BAB 1

Drama Series 728

TEDUHAN mega pagi tampak redup, awan bergerak perlahan seakan mengusung rahsia hujan yang belum mahu tumpah.

Madrasah Ar-Raudhah An-Nur di hujung kampung, masih setia menadah waktu. Berdinding kayu putih dimamah usia, gentingnya retak di sana sini. Namun dari celah jendela terbuka, melantun suara anak-anak perempuan membaca Al Quran, halus menampar lembut reranting mangga di halaman.

Di dalam kelas kayu itu, Izzatul Janna atau mesra dipanggil Izza duduk bertimpuh di atas tikar mengajar. Jubah putih susu terhampar menutup lutut. Niqab senada membungkus wajahnya sehingga hanya menampakkan sepasang mata bening.
Matanya redup, bulu matanya panjang tapi di balik pandangan itu seperti terkurung awan gelap yang tak habis bertiup.

Di hadapannya, sepuluh orang pelajar perempuan usia sekitar sepuluh hingga dua belas tahun menekur mushaf. Setiap seorang memeluk Quran kecil bersampul hijau, bibir mereka bergerak perlahan mengikut giliran hafazan.

“Maryam, aiwah… ente sambung ayat ke sembilan belas surah Al-Hujurat. Perlahan, tartil jangan kejar nafas,” ujar Izza.

Suaranya lembut tetapi tetap berwibawa sebagai tenaga pengajar. Maryam mengangguk, menarik nafas lalu membaca dengan suara yang sedikit teragak-agak.

“Ya ayyuhalladzina amanu, ijtanibu kathiran minazh zhanni…”

Tiba-tiba Izza mengangkat tangan, telapak menegur perlahan.

“Aiwah, sayang… ente ulang kalimah ijtanibu, cuba tekan pada huruf jim. Jangan terlalu ringan, takut nanti makna lari," tegur Izza, tenang.

Maryam menurut lalu menunduk semula. Suara kecilnya lebih jelas lagi kini. Izza lalu mencondongkan badan, jemarinya menyentuh perlahan hujung mushaf muridnya.

“Dengar sini ya, ente tarik sedikit pada alif selepas ya’. Begini…”

Dia menegak sedikit tubuh lalu membaca dengan suara rendah, tartilnya teratur.

“Ya ayyuhalladzina amanu… ijtaaaanibu kathiran…” Suara Izza merangkak perlahan, penuh sabar.

Nadanya naik turun mengikut hukum mad dan qalqalah. Dia menutup mata, memberi ruang pada telinga sendiri menangkap bacaan, seolah memastikan setiap makhraj keluar dari rel yang tepat. Maryam cuba semula.

“Ijtaaaanibu kathiran minazh zhanni…”

Izza mengangguk. Anak mata yang hanya kelihatan dari balik niqab itu, berkaca sedikit.

“Aiwah. Bagus. Anna bangga dengan ente semua. Quran ni cahaya, sayang… siapa jaga lidahnya dengan Quran, insyaAllah Allah jaga hati dia juga," pesan Izza terangguk-angguk.

Beberapa pelajar menunduk, malu-malu tapi senyum merekah. Izza pandang mereka satu persatu, seolah mahu mengikat cinta mereka pada Quran supaya tidak hanyut nanti.

Namun, ketika wajah-wajah polos itu kembali menekur mushaf, hati Izza seperti diremuk sesuatu yang tidak nampak.

'Kalau lidah yang baca Quran Allah jaga hati,
kenapa hati anna masih luka, ya Rabb?
Kenapa masa lalu anna tak mahu padam, walau lidah ni saban hari membaca ayat-ayat-Mu?'

Jemarinya meramas perlahan tasbih di riba.
Dia tarik nafas panjang, seolah menolak bayang silam yang tiba-tiba datang merayap, menyusup ke setiap liang pori, menyesakkan rongga dada.

Izza tunduk, meraup jemari ke atas dada. Degup jantungnya kencang, menolak gelombang rasa yang tiba-tiba membeku dalam saluran nadinya. Dia pejam mata seketika, mengusir suara-suara lama yang bagai berbisik di belakang tengkuk.

Bayangan seorang lelaki dengan wajah kabur muncul sekejap, tatapan itu terlebih dulu menoreh luka. Seakan terpaku, bibir Izza terketar.

“Allahu…,” bisiknya tapi tidak terluah. Dia segera membuka mata. Berpaling ke arah anak-anak didiknya, Izza paksa bibirnya mengukir senyum.

Tidak mahu mereka menyedari badai yang tiba-tiba mengamuk di dalam hati gurunya. Namun, matanya kembali berkaca.

“Baiklah sayang, sebelum kita tutup kelas hari ni… ana nak kita semua baca surah Al-Insyirah sama-sama. Boleh?” ujar Izza, suaranya sengaja dilembutkan mengatasi riak hati yang masih bergelora.

“Boleh ustazah…” sahut mereka serentak.

Izza mengangguk kecil. Dia mula membaca dengan perlahan, tartil yang tenang walau di dadanya, badai belum mahu surut.

“Alam nashrah laka sadrak…”

Anak-anak itu ikut, suara mereka bagai desiran angin yang menampar lembut pipi Izza. Dalam diam, dia biarkan setiap ayat merembes masuk ke dalam retak-retak hatinya. Seakan menampal semula dinding jiwa yang sudah lama berlubang.

“Wa wada’na ‘anka wizrak…”

Satu persatu bait suci itu jatuh, menyejukkan. Izza pejam mata lagi. Kali ini, bukan kerana mahu menghalau bayangan tapi kerana mahu menghayati benar-benar makna sabar. Makna redha. Makna pengampunan yang Tuhan janjikan.

“Warafa’na laka zikrak…”

Bibirnya bergerak, menahan sebak yang tumpah juga akhirnya dalam diam. Satu titik air mata jatuh membasahi tasbih di riba. Dia cepat-cepat mengesatnya.

Usai bacaan, Izza memandang mereka semula.

“MasyaAllah, ente semua baca dengan sangat cantik hari ini. Hati ana gembira walau mungkin tak nampak sebab tertutup niqab,” selorohnya cuba menceriakan suasana.

Anak-anak itu ketawa kecil. Izza turut ketawa namun hanya sedikit, sekadar melunakkan kesayuan yang belum hilang.

‘Moga satu hari nanti, Ya Allah… Engkau benar-benar tenangkan dada ini. Seperti mana Engkau janjikan dalam surah tadi…’

Dan dia menggenggam tasbih lebih kejap ibarat menggenggam janji Tuhan. Mata beningnya menatap jauh ke luar jendela, di mana teduhan mega pagi tadi kini semakin menipis, seakan mempersilakan mentari memancar penuh.

'Tuhan… satu hari nanti, izinkan mentari tu singgah juga ke hati ana, ya. Ana penat hidup dalam teduhan yang tak pernah benar-benar cerah…'

Izza tunduk lagi, menekur tikar di bawahnya. Jemarinya mengelus tasbih satu persatu, seakan setiap bulir itu dapat menyerap segala gundah yang menyesak di dada.

Dia menarik nafas panjang lalu menghembuskannya. Dadanya terasa sempit namun dipaksa juga untuk menerima udara pagi yang mulai, menghangat.

Satu demi satu anak muridnya bangkit, menyusun mushaf dan memberi salam sebelum meninggalkan kelas. Izza membalas dengan senyum tipis dan anggukan lembut, meski hatinya masih terikat pada riak-riak luka yang belum kering.

Apabila ruang kelas kembali sunyi, Izza menekup wajah dengan kedua tapak tangan. Tubuhnya sedikit bergegar menahan tangis yang cuba dibendung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience