HFM 77 | | Khabar Gembira?

Romance Series 131913

Pagi hujung minggu yang tenang itu Zane dan Dihya ambil keputusan untuk luangkan pagi dengan berbaring santai di kamar tidur mereka. Setelah membersihkan diri dan menikmati sarapan ringkas, mereka sepakat untuk menghabiskan waktu dengan bermalas-malasan di katil.

Kebetulan pula, sejak beberapa hari kebelakangan ini, Dihya memang merasa tidak enak badan, jadi dia memang enggan ke mana-mana mahupun melakukan apa-apa. Zane pula sememangnya tidak bercadang untuk keluar rumah pada hujung minggu itu, lebih memilih untuk menghabiskan waktu berkualiti bersama isterinya.

Dalam suasana yang nyaman, Dihya merehatkan kepalanya di dada bidang Zane, menikmati kehangatan tubuh lelaki itu. Sementara itu, Zane melayari e-mel melalui Ipad di tangannya yang satu lagi, manakala tangan sebelah lagi yang bebas bermain lembut dengan helaian rambut Dihya. Itu adalah salah satu aktiviti kegemaran Zane sejak awal perkenalan mereka. Dia amat menyukai rambut hitam ikal berkilat milik Dihya, menjadikannya salah satu hal yang paling disayanginya pada diri wanita itu.

Tidak lama kemudian, ketenangan itu dikejutkan dengan pergerakan tiba-tiba Dihya. Wanita itu meluru bangun dari katil dan bergegas menuju ke bilik air, membuatkan Zane ikut terperanjat. Hairan bercampur risau, Zane segera bergegas mengekori Dihya.

Fikirannya dipenuhi kebimbangan tentang keadaan tiba-tiba isterinya itu. Namun, setibanya di muka pintu bilik air, Zane melihat Dihya sedang membongkok di hadapan sinki, memuntahkan isi perutnya.

Zane segera menghampiri Dihya, berdiri di sisinya sambil mengusap lembut belakang badan wanita itu. “Sayang, awak okay?” soal Zane dengan nada cemas yang jelas.

Dihya tidak dapat membalasnya kerana masih tertunduk-tunduk muntah. Merah kedua belah telinganya menahan sebu.

“Dah berapa lama awak rasa macam ni?”

Dihya hanya menggeleng lemah, masih lagi terbatuk-batuk. Setelah selesai, dia berkumur dan membasuh mulutnya dengan air. Wajahnya kelihatan pucat dan lesu.
“Sejak beberapa hari lepas… rasa tak sedap perut, mual sikit-sikit. Ingatkan masuk angin biasa,” jawab Dihya perlahan, bersandar lemah pada kaunter sinki. Kepalanya berdenyut sakit akibat muntah tadi.

Zane menatap wajah Dihya dengan kening berkerut kerisauan. Anak rambut yang jatuh mengenai wajah Dihya di selak ke belakang telinga. “Kenapa awak tak beritahu saya? Kalau teruk macam ni, kita kena pergi jumpa doktor. Saya risaukan awak.”

Dihya menggeleng lagi. “Tak apalah, Zane. Mungkin kejap lagi okaylah. Nanti saya rehat hilang la ni."

“Tak boleh, sayang. Saya tak sedap hati tengok awak macam ni. Jom kita pergi hospital untuk buat pemeriksaan. Mana tahu kalau ada apa-apa yang serius,” tegas Zane lembut, membantu Dihya berdiri. “Saya takkan tenang selagi tak tahu awak betul-betul okay ke tak.”

Dihya melihat kerisauan yang terpancar jelas di mata Zane. Dia tahu tak kira apa sekalipun jawapannya nanti, Zane akan tetap bertegas dengan arahannya itu. Dengan lemah, dia mengangguk. “Okay... ”

Zane menghela nafas lega. Dia memeluk Dihya erat, mencium lembut ubun-ubun isterinya. “Terima kasih, sayang. Sekarang, mari kita bersiap. Saya akan bawa awak ke hospital.” Rasa cemas masih bergelayut di hatinya, namun dia berharap hasil pemeriksaan nanti hanya berkhabar baik saja. Semoga tiada apa-apa yang serius.

SETELAH tiba di hospital, Dihya menjalani serangkaian pemeriksaan rutin dengan teliti oleh doktor. Zane setia menemani di sisinya, hatinya dipenuhi debaran cemas. Bermacam-macam anggapan yang bermain dalam fikiran Zane ketika itu hingga dia tidak tahu hendak bagaimana. Apa dia mampu lakukan hanya berdoa agar semuanya akan baik-baik saja.

Usai pemeriksaan, mereka bertiga duduk bersama di meja konsultasi – Dihya menggenggam erat tangan Zane, menanti dengan perasaan bercampur aduk, sementara doktor tersenyum ramah memegang laporan di tangannya.

“Encik Zane dan Puan Dihya,” doktor memulakan bicara dengan nada ceria, matanya berbinar-binar. “Saya ada berita gembira untuk kalian berdua.”

Zane dan Dihya saling bertukar pandang, jantung mereka berdegup semakin kencang.

Doktor menarik nafas dalam sebelum menyambung, “Berdasarkan pemeriksaan yang telah dijalankan… Puan Dihya disahkan hamil! Usia kandungan kini dianggarkan sekitar dua bulan.”

Saat itu, bagaikan dunia berhenti berputar. Zane terpaku, matanya membulat tidak percaya. Senyuman perlahan merekah di bibirnya, semakin lama semakin lebar hingga menampakkan barisan giginya yang putih. Kegembiraan yang membuncah dalam dadanya terasa ingin meluap. Dia menoleh ke arah Dihya, wajahnya berseri-seri.

“Sayang… awak mengandung?” tanya Zane, suaranya bergetar menahan haru. Matanya berkaca-kaca, tidak percaya dengan anugerah yang baru didengarnya.
Dihya pula, pada mulanya hanya terpana, tidak mampu berkata-kata. Berita itu bagaikan kejutan yang terlalu indah untuk dipercayai. Perlahan-lahan, air mata mula membasahi pipinya, bukan lagi air mata kesakitan atau kerisauan, tetapi air mata bahagia yang tumpah tanpa dapat ditahan. Tangannya yang menggenggam tangan Zane semakin erat.

“Betul ke, doktor?” bisik Dihya, suaranya tercekat oleh emosi. Air matanya terus mengalir, membasahi pipinya. Rasa terharu dan gembira bercampur aduk dalam hatinya, melahirkan sebak yang tak tertahankan.

Doktor tersenyum lebar melihat reaksi pasangan itu. “Ya, Puan Dihya, benar sekali. Anda mengandung. Tahniah kepada kalian berdua!”

Zane tidak dapat menahan kegembiraannya lagi. Dia meraih kedua tangan Dihya dan menciumnya berkali-kali. “… sayang… ini berita yang paling indah yang pernah saya dengar!” serunya dengan suara yang bergetar. Matanya tidak lepas dari wajah Dihya yang kini dibasahi air mata bahagia. Dia menarik isterinya ke dalam pelukan erat, memeluknya seolah-olah tidak ingin melepaskannya lagi.“Terima kasih, sayang… terima kasih,” bisik Zane di telinga Dihya, suaranya serak menahan haru. “Saya janji akan menjaga kalian berdua sebaik mungkin. Saya janji.”

Dihya membalas pelukan Zane dengan erat, menyembamkan wajahnya di dada lelaki itu. Air matanya terus mengalir, namun kali ini adalah air mata kebahagiaan. Perasaan terkejut dan gembira bercampur menjadi satu, memeluk hatinya dengan kehangatan yang luar biasa. Dia mendongak menatap wajah Zane, senyuman manis terukir di bibirnya di tengah air mata yang masih berjejak.

“Saya… saya pun tak sangka, Zane. Terima kasih… terima kasih untuk segalanya,” balas Dihya, suaranya bergetar.

Doktor hanya tersenyum melihat kemesraan pasangan itu. “Baiklah, Encik Zane dan Puan Dihya. Sekarang kita perlu bincangkan langkah-langkah selanjutnya untuk menjaga kehamilan ini. Puan Dihya perlu menjaga pemakanan, berehat yang cukup, dan kita akan jadualkan pemeriksaan berkala.”

Namun, Zane dan Dihya masih tenggelam dalam kebahagiaan mereka. Berita tentang kehadiran nyawa baru dalam rahim Dihya adalah anugerah terindah yang pernah mereka terima. Rasa sakit dan kerisauan yang mereka alami sebelum ini seolah-olah lenyap ditelan kegembiraan yang membuncah. Hati mereka berdua dipenuhi harapan dan cinta yang semakin mendalam, menyambut babak baru dalam kehidupan mereka sebagai bakal ibu dan ayah. Dunia terasa lebih cerah dan indah dengan berita kehamilan ini.

Kyren menunggu di luar kereta sewaktu enjin kereta telah dihidupkan awal selepas menerima pesanan dari tuannya tadi. Matanya tertancap pada pintu masuk utama hospital, tempat di mana Zane dan Dihya dijangka akan muncul. Sementara menanti, fikirannya menerawang jauh, mengimbau kembali pertemuan pertamanya dengan wanita itu.

Malam itu sunyi dan dingin, udara dipenuhi bau ubat-ubatan yang menusuk hidung. Dihya baru sahaja sedar dari koma yang panjang, wajahnya pucat dan tubuhnya lemah. Kyren, yang ditugaskan untuk menguruskan hal-hal berkaitan kemalangan itu, merasakan simpati yang mendalam terhadap nasib gadis malang itu buat pertama kali selepas mereka bertemu. Kemalangan itu berpunca daripada kecuaian Zane, satu fakta yang membuatkan Kyren pada awalnya memandang rendah terhadap tuannya.

Dalam benaknya, Dihya hanyalah seorang mangsa, seorang adik perempuan yang perlu dilindungi daripada terus terluka. Perasaan itu tulus, tanpa sebarang agenda tersembunyi. Namun, segalanya berubah apabila Tuan Samsoong memberikan arahan yang tak terduga. Dihya, tanpa pengetahuannya, ditugaskan untuk menjadi pendamping Zane, satu rancangan yang dirahsiakan daripada tuannya sendiri.

Berita itu bagai tamparan hebat buat Kyren. Dia kecewa, terasa dikhianati oleh kepercayaannya sendiri. Sebab dia tahu yang dia takkan berdaya untuk menghalang rancangan itu, apatah lagi melindungi Dihya daripada sebarang kemungkinan bahaya yang menanti untuk Dihya lepas ni. Bayangan Astrid, bekas-bekas kekasih Zane yang menderita, menghantuinya. Dia takut sejarah akan berulang, Dihya akan menjadi mangsa seterusnya. Dan ketakutannya itu hampir menjadi kenyataan.

Kyren pernah menyangka hidup Dihya akan berakhir tragis. Namun, wanita itu membuktikan bahawa sangkaannya salah. Lebih mengejutkan, kehadiran Dihya membawa perubahan yang luar biasa kepada Zane. Lelaki yang selama ini dingin, angkuh, dan tidak peduli terhadap perasaan orang lain, tiba-tiba menunjukkan sisi manusiawinya. Kyren mengakui, dia berhutang budi kepada Dihya. Kalau bukan kerana Dihya sampai bila-bila Zane takkan bahagia.

Dan keputusan Zane untuk mengahwini wanita itu disambut dengan rasa lega dan berlapang dadanyq. Kyren yakin, dengan Dihya di sisi, Zane akan menjadi lelaki yang lebih baik, lebih bertanggungjawab.

Namun, keharmonian itu tidak kekal. Suatu hari, kebenaran tentang rancangan Tuan Samsoong terbongkar. Zane marah, rasa dikhianati jelas terpancar di mata itu sewaktu mereka berjumpa. Kyren tidak menyangkal kesalahannya. Dia tahu dia telah memperdayakan tuannya. Namun, jauh di lubuk hatinya, dia tidak menyesali keputusannya. Sebagai orang bawahan Tuan Samsoong, dia terpaksa akur. Zane, meskipun kecewa, tidak dapat berbuat apa-apa selain meluahkan perasaannya kecewanya pada Kyren.

Anehnya, kemarahan Zane tidak berlarutan. Beberapa hari kemudian, lelaki itu kembali seperti sediakala. Seakan tiada apa-apa yang berlaku, Zane melayani Dihya seperti biasa. Langsung tidak menunjukkan riak marah atau sedih.
Kyren sudah menjangkakan hal itu. Sejak menikahi Dihya, baran Zane tidak lagi sukar dikawal. Kehadiran wanita itu membawa ketenangan dan kestabilan dalam hidup tuannya.

Kini, berdiri di luar hospital, Kyren membuat ikrar dalam hati. Kesetiaannya tidak lagi hanya tertumpu kepada Tuan Samsoong saja. Dia juga akan mengabdikan dirinya untuk melindungi Dihya, satu-satunya sumber kebahagiaan dan ketenangan Zane. Wanita itu telah mengubah Zane menjadi lelaki yang lebih baik, dan Kyren akan memastikan tidak ada seorang pun yang akan menyakiti wanita itu lagi.

Pintu hospital terbuka, dan Kyren tersentak dari lamunannya. Zane dan Dihya berjalan keluar, tangan mereka bertaut erat. Zane merangkul pinggang isterinya dengan mesra, sementara Dihya tersenyum cerah sambil berbual dengan lelaki itu. Melihat kebahagiaan yang terpancar dari wajah mereka, Kyren mengukuhkan lagi tekadnya. Dia akan menjadi perisai bagi mereka berdua, memastikan kebahagiaan ini akan kekal selamanya.


"Tuan nak ke mana lepas ni?" Kyren membuka pintu seat belakang setelah Dihya dan Zane tiba dihadapannya.


"Bawa saya ke Tuan Samsoong."senyum Zane dengan senang.

Kyren yang lihat menjungkit kening kehairanan. Reaksi gembira Zane berbeza sekali dengan sewaktu mereka bertolak ke hospital awal tadi. Dari risau dan cemas kepada tersenyum senang? Memangnya apa yang diberitahu doktor semasa pemeriksaan tadi?

Dihya di samping Zane hanya senyum tersipu malu apabila Kyren melirik ke arahnya.


Membaca reaksi Dihya itu serta merta buatkan Kyren tersentak sedar. Dia membuat muka 'ahhh' lalu mengangguk faham. Tanpa berkata lebih dia pantas memberi laluan kepada Zane dan Dihya untuk masuk ke kereta. "Baik tuan."

Zane memimpin Dihya masuk ke dalam kereta sebelum dirinya.

Dan Kyren yang menutup pintu kereta itu hanya mampu menggeleng kepala. Baru aje dia berikrar nak melindungi Dihya. Dah bertambah pulak senarainya...makin bertambah la kerja dia nanti.

Share this novel

Zai Zai
2025-05-07 16:59:18 

next


NovelPlus Premium

The best ads free experience