Bab 1

Family Series 4688

- Kita kena hidup sendiri. Kena keluar dari rumah ni. -

“SAYANG… sampai bila kita nak macam ni?” tanya Liya dan mencapai tangan Syawal. Sesungguhnya dia sudah penat untuk melalui semua ini. Walaupun baru saja dia bernikah selama 3 bulan, dia sudah lelah untuk duduk bersama dengan keluarga mentuanya.

Syawal melepaskan keluhan. “Saya baru je mula kerja. Separuh gaji je dah bagi emak. Saya tak tahu hidup kita kat luar tu macam mana.”

Pantas Liya menggeleng. “Tak apa. Saya kerja jugak. Kelulusan kita pun hampir sama sayang. Biar kita susah berdua sama-sama, dari hidup kita macam ni dengan mak…”

“Itu mak saya, sayang,” kata Syawal dengan nada yang terkawal. Sebolehnya dia mahu jadi anak yang baik jika dia tidak mampu menjadi anak yang soleh. Perlahan tangan Liya diusap seakan-akan memujuk.

“Sayang ada saya. Mungkin cara mak tu kasar, tapi kita harungi ni sama-sama boleh? Saya akan cari jalan lepas saya yakin kita sudah bersedia.”

“Janji?” Liya ingin Syawal berjanji.

Jari kelengkeng mereka terikat setia. Dahi mereka bercantum mengharapkan kekuatan masing-masing.

PANTAS Liya masuk ke dapur setelah selesai menjemur baju. Sarapan harus disiapkan sebelum jam 8.00 pagi, roti diambil dan dibakar. Bihun yang telah direndam subuh tadi oleh Syawal dicapai dan didekatkan di kawasan tempat memasak. Dapur yang luas membuatkan pergerakan menjadi jauh.

Selesai memasak, Syawal sudah keluar dengan pakaian pejabatnya dan menolong Liya menyiapkan sarapan untuk keluarga besar mereka. Ya, Liya dan Syawal duduk sebumbung dengan keluarga Syawal. Puas Kamsiah, Encik Badrul dan adik perempuan Syawal, Syazana. Manakala abangnya Syahrul sudah berkahwin dan duduk sendiri bersama isteri dan dua orang anaknya.

Semenjak mereka berkahwin, Puan Kamsiah memecat orang gaji mereka dan Liya terpaksa memikul semua kerja rumah di dalam rumah ini. Menurut Puan Kamsiah daripada dia bekerja di luar, lebih baik membantunya di rumah.

“Sayang semua orang dah kat meja tu. Jom makan sekali,” ajak Syawal.

Liya gelengkan kepala. Dia terfikir mahu membersihkan di kawasan taman kecil di luar rumah kerana semalam hujan lebat banyak daun dan ranting yang patah. “Awak makanlah dulu.”

Syawal berasa sedih melihat wajah penat isterinya itu, baru saja dia mahu memanggil Liya namanya pula dipanggil dari ruang makan.

“Syawal, cepat makan. Nanti nak pergi kerja lambat pulak,” jerit Puan Kamsiah dari ruang makan.

Berpeluh-peluh Liya mengemas taman di luar rumah. Dia tersenyum memandang keadaan sekeliling yang sudah bersih. “Kejap lagi boleh pergi pasar lepas tu memasak.”

“Sayang…” panggil Syawal dengan lembut cuba memeluk Liya.

Liya menjauhkan diri. “Saya busuk ni. Berpeluh.”

Syawal terus mendekat tanpa waswas dan terus memeluk Liya. Tersenyum dan hilang penat dibuatnya, bisik hati Liya.

“Saya pergi kerja dulu. Jangan lupa makan. Awak dah makin kurus saya tengok,” pesan Syawal dan mencium dahi Liya lama.

Liya hanya mengangguk dan tersenyum hambar. Dia memandang sayu pemergian suaminya ke tempat kerja. Tangan dilambai lagi 10 jam barulah mereka akan bersua.

“KAU beli apa sangat yang habis sampai RM100 kat pasar raya? Kita makan pun berlima. Apa mahal sangat?” tanya Puan Kamsiah bila melihat resit di tangan.

“Barang makin mahal, mak. Ni pun ada yang tak beli lagi,” balas Liya perlahan.

Keluhan keras dilepaskan oleh Puan Kamsiah. “Nanti aku pergi beli. Harapkan kau habis je duit nanti.”

Entah kenapa murah sungguh air mata Liya ketika ini. Betapa dia rindukan keluarganya saat ini. Ibunya takkan melayannya seteruk ini, kakak iparnya juga disayangi sama seperti mereka adik-beradik.

Liya menanak nasi sambil kepalanya memusingkan memori bagaimana dia boleh berada di dalam rumah ini. Berjumpa dengan Syawal di universiti dan bercinta kemudian selepas berkonvo mereka terus bernikah kerana hubungan mereka sudah lama.

“BETUL kamu nak berkahwin, Liya?” tanya Sepiah kepada anak perempuannya. Bukan dia mahu membangkang tapi bila memikirkan umur yang masih muda membuatkan Sepiah mahu anaknya memikirkan semula.

Liya mengangguk perlahan. “Kalau dah kahwin senang sikit nak kerja di sana mak. Ada orang jaga. Mak tak perlu risau lagi. Ada orang yang jaga saya kat sana.”

“Kalau kamu dah kahwin pun, mak tetap akan risau jugak Liya. Kita ni bukan keluarga senang, nak buat majlis semua pakai modal,” jelas Sepiah.

“Sebab tu kitorang nak buat kecil-kecilan je. Buat majlis masa akad nikah je. Mana yang penting je mak. Kimi pun setuju buat macam tu,” balas Liya dengan penuh meyakinkan. Ya, dia mahu berkahwin dan halal dengan Syawal.

“Baiklah. Nanti mak mintak tolong pak long kau pasal hal ni. Sekarang ni kamu carilah duit apa yang patut dulu.”

BANG!

Bunyi pintu terhempas membuatkan Liya tersentak dan kembali kepada realiti. Jam dinding dikerlingnya, baru pukul 3.30 petang. Dari subuh sehinggalah jam 3.00 tadi tanpa henti dia membuat kerja.

Baru saja dia mahu melelapkan mata, pintu biliknya diketuk kuat bagaikan mahu runtuh.

“Bukak pintu ni!”

Liya mengeluh perlahan dan bangun untuk membuka pintu. Sebaik saja pintu dibuka, tanpa kata pintu ditolak kuat sehingga terlanggar kepalanya.

“Aduh!” keluh Liya dan menggosokkan kepalanya yang sakit.

Puan Kamsiah buat muka mengejek. “Dahlah, tak payah nak berpura-pura sangat. Sikit je tu. Tak buat pun kau sampai hilang ingatan. Alasan je tak nak buat kerja, nak goyang kaki.”

“Apa ni, mak?” kata Liya dengan lirih.

“Kau jangan nak berehat sangat. Siapkan minum petang. Kejap lagi kawan-kawan aku nak datang. Lepas tu sambung kerja-kerja rumah ni. Jangan nak mengangkang je kerja,” kata Puan Kamsiah dengan angkuhnya.

Liya mengeluh. “Liya baru nak duduk ni mak. Nanti lepas asar Liya sambung buat kerja semua tu.”

Hati Puan Kamsiah seperti panas dengan jawapan Liya yang seakan-akan mengelat. “Pukul 5.00 aku tahu dah siap.”

Menitis air mata Liya ketika ini. Sudah 3 bulan dia di rumah ini dan diperlakukan seperti hamba. Dia tidak kisah jika mahu dia melakukan kerja-kerja di rumah tapi bukan dengan layanan seperti ini.

“HELLO, Liya sihat ke?” tanya Sepiah di talian.

Perlahan Liya kesat air matanya. Cuba mengawal tona suara. “Baik mak. Mak apa khabar? Tengah buat apa tu?”

Suara Sepiah yang ceria membuatkan Liya sangat gembira dan buatkan dia terhibur sebentar.

“Semuanya okey ke kat sana?”

Sepi.

Diam.

Nafas dihembuskan perlahan. “Semuanya okey mak.”

Disebabkan dia mahu mengawal tangis, tidak dapat banyak yang ingin dia katakan. Dia seperti mahu pulang ke dakapan emaknya. Dan menghamburkan segala tangisan, namun dia tidak mahu membuatkan emaknya risau dan sedih akan hidupnya.

“Bila nak balik kampung?” soal Sepiah.

“Hmm, nanti Liya tanya Syawal. Sebab dia pun baru je kerja kan tahun ni kat company tu. Kalau nak balik nanti Liya bagitahu mak,” kata Liya dengan suara yang dibuat-buat ceria.

“Okey. Kirim salam dengan keluarga mertua kamu dan Syawal. Rajin-rajin tolong mak mertua kamu di sana tau Liya. Mak sayang kamu.” Panggilan diputuskan. Dan air mata Liya tanpa putus mengalir.

Adakah ini kebahagiaan rumah tangga yang dia cari? Kalaulah… kalaulah… Dia pendamkan saja ayat itu dalam hatinya.

WAJAH Syawal mula keliru dengan apa yang dia nampak. Sebuah beg baju telah dibungkus dan diletakkan di tepi. Manakala wajah Liya sangat tertekan.

“Sayang, nak pergi mana ni?” tanya Syawal yang baru saja pulang dari tempat kerja.

“Balik kampung.”

“Kan kita dan bincang. Hujung bulan depan kita balik,” balas Syawal dengan raut wajah yang penat. Dia tahu isterinya tertekan duduk di rumah ini. Tapi, apa yang boleh dia lakukan kerana emaknya banyak mengugutnya dan dia sendiri tidak pandai untuk melawan emaknya.

Liya mengeluh perlahan dan pandang wajah suaminya. “Saya je yang balik. Sayang duduklah sini.”

“Nanti apa kata mak awak?” Berdecit mulut Syawal.

“Saya nak rehat kat sini pun tak boleh tau. Kenapa mak awak sanggup buat saya macam ni? Saya pun menantu dia,” lirih suara Liya. Dia memang sudah tidak tahan lagi. Usia perkahwinan yang baru empat bulan sudah membuatkan dia tertekan. Bagaimana dia mahu mengharungi untuk hidup bersama suaminya di rumah ini.

Syawal terus memeluk isterinya dan Liya melepaskan air matanya yang tertahan-tahan. Dia sangat mencintai lelaki ini. Tapi, dia tidak sangka begini hidupnya di sini.

“Nanti saya akan cakap dengan mak untuk tak paksa awak buat kerja dan saya akan suruh mak cari orang gaji baru,” pujuk Syawal.

Liya menggeleng. “Bukan itu jalannya.”

Syawal membuat muka seperti tidak faham.

“Kita kena hidup sendiri. Kena keluar dari rumah ni.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience