Cuti rehat selama dua hari terasa sia-sia. Dia tidak dapat berehat dengan tenang gara-gara hal Emir. Sepatutnya, hari ini dia perlu masuk kerja semula. Tapi, Haris lah orang pertama yang membangkang keras. Kata Haris, dia perlu duduk di rumah dan rehat secukupnya. Pesanan tersebut disampaikan oleh emak kepadanya.
“Haris suruh minta cuti tambahan beberapa hari dulu dengan bos Dara.”
Begitulah kata emak.
“Kalau tak berani nak cakap, Haris boleh tolong cakapkan bagi pihak Dara."
Ini Dara pangkah keras-keras. Biar dia sendiri maklumkan sendiri kepada Atiya ataupun Amy. Dia tidak mahu Haris ikut campur urusan kerja dia.
Biarpun Dara diasak dengan soalan tentang hubungan Haris dengan Atiya, dia pilih untuk ketepikan dulu. Hal Emir lebih penting. Dan Dara beruntung. Atiya memberi dia perlepasan untuk cuti tambahan semalam dua hari lagi. Jadi, dua hari ini dia akan manfaatkan sebaik mungkin. Tinggi juga harapan bahawa urusan dia dan Emir bakal selesai.
Perlahan-lahan Dara menapak. Tiba-tiba dia jadi serba salah pula. Kalau tadi, dia punya keyakinan yang tinggi untuk berhadapan dengan Emir. Keyakinan dia merosot bila sampai ke tempat yang telah dijanjikan. Tadi Dara keluar ketika emak tiada. Ngam-ngam dia sampai saja sini, dia menerima panggilan emak. Dara hampir tiada ayat untuk memberi alasan kenapa dia keluar sedangkan dia disuruh berehat.
Hanya satu yang dapat mendiamkan leteran emak. Dia keluar bersama Haris atas urusan yang masih belum selesai. Barulah emak berhenti berleter. Emak menghentikan terus semua sesi soal jawab.
Dalam berani, ada sedikit juga rasa takut Dara. Ada rasa bimbang. Pertemuan perlu diadakan segera sebelum kebimbangan dia semakin menjadi-jadi.
“Emir, Mana awak?” Soal Dara sebaik panggilan bersambut. Dia membuat perkara gila dengan berjumpa dengan Emir berdua.
Sempat Dara pandang sekeliling. Dia sendiri terkejut bila Emir ingin berjumpa dengan dia di sini. Di belakang lorong-lorong bangunan yang belum siap sepenuhnya dan masih belum berpenghuni. Itu yang dia kesalkan. Bagaimana jika munculnya manusia yang berniat jahat terhadapnya?
“Saya dekat sini, Dara.”
Hampir melompat Dara bila mendengar suara datangnya dari belakang. Suaranya separa berbisik, bagaikan angin yang berlalu.
Dara pandang Emir atas bawah. Lelaki yang dia sanjung kerana tinggi budinya, nampak sedikit tidak terurus dengan jambang nipis yang mula tumbuh. Bawah mata Haris nampak bengkak sedikit. Namun semua itu sedikit pun tidak mencalarkan ketampanan Emir.
“Awak sihat, Dara?”
Soalan itu sepatutnya Dara ajukan kepada Emir. Keadaan Emir sedikit sebanyak membimbangkan dia.
“Kenapa awak lari macam ni Emir? Kalau awak tak salah, awak tak perlu lari.” Dara tidak tunggu lama untuk membincangkan punca utama mereka bertemu empat mata.
“Awak belum jawab soalan saya.” Mata Emir masih tidak lekang memerhati Dara, sempat dia titipkan senyuman.
Mengendur bahu Dara. Bukan senyuman yang dia dambakan daripada Haris. Dia meraih penjelasan kenapa Emir itu lari ke sana sini. Tak ubah seperti penjenayah. Kalau Emir itu tidak melakukan sebarang kesalahan, kenapa perlu dia melarikan diri? Itu yang dia ingin sangat tahu.
“Kesihatan saya tak penting, Emir. Kalau saya sakit, saya pun tak akan sampai ke sini. Keadaan awak lebih penting sekarang ini.” Kata Dara bersama seraut wajah yang tampak risau.
Emir memang begini. Apa-apa pun keadaan, dia pastikan tersenyum sampai ke telinga dahulu. Kononnya, senyuman itulah yang bakal membelai semua bibit-bibit marah dia. Dan perlu dia akui, sememangnya senyuman Emir itu menghanyutkan.
“Betul ke awak dengan Suraya tidak bersubahat?”
Senyuman Emir nampak kaku seketika. Cepat-cepat dia menutup rasa gugupnya sebaik mendengar soalan Dara.
“Awak ada jumpa Suraya?” Emir sengaja membalas dengan soalan. Dia perlu tahu jika wujudnya pertemuan di antara mereka berdua.
Dara diam sejenak. Dia mula menimang-nimang sama ada mahu jujur atau tidak.
Seminit kemudian, gelengan Dara menjawab soalan Emir.
“Ada cerita yang sedang tersebar luas dipejabat. Tapi saya tak percaya. Saya nak dengar sendiri daripada mulut awak, Emir.” Kata Dara penuh mengharap.
Tidak tahu mengapa, agak sukar Dara percaya Emir itu jahat, Emir itu sanggup melakukan kerja-kerja terkutuk tersebut.
“Mungkin saya rapat dengan Suraya, sebab tu mereka anggap saya bersubahat. Walhal, sampai sekarang saya masih belum dipanggil untuk memberi sebarang keterangan." Nafi Emir.
Dara gigit bibir. Ada benarnya kata Emir. Daripada ayat Amy, Emir itu hanya mengambil cuti. Tidak pula disebut ke balai untuk menjadi saksi atas apa yang sedang berlaku. Dara jadi separuh-separuh untuk mempercayai cerita Emir.
“Pasal report tu…” Tergantung ayat Dara.
Disebabkan terlalu marahkan Emir, Dara buat keputusan atas pemikiran dia yang cetek. Dia terus ke balai polis untuk membuat laporan polis. Tapi salah Emir juga. Kalau Emir menghubungi dia lebih awal, dia pasti tidak akan sanggup membuat laporan polis.
“Saya tak berniat untuk curi duit awak, Dara. Awak pun tahu keadaan keluarga saya macam mana. Saya dah janji akan kembalikan semula semua duit awak tu.” Emir menyambung ayat Dara. Dia memberi sorotan simpati.
Dara mula merasai kekalahan bila menatap wajah sugul Emir. Dia kalah dengan renungan lembut milik lelaki yang dia puja-puja. Dia hampir tersungkur bila Emir merapatkan jurang mereka. Bahkan hampir putus nafas.
“Saya minta maaf Dara sebab banyak menyusahkan awak.”
Permohonan maaf Emir, Dara terima dengan hati terbuka kerana Emir tidak melarikan diri. Emir masih mahu berjumpa dengan dia lagi.
“Saya lelaki tak guna!”
Lemah gelengan Dara. Emir itu lelaki yang berguna sebenarnya. Lelaki yang sentiasa mendahulukan orang tuanya. Lelaki yang sedar dimana letaknya tanggungjawab dia sebagai anak lelaki yang sulung.
“Tak perlu susah payah awak tarik semula laporan tu. Memang patut pun saya dapat hukuman atas kesalahan saya.”
Lagi, Dara kalah. Sungguh! Dia benar-benar menyesal atas perbuatan dia membuat laporan membuta tuli. Kalaulah dia bersabar sehari dua, pastinya dia diperdengarkan dengan alasan Emir. Akan tetapi, ketika itu kemarahan dia meraja.
“Saya minta maaf Emir…” Luah Dara kesal.
Kepala Emir bergerak ke kiri dan kanan. Dia yang bersalah.
“Awak tak pernah salah, Dara…Kalau saya di tempat awak, saya pun akan melakukan hal yang sama. Siapa yang tak marah kan?” Hujung ayat, Emir tergelak kecil.
Dara semakin dihimpit rasa bersalah bila melihat Emir mampu ketawa biarpun hambar.
“Maafkan saya, Dar…” Pinta Emir masih lagi dengan senyuman dia.
Entah kenapa, Dara bungkam. Dia hilang keupayaan untuk merangka ayat. Hanya bibir dia saja bergerak, namun suaranya tersekat. Dia tidak mampu bersuara hatta sepatah pun.
“Saya sendiri akan serah diri…”
No! Rakus Dara geleng kepala. Kalau Emir serah diri, bermakna lelaki itu bakal di tahan untuk siasatan. Kemudian, bakal meringkuk dalam penjara untuk sebutan kes. Sekurang-kurangnya, Emir bakal tidur di dalam lokap selama seminggu. Barulah, Emir bakal bebas. Itupun, kalau Emir mampu membayar denda barulah dia di bebaskan.
Nanti apa kata orang tua Emir? Pasti mereka akan menolak mentah-mentah Dara sebagai menantu mereka kerana dia sanggup menghumban Emir ke dalam penjara.
Emir berpusing untuk pergi. Melihat Emir mengangkat kaki, Dara jadi tidak tentu arah.
“Nanti Emir!”
Baru selangkah, Emir berhenti. Dia kekal di situ tanpa menoleh pada Dara.
“Saya akan usahakan untuk tarik laporan polis tu. Saya akan pastikan kehidupan awak akan kembali seperti biasa. Demi kebaikkan kita.” Dara mula menabur janji biarpun dia tahu siapa lawannya.
Perlahan-lahan Emir melorek senyuman kemenangan. Senyuman yang sulit untuk ditafsirkan, sebelum senyuman itu bertukar menjadi senyuman biasa yang dia tayangkan buat tatapan Dara. Emir menoleh.
“Itu bakal menyusahkan awak, Dara.”
“Tak, Emir…Awak tak menyusahkan saya.” Dara memberi jaminan bahawa dia tidak akan melalui kesusahan walaupun seraut wajah dingin milik Haris sudah menyapa pandangan matanya.
Melebar senyuman Emir. Dia boleh menjangkakan ayat itu yang bakal disebut Dara. Dia sudah dapat merasakan Dara itu boleh diharapkan. Dan dia tahu, Dara itu tidak akan memungkiri janji. Dara akan lakukan apa saja untuk menyelamatkan hubungan mereka.
“Cuma…” Tergantung ayat Dara.
“Bagi saya masa, Emir untuk tarik semula laporan tu. Pegawai yang ambil kes saya ada urusan luar negara. Jadi, saya perlu menunggu dia kembali.” Demi menyedapkan hati Emir, dia mereka cerita. Padahal, dia perlukan masa untuk mencari jalan untuk berhadapan dengan Haris.
“Buat masa ini, mungkin pihak polis akan cari awak. Jadi, awak sembunyi dulu di mana-mana.” Pandai-pandai Dara mengarah.
“Awak boleh beri saya tempoh untuk kembalikan semula duit awak, kenapa saya tak boleh bersabar…” Emir mula melancarkan ayat-ayat manisnya untuk membeli jiwa Dara.
“Tapi jangan lama-lama. Saya nak berjumpa awak macam dulu-dulu. Bukan berjumpa sembunyi-sembunyi macam ni.”
Dara tersenyum tipis mendengar harapan Emir. Dia juga begitu. Dia tidak mahu hidup dalam keadaan sebegini. Dia juga tidak mahu menyusahkan sesiapa.
Ketika itu mereka sayup-sayup mendengar siren berkumandang. Dara mula panik. Entah itu siren polis ataupun ambulance.
“Pergi cepat, Emir!” Dara terlebih dahulu bersuara. Dia tidak mahu Emir tertangkap.
“Thanks, Dar…” Ucap Emir sebelum lelaki itu membuka langkah seribu. Emir berlari dicelah-celah bangunan sebelum Emir hilang dari pandangan matanya.
Barulah Dara mampu tarik nafas lega.
Kelegaan Dara lesap bila siren itu kedengaran cukup kuat dari belakang. Lantas dia menoleh. Bukaan mata dia semakin besar bila melihat susuk tubuh yang turun dari perut kereta dan berjalan menghampiri dia dengan muka yang sukar dia tebak.
Dara resah-gelisah. Peluh mula terbit.
“Seorang perempuan sangat berani bersendirian di lorong sunyi. Tak takut dirinya menjadi mangsa orang-orang jahat."
Suara itu membuatkan Dara teguk liur biarpun payah. Derapan kakinya cukup teratur. Tidak tergesa-gesa menghampiri Dara.
“Mungkin ada saka yang melindungi sampaikan tak merasa gentar langsung bahawa dirinya bakal menjadi mangsa lelaki bernafsu binatang.”
Seluruh tubuh Dara berpeluh. Dia langsung tidak memikirkan hal itu. Dia tidak terfikir dirinya terdedah menjadi mangsa rompakan mahupun rogol.
Dara tidak berani angkat muka bila susuk tubuh lebih tinggi daripada dia berhenti tepat di hadapannya. Dara hanya mampu melihat hujung kaki lelaki itu.
“Saya dengar-dengar, akan berlakunya penjualan dadah di sini. Sebab tu saya muncul.”
Dara panggung kepala. Dia menemukan wajah serius milik lelaki ini.
“Awak penjual atau pembeli bahan terlarang tu?”
Soalan lelaki ini tak masuk dek akal. Dara bukan penagih atau tokan dadah. Dia hanya datang berjumpa dengan Emir.
“Saya sesat, Haris.” Dara tidak mahu Haris tahu dia baru berjumpa dengan Emir.
Haris memandang kereta milik Dara yang hanya dua langkah dari dia. Pintu kereta sebelah pemandu masih terbuka. Dia tahu, Dara itu menipu. Matanya nampak tidak keruan.
Lima minit Haris diam. Dia sibuk memerhati keadaan sekeliling. Memerhati apa saja yang boleh menimbulkan rasa curiga.
“Mungkin saya salah terima maklumat.” Hanya itu yang Haris katakan.
“Awak ada pen?” Haris pandang Dara semula.
Soalan rawak Haris menimbulkan beberapa lapisan di dahi Dara. Disaat-saat genting begini Haris sibuk mencari pen?
“Saya nak tulis laporan bahawa tiadanya berlaku penjualan atau pembelian dadah di sini.” Haris menyatakan tujuan dia meminta.
Seminit Dara masih kaku sebelum permintaan Haris itu menyerap ke dalam otaknya dan barulah dia sedar apa yang diperlukan Haris.
Terkoncoh-koncoh Dara masuk ke dalam kereta. Dia mencari-cari pen yang diperlukan Haris. Sebaik jumpa pen tersebut, pergerakkan Dara terhenti bila tubuh Haris menghalang dia keluar dari kereta. Telapak tangan lelaki itu sudah di hulurkan kepadanya.
Lambat-lambat Dara meletakkan pen tersebut di telapak tangan Haris. Tiada tanda-tanda Haris ini tersenyum. Dia masih saja begitu. Serius.
“Terus balik. Sini bahaya. Boleh jadi mereka yang jahat-jahat akan muncul sekejap lagi.” Haris terlebih dahulu menutup pintu kereta untuk Dara sambil dia berdiri tegak di luar kereta. Menunggu Dara beredar dari sini.
Sengaja Dara tidak menurunkan cermin kereta. Dia tidak punya ayat untuk bercakap dengan Haris. Dia takut kegugupan dia bakal membocorkan rahsia dia bertemu dengan Emir. Tanpa berlengah, kereta dia sudah meluncur pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.
Haris hela nafas. Helaan nafas itu kedengaran seperti merengus pun ya. Pen tadi dihulurkan kepada anggota yang sudah berdiri disebelah dia.
“Bawa ni ke balai. Nanti saya akan dengar apa perbualan hangat antara mereka berdua.” Haris memberi arahan.
“Baik, Tuan!”
Arahan dia diterima cukup jelas. Cukup tegas.
Share this novel