Kalau saja mereka bukan berada di hospital, dia tumbuk biar hancur lumat wajah tampan itu.

“Saya tak tahu yang Del diserang.” Suara Rhett mengendur. Rasa kesal dan sebak bercampur baur menghimpit dada.

“Of course kau tak tahu sebab kau sibuk nak jaga hati perempuan lain.”

“Tak, Mirul. Saya punya sebab.”

Amirul mendengus. Dia tahu apa sebabnya. Lelaki suruhan Tok Teh dah ceritakan semuanya. Tapi di mata dia, Rhett tetap bersalah. Dia benci Rhett kerana buat Deila menderita.

“The saddest part is… kau tetap orang pertama yang Del cari walau pun kau tak pernah peduli! Damn you Rhett Raffendy!”

Amirul mundar mandir, cuba tenangkan diri dari rasa marah yang semakin membakar dada. Dia marah pada Rhett, dia juga terbakar dengan api cemburu terhadap Rhett. Di mata Deila, hanya ada Rhett walau pun dia sudah cuba sedaya upaya untuk memenangi hati Del. Tidak adil! Ini sungguh tidak adil!

“Saya tak tahu… sumpah saya tak tahu… Del… maafkan saya!” Rhett memusing roda, mahu menghampiri katil Deila tetapi segera dihalang oleh Amirul. Dia siap depa dua-dua tangan di depan Rhett.

“You are not allowed to meet her!” Bentak Amirul dengan keras.

“Tepilah! Kau tu yang tak sepatutnya berada di sini. Haram kau berdua-duaan dengan isteri orang, Mirul! Mulai hari ini, saya haramkan kau di sini! Keluar sebelum saya panggil polis seret kau ke penjara!”

Amirul tergamam. Dia undur setapak bila Rhett tolak tubuhnya. Wajah bengang Amirul kendur. Pandangan yang dilempar ke arah Rhett bertukar sebak. Rhett diserang rasa bersalah. Seketika tinggal di kampung, dia sudah masak dengan perangai kuat merajuk Amirul. Salah cakap sikit merajuk! Jangan berani Mirul ugut nak bunuh diri depan dia. Makan penyepak jawabnya!

“You know I loved her. I’ll do anything for her. Kau yang rampas dia dari saya! Kalau bukan kerana kau, opah pasti masih ada. Del takkan dipulau oleh orang kampung hingga kedai runcit tu terpaksa ditutup. Saya dan Del… pasti dah bahagia sekarang kalau kau tak muncul, Rhett!”

Rhett terkesima dengar luahan bernada sebak Amirul. Hilang kosa kata mahu jawab.

“Saya dah sediakan semuanya. Saya kumpul duit hasil usaha sendiri tanpa berharap pada orang tua. Semua kerana saya mahu buktikan bahawa saya mampu bahagiakan Del walau pun saya tak belajar tinggi macam Del. Hanya tunggu masa mahu masuk meminang… sikit masa lagi… tapi kau muncul macam dewa jatuh dari kayangan di depan kedai runcit dan rampas hati Del!”

Berkerut dahi Rhett dengar. Macam dewa kayangan? Tak melebih ke kata-kata Mirul ni?

“Lepas kau datang, cara Del pandang saya berubah seratus peratus. Tak adil! Saya lebih dulu cintakan Del. Saya yang banyak habiskan masa bersama Del. Saya sentiasa ada saat jatuh bangun Del. Mengapa kau yang dia pilih?”

Rhett buang wajah bila lihat Amirul nangis-nangis ketika bicara. Urgh! Hodoh tau bila lelaki lihat sespesisnya menangis.

“Keluarga kau kejam! Suruh bapak kau jangan ganggu Del! Saya akan pastikan siapa pun yang cuba bunuh Del mereput dalam penjara!”

Terkejut Rhett dengar. Laju dia geleng.

“Bukan angkara papa, Mirul. Kami juga sedang siasat siapa dalang tu.”

“Siapa lagi yang mahu hapuskan Del selain bapak kau? Del satu ancaman pada keluarga kau kan? Orang macam korang terlalu pentingkan darjat dan air muka! Sanggup buat apa saja demi jaga air muka dan anggap nyawa seseorang tu seperti nyawa binatang.”

Rhett menderam. Tuduhan Amirul sangat melampau bagi dia.

“Tak semua macam tu, Mirul. Papa dan tok ambil berat, mereka sayangkan Del.”

“Habis tu, siapa yang mahu hapuskan Del hah? Kalau bukan keluarga kau, girlfriend kau kot?”

Tersentap Rhett dengar. Dia langsung tak terfikir tentang itu. Ada kemungkinan tebakan Amirul benar kerana Zara punya sebab kukuh untuk buat macam tu. Tapi bila teringat sikap Zara yang lemah lembut, Rhett kembali geleng. Mustahil!

“Saya tak kira! Siapa pun dalangnya, saya akan pastikan orang tu dapat hukuman setimpal even dia perempuan. Satu lagi, saya akan terus berjuang untuk ambil semula Del dari kau! I will never stop!” Usai berkata, Amirul hentak-hentak kaki keluar dari bilik itu.

Sampai di luar bilik, Amirul bersandar di dinding, bersebelahan dengan pintu. Dada dipegang. Sakit… teramat sakit di situ! Dia tidak rela tinggalkan Del bersama Rhett. Tapi dia terpukul dengan kata-kata Rhett. Haram berdua-duaan dengan isteri orang. Betul, dia cukup didikan agama. Dia tahu hukum hakam agama. Sebab itu dia mengalah. Tapi, mengalah bukan bererti dia kalah. Perjuangan belum selesai!

“RHETT!”

Sontak Rhett terjaga bila dengar jeritan lemah itu. Terpisat-pisat dia gosok mata. Seluruh tubuh sakit bila dia cuba bergerak. Ah, dia tertidur di atas kerusi roda rupanya. Awal tadi, jururawat yang membawa dia ke situ muncul dan mendesak dia untuk balik ke biliknya tapi Rhett berkeras mahu tetap di situ menemani Deila. Tak sedar dia tertidur dengan kepala bertilamkan lengan Deila.

“Rhett…” Suara memanggil itu bergema lagi. Pantas Rhett tegakkan tubuh.

“Del? Kau dah sedar?” Bebola mata laju berguling ke seraut wajah pucat Deila. Melihat bibir Deila bergerak-gerak, pantas Rhett genggam jemari Deila.

“Saya mimpi… ia sangat menakutkan.” Deila bersuara lemah.

“It’s okay Del… saya ada…” Bersama linangan air mata, Rhett kucup jemari Deila. Tiada kata yang mampu terangkan rasa gembira dia ketika itu. Dia orang pertama yang Deila cari selepas sedar.

“Saya mimpi kau pergi, Rhett… kau tinggalkan saya macam opah.” Deila renung Rhett dengan mata mulai basah digenangi air mata.

“Saya takkan pergi. Saya akan sentiasa ada di sisi kau. I hope you’ll do the same. Bila tiba waktunya, kita pergi ke tempat opah bersama-sama.” Rhett tidak mampu menahan sebak. Air mata semakin deras menuruni pipi.

“Thank you Del… thank you for coming back, for being the strongest girl and most of all… I’m still number one!” Luah Rhett dalam tangisan. Jemari Deila dalam genggaman Rhett cium berulang kali.

“Rhett…” Deila bersuara, masih lemah. Wajah tidak mampu dipusing untuk menghadap Rhett, mungkin disebabkan ubat bius masih tersisa dalam tubuh. Hanya mata mampu melirik.

“Ya, isteriku…”

“Saya mahu berjuang… demi cinta kita…”

Rhett angguk laju. Terenjut-enjut bahu menahan esakan. Wajah sudah basah dek air mata namun dia tiada keinginan mahu keringkan kerana dia tahu air mata tidak mungkin akan berhenti mengalir ketika itu.

“Ya sayang, jangan pernah mengalah… demi cinta kita!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience