Karl terus menyisir rambut Mikael Lutfi yang masih sedikit kusut. Cermin besar di hadapan mereka memantulkan bayangan dua beradik itu seorang bersahaja dengan senyuman nakal, seorang lagi penuh resah dan debaran yang sukar disorok.
“Janganlah kau macam ni, Karl. Serius sikit boleh tak?” Mikael menarik nafas, cuba menyembunyikan keresahan yang mula menjalar ke seluruh tubuhnya.
“Serius? Kau nak kahwin, bukan nak pergi perang,” balas Karl sambil tergelak kecil.
Fir yang berdiri di sisi pintu turut menyampuk,
“Tapi hati perempuan tu bang… kadang-kadang lebih menakutkan daripada medan perang.”
Mikael Lutfi hanya mengangkat kening. Bukan dia tak tahu perkahwinan ini bukan biasa-biasa.
Medina Atalia… nama itu sendiri sudah cukup membuatkan jantungnya berdegup dua kali lebih laju daripada biasa.
Bukan kerana dia tak mahu. Tapi kerana dia tahu, perempuan itu bukan calang-calang.
Dia bukan takut.
Cuma… bimbang.
Tentang masa depan.
Tentang penerimaan.
Tentang luka-luka yang mungkin masih berdarah dalam diam.
Mikael memandang jauh ke cermin.
“Dia kata dia terima aku… tapi aku tahu hati dia belum sembuh sepenuhnya sebab perbuatan Maria.“
”Ada benda dalam hidup dia yang dia simpan rapat. Yang dia belum pernah buka pada sesiapa, termasuk aku.”
“Abang pula, dah sedia ke untuk buka semua buku lama tu?” tanya Fir, kali ini nadanya lebih serius.
Soalan itu seakan menikam terus ke dasar hati Mikael. Adakah dia benar-benar bersedia? Medina bukan wanita biasa.
Dia menyimpan luka.
Dia menyimpan rahsia.
Dan dia menyimpan satu beban yang mungkin lebih berat dari apa yang dia bayangkan.
“Aku akan cuba… untuk jaga dia sebaik mungkin. Aku tak janji akan sempurna, tapi aku janji akan jujur.”
Karlos dan Firdaus berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu, meski nampak tenang di luar, Mikael kini sedang bertarung hebat dengan dirinya sendiri.
“Abang… dia bukan yang pertama, tapi pastikan dia jadi yang terakhir,” kata Karl perlahan, penuh makna.
Mikael Lutfi tersenyum hambar.
“Aku pun harap begitu.”
Suasana dalam dewan nikah itu sepi dan penuh khusyuk. Segalanya seakan terhenti waktu jurunikah memulakan lafaz.
Mikael duduk bersimpuh kemas di atas hamparan baldu putih, lengkap berbaju melayu teluk belanga berwarna kelabu lembut.
Di hadapannya, dua saksi, jurunikah dan sekeping kertas kecil akad nikah yang akan mengubah status hidupnya buat kali kedua.
Tangannya sedikit bergetar, tapi bukan kerana takut. Ini debar yang hanya dia sendiri faham.
Di balik langsir pemisah di sebelah kiri dewan, Medina Atalia sedang menanti dengan debaran yang sama.
“Allahuakbar…” bisik Mikael dalam hati, sebelum suara jurunikah menyapa.
“Saudara Mikael Lutfi bin Mahzan, aku nikahkan dikau dengan Medina Atalia binti Hassan dengan mas kahwin seratus ringgit tunai.”
“Aku terima nikah Medina Atalia binti Ahmad Dafizan dengan mas kahwin seratus ringgit tunai.”
Lafaz itu keluar lancar dari mulut Mikael. Suara dia tegas, penuh yakin, walaupun dalam hati, badai bergelora. Saksi mengangguk, jurunikah mengesahkan.
“Sah?”
“Sah.”
“Sah!”
Allahuakbar. Sekelip mata, dunia Mikael berubah. Medina bukan lagi sekadar perempuan yang dia dekati dengan sabar, tapi kini isteri sah yang wajib dia lindungi dan cintai.
Langsir yang memisahkan antara ruang lelaki dan perempuan ditarik perlahan. Medina Atalia melangkah keluar dengan penuh anggun, bertudung satin putih gading yang melilit kemas di kepala, busana nikahnya tampak sederhana namun cukup memukau.
Langkahnya perlahan, tenang, tapi jantungnya tidak.
Matanya bertembung dengan Mikael. Dunia yang bising menjadi senyap dalam sekelip mata.
Mikael mengatur langkah. Dia hampiri isterinya yang kini duduk di pelamin nikah yang dihias indah dengan rona putih dan lavender lembut.
Dengan tangan sedikit menggigil, dia duduk di sisi Medina dan menghulurkan tangan, menyentuh ubun-ubun wanita itu dengan lembut lalu membacakan doa.
“Bismillahirrahmanirrahim… Ya Allah, berkatilah aku dan isteriku ini. Satukanlah hati kami dalam cinta dan redha-Mu. Jadikan dia sebagai pakaian untukku, dan aku pakaian baginya…”
Medina memejamkan mata. Saat itu, ada air mata yang gugur perlahan di pipinya. Bukan kerana sedih.
Tapi kerana dia tahu, hidupnya akan berubah selepas ini. Dia bukan lagi Medina yang berdiri sendiri, tapi Medina Atalia yang kini milik seorang lelaki bernama Mikael Lutfi.
Selesai acara, Mikael dan Medina dibawa ke bilik khas pengantin untuk sesi rehat dan persalinan ringkas. Cuma mereka berdua, buat pertama kali tanpa tirai, tanpa bayang-bayang.
“Medina…” suara Mikael perlahan, seolah takut kalau terlalu kuat, perempuan itu akan hilang dari pandangannya.
Medina mengangkat wajah. Matanya merah sedikit, mungkin masih berbaki sebak di hati.
“Terima kasih… sebab sudi jadi isteri abang,” ucap Mikael perlahan, tapi tulus.
Medina senyum nipis.
“Saya pun… masih rasa macam mimpi.”
Mikael pegang tangannya. Lembut, tapi kukuh.
“Kalau ini mimpi, abang tak nak terjaga.”
Medina tersenyum lagi. Kali ini, senyuman yang lebih jujur. Lebih ikhlas. Tapi masih berhati-hati.
“Ada banyak benda yang awak belum tahu tentang saya…” katanya jujur.
Mikael mengangguk.
“Dan saya tak perlu tahu semuanya hari ini. Tapi saya janji, saya akan ada untuk awak bila awak sedia cerita segalanya.”
Medina menarik nafas dalam. Hatinya berbunga, tapi dalam masa yang sama, risau yang lama masih belum reda.
Namun… buat pertama kali sejak lama, dia rasa sedikit tenang. Mungkin, hanya mungkin… Mikael Lutfi bukan mimpi buruk. Mungkin dia adalah doa yang akhirnya dimakbulkan.
THE ENDING, bye..
Share this novel