Pagi isnin yang sibuk. Seawal sampai di subuh hari Khaleeda sudah tidak menang tangan.
Dialah harus yang pertama ke dapur menjerang air, menanak bubur untuk makanan anak jagaan yang kecil, membancuh susu botol yang banyak dan menyediakan alatan untuk anak-anak bersarapan.
Kemudian harus menyediakan setiap bilik untuk menerima anak-anak jagaan mengikut kategori umur dan jenis penjagaan.
Selesai semua dia harus berdiri di hadapan pintu pagar untuk menerima anak-anak kecil pula. Lazimnya yang masih tidur ketika penjaga menghantar mereka.
Anaknya sendiri dia harus biarkan berdikari pada umur yang sangat awal supaya dapat mengelakkan umpat keji majikan dan rakan sekerja.
Kasihan Khalisya sayang.
@@@@@@@
Khaleeda dengar bunyi kekecohan dari arah luar ketika dia sibuk mencuci pinggan mangkuk yang digunakan anak-anak pada waktu bersarapan tadi.
Seketika kemudian kekecohan masuk ke dalam taska tapi tidak dia tahu biji butir perkara. Ada penjaga sedang tidak berpuas hati agaknya tentang suatu perkara tapi tidak dapat dia dengar sebab musababnya.
"Di!"
"Opocot".
Terjatuh botol susu yang dia pegang kerana terperanjat disergah sebegitu.
"Tak payah nak terperanjat sangatlah! menyampah tau tak?".
Kenapalah orang kuat majikannya ini. Bukan main garang lagi bercakap. Urusan kerja semua di tolak kepada Khaleeda untuk diselesaikan.
"Ya kak."
"Boss panggil."
Aik, itu saja. Tapi memanggilnya umpama ada orang yang sedang cedera parah.
Khaleeda tinggalkan kerjanya di ruang dapur dan melangkah ke tingkat atas. Bilik paling kecil di tingkat atas majikan jadikan bilik pejabatnya.
Ketika dia sampai di situ, sudah ada majikannya di dalam bilik kecil itu. Turut ada bersama ialah sepasang suami isteri yang merupakan ibu bapa anak jagaan perempuan berumur tiga tahun.
Kenapa ya? Bukankah subuh tadi mereka tidak menghantar anak jagaan ke taska. Ada urusan apa ini sehingga melibatkan dia dipanggil ke dalam bilik pejabat majikan.
"Awak uruskan Camilla kan".
"Ya kak."
"Hari Jumaat minggu lepas awak pesan apa pada mommy Camilla?".
"Pesan?... pesan...".
Khaleeda cuba mengingat. Apa yang dia pesan?. Apabila tiga pasang mata memandangnya serius kepalanya gagal berfikir dengan cekap.
"Awak pesan apa dengan saya subuh Jumaat hari tu!?".
Suara itu keras bertanya dan dia tersentak. Berdebar kuat dadanya.
"Ermm... saya pesan peraturan taska. Ermm... jangan pakaikan anak barang kemas."
Suaranya menjadi gugup. Sangat gugup apabila tiba-tiba di soal keras begitu.
"Lagi!?".
"Ermm... Saya minta puan tanggalkan."
"Saya cakap apa!?".
"Ermm... Puan nak cepat. Ermm... ada meeting."
Bilik pejabat menjadi senyap. Tiga pasang mata kekal merenungnya, kali ini renungan menjadi garang.
"Cikgu dengar sendiri jalan cerita sama kan. Dia orang yang nampak Camilla datang pakai barang kemas tu. Saya ambil Camilla petang Jumaat lambat. Semua orang dah balik tinggal dia tunggu saya ambil anak. Saya kelam kabut tapi saya tak ada singgah mana-mana sampai balik rumah. Dua hari cuti, saya kerja. Anak duduk rumah dengan daddy dia. Pagi ni!.... saya nak siapkan anak baru perasan barang kemas semua dah tak ada!. Cikgu boleh pulak cakap CCTV rosak sejak minggu lepas tunggu orang service. Jadi macam mana? Cerita balai ke!?".
Khaleeda rasa seluruh darahnya sudah terjun ke kaki. Tubuhnya sudah seram sejuk menggigil mendengar cerita penjaga.
Apa maksud semua ini? Mereka menuduh diakah!?
Ya Allah! Apa semua ni!?. Walaupun tiada seurat emas ditubuhnya, walaupun dia miskin, tidak pernah lagi dia terfikir untuk mencuri.
"Kak, puan, saya tak faham. Maksudnya apa ni?. Nak tuduh saya mencuri ke!?".
Khaleeda hilang sabar. Ini kali ke dua dia melalui episod sadis seperti ini. Sudah kenapa dengan semua orang suka menuduh dia seperti ini!?.
"Jangan nak naik suara Khaleeda! Kalau bukan awak siapa lagi!?. Camilla di bawah jagaan awak sepanjang masa!?".
"Apa ni kak!?".
"Baik!. Kalau awak tak nak mengaku kita cerita balai!".
Penjaga itu sudah menjerit marah. Khaleeda rasa mahu pengsan di situ kerana saking tertekannya situasi itu kepada dia.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Kau maha besar Ya Allah!.
Tolonglah aku!
@@@@@@@
"Tolonglah puan. Sumpah saya tak ambik. Saya tak ada daya nak mencari bukti mempertahankan diri saya. Tapi saya janji akan bertanggungjawab, saya ganti kerugian puan. Kalau saya kena tahan siapa nak jaga anak saya. Tolonglah puan. kesianlah anak saya puan."
Khaleeda merendahkan diri merayu dengan linangan air mata kepada pasangan suami isteri yang membawa dia ke balai polis berdekatan.
Majikannya melepaskan dia sepenuhnya kepada pasangan suami isteri itu untuk di bawa ke balai polis.
Langsung tiada simpati untuk mempertahankan dia. Langsung tiada usaha untuk mencari kebenaran yang boleh menolong dia.
Sungguh Khaleeda buntu. Jika dia masuk ke dalam balai polis, tidak mungkin pihak polis akan memberi peluang kepada dia seperti waktu kes kecurian di restoran Mek.
Rekod dahulu sudah ada pasti dia akan ditahan. Bagaimana dengan Khalisya?. Siapa yang akan menjaga anak kecilnya sementara dia di dalam tahanan?.
Tiada siapa yang akan menjaminnya. Dia tidak cukup duit untuk semua perkara itu. Tiada waris atau teman rapat juga untuk diminta pertolongan sebagai penjamin.
Sesungguhnya dia tiada daya untuk mempertahankan diri melawan tuduhan ini.
Satu-satunya perkara yang mampu dia lakukan sekarang hanyalah beralah dan merayu ihsan pasangan suami isteri ini untuk mengasihani dia.
"Total semua barang yang hilang tu rm5,700-00. Awak ada duit!?".
Khaleeda tertelan air liur yang kesat umpama pasir. Sebanyak itu?. Berapa simpanan yang dia ada? Hanya berbaki beberapa ratus.
Peluh sejuk mengalir dibalik pakaian yang dipakai. Dia cuma ada sedikit duit simpanan untuk kecemasan sakit pening anak.
Suami perempuan yang garang itu mencuit isterinya. Mereka berdua keluar daripada kereta dan kelihatan berbincang di hadapan pintu kereta yang bertutup.
Khaleeda tidak dapat mendengar perbualan kedua mereka kerana pintu kereta yang tertutup dan kedap bunyi.
Tidak lama kemudian pasangan suami isteri itu masuk kembali ke dalam kereta dengan raut wajah yang tegang.
"Baik! Suami saya kata okay awak ganti kalau tak nak masuk balai. Kami pun malas nak berulang keluar masuk balai. Tak mustahil sampai mahkamah semua. Silap hari bulan dah buang masa, buang duit, awak juga yang untung dengan barang yang hilang tu!".
Khaleeda beristighfar di dalam hati. Teganya mereka dengan tuduhan ini.
"Orang macam awak ni mesti tak ada masalah masuk dalam penjara sana setakat beberapa tahun aje kan. Yang rugi kami jugak!".
"Jadi suami saya cakap baik awak ganti kalau tak kita masuk balai. Dah nasib kamilah kalau setakat dapat penjarakan awak!".
Khaleeda terkedu dengan tuduhan dan jerkahan mereka. Apa daya dia?.
"Baik puan saya ganti, tapi saya tak ada sebanyak yang puan cakap tu. Saya ada sikit je. Selebihnya saya akan bayar sikit-sikit."
"Banyak cantik muka awak!!!".
Bulat mata Khaleeda kerana terperanjat dijerkah kuat begitu. Berdengung telinganya. Berkompang dadanya kerana terlalu terkejut.
"Tak de! tak de! awak bayar semua sekali! Kalau tak kita masuk balai sekarang!".
Sambung penjaga perempuan itu lagi.
"Saya tak ada sebanyak tu puan..."
Khaleeda keluarkan telefon bimbitnya. Menata seketika skrin telefon kemudian menunjukkan kepada perempuan itu.
"Saya ada ini saja...".
Tertera di situ jumlah simpanannya di dalam tabung haji. Cuma ada baki berjumlah rm355-00.
"Biy! balailah! Berbaloi rugi!".
Jerit perempuan itu kepada suaminya. Khaleeda sudah gelabah mendengarnya.
"Puan... tolonglah, tolonglah puan. Jangan macam ni."
Sambil menangis Khaleeda menyelongkar beg tangannya. Menarik keluar stokin kecil milik Khalisya ketika bayi yang bersimpul.
Khaleeda leraikan simpulan stokin kecil itu dan sebentuk cincin belah rotan diambil. Satu-satunya kenangan dengan Yusoff yang tinggal dan dapat diselamatkan.
Ketika hari nikahnya dia mendapat gelang tangan dan cincin ini. Gelang tangan sudah dirampas pihak berkuasa dan disita pada hari rumah besar ibu bapanya di geledah.
Cincin ini selamat kerana berada didalam bekas sabun di dalam bilik air ketika itu.
"Saya ada ni..."
Khaleeda unjuk cincin nipis belah rotan kepada perempuan itu.
"Saya tanya kedai minggu lepas harganya rm1500-00."
"Saya janji lebihnya rm3850-00 saya bayar selewatnya hari Isnin minggu depan."
"Bagi saya seminggu. Tolong bagi saya masa cari duit puan, tuan. Tolonglah saya."
"Saya bersumpah saya tak akan lari."
pendek je. sowiiii
Share this novel