Bab 6

Romance Series 11562

LANGKAH kaki Rizal diatur perlahan-lahan, mendaki anak tangga untuk memasuki bangunan yang menjadi tempatnya bekerja. Setelah makan bersama Amira semalam, Rizal kembali meronda di sekitar kawasan pekan dan perumahan berhampiran tempat tinggalnya. Seharian dia berputar mengelilingi kawasan sekitar untuk lebih mengetahui penempatan sekitar tempat tinggalnya sekarang. Tiba waktu malam, dia langsung tertidur awal tanpa sempat mendapatkan makan malam kerana kepenatan.

Pagi ini, setelah sedar daripada tidur, dia segera bersiap dan menuju ke tempat kerja tanpa sempat bersarapan. Perutnya yang sedang meminta diisikan itu menyebabkan tubuh Rizal tidak bermaya dan langkah kakinya juga sedikit longlai. Apatah lagi pekerjaan yang akan dilakukannya nanti sangat tidak disukai olehnya sendiri, menyebabkan Rizal langsung tiada semangat.

"Lima bulan, tiga minggu lagi.. mati la aku nak teruskan hidup macam ni.." Rizal berbicara perlahan sambil menghitung waktu sengsara yang akan dihadapinya. Seminggu yang berlalu sahaja sudah membuatkan dia hampir berputus asa. Kehidupannya di sana sudah dianggap sebagai neraka di dunia. Segala yang berkisar dalam hidupnya kini tiada yang menyenangkan hati.

Tiba-tiba bayangan wajah Amira muncul dibenak Rizal.

'Ah, cuma perempuan tu je la yang menyenangkan hati aku.' getus hati Rizal.

"Selamat pagi! Nah, untuk awak.." Amira tiba-tiba muncul di depan mata Rizal sambil menghulurkan satu beg plastik kepada lelaki tersebut. Rizal sedikit tersentak. Terkejut dengan kemunculan Amira yang tidak terduga.

"Eh, saya baru fikirkan pasal awak, tiba-tiba awak dah muncul." Rizal tersengih.

"Fikirkan pasal saya? Kenapa pulak?"

"Ah, saya sebenarnya fikir pasal semalam.. pasal makan kat warung tu.. terima kasih sebab dah belanja saya.. memang sedap sangat." Rizal menggaru-garu kepalanya sambil tertawa kecil.

" Sama-sama.. nah, ambil ni." Amira masih memegang beg plastik yang dihulurkan kepada Rizal.

"Apa ni?" Rizal baru menyambut pemberian Amira kepadanya. Lelaki itu segera melihat isi di dalam beg plastik tersebut. Satu bekas makanan yang tertutup rapat.

"Makanan untuk awak la.. saya tahu, awak mesti tak makan lagi kan?" Amira tersenyum. Dia sedar Rizal sedang kesusahan dan kesempitan wang. Jadi sebagai seorang sahabat, dia ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan kesusahan lelaki tersebut.

"Awak masak sendiri?" Rizal sedikit teruja dan gembira. Gadis di hadapannya itu benar-benar prihatin dan baik hati.

"Ye la.. nak berjimat, kena masak sendiri.. kalau asyik nak makan kat kedai, mana la cukup duit.. dah la baru kerja.. hari ni saya buat nasi lemak. Sebab dah masak banyak, saya kongsi la dengan awak sikit.. nanti cuba la rasa.. kalau sedap, jangan lupa puji... kalau tak sedap, awak diam-diam je la.." Amira berseloroh seraya tertawa sambil menutup mulutnya dengan telapak tangan.

"Terima kasih.. saya betul-betul tak sangka, dapat jugak makan hari ni.." Rizal mengulangi ucapan terima kasihnya kepada Amira. Matanya tidak berkedip memandang ke arah bekas plastik yang mengandungi nasi lemak pemberian gadis tersebut. Satu perasaan syukur menerjah di hati lelaki itu tanpa dia sedari.

"Ya, sama-sama.. saya pun takde apa nak tolong awak. Cuma macam ni je la saya boleh tolong kawan-kawan saya.. Ada rezeki sikit, kita pakat kongsi dengan orang lain.. Rezeki ni memang kita tak boleh jangka. Percayalah kepada janji Allah. Setiap makhluk yang melata di muka bumi ni dah dijamin rezekinya oleh Allah, termasuklah manusia.. Dalam al-quran Allah bagitahu, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan jika kamu kufur, ingatlah sesungguhnya azabKu amatlah keras. Jadi kalau nak rezeki awak sentiasa bertambah, sentiasalah bersyukur.."

Mendengar kata-kata Amira, Rizal langsung terpempan. Ucapan itu bagai menusuk ke sanubarinya. Jiwanya bergetaran. Terjemahan ayat al-quran yang dibacakan oleh Amira itu bagaikan satu nasihat dan ancaman pada masa yang sama.

'Bersyukur untuk ditambahi nikmat.. jika tidak, azab Allah sangat keras..' Rizal merenungi ayat tersebut di dalam hatinya.

"Saya nak masuk pejabat dulu.. nanti terlambat pulak nak punch card.." Amira segera berlalu pergi, meninggalkan Rizal sendirian yang masih termangu ditempatnya berdiri.

Rizal hanya melihat Amira yang pergi semakin menjauhi dirinya. Kata-kata gadis itu tadi seolah masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. Lelaki itu kemudian menatap kembali bekas makanan yang berada di tangannya.

'Apakah kesusahan aku sekarang ni sebab balasan daripada Allah? Selama ni aku tak pernah peduli pasal agama.. aku hidup dalam kemewahan.. penuh dengan rasa bangga.. keluarga aku kaya.. tapi aku langsung tak pernah bersyukur.. aku tak pernah nak ingat kat Allah.. mungkinkah kesusahan aku ni sebab azab daripada Allah? Betul ke Allah dah tarik nikmat kekayaan yang dia berikan kat aku selama ni?' Rizal terus bermonolog, merenungi kehidupannya yang jauh daripada agama selama ini.

"Alhamdulillah Ya Allah.. aku syukur di atas rezeki yang kau berikan ni." Rizal memandang ke arah bekas yang mengandungi nasi lemak pemberian Amira. Dia juga kembali terimbau kejadian semalam dimana Amira telah membayarkan harga makanannya ketika di warung. Rizal benar-benar berharap, rasa syukur yang dia lafazkan itu akan diberi balasan rezeki yang berterusan. Dia mulai yakin, Allah menghantarkan Amira semata-mata untuk memberikan rezeki kepadanya.

'Tapi aku tak pernah sembahyang.. Allah nak dengar ke permintaan aku ni?' Sedetik kemudian, Rizal kembali ragu-ragu. Dia baru sedar jika dirinya selama ini hidup dalam penuh kemaksiatan dan jauh daripada Allah. Dia khawatir jika dirinya yang penuh dosa itu tidak mendapat pengampunan Tuhan dan tidak akan dipedulikan doanya sama sekali oleh Sang Pencipta.

Lelaki itu kemudian berjalan menuju ke arah stor penyimpanan barangan kebersihan. Dia perlu segera melaksanakan tugasan hariannya untuk membersihkan lantai.

Tiba di stor, Rizal melihat barang-barang yang harus dia ambil. Namun secara tiba-tiba kata-kata Amira sewaktu perkenalan mereka seminggu yang lalu kembali menerjah fikiran.

"Jadi tukang sapu, cleaner tu pun satu pekerjaan yang halal.. pekerjaan yang mulia.. paling penting, hati kita.. apa pun pekerjaan yang kita buat, niat kita lakukan kerana Allah.. sebab kita nak bantu menyenangkan urusan orang lain."

Rizal terpana. Ucapan Amira itu seakan bergema di mindanya.

"Hmm, aku bekerja hari ni ikhlas kerana Allah.. aku nak bantu bersihkan kawasan pejabat ni, biar semua orang selesa.." Rizal menanam tekad. Lelaki itu masih tidak menyedari, dirinya kini perlahan-lahan mulai berubah. Kesukaran hidup yang dia alami menyebabkan dia mudah termakan dengan kata-kata nasihat daripada Amira.

"Aku kena ikhlas.. aku kena ikhlas.." Rizal cuba tersenyum untuk membahagiakan dirinya sendiri sambil berulang kali mengucapkan kata-kata tersebut. Dia sangat berharap Tuhan akan membalas keikhlasannya.

Setelah seminggu bekerja sebagai pekerja kebersihan, Rizal mulai beradaptasi dengan pekerjaannya itu. Dia sedar, dia tidak perlu mengendahkan pandangan orang lain terhadap pekerjaannya. Baginya, misi untuk bekerja selama enam bulan ini akan berjalan lancar. Mahu atau tidak, dia terpaksa bertahan.

Beberapa ketika kemudian, Rizal dengan tekun melakukan pekerjaannya. Sedang dia mengemop lantai, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Rizal segera menyeluk saku seluarnya dan mendapatkan telefonnya itu.

"Eh, Juana.." Rizal tersenyum lebar apabila melihat nama kekasihnya terpampang di layar telefon. Panggilan daripada Juana segera dijawab.

"Sayang, ada apa you call i semalam? Sorry la, i busy semalam.. you tahu la kan, semalam hari minggu.. malam tadi pun macam biasa la, i enjoy kat clubbing.. balik lepas tu, i pening, terus tidur.. ni baru bangun.." Kedengaran suara Juana disebalik panggilan.

"Laa.. semalam lagi i call you tak dapat.. sekarang baru you call back.. Hmm.." Rizal seakan tidak berpuas hati dengan kekasihnya itu.

"Ala, macam la you tak tahu aktiviti I.. Jangan la merajuk.. i'm sorry, okay.. dah la seminggu tak jumpa you.. i pun miss you tau.. tapi i taknak la ganggu kerja you.. So, macam mana pekerjaan you sekarang? Okey tak jadi pengurus kat sana?" Juana memberi penjelasan sambil bertanyakan khabar Rizal.

"Emm, i okey je.. cuma i nak minta tolong you sikit, boleh tak?" Rizal ingin menyembunyikan hal sebenar daripada kekasihnya itu. Tidak mungkin dia akan mengatakan jika dia sekarang hanya bekerja sebagai seorang pekerja kebersihan. Dia pasti akan ditertawakan oleh kekasihnya yang juga anak orang berada itu.

"Nak i tolong you? kenapa sayang? you nak i buat apa?"

"Hmm.. boleh you bagi i pinjam duit dulu sikit? Papa i dah taknak bagi i duit.. kad kredit i pun dah kena freezed.. Sekarang i kena tunggu dapat gaji dulu la.. tiga minggu lagi, mana la i dapat tahan.." Rizal mengeluh sambil menceritakan keadaan dirinya.

"Eh, kenapa pulak papa you sampai freezekan your credit card?"

"Entahlah orang tua tu.. katanya nak i berdikari.. tapi sebulan baru dapat gaji, mati la i nak tunggu.. nak i makan pasir ke apa? gila dah papa i tu." Rizal mengutuk perbuatan bapanya yang dianggap menyusahkan.

"Oh, begitu.. takpelah.. kalau macam tu, nanti i transfer kat you.. you nak berapa?" Juana bertanya.

"Berapa yang you boleh bagi? 10K?" Rizal gembira dengan bantuan yang akan diberikan oleh kekasihnya itu. Walaupun teman-temannya tiada yang mahu membantu, setidaknya dia masih memiliki seorang kekasih yang sanggup menyelesaikan masalahnya. Rizal gembira kerana dia tidak salah memilih Juana sebagai kekasihnya.

"10K? emm.. okey, nanti i transfer. Jap lagi, bagi je nombor akaun you kat i.." Juana memberikan janji yang menyenangkan hati Rizal.

Tiba-tiba kedengaran suara Juana mendesah perlahan. Rizal mulai merasa aneh. Tanpa disangka, Juana tiba-tiba tertekan butang panggilan video. Rizal bertambah pelik. Namun lelaki itu mula berfikir, mungkin kekasihnya itu terlalu merindukannya dan ingin bertatapan wajah. Maka Rizal segera menerima dan menukarkan panggilan telefon kepada panggilan video.

Juana yang sedang asyik dan ghairah menerima kucupan daripada seorang lelaki pula tanpa sengaja menurun tangannya yang sedang memegang telefon. Alangkah terkejutnya Rizal apabila melihat kekasihnya sedang berasmara bersama seorang lelaki lain. Dia terpempan sehingga lidahnya kelu seketika. Tangannya mula gementaran.

"Juana! kau dengan siapa sekarang?!" Rizal yang dikuasai amarah menjerit. Suara Rizal itu segera mengejutkan Juana dan lelaki yang sedang mencium lehernya. Wanita itu kemudian lantas menolak lelaki yang bersamanya supaya terhindar dari kamera setelah menyedari panggilannya bersama Rizal telah bertukar kepada panggilan video.

"Fad? Kau dengan Fad sekarang? Apa yang kau dah buat?" Rizal bertanya dengan suara yang kuat. Dia sempat mengenalpasti lelaki yang sedang bersama kekasihnya itu. Lelaki itu adalah temannya sendiri, Fadli.

"Itu..itu.. bukan macam yang you fikir.. Riz.. i.. i boleh jelaskan.." Juana tergagap-gagap apabila kecurangannya telah diketahui oleh Rizal.

"Apa lagi yang kau nak jelaskan? aku belum buta lagi.." Rizal gagal mengawal emosi. Kemarahannya semakin membuak-buak. Jika mereka sedang berhadapan, sudah pasti dia akan memukul Juana dan Fadli secukupnya.

"Eh, kenapa you pakai baju cleaner? you jadi cleaner ke?" Juana terbuntang matanya apabila melihat Rizal mengenakan pakaian seragam petugas kebersihan. Rizal mulai terpana. Dia tidak sedar tadinya dia sedang bekerja ketika menerima panggilan daripada Juana.

"Patutlah takde duit sekarang.. kerja jadi cleaner ye? kenapa? you dah kena buang dengan family ke?" Juana tertawa nyaring. Ketawanya seakan sindiran kepada Rizal. Rasa takutnya sebentar tadi langsung hilang setelah menyedari Rizal sekarang hanyalah seorang pekerja kelas rendahan. Mendengar ucapan yang merendahkan dirinya, Rizal terdiam.

"Laa.. hari tu kata jadi pengurus syarikat.. rupa-rupanya duk urus sampah.. jadi cleaner? hahaha.." Juana terus memerli Rizal.

"Apa masalah kalau i jadi cleaner? hina sangat ke kerja sebagai cleaner?" Rizal mula merendahkan nada suaranya.

"Wah, betul-betul dah berubah you ni.. dulu bukan main rendahkan orang, sekarang dah mula nak hak sama rata? Betul-betul perangai orang miskin. Dah kena buang keluarga, dah takde harta, baru nak bercakap pasal kemuliaan la, sama taraf la.. hahaha.. Ya! you memang hina. Jadi cleaner, low class.. memalukan..i sarankan you mati lagi baik.. keluarga you sendiri pun tak nak you, apa you ingat i nak terus bersama seorang cleaner? sorry.. eh, i malu la pernah kenal dengan you.. geli pulak rasa.." Juana terus melemparkan kata-kata hinaan kepada Rizal.

Rizal terbungkam. Rasa malu mula membaluti dirinya.

Sedetik kemudian, wajah Fadli pula muncul di layar skrin telefon. Seakan sengaja ingin menyindir.

"Laa.. betul dah jadi cleaner ye? Riz..Riz.. apa la nasib kau sekarang ni.. Kalau keluarga kau sendiri pun dah tak nak kat kau, apa lagi dengan Juana.. tapi kau jangan risau, nanti Juana aku akan jaga elok-elok.." Fadli menghamburkan tawa. Lelaki itu tanpa segan silu kemudian mencium pipi Juana.

Rizal kembali beremosi. Tangannya dikepal sekuat hati. Ingin sahaja dia menumbuk muka Fadli sekeras mungkin. Tanpa menunggu lama, Rizal segera mematikan panggilan. Dia tidak sanggup untuk terus menerima penghinaan daripada kawan dan kekasihnya itu. Lelaki itu kemudian menghela nafas panjang, cuba untuk menenangkan dirinya.

Share this novel

cdion
2025-01-23 09:02:17 

Padan muka Riz, dulu berlagak sgt..Amira sikit² ubah hidup Riz, good job Amira ..semoga Amira berjodohan dgn Riz, hihi ...


NovelPlus Premium

The best ads free experience