Eizman menyambung, suaranya masih terkawal tetapi membawa maksud yang lebih mendalam.
"Ayana, setiap benda ada dua sisi, apa yang nampak di luar dan apa yang sebenarnya ada di dalam. Hakikat sebenar tak berubah, cuma luaran je yang boleh berubah ikut keadaan. Kalau awak cuma nampak apa yang ada di permukaan, awak takkan pernah tahu apa yang sebenarnya tersembunyi di dalamnya."
Dia berhenti sejenak, membiarkan kata-katanya meresap ke dalam fikiran Ayana sebelum meneruskan,
"Manusia ni awak boleh kenal rupa dia, tapi awak takkan pernah betul-betul tahu apa yang ada dalam fikiran dia. Jadi, awak yakin ke seseorang boleh dinilai cuma dari luaran?"
Ketawa Ayana perlahan-lahan memudar, digantikan dengan ekspresi yang lebih dingin.
Dia tahu jawapannya, sudah tentu seseorang tidak boleh dinilai hanya dari luaran.
Kehadiran Zana dalam hidupnya sudah cukup menjadi bukti bahawa manusia boleh menjadi sesuatu yang jauh berbeza daripada apa yang mereka perlihatkan.
Ayana menarik nafas dalam, sebelum bersuara perlahan, tetapi tegas,
"Tapi, saya rasa kita tak serasi, Encik Eizman… Saya sebenarnya tak kenal awak, dan saya pun tak nampak lebih dari apa yang awak tunjuk, apatah lagi siapa awak yang sebenar."
Dia berhenti sejenak sebelum menyambung, nada suaranya sedikit lebih lembut tetapi tetap jelas,
"Lagpun, sayabaru je putus dengan teman lelaki saya tadi. Saya masih belum move on, dan kalau saya terus masuk dalam hubungan baru sekarang, saya takut saya jadi terlalu susah nak dihadapi, dan itu pun macam tak hormat awak."
Eizman mendengar kata-katanya tanpa sebarang reaksi tergesa-gesa. Pandangannya tetap tenang, seolah-olah sudah menjangkakan jawapan tersebut.
"Saya tak harap awak setuju sekarang, Ayana. Saya cuma jawab soalan awak kenapa saya ada kat sini. Mengejar awak tu urusan saya, dan asaya tak suka orang tentukan apa yang patut saya buat.”
Dia berhenti seketika, memberi ruang kepada Ayana untuk menghadam kata-katanya sebelum menyambung dengan nada yang tetap tenang tetapi penuh ketegasan,
"Keputusan awak, hak awak. Tapi saya pun ada keputusan sendiri, and I will not take ‘No’ for an answer.”
Ayana terdiam.
Seulas senyum halus muncul di bibir Eizman sebelum dia berkata,
"Cik Ayana, saya alu-alukan awak untuk kenal saya dengan lebih dalam. Bila-bila masa je awak nak.”
Ayana terpaku, kehilangan kata-kata saat melihat Eizman berpaling dan melangkah keluar dari bilik.
Dia dibiarkan sendirian dalam keheningan, namun fikirannya masih terperangkap dalam kata-kata lelaki itu.
Pada wajahnya yang selama ini kosong dan tanpa riak, muncul sedikit perubahan, sesuatu yang sukar dijelaskan.
Keputusan adalah haknya, tetapi menolak penolakannya pula hak lelaki itu?
Jadi, di mana letaknya pilihan dia sebenarnya?
Setelah semua yang dikatakan oleh lelaki itu tadi, satu perkara dapat disimpulkan dengan jelas—
Eizman memang mahukannya, tanpa ragu.
Lelaki ni memang…
Menyedari betapa ironinya situasi ini, Ayana hanya menggelengkan kepalanya sebelum menarik selimut, membalut dirinya dalam kehangatan yang tidak dapat menenangkan hatinya.
Dia menghela nafas panjang. Namun, sebaik sahaja perutnya berbunyi kelaparan, kesunyian bilik itu kembali terasa begitu nyata.
Dia bangkit perlahan, melangkah menuju ke dispenser air automatik. Dia menuang segelas air, meneguknya perlahan, sebelum kembali berbaring.
Segala pergerakan itu dilakukan dengan begitu semula jadi sehingga dia sendiri tidak menyedari, pada saat ini, dia sebenarnya memerlukan seseorang untuk menjaganya.
Ketika Ayana pulang dari luar negara tiga tahun lalu, dia tidak pernah merasai nikmat dijaga oleh seseorang yang sepatutnya berada di sisinya. Segalanya dilakukan sendiri, seperti biasa.
Ketika itu, syarikat Zaqwan, Syarikat Suria menghadapi saman besar berkaitan kualiti produk kosmetik mereka. Selepas membayar pampasan yang tinggi, syarikat itu jatuh ke dalam jurang hutang yang banyak.
Demi membantu, dia memilih untuk menyertai Syarikat Suria, meninggalkan syarikat ibunya telah tinggalkan untukknya, tanpa mengamil alih syarikat itu secara rasmi.
Pada awalnya, mereka menghadiri majlis perniagaan bersama, namun, lama-kelamaan, hubungan mereka perlahan-lahan berubah. Sehingga akhirnya, dia dan Zaqwan lebih banyak menghadiri majlis secara berasingan.
Dan kerana itu, dia terdedah kepada pelbagai situasi yang tidak diingini.
Berapa kali dia mengalami gangguan seksual, dipandang sebagai sasaran kerana tidak berada di bawah perlindungan sesiapa?
Berapa kali dia tenggelam dalam kerja dan keletihan, hanya untuk melupakan kesakitan yang menyesakkan dadanya?
Berapa kali dia bergantung kepada ubat-ubatan yang disimpan dalam laci untuk meredakan sakit kepalanya yang semakin parah akibat tekanan dan keletihan melampau?
Namun, dia tetap bertahan.
Selain menguruskan syarikat ibunya yang ditinggalkan, dia juga harus membina syarikat perhubungan awam untuk Syarikat Suria, di samping menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Minyak Wangi di syarikat itu.
Dia memberi segalanya.
Selama tiga tahun, dia tetap setia di sisi Zaqwan, menemaninya melalui saat-saat sukar, memastikan syarikat itu kembali stabil.
Namun, sebagai balasan,
Pengkhianatan.
Dan dengan alasan yang begitu mudah…
“Dingin dan keras kepala.”
Seolah-olah segalanya tidak bermakna. Seolah-olah segala pengorbanannya tidak pernah dihargai.
Dia sendiri tidak pernah mahu menjadi seperti ini.
Dia juga ingin menjalani kehidupan seperti mana seorang wanita sepatutnya, bekerja dengan tenang, memakai pakaian cantik, menikmati makan malam bersama rakan-rakan, atau mengembara ke seluruh dunia tanpa beban…
Tetapi, itu bukan pilihan yang dia miliki. Kali ini, dia benar-benar ditinggalkan sendirian.
Jika bukan kerana kekuatan dirinya sendiri, siapa lagi yang akan berdiri menyokongnya?
Di dalam bilik wad yang sunyi, Ayana hanya mampu menghela nafas perlahan.
Berbeza dengan wadnya yang lengang, wad di sebelah, wad Zana, penuh dengan kehadiran manusia.
Semua ahli keluarganya hadir, Nenek Jarmilah, Ayahnya Zahari, Ibunya Yasmeen, Zaqwan, serta beberapa rakan Zana yang berada di atas kapal semasa kejadian.
"Kakak kau memang melampau. Kau dah minta maaf, tapi dia still sanggup tuang air panas kat kau?"
"Zana, baik kau jauhkan diri dari kakak kau. Duduk dekat dia cuma buat kau susah je. Aku pun seram tengok muka dia yang selalu serius tu."
"Betul tu, mana ada perempuan asyik pakai baju formal warna gelap, muka pun sentiasa tegang? Aku dengar tak ada siapa yang boleh lawan dia dalam syarikat Abang Zaq. Siapa yang kena dengan dia, memang nahas…"
Di sisi, Zaqwan mengerutkan dahinya sedikit, mendengar kata-kata itu dengan riak wajah yang perlahan-lahan berubah menjadi dingin.
Sebagai seseorang yang sensitif, Zana segera menyedari perubahan ekspresi Zaqwan. Wajahnya yang tanpa secalit solekan menampilkan kesedihan yang samar.
"Apa pun, dia tetap kakak aku. Memanglah dia tu selalu nampak serius, tegang, dingin, tapi dia tak pernah pun buat benda-benda melampau.”
Seorang rakan Zana mendengus kecil sebelum membalas dengan nada penuh kesal,
"Tak melapau? Zana, kau ni baik sangatlah. Aku dah cakap banyak kali, jadi baik sangat pun tak bagus. Semua orang tahu apa yang dia dah buat kat kau. Kalau bukan sebab dia, kau takkan jadi macam ni sekarang…"
“Cukup!”
Suara tegas bergema dalam bilik itu, memecahkan perbualan yang semakin keterlaluan.
Wanita tua yang sejak tadi diam di sisi, Nenek Jarmilah, tiba-tiba bangkit berdiri.
Wajahnya tegang, jelas tidak senang dengan apa yang dia dengar.
Nenek Jarmilah bukanlah seorang yang tinggi, sekadar sekitar 1.6 meter. Rambut putihnya diikat kemas dalam sanggul, wajahnya sarat dengan garis usia, namun matanya masih bersinar dengan ketegasan yang mendalam.
Meskipun usianya lanjut, sesiapa pun dapat melihat bahawa ketika mudanya, dia bukanlah seseorang yang mudah untuk ditangani.
Sejurus suaranya bergema, suasana serta-merta menjadi senyap.
Nenek Jarmilah melangkah ke arah Zana dengan wajah serius. Zana menatapnya dengan keterkejutan yang jelas, dan ekspresi malangnya membuatkan wanita tua itu terdiam sejenak, seolah-olah menilai sesuatu yang tidak terungkap.
Akhirnya, Nenek Jarmilah bersuara, nadanya tegas tetapi penuh maksud tersirat.
"Kamu buat keputusan yang betul tak bagi benda ni sampai ke media. Lagipun, kakak kau tu masih sebahagian dari keluarga kita… Tak perlu nak tambahkan masalah."
Di pertengahan ucapannya, Nenek Jarmilah terhenti seketika. Kilatan jijik melintas di matanya, seolah-olah hanya menyebut nama Ayana sudah cukup untuk mencemarkan martabatnya.
Zana memasang wajah penuh kepiluan, ekspresinya lembut dan tunduk.
"Ya, nek. Sebenarnya, memang patut pun kakak marah saya. Saya yang tak berhati-hati…"
Mendengar kata-kata itu, Nenek Jarmilah seolah-olah teringatkan sesuatu. Rasa jijik di wajahnya semakin jelas.
"Dah, tak payah sebut pasal dia lagi. Jumaat malam depan, Mega Konsortium ada majlis perlantikan CEO global di Hotel Five Points. Kamu kena datang."
Sebaik sahaja wanita tua itu selesai berbicara, bilik yang tadinya sunyi serta-merta dipenuhi perbualan yang bersemangat.
"Pemuda dari Mega Konsortium tu?"
"Ya, lepas bertahun-tahun kerja kat luar negara dan stabilkan semua cawangan, akhirnya dia akan ambil alih Mega Konsortium sepenuhnya."
"Aku dengar dia balik dalam dua hari lagi."
"Baru 28 tahun, tapi dah jadi CEO global? Hebat!"
Melihat keterujaan di wajah para wanita yang berbicara, Zana hanya tersenyum sinis dalam hati.
Namun, di permukaan, dia tetap mengekalkan ekspresi tenang dan patuh. Dengan nada lembut, dia mengangguk perlahan.
“Baik, nenek.”
Melihat betapa sopan dan tunduknya Zana, Nenek Jarmilah kelihatan begitu puas hati.
Kemudian, dia menoleh ke arah Zaqwan yang sejak tadi diam, lalu bersuara,
“Zaqwan, kamu temankan Zana.”
Wajah cantik Zana berubah sedikit kemerahan. Dia menggigit bibirnya perlahan, melirik sekilas ke arah Zaqwan sebelum segera menundukkan kepalanya.
Tatapan malu-malu itu membuat beberapa lelaki dalam bilik tidak dapat mengalihkan pandangan darinya.
Bibir Zaqwan yang tadinya tegang sedikit mengendur. Akhirnya, dia mengangguk dan menjawab dengan suara tenang tetapi penuh kelembutan,
“Baik.”
Nenek Jarmilah mengangguk dengan lebih puas. Pandangannya jatuh kepada Zana yang masih menunduk dengan wajah kemerah-merahan, dan senyuman kecil muncul di matanya.
“Dah. Biarkan Zana berehat. Nenek nak pergi wad sebelah.”
Mendengar kata-kata itu, ekspresi cemas segera muncul di wajah lembut Zana. Dia mengangkat kepalanya, matanya penuh kerisauan ketika menatap Nenek Jarmilah, sebelum berkata dengan nada penuh simpati.
"Nenek, Kakak lagi lama dalam air dari Zana. Dia baru je sedar, janganlah marah dia."
Nenek Jarmilah memandang Zana sekilas, namun nada suaranya tetap tegas.
"Dah, kau tak payah masuk campur. Nenek tahu apa yang nenek buat."
Selesai berkata begitu, ekspresi Nenek Jarmilah serta-merta berubah dingin. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia berpaling dan melangkah pergi dengan penuh kemarahan.
Zana menundukkan kepalanya, wajahnya dipenuhi dengan ekspresi sayu. Ketika ayahnta dan ibunya melintasinya, dia kembali bersuara, nadanya lembut dan merayu.
"Ayah, Ibu, tolong jangan bagi nenek marah."
"Ya lah, ya lah… budak ni."
Ibunya, Yasmeen, menjawab dengan nada separuh membebel sebelum berlalu keluar bersama ayahnya. Wajah mereka berdua jelas tidak begitu senang, tetapi mereka tetap mengikuti langkah Nenek Jarmilah menuju ke wad sebelah.
Di dalam wad Ayana, dia langsung tidak berasa mengantuk. Lagipun, dia sudah tidak sedarkan diri lama. Sebaliknya, perutnya mula berasa tidak selesa akibat kelaparan.
Dia berniat untuk mencari sesuatu untuk dimakan apabila terdengar ketukan di pintu.
Ayana terhenti seketika sebelum menjawab perlahan,
“Masuk.”
Sebaik sahaja kata-katanya selesai, pintu terbuka.
Seorang lelaki tinggi dalam sut hitam melangkah masuk. Wajahnya asing di matanya, membuatkan Ayana mengerutkan dahi sedikit.
“Siapa awak?”
Lelaki itu mengangguk sopan sebelum bersuara.
“Selamat petang, Cik Ayana. Saya Yusri, setiausaha Tuan Eizman. Ini bubur yang dia minta saya sediakan untuk cik.”
Ayana tidak berkata apa-apa.
Namun, perlu ke lelaki itu bertindak secepat ini?
Dia menarik nafas perlahan sebelum bersuara, nada suaranya terkawal tetapi jelas.
“Encik Yusri, maaf… rasanya saya belum cukup mengenali ‘tuan’ awak untuk menerima layanan macam ini.”
Namun, Yusri hanya tersenyum sopan sebelum menjawab dengan nada yang tenang tetapi penuh makna,
"Cik Ayana, tuan pesan supaya cik tak makan makanan berat sebab baru je sedar. Kalau cik tak nak ni, maksudnya cik tak suka. Dan kalau macam tu, dia suruh saya bawakan makanan lain sampai Cik Ayana puas hati dan habiskan semuanya."
Ayana terdiam, menatap lelaki itu dengan ekspresi sukar ditafsirkan.
Lelaki itu… tak sangka sejauh ini dia bertindak..
Share this novel