Lima bulan yang lalu,
PANAS terik sinar matahari petang tidak mampu memadamkan semangat Nur Jasnita sedang berjalan kaki pulang ke rumah sejauh 4km. Akibat cuai Nur terpaksa menapak sejauh ini. Mulut Nur terus mengutuk diri sendiri kerana cuai dan lalai jaga barang sendiri.
"Ada dalam kereta Audi selamatlah aku. Tak ada mau melayang tiga ratus nak pergi ganti IC baru. Tiga ratus denda. Adoi, duit tu boleh beli lauk basah dua minggu bagi budak-budak makan."
Ketika Nur sedang leka berjalan sambil mengomel, tiba-tiba pandangannya tajam melihat seorang lelaki tua berusia lewat 60an sedang termenung di depan kereta saga merah di hujung jalan. Tanpa berfikir panjang Nur berlari anak melajukan langkah dan mendekati pemilik kereta itu.
"Assalamualaikum, rosak ke pak cik?"
Lelaki tua itu menoleh ke arahnya.
"Waalaikumussalam. Pak cik belum rosak lagi nak."
"Nah, setepek orang tua ni bagi aku," gumam Nur perlahan.
Nur memandang wajah pak cik disulami senyuman nipis. Jelas sangat wajah orang tua ini nampak letih namun mulutnya ringan dan bersahaja. Pakaiannya juga nampak kemas dan segak. Ada janggut putih yang sedikit panjang saling tak tumpah seperti wajah ustaz di sekolah anaknya.
"Pak cik, maksud saya kereta ni rosak ya?"
"Ya nak, kereta pak cik rosak."
"Boleh saya tolong pak cik?"
Rasa kasihan terbit dan sengaja Nur menawarkan bantuan kepada lelaki tua itu. Peluh yang menitik dilap menggunakan bahu.
"Anak reti ke betulkan kereta?"
"Boleh pak cik. Saya selalu tolong ayah saya repair kereta."
"Syukur sangat jumpa anak. Jarang nak jumpa perempuan mekanik."
"Ada jea cuma tak ramai. Saya ni sebenarnya bukan pandai mana. Setakat demam selsema kereta boleh la pak cik. Demam panas, semput pak cik kena bawa dia pergi hospital juga."
Lengan baju ditarik hingga ke paras siku. Topi di kepala dipusing ke belakang sebelum memandang enjin kereta di depannya.
"Tak kisah nak. Sekurang-kurangnya lega pak cik ada orang tengokkan kereta ni merajuk."
"Dia kenapa tadi pak cik?"
"Alahai kau Nur. Confident sungguh kau tanya pak cik. Kena nanti kereta ni bukan benda yang kau tahu lepas tu kau tak boleh buat... melopong kau dengan pak cik ni tepi jalan. Malu jea." Nur memaki dirinya di dalam hati.
"Tadi pak cik bawa macam biasa lepas tu tiba-tiba berasap. Kereta ni sebenarnya bukan kereta pak cik nak oii. Pak cik pinjam kejap nak ke kedai beli rokok."
Nur hanya mengangguk tanpa kata. Rasa selamat di situ. Apa yang pasti semua lelaki sepertinya sama tak nak mengaku dia tidak tahu hal kereta bila di hadapan perempuan. Alasan pak cik kerap sangat Nur jumpa sebelum ini di sebelah kedai Botak.
"Anak tahu ke kereta ni kenapa jadi macam ni?"
Nur menoleh dan tersenyum nipis.
"Pak cik rasa?"
"Atuk bukan pak cik. Anak panggil pak cik baik terus panggil abang jea. Baru atuk rasa muda macam cucu atuk."
Nur terdiam dan menggeleng. Dia menggosok dahinya yang licin menahan tawa.
"Alahai nak... atuk gurau tadi. Sebenarnya kereta ni atuk rasa dia kenal siapa bawa dia. Tuan dia dah lama tak bawa dia sejak Tuan dia tinggal dengan atuk. Mungkin atuk ni kasar dari Tuan dia agaknya sebab tu dia mogok."
Kening digaru laju bila mendengar bicara orang tua ini. Senyuman senget terbit tanpa sedar. Orang tua ini boleh tahan juga bergurau. Nur cuba mengawal emosi agar lebih tenang dan tidak ambil hati dengan usikannya.
"Mungkin juga... tapi kereta ni sebenarnya haus pak, atuk."
"Haus? Dia nak minum? Air panas ke sejuk?"
Kembang lubang hidung Nur sekejap menahan nafas bila orang tua di sebelahnya mencelah. Tawanya dikunyah kemas.
"Sabar Nur, sabar. Orang tua jea ni," bisik batin Nur.
Nur mengoyak senyuman segaris.
"Yup, kurang atau tak ada langsung air dalam radiator tu rasanya. Tak pun... radiator bocor agaknya. Biar asap tu hilang dulu. Nanti saya tengok betul tidak."
Nur mengalihkan pandangan ke arah enjin kereta yang masih ada asap putih berkepul-kepul. Matanya liar memandang enjin kereta ini.
"Ini macam kereta...."
"Anak ni yang berjalan dekat trafik light area kedai lemang tadi tak silap atuk. Nak ke mana?"
"Saya nak balik rumah. Dompet saya tertinggal dalam kereta kawan. Terpaksa jalan kaki." Aku langsung tidak menoleh ke arahnya.
"Kerja mana?"
"Kerja depan Maybank, Jalan Semerbak 17."
Mata Nur sempat menjeling tepi kereta atuk dengan dahi berkerut. Kenapa kereta ini nampak macam pernah nampak sebelum ini atau perasaan?
"Semerbak 17? Jalan kaki sampai sini?"
"Eh, tak! Saya naik dengan kawan. Lepas tu jumpa kawan lain tengah niaga dekat masjid Al-Makmur. Saya ingat nak tolong dia niaga bulan puasa nanti. Bila nak balik baru perasan dompet tinggal."
Nur lihat atuk mengurut dada dan menarik nafas panjang.
"Terkejut atuk. Ingatkan anak jalan kaki dari Semerbak. Bulan puasa anak berniaga ke?"
"Ya rasanya. Niaga bulan puasa dekat bazar rezeki dia lain macam atuk. Kena pula kita niaga dengan niat yang betul, InsyaAllah rezeki melimpah ruah."
"Betul sangat tu tapi nak apa kata anak tukar kerja. Anak kerja kedai gaji berapa? Apa kata daripada kerja kedai di Semarak tu baik anak kerja dengan atuk. Tempat kerja atuk nak pakai orang."
"Atuk kata apa tadi... kerja dengan atuk?"
"Ya, kenapa tak percaya? Sekejap atuk bagi kad. Bulan puasa anak nak cuti niaga pun boleh. Atuk bagi tapi sayang nanti. Tempat kerja atuk bila puasa lagi sibuk daripada bazar."
Nur meredupkan pandangan menunggu lelaki itu mengeluarkan kad dan menyerahkan kepadanya. Terdiam Nur sejenak saat melihat tulisan yang ada di kad.
"Atuk biar betul? Kedai emas ada gudang?"
"Astagfirullah, salah tu. Bagi balik. Itu kad menantu atuk. Bagi balik. Ini atuk punya. Alahai dah tua ni mata tak berapa nampak. Susah betul."
Nur hanya mampu tersengih melihat ragamnya. Kad yang dihulur tadi diambil dengan penuh sopan.
"Wow, ANz! Atuk punya nama Syarikat sama seperti brand baju raya yg famous tu. Atuk owner ANz ke?"
Nur lihat atuk tersenyum lebar tanpa bicara. Adakah betul sangkaannya atau dirinya yang terlebih fikir. Lantaklah. Apa yang lebih penting sekarang Nur dah ada kerja lagi bagus dan boleh belanja barang sekolah anak ke sekolah nanti.
"Saya fikir dulu ya. Nanti saya call atuk semula boleh. Call dekat nombor dalam kad ni kan?"
"Ya call yang tu. Anak call bawah tu nombor cucu atuk. Boleh jea mana tahu boleh berkawan dan jadi cucu menantu."
"Hmm, ya sangat. Terima kasih."
Nur hanya meneguk liur bila mendengar bicaranya. Harap hanya gurauan atuk hanya sampai di sini sahaja.
Selang beberapa minit Nur cuba membantu lelaki tua tersebut namun tiba-tiba seorang lelaki muda berpakaian seperti pelumba motor profesional muncul dengan motor berkuasa tinggi. Nur hanya diam saat lelaki itu sedang menghampirinya. Wajahnya terlindung disebalik topi keledar.
"Sampai pun. Anak kenalkan tu cucu atuk."
Nur hanya menjuihkan bibir dan tersenyum hambar.
"Atuk ni degil betul. Berapa kali nak pesan jangan bawa kereta buruk ni. Menyusahkan. Kereta mahal ada tak nak naik. Hoi, kau! Makin rosak kereta tu nanti. Tak payah kau nak usik kalau tak reti."
Sindiran lelaki muda itu membuat hati Nur Jasnita makin panas. Sabarnya hilang apabila lelaki itu menolak tubuhnya jauh dari kereta secara tiba-tiba.
"Tak faham bahasa ke? Kau jangan sentuh kereta ni. Tak payah nak acah heroin sangat depan orang tua ni."
"Suka hati kau sindir aku. Suara dah la kepit walaupun marah. Lepas tu berlagak la pula. Kau ingat kau pakai macam ni kau macho la. Terang-terangan suara kau ni sejenis dengan kawan baik aku," bisik batin Nur.
Nafasnya laju. Nur mencekak pinggang dan menjeling ke arah lelaki yang sedikit tinggi daripadanya.
"Mulut tu elok sikit. Jangan suka pandang perempuan sebelah mata. Setakat kereta ni, celah gigi aku jea lah. Kau tu pun aku boleh repair kalau nak."
Lelaki tua itu tersenyum kecil melihat perempuan muda ini bertegang leher dengan cucunya yang acah bagus ini.
Nur sedar lelaki itu ketawa namun sedikit pun dia tidak mengendahkannya. Hatinya lagi panas dengan lelaki muda ini.
Seminit kemudian atuk bersuara.
"Anak, kalau nak repair cucu atuk pun boleh. Atuk bagi anak RM 2ribu repair kereta. Repair cucu atuk kira harga lain. Boleh?"
Sepantas kilat Nur menoleh ke arah atuk bila mendengar tawaran tadi. RM 2ribu untuk baiki kereta Saga merah. Kebetulan pula dirinya memang terdesak nak guna duit. Sekurang-kurangnya beban dia ringan bila dapat duit daripada atuk.
"Atuk! Apa benda ni!" bentak lelaki itu.
"Kenapa atuk suruh saya repair dia?" soal Nur bingung.
Tangan Nur menunding ke arah lelaki muda itu. Susuk tubuhnya memang nampak sedap mata memandang tapi disebabkan mulutnya mengalahkan petir terus Nur tidak berminat penampilannya.
"Boleh ke tidak?" tanya atuk dengan wajah tenang.
"Saya tengok elok jea dia naik motor. Ada tangan kaki dengan kepala. Nak repair apa ya? Otak atau adab dia?" aju Nur dengan selamber.
"Buat dia jadi lelaki," balas atuk.
Hah?! Lelaki? Dia bukan lelaki ke sekarang atuk?" soal Nur terkejut.
Nur mengalihkan pandangannya. Wajahnya mula merona merah secara tiba-tiba.
"Kau pandang apa?!"
Nur menggeleng laju. Topi di kepala dibuka dan disarung semula setelah membetulkan rambutnya yang kusut.
"Atuk, cucu atuk ni bukan lelaki ke?"
"Kau!"
Senyuman dikemam saat lelaki itu mahu menyerangnya namun nasib Nur baik bila dihalang atuknya. Jari telunjuk lelaki itu buatkan dirinya ketawa mengekek.
"Maksud atuk biar cucu atuk ni jadi lelaki yang bertanggungjawab. Cucu atuk dah la dua orang jea lelaki yang lain semua perempuan."
Belakang telinga digaru terasa canggung bila atuk berbicara. Jauh sudut hati berbisik "Apa sebenarnya maksud atuk? Jadi cikgu ke jadi maid? Atau aku jadi isteri dia? Mati aku bila Mak Uda tahu tapi sebabkan anak, aku terpaksa terima tawaran gila ini."
"Berapa lama atuk? Sebulan, tiga atau setahun?"
"Atuk, apa benda atuk buat ni? Atuk dah janji tak akan masuk campur urusan saya."
Nur terdiam melihat lelaki tua itu menarik cucunya agar dia tidak dengar perbualan mereka. Pada masa sama dirinya memandang jari jemari mengira apa yang patut.
"Puasa lepas tu naik sekolah. Koyak poket aku. Kebetulan bulan ni memang nak pakai duit. Cantik sangat dah tapi apa maksud atuk tadi dengan repair cucu dia?" omel Nur sendirian. Penumbuk dilepaskan di tapak tangannya.
"Atuk, kita bukan kenal siapa perempuan tu. Suka-suka atuk nak suruh dia tinggal dengan saya?"
"Syawal memang tak kenal dia tapi atuk kenal dia. Mak cik Syawal pun kenal dia."
"Hisyh, atuk jangan nak mengarut. Jadi PA boleh. Lebih kirim salam."
"Cuba la dulu. Bagi peluang. Tak serasi Syawal pecat dia macam yang lain."
Syawal terdiam. Sedetik kemudian Syawal menoleh ke arah perempuan itu sedang bermain jari.
"Oii, minah! Dengar sini. Tadi kau kata apa dengan atuk aku... kereta ni sebab tak minum air kan!" sergah lelaki itu.
Nur mengangguk laju tanpa kata.
"Aku call pomen sekarang. Bila pomen tu bagitahu tak sama macam kau cakap ke atuk aku... jangan setakat dua ribu, dua puluh sen pun kau jangan harap dapat."
Jari jemarinya dikepal menahan amarah. "Ingat muka aku ni muka penipu? Baik sikit cakap tu kepit. Nak sangat kan, baik. Aku terima tapi kalau betul... kalau betul apa yang aku cakap tadi aku nak kau up lagi dua ribu. Boleh? Aku on sangat tawaran atuk tu. setakat nak repair kepit macam kau petik jari jea la."
"Dasar muka tak malu."
"Aku memang muka tak ada malu bab duit. Lagipun atuk tak sombong macam kau. Atuk bagi duit ikhlas yang kau tu bukan nak tolong atuk sendiri. Mulut jea bising."
"Aku nak tolong la ni."
"Tolong la. ada aku kisah."
Jauh di lubuk fikiran Nur berharap duit yang bakal dia peroleh daripada atuk cukup dan dia akan kumpul sebanyak yang boleh sebelum keputusan tawaran sekolah budak berdua tu keluar.
"Good. Jangan menyesal!"
"Aku ke kau yang menyesal kepit," keluh Nur sambil menjulingkan mata. Dahinya digosok terasa sakit ditunjal lelaki kepit tadi.
Share this novel